Pengenalan
Kesakitan payudara, juga dikenali sebagai mastalgia, mammalgia dan mastodynia, adalah satu perkara biasa dan mungkin termasuk sakit yang kusam, berat, sesak, sensasi terbakar pada tisu payudara, atau rasa lembut pada payudara.
Sekiranya kesakitan dikaitkan dengan kitaran haid, ia dikenali sebagai mastodynia kitaran (sakit payudara dengan kitaran). Kesakitan bukan kitaran pula boleh berlaku kerana banyak sebab, termasuk kecederaan pada payudara. Kadangkala, kesakitan bukan kitaran boleh datang dari otot atau tisu sekitarnya berbanding daripada payudara itu sendiri. Ia juga lebih jarang berlaku berbanding kesakitan kitaran, dan penyebabnya sukar untuk dikenalpasti.
Penerangan
Kesakitan payudara atau mastodynia boleh menjadi ringan atau serius. Ia mungkin berlaku:
- Hanya beberapa hari dalam sebulan, dalam dua hingga tiga hari menjelang tempoh haid anda. Kesakitan yang normal dan ringan hingga sederhana ini boleh mempengaruhi kedua-dua belah payudara.
- Seminggu atau lebih lama bagi setiap bulan, bermula sebelum kitaran haid anda dan kadangkala berterusan sepanjang kitaran haid anda. Kesakitan ini mungkin sederhana atau teruk, dan mempengaruhi kedua-dua belah payudara.
- Sepanjang bulan, tidak berkaitan dengan kitaran haid anda.
Wanita yang sudah menopaus juga kadangkala mengalami sakit payudara, tetapi mastodynia ini lebih kerap terjadi pada wanita muda yang mengalami menopaus.
Selalunya, mastodynia menandakan keadaan payudara yang bukan kanser (jinak) dan jarang menunjukkan kanser payudara. Namun, kesakitan payudara yang tidak dapat dijelaskan dan tidak hilang selepas satu atau dua kitaran haid atau yang berlanjutan setelah menopaus perlu dinilai oleh doktor anda.
Sebilangan besar kes mastodynia atau kesakitan payudara dikelaskan sebagai kitaran (cyclic) atau bukan kitaran (noncyclic). Setiap jenis kesakitan payudara mempunyai ciri yang berbeza.
Jom lihat perbezaannya dalam jadual di bawah.
Sakit payudara kitaran | Sakit payudara bukan kitaran |
Berkaitan dengan kitaran haid | Tidak berkaitan dengan kitaran haid |
Digambarkan sebagai kusam, berat atau sakit | Digambarkan sebagai rasa sesak, terbakar atau sakit |
Selalunya disertai dengan pembengkakan payudara atau gumpalan | Berlaku secara tetap atau sekejap-sekejap |
Biasanya menyerang kedua-dua belah payudara, terutamanya bahagian atas, bahagian luar, dan boleh merebak ke ketiak | Biasanya menyerang satu belah payudara di kawasan setempat, tetapi boleh juga merebak lebih banyak ke seluruh payudara |
Lebih cenderung mempengaruhi wanita berusia 20-an atau 30-an sebelum menopaus serta wanita berusia 40-an yang dalam peralihan ke dalam proses menopaus | Kemungkinan besar mempengaruhi wanita selepas menopaus |
Penyebab yang berkemungkinan
Kadangkala, ianya sukar untuk mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan mastodynia atau kesakitan payudara ini. Faktor penyumbang boleh merangkumi satu atau lebih perkara berikut:
- Hormon pembiakan. Kesakitan payudara kitaran nampaknya mempunyai perkaitan kuat dengan hormon dan kitaran haid anda. Kesakitan ini sering berkurangan atau hilang semasa anda mengandung atau memasuki fasa menopaus.
- Struktur payudara. Kesakitan payudara bukan kitaran sering berlaku akibat perubahan pada saluran susu atau kelenjar susu. Ini boleh mengakibatkan perkembangan sista payudara. Kecederaan pada payudara, pembedahan payudara terdahulu atau faktor lain yang terdapat di payudara boleh menyebabkan mastodynia. Malah, kesakitan yang berlaku juga boleh bermula di luar kawasan payudara misalnya di dinding dada, otot, sendi atau jantung dan merebak ke payudara.
- Ketidakseimbangan asid lemak. Ketidakseimbangan asid lemak di dalam sel boleh mempengaruhi kepekaan tisu payudara terhadap hormon yang beredar.
- Penggunaan ubat. Ubat hormon tertentu, termasuk beberapa rawatan kemandulan dan pil kawalan kelahiran oral, mungkin berkaitan dengan keadaan mastodynia. Malah, kelembutan payudara adalah kesan sampingan bagi terapi hormon estrogen dan progesteron yang berkemungkinan berlaku selepas menopaus. Kesakitan payudara juga mungkin berkaitan dengan antidepresan tertentu, termasuk antidepresan perencat pengambilan serotonin selektif (SSRI).
- Saiz payudara. Wanita dengan payudara besar mungkin mengalami sakit payudara bukan kitaran yang berkaitan dengan ukuran payudaranya. Sakit leher, bahu dan belakang boleh menyertai keadaan mastodynia kerana saiz payudara yang besar.
- Pembedahan payudara. Mastodynia yang berkaitan dengan pembedahan payudara dan pembentukan parut kadangkala berlarutan setelah hirisan yang dibuat sembuh.
Bila perlu menghubungi doktor
Anda mesti berjumpa doktor sekiranya:
- Satu atau kedua-dua belah payudara berubah dari segi ukuran atau bentuk.
- Terdapat rembesan dari kedua-dua puting susu.
- Terdapat ruam di sekitar puting.
- Terdapat lekukan pada kulit payudara.
- Anda merasakan benjolan atau bengkak di salah satu ketiak anda.
- Anda berasa sakit di ketiak atau payudara yang tidak berkaitan dengan kitaran haid anda.
- Anda melihat perubahan pada rupa puting anda.
- Anda melihat kawasan tisu menebal, atau adanya benjolan di payudara anda.
Buat temu janji dengan doktor sekiranya keadaan mastodynia:
- Berlanjutan setiap hari selama lebih dari beberapa minggu.
- Berlaku di satu kawasan tertentu di payudara anda.
- Nampaknya menjadi semakin teruk dari masa ke masa.
- Mengganggu aktiviti harian anda.
Walaupun risiko kanser payudara adalah rendah pada wanita dengan gejala utama iaitu sakit payudara, jika doktor anda mengesyorkan penilaian tertentu, ianya adalah penting untuk sentiasa membuat pemeriksaan lanjutan secara kerap.
Apa yang boleh diharapkan di klinik
Pada pertemuan anda, doktor boleh bertanyakan soalan mengenai gejala anda. Soalan boleh merangkumi:
- Bilakah sakit pada payudara atau keadaan mastodynia ini bermula?
- Apa yang membuatkan kesakitan payudara anda bertambah teruk? Adakah terdapat apa-apa yang menjadikannya lebih baik?
- Adakah anda melihat kesakitan semakin memburuk pada waktu kitaran haid anda?
- Bagaimana anda menilai kesakitan yang dialami? Bagaimana anda boleh menggambarkan rasa sakit itu?
Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal. Mereka juga boleh mengesyorkan ujian pencitraan, seperti mamogram, untuk memvisualisasikan tisu payudara anda. Ini membolehkan mereka utnuk mengenal pasti sista pada tisu payudara anda.
Sekiranya anda mempunyai sista pada payudara, doktor mungkin melakukan prosedur biopsi jarum. Ini adalah prosedur di mana jarum nipis dimasukkan ke dalam sista untuk mengeluarkan sampel tisu kecil bagi tujuan ujian lanjut.
Rawatan
Dalam kebanyakan kes, ada kemungkinan untuk menghilangkan kesakitan payudara kitaran dengan mengambil ubat penghilang rasa sakit tanpa preskripsi dan memakai bra yang sesuai. Sakit payu dara kitaran sering tidak dapat diramalkan, kerana ia mungkin hilang pada waktunya, dan kemudian kembali secara berkala.
Jika anda didiagnosis dengan mastodynia kitaran, berbanding sesuatu keadaan yang lebih serius, ini dapat meyakinkan banyak pesakit untuk menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik.
Sebelum merawat anda, doktor akan mempertimbangkan usia, sejarah perubatan, dan keparahan kesakitan anda.
Rawatan untuk mastodynia kitaran boleh merangkumi:
- memakai bra sokongan 24 jam sehari ketika kesakitan menjadi paling teruk
- mengurangkan pengambilan sodium
- mengambil suplemen kalsium
- mengambil pil perancang, yang dapat membantu meningkatkan tahap hormon
- mengambil penyekat estrogen, seperti tamoxifen
- mengambil ubat untuk menghilangkan rasa sakit, termasuk ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), seperti ibuprofen atau acetaminophen
Rawatan untuk mastodynia bukan kitaran pula bergantung pada penyebabnya. Setelah penyebabnya dikenal pasti, doktor akan menetapkan rawatan berkaitan keadaan tertentu.
Wanita dengan sakit payudara jenis ini mungkin memerlukan terapi untuk merawat penyebabnya, misalnya seperti pemberian antibiotik bagi keadaan mastitis berjangkit.
SUMBER
https://www.medicalnewstoday.com/articles/263566#1
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/breast-pain/symptoms-causes/syc-20350423