sindrom kejutan toksik
Sindrom kejutan toksik adalah keadaan yang berpotensi membawa maut.

Sindrom kejutan toksik adalah keadaan yang berpotensi membawa maut. Ia terjadi disebabkan oleh pembebasan toksin daripada pertumbuhan bakteria yang disebut ‘Staphylococcus aureus’ atau ‘staph’ yang terdapat di kebanyakan badan wanita. Selain itu, sindrom ini memberi kesan kepada wanita yang sedang menstruasi, terutama bagi mereka yang menggunakan tampon dengan daya penyerapan tinggi. Tubuh bertindak balas dengan penurunan tekanan darah tinggi yang merosakkan organ pembawa oksigen dan boleh mengakibatkan kematian.

Penyakit ini pernah menjadi berita utama pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an selepas kematian beberapa wanita muda yang menggunakan tampon daya penyerapan tinggi yang kemudiannya tidak dikeluarkan lagi di pasaran.

Sindrom kejutan toksik juga kebanyakannya merupakan penyakit wanita menstruasi yang menggunakan tampon. Namun, ia juga dikaitkan dengan penggunaan span haid, diafragma dan penutup serviks. Seorang wanita yang baru melahirkan juga mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat kejutan toksik. Malah, ia boleh berlaku kepada lelaki dan wanita yang telah terdedah kepada bakteria ‘staph’ semasa sedang pulih dari pembedahan, melecur, luka terbuka atau penggunaan alat prostetik.

Lebih daripada satu pertiga daripada kesemua kes kejutan toksik melibatkan wanita di bawah umur 19 tahun dan sehingga 30% wanita yang mengalami penyakit itu akan mendapatkannya lagi. Sekiranya anda pernah mengalami kejutan toksik, anda mesti melihat tanda-tanda tertentu supaya anda boleh mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.

Mereka yang terkorban akibat kejutan toksik mati kerana tindak balas badan terhadap toksin yang dikeluarkan oleh bakteria ‘staph’. Kebanyakan orang mengalami kejutan hipotensif, di mana jantung dan paru-paru berhenti berfungsi.

Simptom Sindrom Kejutan Toksik

Tanda-tanda dan gejala sindrom kejutan toksik termasuk:

  • Demam panas secara mendadak.
  • Tekanan darah rendah (hipotensi).
  • Muntah atau cirit-birit.
  • Ruam yang menyerupai selaran matahari (sunburn), terutama pada tapak tangan dan tapak kaki anda.
  • Kekeliruan.
  • Sakit otot.
  • Kemerahan pada mata, mulut dan tekak.
  • Kejang.
  • Sakit kepala.

Punca Sindrom Kejutan Toksik

Sindrom kejutan toksik terjadi disebabkan oleh racun yang dihasilkan oleh bakteria ‘Staphylococcus aureus’. Bakteria ini adalah salah satu daripada beberapa bakteria ‘staph’ yang menyebabkan jangkitan kulit pada pesakit yang melecur serta pesakit hospital yang telah menjalani pembedahan. ‘Staph’ biasanya tidak berbahaya dan hadir di dalam faraj. Perkaitan antara ‘staph’ dan bagaimana ia menyebabkan sindrom kejutan toksik masih tidak dapat difahami. Namun, dua syarat diperlukan bagi keadaan ini: Pertama, bakteria memerlukan persekitaran di mana mereka dapat berkembang pesat dan mengeluarkan racun. Kemudian, racun ini mesti memasuki ke dalam aliran darah.

Tampon yang penuh dengan darah adalah tempat yang sangat bagus bagi pertumbuhan bakteria yang pesat. Bahan yang digunakan untuk membuat tampon juga perlu diberi perhaitan juga. Ini adalah kerana buih poliester memberikan persekitaran yang lebih baik untuk pertumbuhan bakteria berbanding serat kapas atau rayon.

Dalam kes yang terjadi kerana span haid, diafragma dan penutup serviks, ia terjadi sama ada peranti telah berada di dalam faraj untuk masa yang lama iaitu lebih 30 jam atau dalam kes span, kepingan span tersebut telah kekal di dalam faraj.

Seterusnya, cara racun bakteria memasuki aliran darah mungkin juga berkaitan dengan penggunaan tampon. Memasukkan tampon ke dalam faraj boleh menyebabkan terjadinya koyakan mikroskopik di dinding faraj dan pecahan saluran darah kecil. Tampon daya penyerapan tinggi, terutamanya jika ditinggalkan di dalam terlalu lama atau jika ia digunakan semasa aliran menstruasi yang sedikit boleh mengeringkan faraj. Jadi, ini secara tidak langsung meningkatkan lagi risiko berlakunya pengoyakan tersebut.

Penyelidik yang menyiasat sebab-sebab berlakunya sindrom kejutan toksik telah menolak faktor lain seperti semburan feminin dan ‘douches’, pakaian dalam dan pakaian lain. Keadaan ini juga tidak berkaitan dengan sejarah haid wanita, penggunaan dadah atau minuman keras, merokok, berenang atau mandi serta aktiviti seksual.

Diagnosis Sindrom Kejutan Toksik

Tiada ujian khusus boleh membantu mendiagnosis sindrom kejutan toksik. Dalam jabatan kecemasan, doktor biasanya akan bertanyakan kepada individu tersebut beberapa soalan mengenai gejala yang dialami selama beberapa hari yang lalu. Simptom-simptom penting akan diambil, dan individu tersebut akan diperiksa. Jika doktor mengesyaki sindrom kejutan toksik berdasarkan pemeriksaan fizikal yang dibuat, beberapa prosedur lain akan dilakukan. Individu tersebut akan disambungkan pada monitor jantung dan beberapa baris IV akan diletakkan padanya.

Sekiranya doktor mengesyaki terdapatnya sindrom kejutan toksik, ujian berikut biasanya dilakukan:

  • Ujian darah. Darah akan diambil untuk memeriksa kiraan darah, elektrolit dan fungsi hati dan buah pinggang. Kiraan sel darah putih yang tinggi, enzim hati yang tinggi, elektrolit yang tidak normal dan fungsi buah pinggang yang tidak normal mungkin selari dengan sindrom kejutan toksik.
  • Ujian pelvik. Hanya golongan wanita sahaja yang perlu menjalani ujian ini.
  • Sinar-X. Filem sinar-X boleh mendedahkan sebarang keabnormalan, seperti cecair di dalam paru-paru.
  • Elektrokardiogram (ECG). Ia boleh mengesan aktiviti elektrik jantung individu.
  • Ujian lain. Ujian lain mungkin dilakukan untuk mengecualikan kemungkinan penyakit lain, seperti penyakit demam bertompok dan campak Rocky Mountain.

Faktor Risiko Sindrom Kejutan Toksik

Sindrom kejutan toksik boleh menjejaskan sesiapa sahaja. Kira-kira separuh kes sindrom kejutan toksik yang dikaitkan dengan bakteria ‘Staphylococci’ berlaku pada wanita yang sedang dalam tempoh haid. Selebihnya, ia berlaku pada wanita yang lebih tua, lelaki dan kanak-kanak. Malah, ia boleh berlaku pada individu daripada semua peringkat umur.

Sindrom kejutan toksik telah dikaitkan dengan:

  • Kulit yang terluka atau melecur.
  • Telah menjalani pembedahan dalam masa terdekat.
  • Menggunakan span kontraseptif, diafragma atau tampon daya penyerapan tinggi.
  • Mempunyai jangkitan virus, seperti selesema atau cacar air.

Rawatan Sindrom Kejutan Toksik

Jika anda mengalami sindrom kejutan toksik, anda mungkin akan dimasukkan ke hospital. Di hospital, anda akan:

  • Dirawat dengan antibiotik sementara doktor mencari sumber jangkitan.
  • Menerima ubat untuk menstabilkan tekanan darah jika ia rendah (hipotensi) dan cecair untuk merawat masalah dehidrasi.
  • Menerima penjagaan sokongan untuk merawat tanda dan gejala lain.

Toksin yang dihasilkan oleh bakteria ‘staph’ atau ‘strep’ serta masalah hipotensi yang terjadi sekali boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Jika buah pinggang anda sudah tidak berfungsi, anda mungkin memerlukan rawatan dialisis.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/toxic-shock-syndrome/symptoms-causes/syc-20355384

https://www.webmd.com/women/guide/understanding-toxic-shock-syndrome-basics#1

https://www.healthline.com/health/toxic-shock-syndrome

Summary
Sindrom Kejutan Toksik (Toxic shock syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sindrom Kejutan Toksik (Toxic shock syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sindrom kejutan toksik terjadi disebabkan pembebasan toksin daripada pertumbuhan bakteria ‘staph’ yang terdapat di kebanyakan badan wanita.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: