sciatica
Sciatica merujuk kepada sakit belakang yang disebabkan oleh masalah pada saraf sciatic iaitu saraf dari bawah belakang sehingga ke betis.

Sciatica merujuk kepada sakit belakang yang disebabkan oleh masalah pada saraf sciatic. Saraf ini adalah saraf besar yang bermula dari bahagian bawah belakang sehingga ke betis. Apabila terdapat sesuatu yang mencederakan atau memberi tekanan pada saraf sciatic, ia boleh menyebabkan rasa sakit belakang yang akan menyebar ke pinggul, punggung, dan kaki. Sehingga 90% orang boleh sembuh dari Sciatica tanpa pembedahan.

Simptom Sciatica

Simptom yang paling biasa berlaku dalam penyakit Sciatica adalah sakit belakang pada bahagian bawah yang merebak melalui pinggul dan punggung dan turun ke betis. Biasanya, kesakitan akan memberi kesan hanya pada satu kaki dan akan menjadi lebih parah apabila anda duduk, batuk, atau bersin. Kadangkala kaki anda juga mungkin akan berasa lemah, kaku, atau kesemutan. Simptom Sciatica cenderung muncul secara tiba-tiba dan boleh berlangsung selama beberapa hari atau minggu.

Punca Sciatica

Sciatica adalah sejenis penyakit biasa bagi beberapa keadaan perubatan yang berbeza. Walau bagaimanapun, lebih kurang 90% kes adalah berpunca dari slip disk.

Tulang belakang terdiri daripada tiga bahagian:

  • Vertebra (tulang individu pada tulang belakang yang melindungi saraf yang mendasari)
  • Saraf
  • Cakera (disks)

Cakera terdiri daripada tulang rawan yang merupakan bahan yang kuat dan berdaya tahan. Tulang rawan bertindak sebagai kusyen antara setiap vertebra dan membolehkan tulang belakang menjadi fleksibel. Slip disk berlaku apabila cakera ditolak dari tempat asal, meletakkan tekanan pada saraf sciatic.

Penyebab lain Sciatica termasuklah:

  • Stenosis tulang lumbar – penyempitan saraf tunjang.
  • Spondylolisthesis – Cakera tergelincir ke hadapan di bawah vertebra.
  • Tumor tulang belakang – Boleh memampatkan akar saraf sciatic.
  • Jangkitan – Menjejaskan tulang belakang secara menyeluruh.
  • Punca-punca lain – Contohnya seperti kecederaan/trauma pada tulang belakang.
  • Sindrom Cauda equina – Keadaan yang jarang berlaku tetapi amat serius dan boleh menjejaskan saraf di bahagian bawah saraf tunjang. Ia memerlukan perhatian perubatan segera.

Diagnosis Sciatica

Sekiranya simptom Sciatica yang dialami adalah ringan dan tidak berlangsung selama lebih dari 4-8 minggu, ia dikategorikan sebagai sciatica akut dan perhatian perubatan selalunya tidak diperlukan.

Sejarah perubatan anda yang lengkap dapat membantu mempercepatkan diagnosis. Doktor juga akan meminta anda untuk melakukan senaman asas yang boleh meregangkan saraf sciatic. Sekiranya anda mengalami kesakitan di seluruh kaki semasa melakukan senaman ini, ia adalah penanda anda menghidap Sciatica.

Jika kesakitan anda berterusan selama lebih dari 4-8 minggu, ujian pencitraan seperti X-ray atau MRI mungkin diperlukan untuk membantu mengenal pasti apa yang memampatkan saraf sciatic dan menyebabkan simptom anda.

Faktor Risiko Sciatica

Faktor risiko untuk Sciatica termasuklah:

  • Umur. Perubahan yang berkaitan dengan umur pada tulang belakang, seperti hernia cakera dan ‘bone spur’ adalah punca utama penyakit Sciatica.
  • Obesiti. Berat berlebihan akan menambahkan tekanan pada tulang belakang anda justeru menyumbang kepada perubahan tulang belakang yang mencetuskan Sciatica.
  • Kerja. Pekerjaan yang memerlukan anda untuk memusingkan belakang anda, membawa barang-barang berat atau memandu kenderaan bermotor untuk jangka masa panjang boleh memainkan peranan dalam risiko penyakit Sciatica. Namun begitu, tiada bukti muktamad mengenai kaitan  ini.
  • Duduk berpanjangan. Orang yang duduk dalam tempoh yang panjang atau memiliki gaya hidup yang tidak aktif lebih cenderung untuk menghidapi Sciatica berbanding individu yang aktif.
  • Diabetes. Penyakit ini boleh menjejaskan fungsi badan anda menggunakan gula darah dan meningkatkan risiko kerosakan saraf anda.

Rawatan Sciatica

Jika kesakitan anda tidak bertambah baik melalui langkah penjagaan diri, doktor akan mencadangkan beberapa rawatan berikut.

– Ubat-ubatan

Jenis-jenis ubat yang mungkin diberikan untuk kesakitan Sciatica termasuklah:

  • Anti-radang
  • Menenangkan otot
  • Narkotik
  • Antidepresan Tricyclic
  • Ubat anti-sawan
  • Terapi fizikal

Sebaik sahaja kesakitan akut anda bertambah baik, doktor atau ahli terapi fizikal anda boleh menjalankan program pemulihan untuk membantu anda mencegah kecederaan di masa hadapan. Ia terdiri daripada senaman untuk membetulkan postur anda, menguatkan otot yang menyokong belakang anda dan meningkatkan kelenturan anda.

– Suntikan steroid

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mengesyorkan suntikan ubat kortikosteroid ke kawasan di sekitar akar saraf yang terlibat. Kortikosteroid membantu mengurangkan kesakitan dengan cara mengurangkan keradangan di sekitar saraf yang terjejas. Kesannya akan berlangsung selama beberapa bulan. Bilangan suntikan steroid yang anda terima adalah terhad kerana risiko kesan sampingan yang serius akan meningkat apabila suntikan dilakukan terlalu kerap.

– Pembedahan

Pembedahan biasanya dikhaskan apabila saraf yang termampat menyebabkan kelemahan yang ketara, hilang kawalan usus atau pundi kencing atau apabila anda mengalami kesakitan yang semakin bertambah teruk dan tidak pulih dengan terapi lain. Pakar bedah akan mengeluarkan ‘bone spur’ atau sebahagian daripada hernia cakera yang menekan pada saraf sehingga menyebabkannya tersepit.

Sumber:

https://www.webmd.com/back-pain/what-is-sciatica

https://www.medicalnewstoday.com/articles/7619

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/12792-sciatica

https://www.healthline.com/health/back-pain/sciatic-stretches

Summary
Sciatica - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sciatica - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sciatica merujuk kepada sakit belakang yang disebabkan oleh masalah pada saraf sciatic iaitu saraf dari bawah belakang sehingga ke betis.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: