Sifilis adalah sejenis penyakit menular yang kebanyakannya disebarkan melalui aktiviti seksual seperti seks oral dan dubur. Individu yang dijangkiti penyakit ini selalunya tidak tahu bahawa mereka mengalami penyakit tersebut dan menyebarkannya kepada pasangan seksual mereka.
Sifilis pernah menjadi ancaman kesihatan awam suatu ketika dahulu kerana ia boleh menyebabkan masalah jangka panjang yang serius seperti artritis, kerosakan otak, dan buta. Tiada rawatan yang berkesan sehinggalah lewat tahun 1940-an, apabila penisilin antibiotik dikembangkan.
Sejak laporan yang berjalan dari tahun 1941, kadar kes baru penyakit tersebut semakin berkurang pada tahun 1990-an dan akhirnya pada tahun 2000, ia mencapai paras terendah. Namun, penyakit ini didapati makin meningkat semula sejak itu.
Simptom Sifilis
Doktor mengkategorikan 4 peringkat penyakit tersebut sebagai primer, sekunder, laten, atau tertier. Pelbagai simptom yang dialami bergantung kepada setiap peringkat penyakit.
Penyakit ini boleh berjangkit sewaktu berada pada peringkat primer dan sekunder dan kadangkala pada fasa laten awal. Walaupun Sifilis peringkat tertier tidak berjangkit, tetapi ia mempunyai simptom yang paling teruk berbanding peringkat yang lain.
- Simptom Primer
Simptom Sifilis peringkat primer termasuklah muncul satu atau lebih luka Sifilis yang tidak menyakitkan, keras, dan bulat, atau berkutil. Kebiasaannya ia akan muncul pada hari ke 10 hingga 3 bulan selepas jangkitan masuk ke dalam badan.
Kutil tersebut akan sembuh dalam masa 2-6 minggu. Walau bagaimanapun,jika dibiarkan tanpa rawatan, penyakit ini mungkin akan kekal di dalam badan dan akan maju ke fasa berikutnya.
- Simptom Sekunder
Simptom Sifilis sekunder termasuklah:
- Luka yang menyerupai kutil oral, dubur, dan alat kelamin
- Muncul ruam yang kasar atau merah yang bermula di batang tubuh dan tersebar ke seluruh badan, termasuklah di telapak tangan dan telapak kaki
- Sakit otot
- Demam
- Sakit tekak
- Nodus limfa bengkak
- Rambut gugur
- Sakit kepala
- Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
- Keletihan
Simptom-simptom ini boleh sembuh dalam beberapa minggu selepas ia mula muncul. Ia juga mungkin akan kembali untuk beberapa kali dalam tempoh yang lebih lama.
Punca Sifilis
Penyakit ini diakibatkan oleh sejenis bakteria yang digelar Treponema pallidum. Bakteria ini boleh memasuki badan anda melalui luka pada kulit atau melalui membran mukus anda.
Ia tidak boleh disebarkan melalui tempat duduk tandas, tombol pintu, kolam renang, tab mandi panas, tab mandi, pakaian yang dikongsi, atau peralatan makan.
Diagnosis Sifilis
Jika anda fikir anda mungkin menghidap penyakit tersebut, silalah berjumpa dengan doktor anda secepat mungkin. Doktor akan mengambil sampel darah untuk diuji serta menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh. Jika anda berasa sakit, doktor mungkin mengambil sampel daripada kawasan yang sakit untuk menentukan jika bakteria Sifilis wujud pada bahagian badan yang terjejas.
Sekiranya doktor anda mengesyaki bahawa anda mengalami masalah sistem saraf berpunca dari Sifilis tertier, anda mungkin memerlukan tusukan lumbar (lumbar puncture), atau ‘spinal tap’. Semasa prosedur ini dijalankan, cecair dari tulang belakang dikumpulkan supaya doktor anda boleh mengujinya untuk mengesan kehadiran bakteria yang menyebabkan Sifilis.
Sekiranya anda sedang hamil, doktor masih akan memeriksa anda sama ada anda mempunyai penyakit berkenaan atau tidak, oleh kerana bakteria Sifilis boleh berada di dalam badan tanpa anda mengetahui akan kehadirannya. Tujuan doktor melakukan pemeriksaan fizikal ini adalah untuk mengelakkan janin anda daripada dijangkiti Sifilis Kongenital. Sifilis Kongenital boleh menyebabkan masalah yang teruk pada bayi yang baru lahir dan bahkan boleh membawa maut.
Faktor Risiko Sifilis
Anda menghadapi risiko yang tinggi untuk dijangkiti penyakit ini jika anda:
- Melakukan seks tanpa perlindungan
- Melakukan hubungan seks dengan ramai pasangan
- Seorang lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain
- Dijangkiti HIV, iaitu virus yang menyebabkan AIDS
Rawatan Sifilis
Sifilis primer dan sekunder mudah dirawat hanya melalui suntikan penisilin. Penisilin adalah salah satu daripada antibiotik yang paling banyak digunakan dan biasanya berkesan dalam merawat Sifilis. Namun, pesakit yang alah kepada penisilin mungkin akan dirawat dengan antibiotik yang berbeza, seperti:
- Doxycycline
- Azithromycin
- Ceftriaxone
Jika anda mempunyai neurosyphilis pula, anda akan mendapatkan dos harian penisilin melalui intravena. Prosedur ini selalunya memerlukan anda tinggal di hospital dalam masa yang singkat.
Malangnya, keadaan yang disebabkan oleh Sifilis yang lewat didagnosis tidak dapat disembuhkan melalui rawatan. Walau bagaimanapun, bakteria masih boleh dibunuh, tetapi rawatan mungkin hanya akan ditumpukan untuk meringankan kesakitan dan ketidakselesaan yang anda alami.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/syphilis/symptoms-causes/syc-20351756