sindrom goncangan bayi
Sindrom Goncangan Bayi adalah satu bentuk penderaan kanak-kanak.

Sindrom Goncangan Bayi adalah satu bentuk penderaan kanak-kanak apabila bayi digoncang dengan kuat pada bahu, lengan, atau kaki dan ia boleh membawa maut. Ia boleh menyebabkan masalah serius seperti ketidakupayaan dari segi pembelajaran, gangguan terhadap tingkah laku, masalah penglihatan atau buta, masalah pendengaran dan pertuturan, kekejangan, ‘cerebral palsy’, kecederaan otak yang teruk dan kecacatan kekal.

Bayi membawa kegembiraan lebih-lebih lagi kepada pasangan yang sudah berkahwin, tetapi ada juga saat-saat yang mengecewakan apabila anda tidak terhibur mendengar tangisan mereka. Kebanyakan pengasuh mengendalikan keadaan tersebut dengan baik. Namun, jika ia sudah melebihi had yang boleh dihadapi, mereka mungkin tidak dapat mengawal emosi mereka.

Simptom Sindrom Goncangan Bayi

Simptom-simptom Sindrom Goncangan Bayi termasuklah:

  • Kesukaran untuk berjaga
  • Getaran badan
  • Masalah pernafasan
  • Kurang makan
  • Muntah
  • Kulit hilang warna
  • Sawan
  • Koma
  • Lumpuh

Punca Sindrom Goncangan Bayi

Adakah anda tahu berapa lama masa yang diambil oleh bayi untuk mampu menahan kepala mereka dalam keadaan tegak? Otot leher mereka adalah lemah dan hanya menjadi semakin kuat apabila mereka membesar. Begitu juga dengan otak mereka yang masih memerlukan masa untuk berkembang.

Apabila bayi digoncang, otak mereka akan melantun di antara bahagian depan dan belakang tengkoraknya. Walaupun goncangan agresif ini dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja, ia boleh mengakibatkan pendarahan, lebam dan bengkak pada otak.

Diagnosis Sindrom Goncangan Bayi

Untuk mendiagnosis sindrom ini, doktor akan memerhatikan tiga syarat utama yang boleh menunjukkan kesan-kesan Sindrom Goncangan Bayi iaitu:

  • Ensefalopati, atau pembengkakan otak
  • Pendarahan subdural, atau pendarahan di dalam otak
  • Pendarahan retina, atau pendarahan di bahagian mata yang dipanggil retina

Selain itu, doktor juga akan menjalankan pelbagai ujian untuk memeriksa tanda-tanda kerosakan otak dan membantu mengesahkan diagnosis. Ujian tersebut termasuklah:

  • Imbasan MRI, yang menggunakan magnet kuat dan gelombang radio untuk menghasilkan imej terperinci otak
  • Imbasan CT, untuk mencipta imej rentetan keratan otak yang jelas
  • X-ray kerangka, untuk mendedahkan imej tulang belakang, tulang rusuk, dan tulang tengkorak
  • Ujian oftalmik, untuk memeriksa sebarang kecederaan pada mata dan pendarahan di mata

Sebelum mengesahkan Sindrom Goncangan Bayi, doktor akan menjalankan ujian darah untuk menolak kemungkinan penyakit lain. Sesetengah simptom adalah sama seperti keadaan lain. Ini termasuklah gangguan pendarahan dan gangguan genetik tertentu, seperti Osteogenesis Imperfecta. Ujian darah boleh menentukan sama ada keadaan lain menyebabkan simptom dialami anak anda.

Faktor Risiko Sindrom Goncangan Bayi

Perkara-perkara berikut mungkin menjadikan ibu bapa atau penjaga lebih cenderung untuk menggoncang bayi dan menyebabkannya:

  • Harapan yang tidak realistik terhadap bayi
  • Ibu bapa muda atau tunggal
  • Tekanan
  • Penyalahgunaan dadah atau alkohol
  • Keadaan keluarga yang tidak stabil
  • Kemurungan
  • Sejarah penderaan sebagai seorang kanak-kanak

Selain itu, kaum lelaki lebih cenderung untuk menyebabkan sindrom ini berbanding wanita.

Rawatan Sindrom Goncangan Bayi

Rawatan kecemasan untuk kanak-kanak yang telah digoncang termasuklah sokongan pernafasan dan pembedahan untuk menghentikan pendarahan di dalam otak.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/shaken-baby-syndrome

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shaken-baby-syndrome/symptoms-causes/syc-20366619

https://www.webmd.com/parenting/baby/shaken-baby-syndrome#1

Summary
Sindrom Goncangan Bayi (Shaken Baby Syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sindrom Goncangan Bayi (Shaken Baby Syndrome) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sindrom Goncangan Bayi adalah satu bentuk penderaan kanak-kanak apabila bayi digoncang dengan kuat pada bahu, lengan, atau kaki dan dalam sesetengah kes ia boleh membawa maut.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: