Sindrom Horner
Sindrom Horner adalah gabungan tanda-tanda dan simptom yang disebabkan oleh gangguan jalur saraf dari otak ke muka dan mata pada satu sisi badan.

Sindrom Horner adalah gabungan tanda dan simptom yang berlaku disebabkan gangguan pada saluran saraf dari otak ke muka dan mata pada satu sisi badan.

Kebiasaannya, sindrom Horner menyebabkan saiz anak mata yang mengecil, kelopak mata yang seperti jatuh ke bawah dan penurunan kadar berpeluh pada bahagian muka yang terjejas.

Selain itu, sindrom ini berpunca daripada masalah perubatan lain seperti strok, tumor atau kecederaan saraf tunjang. Dalam sesetengah kes, tiada punca lain yang dapat dikenal pasti. Tiada juga rawatan khusus boleh merawat sindrom tersebut, tetapi ada rawatan yang boleh memulihkan fungsi saraf untuk kembali normal.

Sindrom ini juga dikenali sebagai sindrom Horner-Bernard atau ‘oculosympathetic paralysis’.

 

Punca Sindrom Horner

Sindrom Horner berlaku disebabkan kerosakan pada laluan tertentu dalam sistem saraf simpatetik. Sistem saraf ini mengawal kadar jantung, saiz anak mata, kadar peluh, tekanan darah dan fungsi lain yang membolehkan anda bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan mengikut persekitaran anda.

 

– Laluan saraf yang terjejas

Sindrom ini dibahagikan kepada tiga kumpulan sel saraf (neuron) iaitu:

  1. Laluan neuron pertama

Laluan neuron ini bermula dari hipotalamus di pangkal otak seterusnya melalui akar otak dan menghubung ke bahagian atas saraf tunjang. Masalah di bahagian ini boleh mengganggu fungsi saraf yang berkaitan dengan sindrom Horner termasuk:

  • Strok.
  • Tumor.
  • Penyakit yang menyebabkan kehilangan sarung perlindungan pada neuron (myelin).
  • Trauma pada leher.
  • ‘Cyst’ atau rongga pada ruang tulang belakang (syringomyelia).
  1. Laluan neuron kedua

Laluan neuron ini bermula dari ruang tulang belakang ke bahagian atas dada dan seterusnya ke bahagian leher. Masalah yang berkaitan dengan kerosakan saraf di kawasan ini mungkin berpunca daripada:

  • Kanser paru-paru.
  • Tumor sarung myelin (schwannoma).
  • Kerosakan pada saluran darah utama yang menjurus kepada jantung (aorta).
  • Pembedahan pada rongga dada.
  • Kecederaan yang traumatik.
  1. Laluan neuron ketiga

Laluan neuron ini meliputi kawasan sepanjang leher dan berkembang pada kulit dan otot iris dan kelopak mata. Kerosakan saraf pada bahagian ini mungkin dikaitkan dengan perkara berikut:

  • Kerosakan pada arteri karotid di sepanjang leher.
  • Kerosakan pada urat jugular di sepanjang leher.
  • Tumor atau jangkitan berhampiran pangkal tengkorak.
  • Migrain.
  • Sakit kepala berkelompok iaitu gangguan yang mengakibatkan corak kitaran sakit kepala yang teruk.

– Kanak-kanak

Penyebab utama sindrom ini pada kanak-kanak termasuklah:

  • Kecederaan pada leher atau bahu semasa lahir.
  • Kecacatan aorta semasa lahir.
  • Tumor pada sistem hormon dan sistem saraf (neuroblastoma).

– Sebab yang tidak diketahui

Dalam beberapa kes, punca sindrom ini tidak dapat diketahui dan dikenali. sebagai Sindrom Horner Idiopatik.

Simptom Sindrom Horner

Sindrom Horner memberi kesan terhadap satu sisi muka dengan keadaan:

  • Kelopak mata atas yang layu.
  • Kelopak mata bawah sedikit ternaik.
  • Anak mata mengecil (titik hitam di tengah-tengah mata anda).
  • Mata yang tenggelam atau kemerahan.
  • Tiada peluh pada satu sisi muka.
  • Rasa sakit atau sakit kepala juga boleh berlaku dan lebih kerap berlaku pada lelaki pertengahan umur.

Diagnosis Sindrom Horner

Selain pemeriksaan perubatan umum, doktor akan menjalankan ujian untuk menilai sifat simptom dan mengenal pasti sebarang punca yang menyebabkan penyakit ini.

 

– Ujian untuk mengesahkan Sindrom Horner

Doktor anda mungkin dapat mendiagnosis sindrom tersebut berdasarkan sejarah dan penilaian yang dibuat terhadap simptom anda.

Pakar oftalmologi selalunya akan mengesahkan diagnosis dengan meletakkan titisan mata pada kedua-dua mata sama ada untuk melebarkan anak mata yang sihat atau mengecutkan anak mata yang sihat. Dengan membandingkan reaksi pada mata yang sihat dengan mata yang disyaki, doktor boleh menentukan adakah keadaan ini berpunca daripada kerosakan saraf mata yang disyaki itu.

– Ujian untuk mengenal pasti bahagian kerosakan saraf

Perkara yang menonjol atau sifat simptom tertentu boleh memudahkan doktor mencari penyebab kepada sindrom Horner. Doktor juga boleh menjalankan ujian tambahan atau ujian pengimejan untuk mencari luka atau kelainan yang mengganggu laluan saraf.

Selain itu, doktor juga boleh memberi sejenis titisan mata yang akan memberi kesan pengembangan pada mata yang sihat dan sedikit pengembangan pada mata yang terjejas. Keadaan ini boleh berlaku jika sindrom berkenaan berlaku disebabkan kelainan pada neuron ketiga iaitu gangguan di bahagian leher atau ke atas.

Doktor juga boleh mengarahkan satu atau lebih ujian pengimejan berikut untuk mengesan bahagian kelainan yang mungkin menyebabkan Sindrom Horner:

  • Pengimejan resonans magnetik, teknologi yang menggunakan gelombang radio dan medan magnet untuk menghasilkan imej terperinci.
  • Ultrasound karotid.
  • Sinar-X dada.
  • Tomografi berkomputer yang merupakan teknologi sinar-X yang khas.
  • Pengimejan sinar-X.

 

Rawatan Sindrom Horner

Tiada rawatan khusus untuk merawat sindrom Horner. Cara terbaik untuk merawat simptom ini adalah dengan merawat penyebab kepada masalah kesihatan tersebut.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/horner-syndrome/symptoms-causes/syc-20373547#:~:text=Horner%20syndrome%20is%20a%20combination,affected%20side%20of%20your%20face.

https://www.healthline.com/health/horners-syndrome

https://www.webmd.com/eye-health/horner-syndrome

https://rarediseases.org/rare-diseases/horners-syndrome/

Summary
Sindrom Horner (Horner syndrome) - Punca, Simptom, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Sindrom Horner (Horner syndrome) - Punca, Simptom, Diagnosis dan Rawatan
Description
Sindrom Horner adalah gabungan tanda-tanda dan simptom yang disebabkan oleh gangguan jalur saraf dari otak ke muka dan mata pada satu sisi badan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: