Sendawa adalah tindakan badan anda mengeluarkan lebihan udara daripada saluran pencernaan atas anda. Selalunya, sendawa disebabkan oleh penelaan udara yang berlebihan dan udara ini biasanya tidak sampai ke perut tetapi terkumpul di esofagus.

Gas bersendawa atau flatus adalah semula jadi dan biasa. Sendawa atau flatus yang berlebihan, disertai dengan perut kembung, sakit atau pembengkakan perut (sesak), kadang-kadang boleh mengganggu aktiviti harian atau menyebabkan rasa malu. Tetapi tanda dan gejala ini biasanya tidak menunjukkan masalah yang serius dan sering boleh dikurangkan dengan perubahan gaya hidup yang sederhana.

Apabila sendawa, gas atau perut kembung mengganggu aktiviti harian anda, mungkin adalah yang tidak kena. Ketahui cara mengurangkan atau mengelakkan masalah ini, dan bila anda mungkin perlu berjumpa doktor.

Mengapa sendawa kerap berlaku?

a) Antara sebab-sebab yang paling biasa lebih banyak udara daripada biasa ditelan dan menyebabkan sendawa adalah:

  • memakan atau meminum terlalu cepat
  • meminum minuman yang berkarbonat, berkafein atau beralkohol 
  • meminum menggunakan penyedut minuman 
  • perasaan kegelisahan 
  • merokok
  • hiperventilasi

b) Makanan dengan banyak lemak atau minyak di dalamnya juga boleh menyebabkan pedih ulu hati. Ini juga boleh membuatkan anda bersendawa. Begitu juga dengan makanan seperti yang berikut: 

  • kekacang
  • lentil
  • brokoli
  • kacang polong
  • bawang
  • kubis
  • kubis bunga
  • pisang
  • kismis
  • roti gandum

c) Refluks asid juga dikenali sebagai penyakit gastroesophageal reflux (GERD) kadang-kadang boleh menyebabkan kekerapan sendawa kerana anda akan cenderung untuk menelan udara dengan berlebihan dengan keadaan penyakit ini.

d) Sendawa yang kronik juga berkaitan dengan keradangan pada lapisan perut atau jangkitan dengan Helicobacter pylori, iaitu bakteria yang bertanggungjawab menjadi beberapa penyebab ulser perut. Dalam kes penyakit ini, sendawa akan disertai dengan gejala-gejala lain seperti pedih ulu hati atau sakit perut.

e) Gangguan pencernaan, juga dikenali sebagai dispepsia, menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian atas perut anda. Ia boleh disertai dengan sakit perut, kembung perut, pedih ulu hati, mual, ataupun muntah. Ini pun kemungkinan satu penyebab sendawa yang berlaku dengan kerap. 

f) Gastritis ataupun sakit gastrik pun boleh menyebabkan sendawa apabila lapisan perut anda mengalami iritasi.

g) Ulser peptik iaitu luka pada esofagus, perut dan bahagian atas usus kecil anda pun boleh menjadi puncanya sendawa yang kerap berlaku. 

h) Intoleransi terhadap laktosa di mana orang yang menpunyai ketidakupayaan untuk mencernakan laktosa (bahan yang terdapat dalam produk tenusu) dengan betul.

i) Gas di usus kecil atau usus besar biasanya disebabkan oleh pencernaan atau fermentasi makanan yang tidak dicerna oleh bakteria yang terdapat di dalam usus. Gas juga akan terbentuk apabila sistem pencernaan anda tidak sepenuhnya memecahkan komponen tertentu dalam makanan, seperti gluten, yang terdapat di kebanyakan biji-bijian, atau gula dalam produk tenusu dan buah.

Apakah Simptom Sendawa? 

Kembung perut adalah sensasi perut yang berasa penuh dan abdomen pun kelihatan lebih besar. Orang sering menggambarkan simptom perut sebagai kembung perut, terutamanya jika gejala tersebut nampaknya tidak lega dengan bersendawa ataupun buang air besar.

Sebenarnya, ramai orang yang mengalami gejala kembung perut tidak mempunyai lebih banyak gas di dalam usus berbanding dengan orang lain. Ramai orang, terutama mereka yang mengalami sindrom iritasi usus atau emosi kegelisahan, kemungkinan akan mempunyai kepekaan yang lebih besar terhadap gejala perut dan gas usus, dan bukannya ada gas yang berlebihan di dalam usus.

Walaupun begitu, kembung perut dapat dilegakan dengan perubahan tingkah laku yang boleh mengurangkan sendawa ataupun disertai dengan perubahan diet yang boleh mengurangkan flatus.

Kesan sendawa yang serius

Sendawa yang berlebihan dan perut kembung sering hilang sendiri atau dengan perubahan yang sederhana. Sekiranya ini adalah satu-satunya gejala yang anda alami, ia jarang menunjukkan keadaan yang serius.

Tetapi, tanda-tanda dan gejala-gejala ini dapat menandakan keadaan pencernaan yang bermasalah dan perlulah mendapatkan nasihat doktor.

  • Cirit-birit
  • Sakit perut yang teruk ataupun berterusan
  • Najis berdarah
  • Perubahan warna atau kekerapan air besar
  • Penurunan berat badan yang tidak disengajakan
  • Ketidakselesaan dada
  • Kehilangan selera makan atau berasa cepat kenyang

Rawatan

Sekiranya anda mengalami kembung perut atau perut anda buncit, berbaring di satu belah biasanya akan membantu. Ataupun, mengamalkan kedudukan lutut-ke-dada juga boleh membantu. Pegang kedudukan ini sehingga gas berlalu.

Sekiranya tidak ada masalah perubatan yang menyebabkan anda bersendawa, anda boleh mencuba beberapa penyelesaian berikut:

  • Mengelakkan minuman yang berkarbonat, berkafein atau beralkohol
  • Makan atau minum dengan lebih perlahan untuk mengelakkan penelanan udara berlebihan.
  • Jangan makan makanan seperti brokoli, kubis, kacang atau produk tenusu. Makanan ini boleh menyebabkan gas di perut atau usus anda dan membuat anda bersendawa.
  • Berhenti merokok
  • Berjalan-jalan selepas makan. Sedikit bersenam dapat membantu pencernaan anda.
  • Mengambil antasid.
  • Mengambil suplemen tambahan probiotik untuk membantu pencernaan.
  • Elakkan situasi yang menimbulkan kegelisahan yang boleh menyebabkan hiperventilasi.

Sekiranya rasa bersendawa anda berlebihan, adalah penting untuk anda berbincang dengan doktor mengenai rawatan perubatan. Doktor anda akan mengumpulkan maklumat mengenai gejala anda dengan mengemukakan soalan untuk lebih memahami keadaan anda.

Doktor anda mungkin memeriksa anda secara fizikal dan boleh memesankan ujian yang lebih lanjut seperti sinar-X perut atau kajian pengosongan gastrik. Ujian-ujian lain termasuk:

  • Imbasan MRI
  • Imbasan CT
  • Imbasan ultrasound
  • Ujian pencernaan
  • Ujian hidrogen dan metana

Ini akan memberi gambaran yang jelas kepada doktor mengenai sistem pencernaan anda, yang akan membantu mereka membuat diagnosis.

Walau bagaimanapun, jika bersendawa menjadi lebih kerap disebabkan oleh masalah sistem pencernaan, kemungkinan gejala akan bertambah buruk jika tidak dirawat. Anda juga mungkin mula mengalami gejala lain sehingga masalah itu didiagnosis dan dirawati.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/belching

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gas-and-gas-pains/in-depth/gas-and-gas-pains/art-20044739

https://www.webmd.com/digestive-disorders/burping-reasons

Summary
Sendawa Yang Kerap - Apakah Punca Dan Rawatannya?
Article Name
Sendawa Yang Kerap - Apakah Punca Dan Rawatannya?
Description
Sendawa adalah tindakan badan anda mengeluarkan lebihan udara daripada saluran pencernaan atas anda. Selalunya, sendawa disebabkan oleh penelaan udara yang berlebihan dan udara ini biasanya tidak sampai ke perut tetapi terkumpul di esofagus.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: