stenosis arteri buah pinggang
Stenosis arteri buah pinggang tidak akan menunjukkan sebarang simptom sehinggalah keadaan penyakit mencapai tahap parah. Kebanyakan individu

Stenosis arteri buah pinggang adalah keadaan di mana penyempitan berlaku kepada arteri yang membawa darah kepada satu atau kedua-dua buah pinggang. Selalunya kes ini terjadi kepada individu yang lebih tua dan memiliki aterosklerosis (pengerasan arteri). Stenosis arteri buah pinggang boleh menjadi parah dalam jangka masa panjang dan boleh mengakibatkan penyakit hipertensi (Tekanan darah tinggi) serta kerosakan buah pinggang.

Tubuh akan mengesan kekurangan darah yang memasuki buah pinggang dan menafsirkannya sebagai tekanan darah rendah. Keadaan ini menyebabkan buah pinggang menghasilkan hormon yang membawa kepada peningkatan tekanan darah. Dari masa ke semasa, stenosis arteri buah pinggang ini boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang.   

Simptom Stenosis Arteri Buah Pinggang

Stenosis arteri buah pinggang tidak akan menunjukkan sebarang simptom sehinggalah keadaan penyakit mencapai tahap parah. Kebanyakan individu yang menghidap penyakit ini tiada sebarang simptom atau gejala. Kadangkala, ia ditemui secara tidak sengaja semasa ujian lain dijalankan. Doktor akan mengesyaki anda mempunyai penyakit ini apabila anda mengalami keadaan tersebut:

  • Menghidap tekanan darah tinggi  sebelum usia 30 tahun atau selepas usia 50 tahun

Apabila anda menghidap penyakit ini, gejala dan simptom lain dialami termasuklah:

  • Tekanan darah tinggi yang sukar untuk dirawat
  • Terdapat bunyi ‘mengalir’ seperti darah mengalir melalui sebuah saluran yang sempit (bruit) didengari oleh doktor anda melalui stetoskop yang diletakkan di atas buah pinggang anda
  • Tahap protein yang meningkat dalam air kencing atau tanda-tanda lain yang menunjukkan fungsi buah pinggang tidak normal
  • Fungsi buah pinggang menjadi semakin teruk semasa rawatan untuk tekanan darah tinggi
  • Tisu badan bengkak dan terdapat lebihan cecair di dalamnya.
  • Kegagalan rawatan jantung

Punca Stenosis Arteri Buah Pinggang

Lebih daripada 90% kes stenosis arteri buah pinggang yang berlaku berpunca dari aterosklerosis, iaitu suatu proses di mana plak yang terdiri daripada lemak, kolesterol, dan bahan lain terbina di dinding saluran darah, termasuk yang disalurkan ke buah pinggang.

Walaupun jarang berlaku, stenosis arteri renal boleh berpunca dari keadaan yang disebut dyplasia fibromuskular, di mana sel-sel di dinding arteri mengalami pertumbuhan yang tidak normal. Kebiasaannya ia dialami oleh wanita dan golongan muda. Tetapi, pesakit dyplasia fibromuskular memiliki peluang untuk sembuh.

Diagnosis Stenosis Arteri Buah Pinggang

Selalunya, penyakit ini boleh dikesan semasa pemeriksaan untuk penyakit yang lain dijankan seperti hipertensi. Selepas doktor melakukan ujian fizikal dan melihat rekod perubatan anda untuk sebarang faktor risiko, mereka akan melakukan ujian air kencing untuk mengukur tahap protein dan fungsi buah pinggang secara keseluruhan. Selain itu, ujian darah juga boleh mengukur fungsi buah pinggang dan hormon yang mengawal tekanan darah.

Doktor anda juga boleh melakukan satu atau lebih ujian pengimejan berikut untuk melihat keadaan arteri buah pinggang anda dengan lebih jelas:

  • Imbasan CT
  • Angiography Resonance Magnet (MRA), ujian yang menyediakan imej 3D pada kawasan yang diselidiki
  • Ultrabunyi

Faktor Risiko Stenosis Arteri Buah Pinggang

Kebanyakan kes penyakit ini berpunca dari aterosklerosis. Faktor risiko untuk aterosklerosis arteri buah pinggang adalah sama seperti aterosklerosis di mana-mana bahagian badan anda dan termasuklah:

  • Peningkatan usia
  • Tekanan darah tinggi
  • Tahap kolesterol tinggi
  • Diabetes
  • Obesiti
  • Merokok dan penggunaan tembakau lain
  • Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit jantung awal
  • Kurang senaman

Rawatan Stenosis Arteri Buah Pinggang

Rawatan untuk stenosis arteri buah pinggang mungkin melibatkan perubahan gaya hidup atau ubat. Kadang-kadang kombinasi dalam rawatan adalah pendekatan yang terbaik. Ia bergantung kepada kesihatan dan simptom keseluruhan anda.

Perubahan gaya hidup

Sekiranya tekanan darah anda sederhana atau sangat tinggi, anda mungkin perlu melakukan perubahan gaya hidup tertentu, seperti:

  • Mengekalkan berat badan yang sihat atau mengurangkan berat badan jika anda obes
  • Makan makanan yang sihat
  • Hadkan pengambilan garam dalam diet anda
  • Menjadi aktif secara fizikal
  • Kurangkan tahap tekanan anda
  • Minum alkohol atau minuman berkafein secara sederhana, atau berhenti mengambilnya sama sekali
  • Jangan merokok

– Ubat-ubatan

Tekanan darah tinggi. Walaupun ia berkaitan dengan stenosis arteri buah pinggang, ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Mencari ubat atau gabungan ubat yang betul mungkin memerlukan masa dan kesabaran anda.

Sesetengah ubat yang biasa digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan stenosis arteri buah pinggang termasuklah:

  • Perencat Enzim Angiotensin (ACE) Dan Penghalang Reseptor Angiotensin II (ARBs). Membantu melegakan saluran darah anda dan menyekat pembentukan atau kesan bahan kimia semula jadi yang digelar angiotensin II, yang boleh menyempitkan saluran darah
  • Diuretik, juga dikenali sebagai pil air. Membantu badan anda mengurangkan natrium dan air yang berlebihan
  • Penyekat beta dan penyekat alpha-beta. Mungkin memberi kesan kepada jantung anda dengan memperlahankan dan mengurangkan pengepaman secara paksa atau melebarkan saluran darah anda, bergantung kepada jenis ubat yang digunakan.
  • Penyekat saluran kalsium. Membantu merehatkan saluran darah

Sebaliknya, jika aterosklerosis adalah punca stenosis arteri buah pinggang yang anda alami, doktor boleh mengesyorkan aspirin dan ubat penurun kolesterol. Ubat-ubatan yang terbaik untuk anda bergantung kepada keadaan anda.

.SUMBER

https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/renal-artery-stenosis-symptoms-treatments#1

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17422-renal-artery-disease

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17422-renal-artery-disease

Summary
Stenosis Arteri Buah Pinggang (Renal Artery Stenosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Stenosis Arteri Buah Pinggang (Renal Artery Stenosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Stenosis arteri buah pinggang tidak akan menunjukkan sebarang simptom sehinggalah keadaan penyakit mencapai tahap parah.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: