haiwan peliharaan dijangkiti coronavirus
Seekor anjing peliharaan di Hong Kong berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

Di Hong Kong, seekor anjing haiwan peliharaan dikatakan dijangkiti virus COVID-19 selepas tuannya juga mendapat penyakit berbahaya itu. Saban hari, semakin banyak kes individu yang dijangkiti Coronavirus telah dilaporkan. Bilangan kes yang meningkat secara drastik di hampir seluruh dunia ini sangatlah membimbangkan semua pihak memandangkan virus ini masih belum mempunyai penawarnya.

Menurut akhbar atas talian TheStar, anjing itu dimiliki oleh seorang pesakit positif Coronavirus. Walau bagaimanapun, kes ini dilihat sebagai “jangkitan lemah” dan merupakan kes pertama yang menjangkiti haiwan. Haiwan peliharaan tersebut juga telah dikuarantinkan bagi pemeriksaan lanjut.

Anda mungkin sahaja telah dijangkiti tanpa anda sedari kerana simptomnya terlihat hampir sama seperti simptom-simptom ketika anda demam, selesema dan batuk. Jadi, ia mungkin menyukarkan anda untuk mendapatkan diagnosis yang tepat kerana tanggapan sebegini.

Apa pandangan pihak lain tentang hal ini?

Walaupun kes berkenaan haiwan peliharaan yang dijangkiti covid-19 tersebut tular di media sosial dan akhbar atas talian, namun anjing tersebut tidak mempunyai apa-apa simptom berbahaya. Jadi, secara amnya ia tidak berupaya untuk menyampaikan virus tersebut kepada individu atau haiwan lain. Malah, ia juga tidaklah dijangkiti cuma dikenal pasti mempunyai kesan virus tersebut pada hidung dan mulutnya sahaja.

‘World Health Organisation’ atau WHO yang bertanggungjawab akan hal-hal kesihatan antarabangsa dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan bahawa tiada bukti bahawa haiwan peliharaan seperti anjing ataupun kucing yang telah dijangkiti boleh menyebarkan virus yang menyebabkan COVID-19.

Malah, dalam artikel yang diterbitkan pada laman web ‘Full Fact’, seorang profesor bagi ‘Molecular Virology’, Jonathan Ball mengatakan tiada keperluan untuk membandingkan antara jangkitan sebenar dan mengesan kehadiran virus dalam anjing. 

Kenyataan ini juga disokong oleh Presiden Persatuan Veterinar British yang menekankah bahawa tiada bukti kukuh bahawa haiwan peliharaan boleh menjadi sumber jangkitan Coronavirus atau menjadi sakit disebabkan virus tersebut.

Adakah ianya selamat untuk kekal bersama haiwan peliharaan anda?

Menurut WHO lagi, walaupun haiwan peliharaan dikatakan tidak boleh menjadi sumber penyebar virus berbahaya ini, namun langkah penjagaan yang betul masih perlu dilakukan. Sentiasa basuh tangan anda dengan bersih menggunakan sabun dan air setelah menyentuh haiwan peliharaan anda.

Ini adalah langkah yang penting kerana ia mungkin mempunyai virus lain yang kita tidak dapat lihat seperti E.coli dan Salmonella. Di samping itu, elakkan mencium haiwan peliharaan anda atas tujuan yang sama.

Seperkara lagi, janganlah anda membiarkan haiwan peliharaan anda begitu sahaja hanya kerana anda terbaca akan kes yang melibatkan anjing di Hong Kong itu. Haiwan ini masih perlu dijaga dengan baik sama seperti sebelumnya. Disebabkan inilah, maklumat yang diterima harus dibaca dengan teliti agar anda tidak tersalah faham akannya.

RUJUKAN

  1. https://www.thestar.com.my/news/regional/2020/03/05/coronavirus-pet-dog-belonging-to-covid-19-patient-infected-hong-kong-health-authorities-confirm
  2. https://fullfact.org/health/can-animals-catch-coronavirus-from-humans/

Summary
Seekor anjing peliharaan di Hong Kong dijangkiti COVID-19: Adakah haiwan peliharaan berisiko mendapat penyakit ini?
Article Name
Seekor anjing peliharaan di Hong Kong dijangkiti COVID-19: Adakah haiwan peliharaan berisiko mendapat penyakit ini?
Description
Di Hong Kong, seekor anjing peliharaan dikatakan dijangkiti virus COVID-19 selepas tuannya juga mendapat penyakit berbahaya itu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: