Selamatkah Penggunaan Pil Perancang Kehamilan?
Jenis perancang kehamilan yang anda guna adalah terpulang kepada keputusan diri sendiri malah, terdapat banyak yang tersedia.

Jenis perancang kehamilan yang anda guna adalah terpulang kepada keputusan diri sendiri malah, terdapat banyak yang tersedia. Sekiranya anda adalah seorang yang aktif dalam hubungan seksual, anda mungkin perlu memptertimbangkan penggunaan pil perancang kehamilan.

Pil perancang kehamilan, juga digelar sebagai pil kontraseptif oral adalah ubat-ubatan yang diambil untuk mengelakkan kehamilan. Ia merupakan kaedah berkesan untuk mengawal kehamilan.

Apakah jenis pil perancang yang tersedia?

1. Pil kombinasi (combination pills)

Pil kombinasi mengandungi hormon estrogen dan progestin dalam bentuk sintetik (buatan manusia). Kebanyakan pil adalah aktif dalam setiap kitaran, maksudnya ia mengandungi hormon. Manakala, pil yang lain adalah tidak aktif, iaitu ia tidak mengandungi sebarang hormon. Terdapat beberapa jenis pil kombinasi:

  • Pil monophastic: Ia digunakan dalam kitaran sebulan dan setiap pil yang aktif memberi dos hormon yang sama. Dalam minggu terakhir kitaran tersebut, anda perlu mengambil pil tidak aktif dan menjalani haid.
  • Pil multiphasic: Pil ini digunakan dalam kitaran sebulan dan membekalkan tahap hormon yang berbeza sewaktu kitarannya. Dalam minggu terakhir kitaran, anda mengambil pil tidak aktif dan mengalami haid.
  • Pil Extended Cycle: Pil ini biasanya digunakan dalam kitaran 12 minggu. Anda mengambil pil aktif selama 12 minggu dan sewaktu minggu terakhir anda mengambil pil tidak aktif dan mengalami haid. Hasilnya, anda hanya menjalani haid sebanyak 3 hingga 4 kali dalam setahun.

Contoh jenama pil kombinasi termasuklah:

  • Azurette
  • Beyaz
  • Enpresse
  • Estrostep Fe
  • Kariva
  • Levora
  • Loestrin
  • Natazia
  • Ocella
  • Low-Ogestrel
  • Ortho-Novum
  • Ortho Tri-Cyclen
  • Seasonale
  • Seasonique
  • Velivet
  • Yasmin
  • Yaz

2. Pil Progestin Sahaja (Progestin-only pills)

Pil progestin sahaja mengandungi progestin tanpa tambahan estrogen. Jenis pil ini turut digelar sebagai pil mini (minipill). Pil progestin sahaja mungkin merupakan pilihan terbaik bagi wanita yang tidak boleh mengambil estrogen atas masalah kesihatan lain. Semua pil progestin sahaja adalah aktif dalam kitaran. Tiada pil tidak aktif, jadi anda mungkin akan mengalami atau tidak mengalami haid sewaktu pengambilannya.

Contoh pil progestin sahaja termasuklah:

  • Camila
  • Errin
  • Heather
  • Jencycla
  • Nor-QD
  • Ortho Micronor

Bagaimana untuk menentukan pil perancang kehamilan yang sesuai buat anda?

Bukan semua pil perancang adalah sesuai bagi setiap wanita. Berundinglah dengan doktor anda terlebih dahulu mengenai pilihan pil perancang yang sesuai dengan keadaan anda. Faktor yang boleh mempengaruhi pilihan anda termasuklah:

  • Simptom menstruasi anda
  • Sekiranya anda menyusu bayi
  • Kesihatan kardiovaskular anda
  • Keadaan kesihatan kronik lain
  • Ubat-ubatan lain yang diambil

Bagaimanakah cara pil perancang kehamilan berkesan?

  • Pil kombinasi bekerja dengan dua cara. Pertama, ia menghalang badan anda daripada ovulasi. Maksudnya, ovari anda tidak mengeluarkan telur pada setiap bulan. Kedua, pil ini menebalkan lendir serviks anda. Lendir serviks ini berfungsi untuk membantu sperma memasuki rahim supaya ia boleh mensenyawakan telur. Lendir yang menebal mengelakkan sperma daripada mencecah rahim anda.

  • Pil progestin sahaja juga bekerja dalam pelbagai cara. Secara umum, ia berfungsi dengan menebalkan lendir serviks dengan menipiskan endometrium anda. Endometrium adalah lapisan di dinding rahim di mana terletaknya telur yang telah disenyawakan. Sekiranya lapisan ini semakin nipis, telur akan lebih sukar untuk melekat padanya secara tidak langsung menghalang kehamilan. Sebagai tambahan, pil progestin sahaja turut menghalang ovulasi.

Bagaimanakah cara untuk menggunakan pil perancang kehamilan?

Pil kombinasi hadir dalam beberapa tetapan. Ini termasuklah pek bulanan yang terdiri daripada kitaran selama 21 hari, 24 hari atau 28 hari. Regimen tambahan boleh mengikuti kitaran 91 hari. Bagi semua tetapan ini, anda mengambil sebiji pil setiap hari pada waktu yang sama.

Pil progestin sahaja, hanya didatangkan dalam pek mengandungi 28 biji. Sama seperti pil kombinasi, anda mengambil sebiji pil pada waktu yang sama setiap hari.

Seberapa berkesankah pil perancang kehamilan?

Sekiranya diambil dengan cara yang betul, pil perancang kehamilan sangat berkesan dalam menghalang kehamilan. Kedua-dua pil, pil kombinasi dan pil progestin sahaja memiliki 9 peratus kadar kegagalan dengan penggunaan biasa. Ini bermakna, serama 100 orang wanita yang menggunakan pil ini hanya 9 orang yang akan hamil.

Untuk meningkatkan keberkesanannya, pil progestin mestilah diambil dalam lingkungan 3 jam pada masa yang sama setiap hari.

Namun, pil kombinasi adalah sedikit fleksibel. Secara umum anda perlu mengambil pil kombinasi pada masa yang sama setiap hari tetapi boleh diambil dalam lingkungan 12 jam setiap hari.

Sesetengah ubat-ubatan boleh mengurangkan keberkesanan pil ini, seperti:

  • Rifampin (antibiotik)
  • Sesetengah ubat HIV seperti lopinavir dan saquinavir
  • Sesetengah ubat antiseizure seperti carbamazepine dan topiramate
  • St. John’s wort

Selain itu, pil perancang kehamilan mungkin kurang berkesan sekiranya anda mempunyai cirit-birit atau muntah-muntah. Sekiranya anda mengalami sakit perut, berundinglah bersama doktor untuk memeriksa sekiranya anda mempunyai risiko untuk hamil.

Apakah kelebihan penggunaan pil perancang kehamilan?

Pil perancang kehamilan mempunyai beberapa kelebihan seperti:

  • Melindungi anda 24/7. Anda tidak perlu bimbang mengenai perancang kehamilan sewaktu hubungan seksual.
  • Ia lebih berkesan untuk melindungi diri anda daripada kehamilan berbanding pilihan perancang kehamilan yang lain.
  • Ia membantu menstabilkan kitaran menstruasi.
  • Kesannya boleh dibalikkan. Maksudnya, apabila anda berhenti mengambilnya kitaran anda akan kembali seperti biasa dan anda boleh hamil.

Terdapat beberapa kelebihan bergantung kepada jenis pill. Pil kombinasi boleh melindungi:

  • Jerawat
  • Kehamilan ektopik
  • Penipisan tulang
  • Ketumbuhan bukan kanser di payudara
  • Kanser ovari dan endometri
  • Anemia
  • Haid berat
  • Senggugut teruk

Pil progestin sahaja mempunyai kelebihan yang lain dan adalah selamat bagi wanita yang:

  • Tidak boleh menjalani terapi estrogen
  • Merokok
  • Lebih berusia (35 tahun ke atas)
  • Mempunyai sejarah pembekuan darah
  • Hendak menyusukan bayi

Apakah kesan sampingan dan risiko pengambilan pil perancang kehamilan?

Walaupun pil perancang kehamilan adalah selamat bagi kebanyakan wanita, ia turut mempunyai kesan sampingan dan risikonya sendiri. Setiap wanita bertindak balas secara berbeza terhadap hormon di dalam pil perancang kehamilan. Kesan sampingannya adalah seperti:

  • Pengurangan keinginan seksual
  • Loya atau mual
  • Pendarahan antara tempoh haid
  • Kesakitan payudara

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan di atas, ia akan berkurang selepas beberapa bulan penggunaannya. Jika tidak, berundinglah dengan doktor anda dan beliau mungkin akan menukar jenis pil perancang kehamilan yang lain.

Risiko

Risiko serius penggunaan pil perancang kehamilan terutamanya pil kombinasi adalah peningkatan risiko darah beku. Keadaan ini boleh menyebabkan:

  • Trombosis saluran darah mendalam (deep vein)
  • Serangan jantung
  • Strok
  • Embolisme pulmonari

Namun begitu, bagi sesetengah wanita, pengambilan pil kombinasi meningkat risiko yang lebih tinggi untuk mereka mengalami darah beku. Antaranya:

  • Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan
  • Mempunyai tekanan darah tinggi
  • Berada di atas katil dalam masa yang panjang

Jika faktor-faktor ini berkaitan dengan anda, berundinglah dengan doktor mengenai risiko pengambilan pil perancang keluarga.

Sumber

https://www.webmd.com/sex/birth-control/birth-control-pills

https://www.healthline.com/health/birth-control-pills

https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/birth-control-pill

https://www.your-life.com/en/contraception-methods/short-acting-contraception/the-pill

Summary
Selamatkah Penggunaan Pil Perancang Kehamilan?
Article Name
Selamatkah Penggunaan Pil Perancang Kehamilan?
Description
Pil perancang kehamilan, juga digelar sebagai pil kontraseptif oral adalah ubat-ubatan yang diambil untuk mengelakkan kehamilan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: