Now Reading
Sindrom Nefrotik (Nephrotic syndrome) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Sindrom Nefrotik (Nephrotic syndrome) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Sindrom nefrotik

Sindrom nefrotik adalah gangguan buah pinggang yang menyebabkan badan anda mengeluarkan Terlalu banyak protein dalam air kencing.

Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan kerosakan pada kumpulan saluran darah kecil di buah pinggang yang menyaring sisa dan lebihan air dari darah anda. Ia seterusnya boleh menyebabkan pembengkakan, terutama pada bahagian kaki dan pergelangan kaki, dan meningkatkan risiko bagi masalah kesihatan yang lain.

Simptom Sindrom Nefrotik

Terdapat empat tanda atau gejala utama bagi sindrom nefrotik. Ini termasuklah:

  • Terlalu banyak protein dalam air kencing. Ini dipanggil sebagai ‘proteinuria’.
  • Tahap lemak dan kolesterol tinggi dalam darah. Istilah perubatan untuknya adalah “hiperlipidemia”.
  • Pembengkakan kaki dan pergelangan kaki, serta kadangkala tangan dan muka anda. Ini dipanggil sebagai “edema”.
  • Tahap albumin rendah dalam darah. Ini mungkin dipanggil sebagai ‘hypoalbuminemia’.

Punca Sindrom Nefrotik

Sindrom nefrotik biasanya berlaku disebabkan kerosakan pada kumpulan saluran darah kecil (glomeruli) buah pinggang anda.

Glomeruli menyaring darah semasa melewati buah pinggang anda, memisahkan perkara yang diperlukan oleh badan daripada dan yang tidak diperlukan. Seterusnya, glomeruli yang sihat menjaga protein darah (terutamanya albumin) yang diperlukan untuk mengekalkan jumlah cecair yang tepat di dalam badan anda. Ini bagi mengelakkan ia daripada meresap ke dalam air kencing anda. Apabila glomeruli rosak, ia membiarkan terlalu banyak protein darah keluar dari badan anda, yang menyebabkan sindrom nefrotik.

Penyebab yang berkemungkinan

Banyak penyakit dan keadaan boleh menyebabkan kerosakan glomerular dan menyebabkan sindrom nefrotik, termasuk:

  • Penyakit buah pinggang diabetes. Diabetes boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang (nefropati diabetes) yang mempengaruhi glomeruli.
  • Penyakit perubahan minimum. Ini adalah penyebab sindrom nefrotik yang paling biasa pada kanak-kanak. Penyakit perubahan minimum ini mengakibatkan fungsi buah pinggang yang tidak normal. Tetapi, apabila  diperiksa di bawah mikroskop, ia kelihatan normal atau hampir normal.
  • Glomerulosklerosis segmental fokus. Dicirikan oleh parut pada beberapa glomeruli, keadaan ini boleh terjadi disebabkan penyakit lain, kecacatan genetik atau penggunaan ubat-ubatan tertentu mahupun berlaku tanpa sebab yang diketahui.
  • Nefropati membran. Gangguan buah pinggang ini adalah hasil penebalan membran di dalam glomeruli. Penebalan ini berlaku disebabkan longgokan yang dihasilkan oleh sistem imun. Ia boleh dikaitkan dengan keadaan perubatan lain, seperti lupus, hepatitis B, malaria dan kanser, atau boleh berlaku tanpa sebab yang diketahui.
  • Lupus eritematosus sistemik. Penyakit keradangan kronik ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang yang serius.
  • Amiloidosis. Gangguan ini berlaku apabila protein amiloid berkumpul di organ anda. Penumpukan amiloid sering merosakkan sistem penyaringan buah pinggang.

Diagnosis Sindrom Nefrotik

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis sindrom nefrotik termasuk:

  • Ujian air kencing. Ujian ini dapat mendedahkan kelainan pada air kencing anda, seperti sejumlah besar protein. Anda mungkin diminta mengumpulkan sampel air kencing selama tempoh 24 jam.
  • Ujian darah. Ujian darah dapat menunjukkan tahap rendah protein albumin serta penurunan kadar protein darah secara keseluruhan. Kehilangan albumin sering dikaitkan dengan peningkatan kolesterol darah dan trigliserida darah. Tahap nitrogen kreatinin dan urea dalam darah anda juga dapat diukur untuk menilai keseluruhan fungsi buah pinggang anda.
  • Biopsi buah pinggang. Doktor mungkin mengesyorkan pengambilan sampel kecil tisu buah pinggang untuk diuji. Semasa proses biopsi buah pinggang, jarum akan dimasukkan ke dalam kulit dan ke dalam buah pinggang anda. Tisu buah pinggang dikumpulkan dan dihantar ke makmal untuk diuji.

Faktor Risiko Sindrom Nefrotik

Sesiapa sahaja boleh mendapat sindrom nefrotik tetapi ia lebih kerap terjadi pada individu lelaki berbanding wanita. Pada golongan kanak-kanak, ia berlaku paling kerap antara usia 2 dan 6 tahun.

Seterusnya, terdapat juga faktor lain yang boleh meningkatkan risiko anda. Anda lebih cenderung mendapat sindrom nefrotik jika anda:

  • Mempunyai penyakit yang menyerang buah pinggang seperti ‘Focal segmental glomerulosclerosis’ (FSGS), lupus, atau diabetes.
  • Mengambil ubat-ubatan tertentu seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) atau antibiotik.
  • Mengalami jangkitan seperti HIV, hepatitis B dan C atau malaria.

Rawatan Sindrom Nefrotik

Rawatan untuk sindrom nefrotik melibatkan merawat sebarang keadaan perubatan yang mungkin boleh menyebabkan sindrom nefrotik anda. Doktor juga mungkin mengesyorkan penggunaan ubat-ubatan dan perubahan dalam diet untuk membantu mengawal tanda-tanda dan gejala anda atau merawat komplikasi sindrom nefrotik.

Ubat-ubatan mungkin termasuk:

  • Ubat tekanan darah. Ubat-ubatan yang disebut perencat ‘angiotensin-converting enzyme’ (ACE) boleh mengurangkan tekanan darah dan jumlah protein yang dikeluarkan dalam air kencing. Ubat dalam kategori ini termasuk lisinopril (Prinvil, Qbrelis, Zestril), benazepril (Lotensin), captopril dan enalapril (Vasotec).
  • Kumpulan ubat lain yang mempunyai fungsi sama disebut penyekat’ reseptor angiotensin II’ (ARB) dan termasuk losartan (Cozaar) dan valsartan (Diovan). Ubat lain, seperti perencat renin juga mungkin digunakan, walaupun penghambat ACE dan ARB biasanya digunakan terlebih dahulu.
  • Pil air (diuretik). Ini boleh membantu mengawal pembengkakan dengan meningkatkan pengeluaran cecair buah pinggang anda. Ubat diuretik biasanya merangkumi furosemide (Lasix). Yang lain pula termasuk spironolactone (Aldactone, Carospir) dan thiazides, seperti hydroclorotiazide atau metolazone (Zaroxolyn).
  • Ubat penurun kolesterol. Statin dapat membantu menurunkan kadar kolesterol. Namun, ia tidak jelas sekiranya ubat ini dapat memberikan hasil positif bagi individu dengan sindrom nefrotik, seperti menghindari serangan jantung atau mengurangkan risiko kematian awal. Statin merangkumi atorvastatin (Lipitor), fluvastatin (Lescol XL), lovastatin (Altoprev), pravastatin (Pravachol), rosuvastatin (Crestor, Ezallor) dan simvastatin (Zocor).
  • Ubat penipis darah (antikoagulan). Ini mungkin dipreskripsikan untuk mengurangkan keupayaan darah untuk membeku, terutama jika anda pernah mengalami pembekuan darah. Antikoagulan termasuk heparin, warfarin (Coumadin, Jantoven), dabigatran (Pradaxa), apixaban (Eliquis) dan rivaroxaban (Xarelto).
  • Ubat penekan sistem imun. Ubat untuk mengawal sistem imun, seperti kortikosteroid, dapat mengurangkan keradangan yang menyertai beberapa keadaan yang boleh menyebabkan sindrom nefrotik. Ubat-ubatan ini termasuk rituximab (Rituxan), cyclosporin dan cyclophosphamide.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/nephrotic-syndrome/symptoms-causes/syc-20375608

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-is-nephrotic-syndrome#2-5

https://www.kidney.org/atoz/content/nephrotic

https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/other-kidney-conditions/rare-diseases/nephrotic-syndrome/#risk-for-nephrotic-syndrome

error: Content is protected !!