sista pilonidal
Terdapat sejenis sista yang boleh anda perolehi di bahagian bawah tulang ekor (tailbone) anda, atau juga dikenali sebagai ‘coccyx’

Terdapat sejenis sista yang boleh anda perolehi di bahagian bawah tulang ekor (tailbone) anda, atau juga dikenali sebagai ‘coccyx’. Ia dipanggil sebagai sista pilonidal dan boleh dijangkiti serta dipenuhi dengan nanah. Setelah dijangkiti, istilah teknikalnya menjadi “bisul pilonidal” dan boleh jadi menyakitkan.  

Selain itu, sista ini kelihatan seperti jerawat yang besar di bahagian bawah tulang ekor anda. Ia lebih biasa terjadi pada golongan lelaki berbanding golongan wanita. Bukan itu sahaja, masalah ini juga biasanya berlaku lebih kerap pada golongan muda.

Individu yang selalu duduk, seperti pemandu trak mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkannya.

Namun, jangan bimbang kerana masalah ini boleh dirawat. Jika sista anda menjadi satu masalah, doktor boleh mengalirkannya atau mengeluarkannya melalui prosedur pembedahan.

Simptom Sista Pilonidal

Gejala-gejala sista pilonidal termasuk:

  • Sakit, kemerahan dan bengkak di bahagian bawah tulang belakang.
  • Nanah atau darah yang mengalir keluar. 
  • Bau busuk daripada nanah.
  • Rasa lembut apabila disentuh.
  • Demam.

Punca Sista Pilonidal

Kebanyakan doktor berfikir bahawa rambut yang tumbuh ke dalam (ingrown) adalah punca bagi kebanyakan kes penyakit ini. Pilonidal bermaksud “sarang rambut”, dan doktor kadangkala menjumpai folikel rambut di dalam sista.    

Teori lain berkaitan punca berlakunya sista pilonidal ini adalah masalah ini muncul selepas berlakunya kecederaan pada bahagian tubuh anda.

Semasa Perang Dunia II, lebih daripada 80,000 tentera mendapat penyakit ini dan terpaksa dirawat di hospital. Ramai yang berfikir bahawa mereka mendapat masalah ini kerana kerengsaan selepas menunggang kenderaan ‘Jeep’ yang melonjak-lonjak. Justeru itu, buat sementara waktu, penyakit ini dikenali sebagai “penyakit Jeep”.

Seterusnya, anda mungkin lebih cenderung untuk mendapatkannya jika anda dilahirkan dengan kelenjar kecil di bahagian kulit antara punggung anda. Pengelupasan kulit ini cenderung untuk dijangkiti, walaupun doktor tidak pasti apa yang menyebabkan keadaan itu. 

Faktor risiko lain termasuklah obesiti, rambut yang banyak, senaman yang tidak mencukupi, duduk secara berpanjangan dan berpeluh dengan banyak.

Diagnosis Sista Pilonidal

Doktor boleh mendiagnosis sista pilonidal melalui pemeriksaan fizikal serta dengan bertanyakan soalan tentangnya. Antara soalan yang boleh ditanya adalah seperti:

  • Bilakah anda mula merasakan gejala ini?
  • Adakah anda mempunyai masalah yang sama sebelum ini?
  • Adakah anda mengalami simptom demam?
  • Apakah ubat-ubatan atau makanan tambahan (suplemen) yang anda ambil?   

Faktor Risiko Sista Pilonidal

Faktor tertentu boleh membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada sista pilonidal, seperti:

  • Seorang lelaki.
  • Mempunyai usia yang lebih muda (sista pilonidal paling banyak berlaku dalam kalangan individu berusia 20-an).
  • Mempunyai masalah obesiti.
  • Gaya hidup yang tidak aktif.
  • Pekerjaan yang memerlukan anda duduk dalam masa yang lama.
  • Rambut badan yang berlebihan.
  • Rambut yang kaku atau kasar.

Rawatan Sista Pilonidal

Ubat antibiotik tidak dapat menyembuhkan masalah sista pilonida. Namun begitu, doktor masih mempunyai beberapa prosedur yang boleh dicuba. Berikut adalah beberapa pilihan tersebut seperti:

  • Hirisan dan saliran (Incision and drainage): Ini adalah rawatan pilihan bagi masalah sista pilonidal. Doktor akan menghiris ke dalam sista dan mengalirkannya keluar. Kemudian, doktor boleh mengeluarkan folikel rambut dan meninggalkan luka terbuka, dan membungkus kawasan itu dengan kain kasa (gauze).

Ini adalah prosedur yang mudah dilakukan di bawah anestesia tempatan. Ia bermaksud bahawa prosedur ini hanya melibatkan kawasan di sekeliling sista yang terbentuk. Namun begitu, anda perlu menukar kain kasa sehingga sista itu sembuh. Ia kadangkala boleh mengambil masa sehingga 3 minggu dan mungkin menyusahkan anda.

  • Marsupialisasi (Marsupilization): Dalam prosedur ini, doktor akan menghiris dan mengalirkan sista, mengeluarkan nanah dan apa-apa folikel rambut yang ada di dalamnya. Kemudian, doktor akan menjahit bahagian tepi luka tersebut untuk membuat sebuah kantung (pouch).

Prosedur ini adalah pembedahan pesakit luar yang dilakukan dengan anestesia tempatan. Ia juga membolehkan doktor membuat potongan lebih kecil dan tidak dalaml supaya anda tidak perlu menggantikan kain kasa setiap hari.

Namun begitu, kaedah ini mengambil masa kira-kira 6 minggu untuk sembuh dan anda juga memerlukan seorang doktor yang dilatih secara khusus dalam teknik ini.

  • Hirisan, penyaliran, penutupan luka (Incision, drainage, closing of wound): Dalam teknik ini, sista itu disalirkan keluar, tetapi ia tidak dibiarkan terbuka. Jadi, anda tidak perlu menukarkan kain kasa kerana doktor akan menutup sepenuhnya luka ituselepas pembedahan.

Satu kelemahan bagi kaedah ini adalah anda lebih cenderung mempunyai lebih banyak masalah dengan keadaan sista pada kemudian hari. Ianya lebih sukar untuk mengeluarkan keseluruhan sista apabila menggunakan kaedah ini. Selain itu, ia biasanya dilakukan di bilik bedah dengan pakar bedah yang terlatih.

Prosedur pembedahan lain termasuk pengasingan dinding sista dan sista lengkap bersama-sama dengan saluran sinus pilonida, penggunaan gam fibrin serta hanya mengeluarkan (teras keluar) tisu berpenyakit dan sista melalui prosedur biopsi tebuk.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pilonidal-cyst/symptoms-causes/syc-20376329#:~:text=A%20pilonidal%20cyst%20is%20an,contains%20hair%20and%20skin%20debris.

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/guide/pilondial-cyst

https://www.healthline.com/health/pilonidal-cyst-home-treatment

https://www.medicalnewstoday.com/articles/317996

Summary
Sista Pilonidal (Pilonidal cysts) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sista Pilonidal (Pilonidal cysts) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sista pilonidal berlaku apabila adanya jangkitan pada bahagian bawah tulang ekor (tailbone) anda dan boleh dipenuhi nanah.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: