sindrom sebelum haid
Sindrom Sebelum Haid adalah perubahan yang boleh menjejaskan keadaan anda di pelbagai peringkat dalam aspek fizikal, emosi atau tingkah laku.

Sindrom Sebelum Haid adalah perubahan yang boleh menjejaskan keadaan anda di pelbagai peringkat dalam aspek fizikal, emosi atau tingkah laku. Anda mungkin boleh mengagak beberapa tanda yang menunjukkan kedatangan haid anda. Bagi kebanyakan wanita, keadaan ini bukanlah masalah besar seperti payudara yang agak sakit atau keinginan untuk makan sesuatu yang manis. Namun bagi wanita lain, tempoh sebelum haid mungkin adalah lebih sukar. Jika tempoh sebelum haid menyukarkan kehidupan harian anda, anda mungkin mengalami Sindrom Sebelum Haid (PMS).

Haid adalah perkara semula jadi yang berlaku dalam hidup seorang wanita dan anda boleh lakukan apa sahaja pada hari lain kecuali sewaktu tempoh tersebut. Jika PMS merupakan satu masalah bagi anda, terdapat beberapa cara berkesan untuk anda menguruskannya.

PMS adalah perubahan yang boleh menjejaskan keadaan anda pada pelbagai peringkat. Perubahan tersebut sama ada dalam aspek fizikal, emosi atau tingkah laku. Ia berlaku selama 1 hingga 2 minggu sebelum haid anda datang. Sebaik sahaja haid anda bermula, sindrom tersebut akan lenyap.

Simptom Sindrom Sebelum Haid

Kitaran menstruasi wanita berlangsung secara purata selama 28 hari.

Ovulasi, iaitu tempoh apabila telur dilepaskan daripada ovari berlaku pada hari ke 14 mengikut kitaran. Menstruasi atau pendarahan pula berlaku pada hari ke 28 mengikut kitaran haid normal. Simptom PMS boleh bermula pada hari ke 14 dan berlangsung sehingga tujuh hari selepas permulaan haid.

Simptom sindrom sebelum haid biasanya ringan atau sederhana. Hampir 80 peratus wanita telah melaporkan mengalami satu atau lebih simptom yang tidak menjejaskan fungsi harian mereka.

Manakala, sebanyak 20 hingga 32 peratus wanita melaporkan simptom yang sederhana hingga teruk yang memberi kesan kepada beberapa aspek kehidupan. Selain itu, sebanyak 3 hingga 8 peratus melaporkan mengalami Gangguan Kemurungan Sebelum Haid (PMDD). Peringkat simptom adalah berbeza-beza mengikut individu dan bulan.

Simptom-simptom PMS termasuklah:

• Kembung perut

• Sakit perut

• Sakit payudara

• Jerawat

• Mengidam makanan, terutama yang manis-manis

• Sembelit

• Cirit-birit

• Sakit kepala

• Kepekaan terhadap cahaya atau bunyi

• Keletihan

• Kesengsaraan

• Perubahan pola tidur

• Kebimbangan

• Kemurungan

• Kesedihan

• Gejolak emosi

Punca Sindrom Sebelum Haid

Walaupun sindrom sebelum haid adalah perkara biasa, doktor masih tidak tahu apa yang menyebabkannya. Ia mungkin mempunyai kaitan dengan perubahan kimia badan anda sekitar tempoh haid.

Sesetengah keadaan pula boleh memberi kesan kepada PMS, namun ia bukanlah punca kepada keadaan tersebut. PMS boleh diwarisi atau boleh menjadi lebih buruk jika anda:

• Merokok

• Mengalami banyak tekanan

• Tidak bersenam

• Tidur tidak mencukup

• Minum terlalu banyak alkohol atau makan terlalu banyak garam, daging merah atau gula

• Tertekan

Wanita yang mempunyai masalah kesihatan lain mungkin mengalami keadaan sebelum haid yang lebih buruk sebelum haird. Sesetengah daripada mereka turut mengalami Sakit Kepala, Migrain, Asma dan Alahan.

Diagnosis Sindrom Sebelum Haid

Tiada penemuan fizikal atau ujian makmal yang unik untuk mengesan sindrom sebelum haid secara jelas. Doktor anda boleh mengesan simptom tertentu bagi PMS jika ia merupakan sebahagian daripada corak sebelum haid yang boleh diramal. 

Untuk membantu membentuk corak sebelum haid, doktor mungkin akan mencatatkan tanda dan simptom anda pada kalendar atau dalam buku harian sekurang-kurangnya untuk dua kitaran haid. Perhatikan hari pertama anda mengesan sebarang simptom PMS serta hari ia lenyap. Anda juga perlu menanda bila tempoh haid anda bermula dan berakhir.

Terdapat keadaan tertentu yang mungkin mempunyai simptom yang sama seperti PMS termasuklah sindrom keletihan kronik, gangguan tiroid dan gangguan emosi seperti kemurungan dan rasa cemas. Doktor boleh menjalankan ujian seperti ujian fungsi tiroid atau ujian pemeriksaan emosi untuk membantu menyediakan diagnosis yang jelas.

Rawatan Sindrom Sebelum Haid

Bagi ramai wanita, perubahan gaya hidup boleh membantu melegakan simptom PMS mereka. Namun ia bergantung kepada keparahan simptom anda dan doktor mungkin menetapkan satu atau lebih ubat untuk mengatasi sindromsebelum haid. 

Kesan ubat-ubatan untuk melegakan simptom PMS adalah berbeza dalam kalangan wanita. Ubat-ubatan yang sering digunakan untuk merawat sindrom sebelum haid termasuklah:

Antidepresan. Ubat Serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) yang terpilih seperti fluoxetine (Prozac, Sarafem), paroxetine (Paxil, Pexeva), sertraline (Zoloft) dan lain-lain berkesan untuk mengurangkan simptom emosi pesakit. SSRI merupakan rawatan peringkat awal untuk PMS atau PMDD yang teruk. Ubat-ubatan ini biasanya diambil pada setiap hari. Tetapi bagi sesetengah wanita dengan PMS, penggunaan antidepresan mungkin adalah terhad kepada dua minggu sebelum haid bermula.

Ubat anti radang tanpa steroid (NSAIDs). Ubat ini diambil sebelum atau pada permulaan tempoh haid anda dan ia berfungsi seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain) atau natrium naproxen (Aleve). Ia dapat mengurangkan kekejangan dan ketidakselesaan pada payudara.

• Diuretik. Sekiranya bersenam dan mengehadkan pengambilan garam untuk mengurangkan berat badan adalah tidak berkesan atau anda mengalami bengkak dan kembung perut akibat PMS, pengambilan pil air (diuretik) boleh membantu tubuh anda membuang cecair yang berlebihan melalui buah pinggang anda. Spironolactone (Aldactone) adalah sejenis diuretik yang boleh membantu mengurangkan simptom PMS.

• Hormon kontraseptif. Ubat-ubatan preskripsi ini dapat menghentikan ovulasi yang boleh mengakibatkan simptom-simptom  PMS.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/premenstrual-syndrome

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/premenstrual-syndrome/symptoms-causes/syc-20376780

https://www.womenshealth.gov/menstrual-cycle/premenstrual-syndrome

Summary
Sindrom Pramenstruasi (PMS - Premenstrual Syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sindrom Pramenstruasi (PMS - Premenstrual Syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sindrom Sebelum Haid adalah perubahan yang boleh menjejaskan keadaan anda di pelbagai peringkat dalam aspek fizikal, emosi atau tingkah laku.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: