Apakah itu mamogram?
Mamogram adalah sinar-X bagi payudara. Ia adalah alat saringan yang digunakan untuk mengesan dan mendiagnosis kanser payudara. Bersama ujian klinikal biasa dan pemeriksaan payudara sendiri setiap bulan, mamogram adalah elemen penting dalam diagnosis awal kanser payudara.
Seterusnya, sinar-X (radiograf) adalah ujian perubatan bukan invasif yang membantu doktor mendiagnosis dan merawat keadaan perubatan. Pengimejan dengan sinar-X melibatkan pendedahan bahagian tubuh kepada dos kecil sinaran pengion untuk menghasilkan gambar dalam badan. Ia adalah bentuk pengimejan perubatan tertua dan paling kerap digunakan.
Adakah terdapat pelbagai jenis mamogram?
Menurut Institut Kanser Nasional, terdapat dua jenis mamogram iaitu:
- Mamogram saringan. Mamogram saringan adalah sinar-X payudara yang digunakan untuk mengesan perubahan payudara pada wanita yang tidak mempunyai tanda-tanda atau gejala kanser payudara. Ini selalunya melibatkan dua sinar-X bagi setiap payudara. Dengan menggunakan mamogram, doktor berkemungkinan untuk mengesan tumor yang tidak dapat dirasakan.
- Mamogram diagnostik. Mamogram diagnostik adalah sinar-X payudara yang digunakan untuk mendiagnosis perubahan payudara yang tidak normal, seperti benjolan, sakit, penebalan atau pelepasan puting, ataupun perubahan ukuran atau bentuk payudara. Ia juga digunakan untuk menilai kelainan yang dikesan pada mamogram saringan. Ini adalah alat perubatan asas dan sesuai dalam proses mengesan perubahan payudara, tanpa mengira usia wanita.
Mengapa anda memerlukan mamogram?
Prosedur mamografi boleh digunakan sama ada sebagai saringan atau bagi membuat diagnosis. Wanita yang berumur lebih dari 30 tahun harus menjalani mamografi diagnostik jika mereka mempunyai simptom, seperti benjolan yang dapat diraba, penebalan atau lekukan kulit payudara, pelepasan atau penarikan puting, sakit puting yang menghakis atau sakit pada payudara.
Mamogram boleh digunakan untuk menilai kesakitan payudara sekiranya pemeriksaan fizikal dan sejarah tidak dapat dikaitkan. Wanita dengan payudara yang padat, “kental” dan / atau sangat besar boleh diperiksa dengan mamografi, kerana pemeriksaan fizikal mungkin sukar untuk dilakukan.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Mamogram menggunakan mesin yang direka untuk melihat pada tisu payudara sahaja. Mesin ini menggunakan sinar-X pada dos yang lebih rendah berbanding sinar-X biasa. Memandangkan sinar-X ini tidak dapat melalui tisu dengan mudah, mesin tersebut mempunyai 2 piring yang memampatkan atau meratakan payudara untuk menyebarkan tisu. Ini memberikan gambaran yang lebih baik dan membolehkan kurang sinaran digunakan.
Apakah kaedah untuk membuat persediaan sebelum menjalani mamogram?
Anda perlu mengikuti garis panduan tertentu pada temu janji ujian mamografi anda. Biasanya, anda tidak boleh memakai deodoran, bedak badan atau minyak wangi. Malah, anda juga tidak boleh menggunakan salap atau krim pada payudara ataupun ketiak. Bahan ini boleh mengganggu gambar atau kelihatan seperti kalsifikasi, atau deposit kalsium, jadi ia adalah penting untuk mengelakkannya.
Selain itu, pastikan anda juga memberitahu pakar radiologi sebelum peperiksaan jika anda hamil atau menyusukan bayi. Secara amnya, anda tidak boleh menerima pemeriksaan mamogram pada masa ini, tetapi jika perlu, doktor boleh mengatur kaedah pemeriksaan lain, seperti ultrabunyi.
Siapakah yang perlu mendapatkan pemeriksaan mamogram?
Tiada usia yang ideal untuk memulakan pemeriksaan kanser payudara. Malah, pakar dan organisasi perubatan tidak sepakat tentang bila wanita harus mula mendapatkan pemeriksaan ini atau seberapa kerap ujian harus dilakukan. Bercakap dengan doktor anda mengenai faktor risiko, pilihan yang ada serta faedah dan risiko pemeriksaan. Bersama-sama, anda dapat menentukan jadual pemeriksaan mamografi apa yang terbaik untuk anda.
Beberapa panduan umum tentang bila wanita boleh memulakan pemeriksaan mamografi termasuk:
- Wanita dengan purata risiko kanser payudara. Ramai wanita mula melakukan mamogram pada usia 40 tahun dan melakukannya setiap satu atau dua tahun. Kumpulan profesional mungkin boleh memberi cadangan yang berbeza-beza mengenai ini.
- Wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara. Wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser payudara boleh mendapat manfaat dengan memulakan pemeriksaan mamogram sebelum usia 40 tahun. Bercakap dengan doktor mengenai penilaian risiko kanser payudara bagi anda.
Apakah faedah mamogram?
Pemeriksaan mamografi dapat mengurangkan risiko kematian akibat kanser payudara. Ia berguna untuk mengesan semua jenis kanser payudara, termasuk kanser saluran darah invasif dan lobus invasif. Selain itu, ia juga berguna kerana:
- Meningkatkan kemampuan doktor untuk mengesan tumor kecil. Apabila kanser adalah kecil, wanita mempunyai lebih banyak pilihan rawatan yang boleh dibuat.
- Meningkatkan pengesanan pertumbuhan tisu kecil abnormal yang terbatas pada saluran susu di payudara, yang disebut ‘ductal carcinoma in situ’ DCIS).
- Tiada sinaran yang tertinggal di tubuh pesakit setelah pemeriksaan sinar-X.
- Sinar-X biasanya tidak mempunyai kesan sampingan dalam julat diagnostik khas untuk peperiksaan ini.
Adakah terdapat risiko bagi pemeriksaan mamogram?
Biasanya, terdapat sedikit kemungkinan berkaitan kanser disebabkan pendedahan radiasi yang berlebihan. Walau bagaimanapun, faedah diagnosis yang tepat melebihi risiko yang ada.
Lima hingga 15 peratus pemeriksaan mamogram memerlukan lebih banyak ujian seperti mamogram tambahan atau ultrabunyi. Sebilangan besar ujian ini ternyata adalah normal. Sekiranya terdapat penemuan yang tidak normal, tindakan susulan atau biopsi mungkin perlu dilakukan. Sebilangan besar biopsi boleh mengesahkan bahawa tiada kanser yang dikesan.
Dianggarkan bahawa seorang wanita yang membuat mamogram tahunan antara usia 40 dan 49 tahun mempunyai kemungkinan 30 peratus untuk mendapat mamogram positif palsu pada suatu ketika dalam dekad itu, dan sekitar 7 hingga 8 peratus berkemungkinan memiliki biopsi payudara dalam tempoh 10 tahun.
Di samping itu, wanita harus memaklumkan pada doktor atau pakar teknologi sinar-X mereka jika terdapat kemungkinan bahawa mereka hamil.
Apakah maksud keputusan mamogram?
Imej daripada mamogram dapat membantu mencari kalsifikasi, atau deposit kalsium di payudara anda. Sebilangan besar kalsifikasi ini bukanlah tanda kanser. Ujian ini juga dapat menemui sista iaitu kantung berisi cecair yang mungkin datang dan hilang semasa kitaran haid bagi beberapa wanita serta sebarang ketumbuhan kanser atau bukan kanser.
Terdapat sistem diagnostik nasional untuk membaca mamogram yang disebut BI-RADS, atau “Sistem Pelaporan Pengimejan Payudara dan Pangkalan Data”. Dalam sistem ini, terdapat tujuh kategori, mulai dari sifar hingga enam. Setiap kategori menerangkan sama ada gambar tambahan diperlukan, dan sama ada kawasan tertentu adalah lebih cenderung mempunyai benjolan jinak (bukan kanser) atau kanser.
Setiap kategori mempunyai pelan susulannya sendiri. Tindakan pada pelan susulan mungkin termasuk mengumpulkan gambar tambahan, melanjutkan pemeriksaan tetap, membuat janji untuk pemeriksaan lanjutan dalam enam bulan, atau melakukan biopsi.
Doktor akan menyemak keputusan anda dan menjelaskan langkah-langkah seterusnya semasa janji temu susulan.
SUMBER
https://www.hopkinsmedicine.org/health/treatment-tests-and-therapies/mammogram-procedure
https://www.healthline.com/health/mammography
https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/mammogram/about/pac-20384806
https://www.radiologyinfo.org/en/info.cfm?pg=mammo#benefits-risks