Batuk selama lapan minggu atau lebih digelarkan sebagai batuk berpanjangan. Batuk kronik sering mempunyai punca yang lebih serius. Ia boleh disebabkan oleh keadaan seperti titisan postnasal (kahak) atau alergi. Sebahagian kecil punca batuk berpanjangan ini ialah gejala barah atau keadaan paru-paru lain yang berpotensi untuk mengancam nyawa.

Batuk sering menyebabkan ketidakselesaan tetapi sebenarnya ia berfungsi untuk mengeluarkan bahan asing dari dalam badan anda. Apabila anda batuk, anda mengeluarkan lendir dan bahan asing dari saluran udara yang boleh merengsakan paru-paru anda. Batuk juga boleh menjadi tindak balas terhadap keradangan atau penyakit.

Sebilangan besar batuk akan pulih dalam masa yang singkat. Seperti contoh, anda mungkin mengalami demam, selsema, sakit tekak, batuk selama beberapa hari atau minggu dan kemudiannya anda akan mula beransur pulih.

Kurang kerap untuk batuk berlarutan selama beberapa minggu, bulan, atau bertahun-tahun. Apabila anda terus batuk tanpa sebab yang jelas, anda mungkin mengalami sesuatu yang serius. Kes batuk kronik ataupun batuk batuk berpanjangan yang teruk boleh menyebabkan muntah, pening kepala dan patah tulang rusuk.

Batuk kronik boleh memberi kesan besar kepada kehidupan anda. Ini membuatkan anda terjaga pada waktu malam dan menganggu perhatian anda dari pekerjaan dan kehidupan sosial anda. Itulah sebabnya anda harus meminta doktor memeriksa batuk yang berlanjutan selama lebih dari tiga minggu.

Selalunya, batuk berpanjangan biasanya pulih setelah punca iritasi telah diatasi.

Simptom 

Bersama dengan batuk, anda mungkin mempunyai simptom lain, bergantung kepada punca batuk. Simptom biasa yang sering berlaku bersama dengan batuk kronik termasuk:

  • Rasa seperti cecair menetes di bahagian belakang kerongkong anda
  • Pedih ulu hati
  • Suara yang serak dan kasar
  • Hidung berair
  • Sakit tekak
  • Hidung tersumbat
  • Rhonchi (wheezing) – bunyi siulan semasa bernafas 
  • Sesak nafas

Kesan kepada Kualiti Hidup

Batuk berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah ini:

  • Pening atau pengsan
  • Sakit dada dan rasa tidak selesa
  • Sakit kepala
  • Kegelisahan, terutamanya jika anda tidak mengetahui puncanya
  • Kehilangan tidur
  • Kebocoran pundi kencing

Gejala yang lebih serius ini jarang berlaku, tetapi berjumpalah doktor jika anda mengalami:

  • Batuk berdarah
  • Peluh malam
  • Demam panas 
  • Penurunan berat badan tanpa mencuba
  • Sakit dada yang berterusan

Punca

Punca-punca utama batuk kronik adalah:

  • Kahak berlebihan
  • Asma, terutamanya asma varian batuk
  • Refluks asid atau penyakit refluks gastroesophageal (GERD)
  • Bronkitis kronik atau bentuk lain penyakit paru obstruktif kronik (COPD)
  • Jangkitan, seperti radang paru-paru atau bronkitis akut
  • Inhibitor ACE, ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi
  • Merokok

Punca yang lebih serius, tetapi lebih jarang berlaku untuk batuk berpanjangan termasuk:

  • Bronkiektasis, kerosakan pada saluran udara yang menyebabkan dinding bronkus di paru-paru menjadi meradang dan menebal.
  • Bronkiolitis, jangkitan dan keradangan bronkiol, saluran udara kecil di paru-paru
  • Cystic fibrosis, keadaan yang diwarisi yang merosakkan paru-paru dan organ lain dengan menyebabkan rembesan tebal di saluran pernafasan.
  • Penyakit paru-paru interstitial, keadaan yang melibatkan parut tisu paru-paru.
  • Kegagalan jantung
  • Kanser paru-paru
  • Pertusis ataupun batuk kokol
  • Sarkoidosis, terdiri daripada kelompok sel yang meradang, yang dikenali sebagai granuloma, yang terbentuk di paru-paru dan bahagian tubuh yang lain. 

Faktor Risiko

Anda cenderung mengalami batuk kronik jika anda merokok. Asap tembakau merosakkan paru-paru dan boleh menyebabkan keadaan seperti COPD. Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah juga cenderung mendapat jangkitan yang boleh menyebabkan batuk kronik.

Rawatan untuk Batuk Berpanjangan

Rawatan bergantung kepada punca batuk berpanjangan anda:

– Refluks Asid

Anda boleh mengambil ubat untuk meneutralkan, mengurangkan, atau menyekat pengeluaran asid. Ubat refluks termasuk:

  • Antasid
  • Penyekat reseptor H2
  • Proton pump inhibitors

-Asma

Ubat yang digunakan untuk merawat asma merangkumi steroid dan bronkodilator yang disedut yang dipreskripsi oleh para doktor. Ubat-ubat ini menyurutkan bengkak di saluran udara dan melebarkan saluran udara yang menyempit untuk membantu anda bernafas dengan lebih mudah. 

-Bronkitis kronik

Bronkodilator dan steroid yang disedut digunakan untuk merawat bronkitis kronik dan bentuk COPD lain.

-Jangkitan

Antibiotik dapat membantu merawat radang paru-paru atau jangkitan bakteria lain.

-Titisan Postnasal

Dekongestan dapat mengeringkan rembesan. Anti-histamin dan semburan hidung steroid dapat menyekat tindak balas alahan yang menyebabkan pengeluaran lendir dan membantu mengurangkan pembengkakan pada saluran hidung anda.

– Rawatan tambahan untuk mengatasi batuk berpanjangan

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa terapi pertuturan mungkin berkesan untuk mengurangkan keparahan batuk kronik. Doktor anda boleh memberi rujukan kepada ahli terapi pertuturan ini.

Untuk mengawal batuk, anda boleh mencuba ubat yang terdapat di farmasi, terutamanya yang mengandungi dextromethorphan (Mucinex, Robitussin) untuk menenangkan refleks batuk.

Doktor anda mungkin menetapkan ubat seperti benzonatate (Tessalon Perles) jika ubat-ubatan di kaunter tidak membantu. Ini untuk memulihkan refleks batuk. Ubat preskripsi gabapentin (Neurontin), ubat anti-sawan juga terbukti bermanfaat bagi sesetengah individu dengan batuk kronik.

Ubat batuk tradisional juga boleh membantu merawat batuk berpanjangan. Walau bagaimanapun, mereka sering mengandungi kodin narkotik atau hidrokodon, menyebabkan anda rasa mengantuk dan ketagihan.

Tinjauan untuk Batuk Berpanjangan

Sekiranya anda menghadapi batuk selama lebih dari tiga minggu, silalah berjumpa dengan doktor anda. Setelah mengetahui apa yang menyebabkan batuk, anda boleh mengambil langkah untuk mengatasinya.

Sementara menunggu batuk untuk hilang, cubalah petua berikut untuk mengatasinya:

  • Minum banyak air atau jus. Cecair tambahan akan menipiskan lendir. Cecair hangat seperti teh atau sup boleh melegakan tekak anda.
  • Mengambil lozeng
  • Sekiranya anda mengalami refluks asid, elakkan makan berlebihan dan makan dalam masa dua hingga tiga jam sebelum tidur. Menurunkan berat badan juga dapat membantu.
  • Hidupkan humidifier untuk menambahkan kelembapan ke udara, atau mandi air panas dan hirup wap panas.
  • Gunakan semburan hidung air masin atau pengairan hidung (neti pot). Air garam akan melonggarkan dan membantu mengalirkan lendir yang membuat anda batuk.
  • Sekiranya anda merokok, mintalah nasihat doktor mengenai cara berhenti merokok dan jauhi orang lain yang sedang merokok.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/chronic-cough

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chronic-cough/symptoms-causes/syc-20351575

https://www.dispatchhealth.com/blog/congestive-heart-failure-coughing-what-to-do-when-experiencing-cardiac-cough/

Summary
Semuanya mengenai Batuk Berpanjangan atau Batuk Kronik
Article Name
Semuanya mengenai Batuk Berpanjangan atau Batuk Kronik
Description
Batuk yang berpanjangan selama lapan minggu atau lebih digelarkan sebagai batuk berpanjangan. Batuk kronik sering mempunyai punca yang lebih serius. Ia boleh disebabkan oleh keadaan seperti titisan postnasal (kahak) atau alergi. Sebahagian kecil punca batuk berpanjangan ini ialah gejala barah atau keadaan paru-paru lain yang berpotensi untuk mengancam nyawa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: