sindrom behcet
Ini adalah keadaan yang jarang berlaku dan menyebabkan saluran darah dalam badan membengkak

Ini adalah keadaan yang jarang berlaku dan menyebabkan saluran darah dalam badan membengkak. Pembengkakan ini boleh menyebabkan banyak gejala di seluruh badan anda dan ia dipanggil sindrom Behcet. Luka di dalam mulut dan di kemaluan adalah perkara biasa, tetapi anda juga mungkin mempunyai masalah di kawasan lain, seperti di bahagian mata.

Tiada ubat untuk merawatnya, tetapi terdapat banyak cara untuk merawat gejala-gejala yang muncul.

Simptom Sindrom Behcet

Sindrom Behcet adalah berbeza bagi setiap orang. Sesetengah individu hanya mempunyai gejala ringan manakala ada juga yang mempunyai masalah lebih serius. Gejala penyakit ini juga sering datang dan hilang. Serangan gejala dipanggil sebagai suar (flares).

Di samping itu, gejala yang paling biasa berlaku adalah luka di mulut dan pada kemaluan. Kebanyakan orang dengan sindrom Behcet mempunyai luka ini. Namun, ia juga boleh menyebabkan banyak gejala lain di banyak kawasan yang berbeza.

Mulut

  • Luka di bibir, lidah dan di dalam pipi.
  • Kesakitan mulut.

Mata

  • Bengkak di bahagian depan atau belakang mata, dipanggil ‘uveitis’.
  • Penglihatan yang kabur.
  • Sensitif terhadap cahaya.
  • Mengeluarkan air mata.
  • Kemerahan.
  • Sakit.
  • Hilang penglihatan.

Kemaluan

  • Luka pada skrotum bagi lelaki.
  • Luka pada vulva bagi wanita.

Kulit

  • Bengkak yang kelihatan seperti jerawat.
  • Ketulan merah pada kaki dan pergelangan kaki.

Sendi

  • Sakit di lutut, pergelangan kaki, pergelangan tangan dan siku.
  • Pembengkakan sendi.

Otak dan saraf tunjang

  • Demam.
  • Sakit kepala.
  • Leher yang tegang.
  • Kekeliruan.
  • Perubahan personaliti.
  • Hilang ingatan.
  • Masalah bercakap.

Sistem pencernaan

  • Sakit perut.
  • Cirit-birit.
  • Pendarahan daripada luka di perut dan usus.

Kadangkala, sindrom Behcet juga memberi kesan kepada organ lain seperti buah pinggang dan paru-paru.

Punca Sindrom Behcet

Doktor tidak pasti apa yang menyebabkan sindrom Behcet. Namun, mereka percaya bahawa ia bermula apabila sistem imun tersilap menyerang saluran darah.

Anda lebih cenderung untuk mendapatkannya jika anda mempunyai masalah dengan sistem imun. Sesetengah orang mewarisi gen yang menyebabkan sistem imun mereka menyerang saluran darah. Doktor yakin bahawa jangkitan atau sesuatu yang asing dalam persekitaran itu juga memicu keadaan ini pada mereka yang mempunyai gen tersebut.

Seterusnya, sindrom Behcet adalah perkara biasa di Timur Tengah, Asia dan Jepun, atau di kalangan masyarakat dari kawasan ini.

Ia biasanya muncul apabila anda berusia 20-an atau 30-an, tetapi anda boleh mendapatnya pada usia apa pun. Di samping itu, penyakit ini menjejaskan lebih banyak golongan lelaki berbanding golongan wanita.

Diagnosis Sindrom Behcet

Keadaan ini boleh menjadi sukar untuk didiagnosis. Gejala-gejalanya hampir sama seperti kebanyakan penyakit lain termasuk penyakit Crohn, lupus dan arthritis. Ia juga boleh mengambil masa selama beberapa bulan untuk mengetahui dengan pasti bahawa anda mempunyai sindrom Behcet.

Salah satu cara untuk membantu mendiagnosisnya adalah mencari kumpulan gejala yang berlaku. Anda boleh didiagnosis dengan sindrom Behcet jika anda mempunyai luka mulut sekurang-kurangnya tiga kali dalam satu tahun, dan mempunyai sekurang-kurangnya dua simptom ini:

  • Rasa sakit pada alat kelamin.
  • Bengkak di dalam mata berserta kehilangan penglihatan.
  • Rasa sakit pada kulit.
  • Ujian patergi yang positif.

Dalam ujian patergi, doktor akan menusuk lengan anda dengan jarum kecil. Jika benjolan terbentuk di tempat yang ditusuk setelah satu hingga dua hari kemudian, ia adalah petunjuk baik yang menunjukkan bahawa anda mungkin mempunyai penyakit ini. Ia dikatakan sedemikian kerana badan menunjukkan reaksi keterlaluan oleh sistem imun anda bagi kecederaan kecil. Namun begitu, anda masih boleh mempunyai sindrom Behcet walaupun tidak mendapat hasil ujian sebegini.

Rawatan Sindrom Behcet

Rawatan yang dibuat adalah berdasarkan gejala anda.

  • Ubat kortikosteroid dapat menenangkan sistem imun dan menurunkan bengkak di dalam badan anda. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan yang berfungsi untuk membantu tindak balas sistem imun, seperti adalimumab (Humira), azatioprin (Imuran), siklopospamid, siklosporin (Neoral, Sandimun) dan infliximab (Remikad) juga boleh dipreskripsikan.
  • Krim atau minyak juga boleh mengurangkan luka kulit dan kemaluan.
  • Ubat anti-radang bukan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drugs – NSAID) dan ‘colchicine’ untuk sakit sendi serta pembengkakan atau titisan mata steroid boleh mengurangkan bengkak mata.

Langkah Pencegahan Sindrom Behcet

Makan dengan seimbang

Tiada bukti bahawa diet tertentu akan memperbaiki gejala penyakit sindrom Behcet, tetapi, makan dengan sihat akan meningkatkan bantuan secara keseluruhan dan mengurangkan risiko bagi masalah selanjutnya.

Makan makanan yang seimbang dan bervariasi dengan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengelakkan makanan yang mengandungi terlalu banyak lemak atau gula adalah yang terbaik untuk mendapatkan kesihatan keseluruhan.

Sesetengah individu dengan keadaan ini telah mencadangkan bahawa tahap sensitif terhadap makanan tertentu boleh mencetuskan suar.

Dalam satu kajian, penyelidik mendapati bahawa perkara-perkara berikut membuatkan ulser mulut berkaitan dengan sindrom Behcet menjadi lebih buruk seperti:

  • Nenas
  • Keju jenis ‘Emmental’ dan keju lain.
  • Kacang terutamanya, kacang badam dan kacang tanah.
  • Lemon.

Kajian yang sama juga melaporkan bahawa tekanan dan keletihan boleh membuatkan gejala bertambah buruk.

Apa-apa terapi atau pelengkap tambahan hendaklah dibincangkan terlebih dahulu dengan pakar perubatan, kerana ini boleh memburukkan gejala atau mempengaruhi rawatan yang dibuat.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/behcets-disease/symptoms-causes/syc-20351326

https://www.medicalnewstoday.com/articles/310313

https://emedicine.medscape.com/article/329099-overview

https://medlineplus.gov/behcetssyndrome.html

Tagged: