skleroderma terhad
Skleroderma adalah sejenis penyakit autoimun kronik.

Skleroderma Terhad adalah sejenis penyakit autoimun kronik yang boleh menjejaskan kulit, tisu penghubung, dan organ dalaman anda.

Simptom Skleroderma Terhad boleh dirawat oleh doktor anda supaya anda merasa lebih baik. Namun, masalah sebenarnya adalah system imun anda. Sekiranya anda menghidap penyakit ini, sistem imun anda akan mengarahkan tubuh anda menghasilkan terlalu banyak protein kolagen yang merupakan bahagian penting pada kulit anda.

Akibatnya, kulit yang terjejas akan mejadi tebal dan tegang dan parut boleh terbentuk dalam paru-paru dan buah pinggang anda. Pembuluh darah anda akan menebal dan tidak berfungsi dengan betul. Keadaan ini seterusnya membawa kepada kerosakan tisu dan tekanan darah tinggi.

Simptom Skleroderma Terhad

Simptom Skleroderma Terhad adalah berbeza bagi setiap individu seperti berikut:

  • Fenomena Raynaud. Bagi pesakit yang mengalami fenomena Raynaud, pembuluh darah dalam jari tangan atau jari kaki, hidung dan telinga, mengecut secara tiba-tiba. Kawasan yang terjejas akan bertukar warna menjadi putih atau biru dan menjadi sejuk serta kebas. Setelah suhu naik, kawasan tersebut akan bertukar kemerahan dan berasa sakit serta sesemut. Fenomena Raynaud dicetuskan oleh pendedahan kepada suhu yang sejuk atau getaran atau tekanan emosi.
  • Simptom kulit. Jari, tangan, lengan dan muka atau kaki menjadi bengkak. Seterusnya, kulit anda akan menjadi tebal dan tegang sehingga membataskan pergerakan badan anda. Simptom lain pula adalah:
  1. Ulser kulit
  2. Kulit berwarna lebih cerah atau lebih gelap daripada biasa
  3. Keguguran rambut
  4. Kekeringan kulit yang tidak normal, termasuklah pada bahagian faraj
  5. Deposit kalsium dalam kulit (calcinosis subkutan)
  6. Bintik merah kecil yang berpunca dari pembengkakan saluran darah kecil (telangiectasias)
  • Sendi. Sendi boleh membengkak dan menyakitkan serta kaku.
  • Otot. Otot menjadi lemah dan tendon menebal secara luar biasa sehingga menyebabkan kesakitan dan mengehadkan pergerakan sendi.
  • Sistem penghadaman. Skleroderma yang melibatkan esofagus boleh mengakibatkan rasa kenyang atau pedih ulu hati di bahagian atas abdomen atau di belakang tulang dada. Pesakit juga akan berasa sukar untuk menelan makanan. Simptom pencernaan lain yang dialami termasuklah kembung perut, sakit perut atau kesukaran untuk mengawal proses pembuangan air besar.
  • Paru-paru. Simptom termasuklah sesak nafas terutamanya apabila anda bersenam, dan batuk kering yang tidak mengandungi kuman atau lendir.
  • Jantung. Simptom yang dialami termasuklah sakit dada, irama jantung menjadi tidak normal dan kegagalan jantung.
  • Buah pinggang. Jika buah pinggang rosak, ia boleh meningkatkan tekanan darah, meningkatkan penghasilan air kencing, sakit kepala dan sawan.
  • Simptom lain. Simptom lain yang dialami adalah seperti kekeringan mata dan mulut, kesakitan pada muka yang sangat teruk (neuralgia trigeminal) dan mati pucuk.

Punca Skleroderma Terhad

Punca sebenar Skleroderma Terhad masih tidak diketahui tetapi ia dipercayai sebagai sejenis Gangguan Autoimun. Gangguan Autoimun menyebabkan sistem imun tidak berfungsi dengan baik sebaliknya ia menyerang sel-sel atau tisu yang sihat dalam badan anda. Dalam penyakit ini, sistem imun menghasilkan kolagen dalam jumlah yang banyak, sebagai komponen utama tisu penghubung. Kolagen yang banyak akan terkumpul di kulit dan organ dalaman justeru meyebabkan gangguan di kawasan yang terjejas.

Diagnosis Skleroderma Terhad

Pada awal diagnosis berlangsung, doktor akan bertanya mengenai simptom yang anda alami dan akan melakukan pemeriksaan fizikal pada kulit anda terutamanya di bahagian jari, tangan dan muka anda.

Sekiranya doktor mengesyaki anda mengalami Skleroderma, beliau mungkin akan melakukan ujian darah dan air kencing terhadap anda. Kadangkala, biopsi kulit akan dijalankan dengan mengambil sampel kecil kulit bagi diperiksa di makmal untuk mengesahkan simptom dan penyakit anda.

Jika Skleroderma telah menjejaskan organ-organ dalaman anda seperti jantung, paru-paru atau organ-organ pencernaan, doktor akan menjalankan ujian lain serta imbasan sinaran X-ray.

Faktor Risiko Skleroderma Terhad

  • Jantina. Dalam sesetengah kes penyakit ini, wanita didapati lebih cenderung menghidapinya berbanding lelaki.
  • Umur. Individu yang berumur di antara 30 tahun hingga 50 tahun berisiko tinggi untuk menghidap penyakit  Skleroderma Terhad.
  • Bangsa. Risiko Skleroderma Terhad bergantung pada bangsa dan keturunan seseorang. Kajian mendapati bahawa penyakit ini cenderung menjadi lebih teruk kepada bangsa yang berkulit hitam berbanding individu berkulit putih.
  • Faktor genetik. Sekiranya anda memiliki ahli keluarga yang mengalami penyakit Autoimun seperti Lupus, Artritis Rheumatoid atau penyakit Hashimoto, anda juga berisiko tinggi untuk menghidap Skleroderma Terhad.
  • Pendedahan kepada toksin. Bagi individu yang mempunyai kecenderungan untuk menghidap penyakit Skleroderma Terhad, bahan toksik tertentu seperti polivinil klorida, benzena, silika dan trichlorethylene boleh mencetuskan Skleroderma Terhad ke atas mereka.

Rawatan Skleroderma Terhad

Masih tiada ubat khusus bagi merawat Skleroderma Terhad. Rawatan yang telah tersedia hanya memberi tumpuan kepada melegakan simptom dan mencegah sebarang komplikasi.

– Ubat-ubatan

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh membantu melegakan simptom Skleroderma Terhad seperti:

  • Antibiotik topikal. Jika anda mengalami ulser kulit, anda perlu menyapu antibiotik topikal dan membalut kawasan yang terjejas. Sebaliknya, jika rawatan topikal tidak berfungsi, anda perlu mengambil antibiotik secara oral atau melalui suntikan intravena.
  • Ubat antacid. Bagi melegakan simptom pedih ulu hati, doktor akan mencadangkan anda untuk menggunakan ubat yang boleh mengeluarkan asid perut seperti ubat antacid.
  • Ubat penurun tekanan darah. Bagi pesakit yang mengalami simptom Raynaud, anda perlu mengambil ubat-ubatan yang membuka saluran darah kecil dan boleh mengurangkan tekanan dalam arteri antara jantung, paru-paru dan buah pinggang.
  • Ubat untuk menahan sistem imun. Jenis ubat-ubatan ini telah menunjukkan keberkesanannya untuk menghalang sistem imun menghasilkan kolagen secara berlebihan dan pengumpulan kolagen dalam tisu di kantung udara dalam paru-paru.

– Terapi

Masalah yang biasa terjadi kepada pesakit Skleroderma Terhad adalah ketegangan serta kesakitan sendi dan kulit. Terapi jenis fizikal dan pekerjaan boleh membantu pesakit dengan mengajar mereka melakukan senaman latihan untuk membantu mengekalkan kelenturan dan kekuatan badan.

  • Terapi fizikal. Untuk mencegah kehilangan pergerakan sendi jari anda, latihan regangan amat penting dilakukan. Selain itu, pakar terapi fizikal juga akan membantu anda melakukan senaman wajah yang boleh mengekalkan fleksibiliti wajah dan mulut anda.
  • Terapi pekerjaan. Sekiranya diperlukan, ahli terapi pekerjaan boleh mengajar anda cara-cara baru dalam melaksanakan tugasan harian anda. Contohnya, menggunakan berus gigi khas atau flos gigi khas yang memudahkan anda untuk terus mengamalkan rutin penjagaan gigi yang baik.

– Pembedahan

Pembedahan juga mungkin dilakukan bagi mengendalikan masalah tertentu, seperti:

  • Deposit kalsium. Jika and memiliki deposit kalsium yang besar atau menyakitkan, ia boleh dibuang melalui pembedahan.
  • Bintik merah atau garisan. Penampilan bintik merah atau garisan yang disebabkan oleh pembengkakan saluran pembuluh darah berhampiran kulit boleh dikurangkan melalui pembedahan laser.
Summary
Skleroderma Terhad (Limited Scleroderma) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Skleroderma Terhad (Limited Scleroderma) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Skleroderma terhad adalah sejenis penyakit autoimun kronik yang boleh menjejaskan kulit, tisu penghubung, dan organ dalaman anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: