spina bifida
Spina bifida adalah kecacatan kelahiran yang agak biasa berlaku.

Spina bifida (tulang belakang pecah) adalah kecacatan kelahiran yang agak biasa berlaku kepada bayi dan mengakibatkan masalah mental dan fizikal.

Sekiranya seorang bayi mempunyai keadaan ini sewaktu proses tumbesarannya, tiub saraf (sekumpulan sel yang membentuk otak dan saraf tunjang bayi) tidak tertutup penuh, oleh itu tulang yang melindungi tulang belakang tidak dibentuk sepenuhnya. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah fizikal dan mental kelak.

Seramai kira-kira 1,500 hingga 2,000 daripada 4 juta bayi yang dilahirkan setiap tahun mempunyai Spina Bifida. Namun begitu, terima kasih kepada kemajuan dalam bidang perubatan kerana 90% bayi yang cacat ini hidup sehingga dewasa dan sebahagian besarnya terus menjalani kehidupan normal.

Jenis Spina Bifida

Terdapat tiga jenis utama spina bifida:

  • Spina bifida occulta (SBO): Ini adalah bentuk kecacatan yang paling biasa dan paling ringan. Ramai individu tidak tahu bahawa mereka memilikinya. (“Occulta” bermaksud “tersembunyi” dalam bahasa Latin.) Dalam keadaan ini, saraf tunjang dan saraf biasanya kelihatan normal, namun terdapat sedikit jurang di antara tulang belakang. Individu yang mengalaminya sering mengetahui bahawa mereka mempunyai SBO apabila mereka menjalani sinar-X untuk beberapa sebab lain. Jenis Spina Bifida ini biasanya tidak menyebabkan sebarang masalah.
  • Meningocele: Jenis spina bifida yang jarang terjadi ini berlaku apabila kantung cecair tulang belakang (bukan saraf tunjang) tertolak melalui pembukaan di belakang bayi. Sesetengah individu mempunyai sedikit atau tiada simptom langsung,  sementara yang lain mengalami masalah dengan pundi kencing dan usus mereka.
  • Myelomeningocele: Ini adalah jenis spina bifida yang paling teruk. Dalam kes ini, terusan tulang belakan bayi terbuka di satu atau beberapa tempat di bahagian bawah atau tengah belakang, dan satu kantung cecair tulang belakang terkeluar daripada liang. Kantung ini juga memegang sebahagian daripada saraf tunjang serta saraf, dan bahagian-bahagian tersebut rosak.

Simptom Spina Bifida

Bayi yang lahir dengan spina bifida mungkin mempunyai atau mengalami:

• Kelemahan atau kelumpuhan pada kaki

• Hilang kawalan kencing

• Hilang kawalan usus

• Kekurangan sensasi di dalam kulit

• Pengumpulan cecair serebrospinal (CSF – cerebrospinal fluid), yang membawa kepada keadaan Hidrosefalus dan mungkin kerosakan otak

Sistem saraf juga lebih cenderung mengalami infeksi dan sesetengahnya boleh mengancam nyawa.

CSF adalah cecair yang mengalir melalui rongga di dalam otak dan juga di sekitar permukaan otak serta saraf tunjang. Jika cecair ini terlalu banyak, ia boleh membawa kepada keadaan yang digelar sebagai Hidrosefalus, tekanan pada otak dan akhirnya kerosakan otak.

Punca Spina Bifida

Doktor masih tidak pasti apa yang menyebabkan spina bifida. Mungkin ia terjadi akibat kombinasi faktor risiko genetik, pemakanan dan persekitaran seperti sejarah keluarga yang mengalami kecacatan pada tiub saraf dan kekurangan folat (vitamin B-9).

Diagnosis Spina Bifida

Kebanyakan kes spina bifida dikesan oleh pemeriksaan ultrabunyi sewaktu hamil.

Ujian bagi spina bifida dan masalah lain boleh dilakukan semasa mengandung namun ujian tersebut bukanlah 100 peratus tepat.

Ujian serum alfa-fetoprotein ibu (MSAFP)

Ujian darah yang menilai alfa-fetoprotein (AFP), iaitu protein yang menghasilkan janin.

AFP biasanya tidak memasuki aliran darah ibu. Sekiranya keadaan itu berlaku, maksudnya janin mempunyai kecacatan saraf pada tahap yang tinggi. Keadaan ini boleh disyaki sebagai Anensefali, iaitu keadaan dimana tengkorak tidak lengkap dan otak yang kurang berkembang atau spina bifida.

Kadangkala, walaupun tahap AFP adalah normal namun janin masih berisiko untuk mengalami spina bifida. Dalam kes lain, tahap AFP adalah tinggi namun janin sihat.

Sekiranya tahap AFP tinggi, doktor akan menjalankan ujian darah yang lain. Namun begitu, jika kadarnya masih tinggi, ujian lanjutan seperti imbasan ultrabunyi akan dijalankan untuk mencari punca mengapa kadar AFP tinggi dan memeriksa tanda-tanda spina bifida.

Tahap AFP juga mungkin tinggi jika:

• Terdapat lebih daripada satu janin

• Kesaalahan perhitungan usia kehamilan

Ujian lain yang dilakukan semasa mengandung adalah imbasan tiga atau empat kali ganda (skrin quad).

Sekiranya imbasan ultrabunyi menunjukkan bayi normal tetapi tahap AFP bayi adalah tinggi, doktor boleh mengesyorkan Amniosentesis. Sampel cecair amniotik dikeluarkan dari kantung amniotik dan diuji untuk mengenalpasti tahap AFP.

Jika janin mempunyai kecacatan tiub saraf, tahap AFP adalah tinggi dalam cecair amniotik yang mengelilinginya.

Sekiranya didapati tahap AFP adalah tinggi, doktor akan menjalankan ujian lain untuk mengesahkannya.

Faktor Risiko Spina Bifida

Spina bifida lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berkulit putih dan Hispanik serta golongan wanita lebih banyak mengalaminya daripada lelaki. Walaupun doktor dan penyelidik masih tidak pasti punca sebenar spina bifida berlaku, mereka telah mengenal pasti beberapa faktor risiko:

  • Kekurangan folat. Folat merupakan bentuk semula jadi vitamin B-9. Ia adalah penting bagi perkembangan bayi yang sihat. Bentuk sintetik yang terdapat dalam makanan tambahan dan makanan yang diperkaya, dipanggil sebagai asid folik. Kekurangan folat akan meningkatkan risiko spina bifida dan kecacatan tiub neural lain.
  • Sejarah keluarga mengalami kecacatan tiub neural. Pasangan yang mempunyai seorang anak dengan kecacatan tiub neural mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk memperolehi bayi yang lain dengan kecacatan yang sama. Risiko itu bertambah jika dua kanak-kanak terdahulu telah dipengaruhi oleh keadaan itu. Di samping itu, seorang wanita yang dilahirkan dengan kecacatan tiub saraf mempunyai risiko yang lebih besar untuk melahirkan anak yang mengalami spina bifida. Walau bagaimanapun, kebanyakan bayi dengan spina bifida dilahirkan oleh ibu bapa tanpa sejarah keluarga penyakit tersebut.
  • Beberapa ubat. Sebagai contoh, ubat-ubatan anti sawan, seperti asid valproic (Depakene), seolah-olah menjadi punca kepada kecacatan tiub neural apabila diambil semasa kehamilan. Ini mungkin berlaku oleh kerana ia mengganggu keupayaan tubuh menggunakan folat dan asid folat.
  • Kencing Manis. Wanita yang menghidap kencing manis yang mempunyai tahap gula darah yang tidak terkawal mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat bayi dengan spina bifida.
  • Obesiti. Obesiti semasa pra kehamilan dikaitkan dengan peningkatan risiko kecacatan tiub saraf sejak lahir, termasuklah spina bifida.
  • Peningkatan suhu badan. Beberapa bukti menunjukkan bahawa peningkatan suhu badan (hyperthermia) pada minggu-minggu awal kehamilan boleh meningkatkan risiko spina bifida. Suhu badan badan yang meningkat, sebagai contoh disebabkan oleh demam atau menggunakan sauna serta tab mandi panas, dikaitkan dengan kemungkinan peningkatan risiko spina bifida.

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko spina bifida, berbincanglah dengan doktor anda untuk menentukan sama ada anda memerlukan dos asid folat yang lebih besar atau dos preskripsi asid folat, walaupun sebelum kehamilan.

Rawatan Spina Bifida

Rawatan spina bifida bergantung kepada keterukan keadaan. Spina bifida occulta selalunya tidak memerlukan apa-apa rawatan, namun jenis spina bifida lain mungkin memerlukannya.

Pembedahan sebelum kelahiran

Fungsi saraf pada bayi dengan spina bifida boleh menjadi bertambah buruk setelah kelahiran jika spina bifida tidak dirawat. Pembedahan pranatal untuk merawat spina bifida (pembedahan janin) biasanya akan berlaku sebelum minggu ke-26 kehamilan. Pakar bedah akan membuka rahim ibu mengandung sewaktu pembedahan dan membaiki saraf tunjang bayi. Bagi sesetengah pesakit yang terpilih, prosedur ini juga boleh dilakukan secara kurang invasif dengan fetoskop melalui bukaan di rahim.

Penyelidikan menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan spina bifida yang menjalani pembedahan janin akan mengurangkan kecacatannya dan kurang berkemungkinan untuk memerlukan tongkat atau peranti berjalan yang lain. Selain itu, pembedahan janin juga boleh mengurangkan risiko hidrosefalus. Bertanyalah pada doktor anda sama ada prosedur ini sesuai untuk anda. Bincangkan manfaatnya dan risikonya, seperti kemungkinan kelahiran awal dan komplikasi lain untuk anda dan bayi anda.

Adalah penting untuk mempunyai penilaian komprehensif bagi menentukan sama ada pembedahan janin boleh dilakukan. Pembedahan khusus ini hanya perlu dilakukan di pusat penjagaan kesihatan yang mempunyai pakar bedah janin, pendekatan pasukan pelbagai kepakaran dan penjagaan intensif neonatal. Biasanya pasukan itu termasuklah pakar bedah janin, ahli bedah saraf pediatrik, pakar perubatan janin, ahli kardiologi janin dan ahli neonatologi.

Kelahiran caesar

Ramai bayi yang mengalami keadaan myelomeningocele spina bifida cenderung berada dalam kedudukan kaki kebawah (breech) atau songsang. Jika bayi anda berada dalam kedudukan ini atau jika doktor anda mengesan sebarang pembentukan sista atau kantung yang besar, kelahiran secara caesar mungkin merupakan cara yang lebih selamat untuk melahirkan bayi anda.

Pembedahan selepas kelahiran

Myelomeningocele spina bifida memerlukan pembedahan. Pembedahan awal dapat membantu meminimumkan risiko jangkitan yang berkaitan dengan saraf yang terdedah. Selain itu ia juga boleh membantu melindungi saraf tunjang daripada sebarang trauma yang lebih teruk.

Semasa prosedur dijalankan, seorang ahli bedah saraf akan meletakkan saraf tunjang dan tisu yang terdedah di dalam badan bayi dan menutupnya dengan otot dan kulit. Pada masa yang sama, beliau boleh meletakkan ‘shunt’ pada otak bayi bagi tujuan mengawal hidrosefalus.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/spina-bifida/symptoms-causes/syc-20377860

https://www.webmd.com/parenting/baby/spina-bifida#1

https://www.cdc.gov/ncbddd/spinabifida/facts.html

Summary
Spina Bifida - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Spina Bifida - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Spina bifida (tulang belakang pecah) adalah kecacatan kelahiran yang agak biasa berlaku kepada bayi dan mengakibatkan masalah mental dan fizikal.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: