Sklerosis pelbagai
Sklerosis pelbagai atau Sklerosis berbilang adalah penyakit yang boleh menjejaskan otak, saraf tunjang dan saraf optik pada mata anda dalam jangka masa yang panjang.

Sklerosis pelbagai atau Sklerosis berbilang adalah penyakit yang boleh menjejaskan otak, saraf tunjang dan saraf optik pada mata anda dalam jangka masa yang panjang. Ia boleh menyebabkan masalah pada penglihatan, keseimbangan, kawalan otot dan fungsi badan asas yang lain.

Kesannya adalah berbeza-beza bagi individu yang menghidap penyakit ini. Sesetengah individu mempunyai gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan. Manakala ada juga individu yang menghadapi kesulitan dalam melakukan tugas harian.

Simptom Sklerosis Pelbagai

Tanda-tanda dan simptom Sklerosis pelbagai ini berbeza mengikut individu dan tempoh menghidap penyakit ini adalah bergantung kepada lokasi saraf yang terjejas. Antara simptomnya adalah:

  • Kebas atau rasaa lemah pada satu atau lebih anggota badan yang biasanya muncul di satu sisi badan pada satu masa, atau pada kaki dan ‘trunk’.
  • Kehilangan penglihatan secara separa atau sepenuhnya. Ia selalunya melibatkan satu mata dalam satu masa dengan rasa sakit apabila mengerakkan mata.
  • Kesemutan atau sakit di bahagian tubuh yang berlainan.
  • Sensasi kejutan elektrik yang berlaku ketika melakukan pergerakan leher tertentu, terutamanya apabila mencondong ke hadapan (tanda Lhermitte).
  • Menggigil, koordinasi yang lemah atau gaya berjalan yang tidak stabil.
  • Percakapan yang merapu.
  • Keletihan.
  • Pening.
  • Masalah fungsi usus dan pundi kencing.

Punca Sklerosis Pelbagai

Penyebab sebenar Sklerosis pelbagai masih tidak diketahui, tetapi ia dianggap sebagai satu gangguan autoimun. Ini bermakna bahawa sistem imun menyerang myelin seolah-olah ia adalah bahagian badan asing yang tidak diingini, sama seperti ketika ia menyerang virus atau bakteria.

Faktor risiko bagi penyakit Sklerosis pelbagai termasuk:

  • Umur: Diagnosis lebih cenderung berlaku bagi individu berumur antara 20 hingga 50 tahun
  • Jantina: Lebih ramai wanita mendapat Sklerosis pelbagai berbanding golongan lelaki.
  • Etnik: Keadaan ini lebih biasa berlaku dalam kalangan individu berketurunan Eropah.
  • Faktor genetik: Keadaan ini mudah diturunkan ke dalam gen.

Kadar Sklerosis pelbagai lebih tinggi pada orang yang tinggal lebih jauh dari bahagian khatulistiwa, dan ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari boleh memberi kesan kepada risiko penyakit Sklerosis pelbagai ini.

Faktor lain yang mungkin dikaitkan dengan penyakit ini tetapi tidak disahkan oleh penyelidikan, termasuk:

  • Pendedahan kepada bahan toksik: Ini termasuklah logam berat atau pelarut.
  • Jangkitan: Virus seperti Epstein-Barr atau mononukleosis dan varisella zoster mungkin merupakan pencetus bagi penyakit ini.
  • Garam: Kajian menunjukkan bahawa terlalu banyak garam dalam diet boleh mencetuskan reaksi autoimun.

Diagnosis Sklerosis Pelbagai

Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal, bertanyakan mengenai gejala dan mempertimbangkan sejarah perubatan pesakit. Tiada ujian tunggal yang boleh mengesahkan diagnosis, jadi beberapa strategi diperlukan apabila memutuskan sama ada pesakit memenuhi kriteria untuk diagnosis ataupun tidak.

Seterusnya, ujian yang boleh dilakukan termasuklah ujian neurologi, imbasan pengimejan, ujian untuk mengukur aktiviti elektrik otak, analisis cairan tulang belakang dan ujian-ujian lain. Ini boleh membantu mengetepikan sebab-sebab lain yang menyebabkan gejala penyakit Sklerosis pelbagai ini.

Faktor Risiko Sklerosis Pelbagai

Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko Sklerosis pelbagai:

  • Umur. Sklerosis pelbagai boleh berlaku pada mana-mana usia, tetapi paling kerap berlaku pada individu yang berumur antara 15 hingga 60 tahun.
  • Jantina. Golongan wanita lebih berisiko mempunyai Sklerosis pelbagai ini hampir dua kali ganda berbanding lelaki.
  • Latar belakang keluarga. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa atau adik-beradik anda mempunyai penyakit, risiko anda mendapatkannya adalah lebih tinggi.
  • Jangkitan tertentu. Beberapa virus dikaitkan dengan penyakit Sklerosis pelbagai, termasuk Epstein-Barr yang menyebabkan mononukleosis berjangkit.
  • Kaum. Golongan keturunan dari Eropah utara terutamanya Caucasians’ berisiko mendapat penyakit ini. Keturunan Asia, Afrika atau asli Amerika pula berada pada risiko paling rendah.
  • Cuaca. Sklerosis pelbagai lebih biasa berlaku di negara-negara yang mempunyai iklim sederhana, termasuk Kanada, negeri-negeri di utara Amerika Syarikat, New Zealand, Australia tenggara dan Eropah.
  • Penyakit autoimun tertentu. Sekiranya anda mengalami penyakit tiroid, diabetes jenis 1 atau penyakit keradangan usus, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit Sklerosis pelbagai.
  • Asap. Perokok yang menderita gejala awal boleh menunjukkan tanda Sklerosis pelbagai dan lebih cenderung mendapat peristiwa kedua yang mengesahkan kembalinya penyakit sklerosis berbanding individu yang tidak merokok.

Rawatan Sklerosis Pelbagai

Pada masa ini, masih tiada ubat yang mampu merawat penyakit Sklerosis pelbagai. Rawatan kini memberi tumpuan untuk menyekat tindak balas autoimun dan menguruskan simptom.

Ubat-ubatan

Beberapa ubat-ubatan telah diluluskan bagi keadaan Sklerosis pelbagai yang berulang.

  • Kortikosteroid: Ini adalah ubat yang paling biasa digunakan untuk penyakit Sklerosis pelbagai. Ubat ini boleh mengurangkan keradangan dan menyekat sistem imun. Kebanyakan daripada ubat ini juga boleh merawat tanda-tanda gejala akut di beberapa jenis Sklerosis pelbagai.
  • Interferon Beta 1a atau 1b: Ubat ini boleh melambatkan perkembangan gejala, tetapi mesti digunakan dengan berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan kerosakan hati. Satu kajian menyimpulkan bahawa penggunaan ubat ‘Interferon Beta’ tidak membantu mencegah kecacatan dalam jangka masa panjang.
  • Copaxone (Glatiramer): Ubat ini bertujuan untuk menghentikan sistem imun daripada menyerang myelin. Ia disuntik sebanyak sekali sehari. Tanda seperti muka yang merah dan sesak nafas mungkin berlaku selepas menerima suntikan.
  • Tysabri (Natalizumab): Ubat ini digunakan untuk pesakit yang sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan rawatan lain atau tidak mendapat faedah daripada rawatan tersebut. Ia meningkatkan risiko mendapat ‘leukoencephalopathy’ multifungsi iaitu sejenis jangkitan otak yang boleh membawa maut.
  • Mitoxantrone (Novantrone): Imunosupresan ini biasanya digunakan hanya pada peringkat yang serius. Ia boleh merosakkan jantung, tetapi sekiranya gejala semakin memburuk, ubat ini dapat membantu melambatkan perkembangan kecacatan.
  • Ekstrak ganja (Cannabis): Kajian telah mencadangkan bahawa ubat ini dapat membantu melegakan kesakitan, kekejangan otot dan insomnia.
  • Aubagio (teriflunomide): Ini adalah tablet yang perlu diambil sekali sehari bagi orang dewasa dengan bentuk Sclerosis pelbagai yang berulang.

Pemulihan

Pemulihan bertujuan membantu pesakit memperbaiki atau mengekalkan keupayaan mereka untuk bergerak atau melakukan kerja dengan berkesan di rumah mahupun di tempat kerja.

Program pemulihan merangkumi:

  • Terapi fizikal: Ini bertujuan memberikan orang ramai kemahiran untuk mengekalkan dan memulihkan pergerakan maksimum dan kemampuan fungsi badan.
  • Terapi pergerakan: Penggunaan terapeutik kerja, penjagaan diri dan aktiviti bermain dapat meningkatkan pembangunan diri dan mencegah kecacatan.
  • Terapi ucapan dan menelan: Seorang ahli terapi ucapan dan bahasa akan menjalankan latihan khas.
  • Pemulihan kognitif: Ini dapat membantu individu menguruskan masalah tertentu dalam pemikiran dan persepsi.
  • Pemulihan vokasional: Ini boleh membantu orang kurang upaya dalam membuat rancangan kerjaya, mempelajari kemahiran kerja dan mendapatkan pekerjaan.
  • Pertukaran plasma: ‘Plasmapheresis’ melibatkan pengambilan darah dari pesakit, mengeluarkan plasma dan menggantikannya dengan plasma baru. Darah kemudiannya akan disalurkan kembali ke pesakit. Proses ini akan mengeluarkan antibodi dalam darah yang menyerang bahagian tubuh pesakit, tetapi ia tidak dapat dipastikan dengan tentu sama ada ia boleh membantu pesakit Skelorosis pelbagai atau tidak. Kajian yang dibuat telah menunjukkan hasil yang bercampur-baur.
  • Vitamin D dan Omega-3 tambahan: Penyelidik telah menemui perkaitan antara kekurangan vitamin D dan Skelorosis pelbagai, tetapi mereka masih menyiasat sama ada vitamin D tambahan boleh membantu dalam rawatan atau tidak. Terdapat cadangan bahawa suplemen asid lemak omega-3 dapat membantu pesakit Skelorosis pelbagai, tetapi saintis di Norway telah menyimpulkan bahawa ia sebenarnya tidak membantu. Pelbagai makanan tambahan boleh dibeli secara dalam talian, termasuklah makanan tambahan vitamin D dan Omega-3. Namun, pesakit tidak boleh menggunakan suplemen tanpa berunding dengan doktor terlebih dahulu.
  • Terapi oksigen hiperbarik: Di samping itu, ada juga cadangan bahawa terapi oksigen hiperbarik dapat membantu pesakit dengan penyakit Skelorosis pelbagai, tetapi ini tidak dapat dibuktikan dengan tepat.

SUMBER

https://www.webmd.com/multiple-sclerosis/default.htm

https://www.healthline.com/health/multiple-sclerosis

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/multiple-sclerosis/symptoms-causes/syc-20350269

https://www.medicalnewstoday.com/articles/37556

Summary
Sklerosis Pelbagai (Multiple Sclerosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sklerosis Pelbagai (Multiple Sclerosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sklerosis pelbagai atau sklerosis berbilang adalah penyakit yang menjejaskan otak, saraf tunjang dan saraf optik pada mata dalam jangka masa yang panjang.
Author
Tagged: