sembelit
Sembelit adalah keadaan apabila anda mengalami kesukaran membuang air besar atau rutin tersebut menjadi semakin kurang daripada biasa.

Pengenalan

Sembelit adalah keadaan apabila anda mengalami kesukaran membuang air besar atau rutin tersebut menjadi berkurangan daripada biasa. Hampir semua individu pernah mengalaminya.

Biasanya, ia adalah tidak serius dan akan bertambah baik apabila badan anda berfungsi dengan normal.

Tempoh membuang air besar adalah berbeza mengikut individu. Sesetengah individu membuang air besar sebanyak 3 kali sehari, manakala individu yang lain hanya membuang air besar beberapa kali dalam seminggu.

Jika seseorang tidak membuang air besar dalam tempoh 3 hari, najisnya akan menjadi lebih keras dan sukar untuk dikeluarkan.  

Penerangan

Simptom utama sembelit adalah:

• Kesukaran untuk membuang najis

• Meneran semasa buang najis

• Najis berkurang

• Najis yang keras atau kering

Simptom-simptom lain termasuklah:

• Sakit dan kekejangan di bahagian perut

• Perut berasa kembung

• Loya

• Hilang selera makan

Penyebab yang berkemungkinan 

Berikut adalah beberapa sebab biasa bagi sembelit:

– Kekurangan serat dalam diet

Individu yang kurang mengambil serat dalam diet mereka berisiko untuk mengalami sembelit. Hal ini adalah kerana serat melancarkan proses pembuangan air besar, terutamanya apabila anda menggabungkannya dengan penghidratan badan yang betul.

Makanan tinggi serat termasuklah:

• Buah-buahan

• Sayur-sayuran

• Bijirin penuh

• Kacang

• Lentil

Makanan rendah serat pula termasuklah:

• Makanan tinggi lemak, seperti keju, daging dan telur

• Makanan yang diproses seperti roti putih

Makanan segera

– Kurang melakukan aktiviti fizikal juga boleh menyebabkan sembelit

Beberapa kajian terdahulu mendapati bahawa seseorang yang sering melakukan aktiviti fizikal seperti pelari maraton, kurang berisiko mengalami sembelit berbanding individu lain. Namun, penjelasan yang tepat mengenai keadaan tersebut masih tidak diketahui.

Satu kajian pada tahun 2013 menyatakan bahawa aktiviti fizikal yang berkala dapat membantu mengelakkan sembelit di kalangan individu dewasa yang lebih tua.

Individu yang menghabiskan banyak masa di atas katil atau duduk di kerusi mungkin mempunyai risiko sembelit yang lebih tinggi.

– Ubat-ubatan tertentu

Sesetengah ubat boleh meningkatkan risiko sembelit. Ini termasuklah:

  • Ubat-ubatan penyembuhan sakit opioid: Seperti codeine (hadir dengan acetaminophen dalam Tylenol # 3), oxycodone (OxyContin), dan hydromorphone (Dilaudid).
  • Antidepresan trisiklik: Seperti amitriptyline (Elavil) dan imipramine (Tofranil).
  • Antikonvulsan tertentu: Contoh termasuklah phenytoin (Dilantin) dan carbamazepine (Tegretol).
  • Penyekat saluran kalsium: Ia boleh menurunkan tekanan darah dan sesetengahnya boleh mengurangkan kadar denyutan jantung. Ubat-ubatan ini termasuklah diltiazem (Cardizem) dan nifedipine (Procardia).
  • Antacid yang mengandungi aluminium: Seperti Amphojel dan Basaljel.
  • Antacid yang mengandungi kalsium: Seperti Tums.
  • Diuretik: Ia bertindak untuk mengeluarkan cecair berlebihan dari badan. Ia termasuklah hydrochlorothiazide (Hydrodiuril) dan furosemide (Lasix).
  • Suplemen zat besi: Doktor menetapkan suplemen ini untuk merawat Anemia atau kekurangan zat besi.

Sindrom keradangan usus

Individu yang mengalami kesukaran fungsi usus, seperti sindrom keradangan usus mempunyai risiko tinggi untuk mengalami sembelit .

Mereka mungkin mengalami:

• Sakit perut

• Perut kembung

• Distensi

• Perubahan kekerapan pembuangan najis atau konsistensi najis

Dengan penyakit keradangan usus, sembelit boleh pulih dan bertambah teruk dari semasa ke semasa. Apabila simptom sembelit tiada, pesakit mungkin akan mengalami cirit-birit.

– Penuaan

Bagi individu yang sudah berumur, masalah sembelit cenderung meningkat. Seramai 40% hingga 60% orang tua mengalami sembelit.

Penyebab sebenar bagi masalah ini adalah masih tidak jelas. Mungkin bagi individu yang lebih berumur, proses pencernaan makanan mereka mengambil masa yang lebih lama. Selain itu, ramai orang tua kurang bergerak dan justeru boleh mengakibatkan sembelit.

Keadaan perubatan, pengambilan ubat-ubatan dan kekurangan serat atau air mungkin merupakan faktor lain yang boleh menyebabkan sembelit pada individu tua.

– Perubahan rutin

Sebagai contoh, apabila seseorang pergi melancong atau mengembara, rutin mereka mungkin akan berubah.

Dalam satu kajian pada tahun 2008, hasilnya telah menunjukkan bahawa 9% individu mengalami sembelit apabila mereka melancong ke negara lain.

Perubahan rutin makan, tidur dan menggunakan bilik mandi pada masa yang berlainan dari kebiasaan boleh meningkatkan risiko sembelit.

– Pengambilan julap berlebihan

Sesetengah individu bimbang mereka tidak menggunakan tandas dengan cukup kerap, jadi mereka mengambil julap untuk menyelesaikan masalah itu. Julap boleh membantu anda membuang air besar, tetapi penggunaan julap yang kerap menjadikan tubuh terbiasa dengan kesannya.

Keadaan ini membuatkan anda mengambil julap walaupuan anda tidak memerlukannya. Bahkan, anda mungkin memerlukan dos yang lebih tinggi untuk mendapatkan kesan yang sama.

Dalam erti kata lain, julap boleh membentuk kebiasaan, terutamanya julap jenis stimulan. Maknanya, lebih banyak anda bergantung kepada julap, semakin besar risiko sembelit apabila anda berhenti menggunakannya.

Selain itu, penggunaan julap berlebihan juga boleh menyebabkan:

• Dehidrasi

• Ketidakseimbangan elektrolit

• Kerosakan organ dalaman

Sebahagian daripada komplikasi tersebut boleh mengancam nyawa. Disebabkan itu, anda harus berbincang dengan pakar penjagaan kesihatan sebelum mula menggunakan julap.

– Tidak menggunakan tandas apabila perlu

Sekiranya anda mengabaikan keinginan untuk membuang air besar, keinginan itu akan beransur-ansur hilang sehingga anda tidak lagi memerlukannya.

Walau bagaimanapun, semakin lama anda menahannya najis anda, najis akan menjadi semakin kering dan semakin keras, Keadaan ini meningkatkan risiko sembelit.

– Tidak minum air dengan mencukupi

Air dalam badan yang mencukupi dapat membantu mengurangkan risiko sembelit.

Cecair lain yang boleh diminum termasuklah jus buah atau jus sayuran semulajadi dan sup biasa.

Namun begitu, sesetengah cecair boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan membuatkan sembelit bertambah teruk bagi sesetengah individu. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai sembelit, anda harus elakkan atau hadkan pengambilan kafein, kopi dan alkohol.

– Masalah kesihatan lain

Sesetengah keadaan kesihatan yang memberi kesan kepada usus besar boleh menghalang serta menyekat laluan najis dan menyebabkan sembelit.

Contoh keadaan tersebut adalah:

• Tumor kanser

• Angin pasang

• Tisu parut

• Divertikulitis

• Penyempitan kolorektal, iaitu penyempitan yang tidak normal pada kolon atau rektum

• Penyakit keradangan usus

Keadaan-keadaan lain

Sesetengah keadaan perubatan lain juga boleh menyebabkan atau menyumbang kepada sembelit.

Ini termasuklah:

  • Keadaan neurologi: Sklerosis berbilang, penyakit Parkinson, strok, kecederaan saraf tunjang dan halangan pseudo usus kronik boleh menyebabkan sembelit.
  • Keadaan yang melibatkan fungsi hormon, elektrolit atau fungsi buah pinggang: Ini termasuklah uremia, kencing manis, hyperkalsemia dan hypothyroidism.
  • Penyumbatan usus: Keadaan ini berlaku jika terdapat tumor pada sistem pencernaan.
  • Keadaan yang memberi kesan kepada sistem pencernaan: Sembelit boleh berlaku dalam penyakit seliak, keradangan usus dan keadaan keradangan yang lain.
  • Rawatan kanser: Kemoterapi dan ubat tahan sakit seperti opioid juga boleh menyebabkan sembelit.

Bila perlu menghubungi doktor

Anda harus mendapatkan rawatan perubatan untuk sembelit jika mengalami simptom berikut:

• Ketidakselesaan yang teruk atau simptom-simptom yang semakin parah.

• Sembelit yang terjadi secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.

• Sembelit berterusan yang tidak memberi tindak balas terhadap perubahan gaya hidup.

• Darah dalam najis atau pendarahan dari rektum.

• Kesakitan yang berterusan di bahagian perut atau bahagian bawah perut.

• Kesukaran untuk kentut.

• Demam.

• Muntah.

• Penurunan berat badan yang tidak dijangka.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Sebagai tambahan kepada ujian fizikal umum dan ujian rektum digital, doktor akan menjalankan ujian dan prosedur berikut untuk mendiagnosis sembelit kronik dan mencari sebabnya:

• Ujian darah. Doktor akan mengenalpasti keadaan sistemik seperti tahap tiroid yang rendah (hypothyroidism) atau tahap kalsium yang tinggi.

• X-ray. X-ray boleh membantu doktor menentukan sama ada usus anda tersumbat dan terdapat najis di dalam kolon.

• Pemeriksaan rektum dan bahagian bawah kolon (sigmoidoscopy). Dalam prosedur ini, doktor akan memasukkan tiub yang fleksibel dan terang ke dalam dubur anda untuk memeriksa rektum dan bahagian bawah kolon anda.

Pemeriksaan rektum dan keseluruhan kolon (colonoscopy). Prosedur diagnostik ini membolehkan doktor anda memeriksa seluruh kolon dengan tiub fleksibel yang dilengkapi dengan kamera.

• Penilaian fungsi otot sphincter dubur (manometri anorektal). Dalam prosedur ini, doktor akan memasukkan tiub yang sempit dan fleksibel ke dalam dubur dan rektum anda. Kemudian, belon kecil akan dikembangkan di hujung tiub tersebut. Peranti ini kemudiannya ditarik balik dari otot sphincter. Prosedur ini membolehkan doktor anda mengukur koordinasi otot yang anda gunakan ketika membuang air besar.

• Penilaian kelajuan otot sphincter dubur (ujian pengusiran belon). Ini selalunya dijalankan bersama manometri anorectal. Ujian ini mengukur jumlah masa yang diperlukan untuk otot anda menolak belon yang telah diisi dengan air yang diletakkan dalam rektum anda.

• Penilaian sejauh mana makanan bergerak melalui kolon (kajian transit kolon). Dalam prosedur ini, anda perlu menelan kapsul yang mengandungi sama ada penanda radiologi atau peranti kamera tanpa wayar. Perjalanan kapsul tersebut melalui kolon anda akan direkodkan selama 24 hingga 48 jam dan rakaman dapat dilihat pada sinar-X. Bagi sesetengah kes, anda perlu makan makanan yang diaktifkan dengan radiokarbon dan sebuah kamera khas akan merakamkan perjalanan makanan tersebut. (scintigraphy). Doktor akan mencari tanda-tanda gangguan otot usus dan seberapa baik makanan bergerak melalui kolon anda.

• Rektum sinar-X semasa pembuangan air (defekografi barium). Semasa prosedur ini, doktor akan memasukkan pes lembut yang diperbuat daripada barium ke dalam rektum anda. Anda kemudian akan mengeluarkan barium tersebut ketika membuang air besar. Barium akan muncul di X-ray dan boleh mendedahkan buasir atau masalah fungsi otot dan koordinasi otot.

• Defekografi MRI. Semasa prosedur ini, seperti defekografi barium, doktor akan memasukkan gel kontras ke dalam rektum anda. Anda kemudian akan mengeluarkan gel tersebut melalui pembuangan air besar. Pengimbas MRI boleh menggambarkan dan menilai fungsi otot anda ketika membuang air besar. Ujian ini juga boleh mendiagnosis masalah yang boleh menyebabkan sembelit, seperti rectocele atau buasir.

Rawatan

Rawatan untuk masalah sembelit kronik biasanya bermula dengan diet dan perubahan gaya hidup yang bertujuan untuk mempercepatkan pergerakan najis melalui usus anda. Namun, jika perubahan tidak membantu, doktor boleh mengesyorkan ubat-ubatan atau pembedahan.

– Perubahan diet dan gaya hidup

Doktor boleh mengesyorkan perubahan berikut untuk melegakan sembelit anda:

• Meningkatkan pengambilan serat. Menambah serat pada diet anda akan meningkatkan berat badan dan mempercepatkan peredarannya melalui usus anda.

Mulakan secara perlahan dengan memakan lebih banyak buah-buahan segar dan sayur-sayuran setiap hari. Pilih makanan seperti bijirin dan roti yang diperbuat daripada bijirin.

Doktor juga akan mencadangkan sebilangan gram serat tertentu untuk diambil setiap hari. Secara umum, 14 gram serat diperlukan bagi setiap 1,000 kalori dalam diet harian anda.

Walau bagaimanapun, peningkatan jumlah serat secara tiba-tiba boleh menyebabkan perut kembung dan bergas, jadi mulakan diet ini secara perlahan-lahan selama beberapa minggu.

• Bersenam setiap hari dalam seminggu. Aktiviti fizikal boleh meningkatkan fungsi otot dalam usus anda. Cuba bersenam secara kerap dalam seminggu. Sekiranya anda sudah lama tidak bersenam, berbincanglah dengan doktor anda sama ada anda cukup sihat untuk memulakan program latihan tertentu.

• Jangan abaikan keinginan untuk membuang air besar. Luangkan masa anda di tandas dan berikan diri masa yang cukup untuk membuang air besar tanpa gangguan dan tanpa rasa terburu-buru.

Julap

Beberapa jenis julap memberi kesan yang berbeza untuk memudahkan proses pembuangan air besar anda. Berikut adalah julap yang boleh didapati tanpa preskprisi doktor:

• Suplemen serat. Suplemen serat menambah berat kepada najis anda. Najis yang besar adalah lebih lembut dan lebih mudah untuk dilalui. Suplemen serat termasuklah psyllium (Metamucil, Konsyl, lain-lain), kalsium polikarbophil (FiberCon, Equalactin, lain-lain) dan metilselulosa (Citrucel).

• Stimulan. Stimulan termasuklah bisacodyl (Correctol, Dulcolax, lain-lain) dan sennosides (Senokot, Ex-Lax, Perdiem) yang membuatkan usus anda mengecut.

.• Osmotik. Julap osmotik membantu najis bergerak melalui kolon dengan meningkatkan rembesan cecair dari usus dan membantu merangsang pergerakan usus. Contohnya termasuklah magnesium hidroksida oral (Susu Magnesia Phillips, Susu Dulcolax Magnesia, lain-lain), magnesium sitrat, laktulosa (Cholac, Constilac, lain-lain), polietilena glikol (Miralax, Glycolax).

• Pelincir. Pelincir seperti minyak mineral membolehkan najis bergerak melalui kolon anda dengan lebih mudah.

• Pelembut najis. Pelembut najis seperti natrium docusate (Colace) dan kalsium docusate (Surfak) melembapkan najis dengan menarik air dari usus.

• Enema dan suppositori. Enema air paip dengan atau tanpa soapsud berkesan untuk melembutkan najis dan melancarkan pembuangan air besar anda. Gliserin atau bisacodyl suppositories juga boleh membantu menggerakkan najis keluar dari badan anda dengan melincirkan dan merangsangnya.

Ubat lain

Jika ubat tanpa preskripsi tidak membantu masalah sembelit kronik anda, doktor boleh mencadangkan ubat preskripsi, terutamanya jika anda mempunyai sindrom usus yang tidak sihat.

• Ubat-ubatan yang menarik air ke dalam usus anda. Sesetengah ubat preskripsi boleh didapati untuk merawat sembelit kronik, seperti Lubiprostone (Amitiza), linaclotide (Linzess) dan plecanatide (Trulance). Ia berfungsi dengan menarik air dari dalam usus dan mempercepatkan pergerakan najis.

Serotonin 5-hydroxytryptamine 4 receptors. Prucalopride (Motegrity) membantu menggerakkan najis anda melalui kolon.

• Peripherally acting mu-opioid receptor antagonists (PAMORA). Jika sembelit terjadi disebabkan oleh ubat-ubatan tahan sakit seperti opioid, PAMORA seperti naloxegol (Movantik) dan methylnaltrexone (Relistor) membalikkan kesan opioid pada usus untuk memudahkan pembuangan air besar.

Melatih otot pelvik 

Latihan biotindakbalas (biofeedback) melibatkan kerjasama dengan ahli terapi yang menggunakan peranti untuk mengajar anda merehatkan dan mengetatkan otot-otot di pelvik anda. Anda akan belajar bagaimana untuk merehatkan otot pinggul pada masa yang tepat semasa membuang air besar bagi membantu anda melancarkan pembuangan najis.

Semasa sesi biotindakbalas, tiub khas (kateter) untuk mengukur ketegangan otot akan dimasukkan ke dalam rektum anda. Ahli terapi membantu anda melalui senaman untuk merehatkan dan mengetatkan otot pelvik anda. Sebuah mesin digunakan untuk mengukur ketegangan otot anda dan bunyi atau lampu akan membantu anda mengetahui apabila anda sedang merehatkan otot anda.

Pembedahan

Pembedahan mungkin menjadi pilihan jika anda telah mencuba rawatan lain namun kesemuanya tidak berkesan atau jika sembelit kronik anda disebabkan oleh penyumbatan, rectocele atau penyempitan rektum.

Bagi individu yang telah mencuba rawatan lain namun kesemuanya tidak berkesan, dan  mempunyai pergerakan najis yang tidak normal, pembedahan untuk membuang sebahagian usus besar mungkin menjadi pilihan. Walau bagaimanapun, pembedahan untuk membuang keseluruhan kolon jarang diperlukan.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/150322.php#doctor

https://www.webmd.com/digestive-disorders/digestive-diseases-constipation#1

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/constipation/diagnosis-treatment/drc-20354259

Summary
Sembelit (Constipation)
Article Name
Sembelit (Constipation)
Description
Sembelit adalah keadaan apabila anda mengalami kesukaran membuang air besar atau rutin tersebut menjadi semakin kurang daripada biasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: