Now Reading
Jenis Sawan (Epilepsy), Simptom, Punca, Rawatan dan Pencegahannya

Jenis Sawan (Epilepsy), Simptom, Punca, Rawatan dan Pencegahannya

Epilepsi

Sekiranya anda melakukan pergerakan di luar kawalan secara tiba-tiba seperti sentakan pada lengan atau kaki anda, ianya mungkin berlaku disebabkan epilepsi. Sawan atau Epilepsi adalah satu keadaan berpunca daripada aktiviti elektrik yang luar biasa dalam otak anda yang dikenali sebagai sawan.

Penyakit sawan tidak berbahaya dan hanya berlaku dalam tempoh yang singkat. Namun begitu, kesan selepas berlakunya sawan boleh mencederakan anda dan mengundang bahaya sekiranya anda terkena serangan sewaktu melakukan aktiviti seperti memandu, berjalan kaki, memasak dan sebagainya.

Kesan epilepsi adalah berbeza bagi setiap individu. Doktor biasanya akan membantu bagi mencari rawatan yang tepat untuk mengawal sawan yang menyerang anda.

 

Jenis Sawan

Sawan bukanlah satu jenis penyakit atau satu keadaan yang tertentu. Terdapat pelbagai jenis epilepsi dengan gejala dan corak yang berlainan. Jadi, ianya penting agar anda mengetahui jenis sawan yang dialami. Ini boleh membantu anda dan doktor untuk memahami rawatan yang anda perlukan, pencetus yang perlu dielak dan perkara yang perlu dijangka pada masa akan datang.

Semua jenis sawan mempunyai simptom sama iaitu sawan. Ini merupakan lonjakan elektrik di otak anda. Lonjakan elektrik ini adalah seperti ribut elektrik yang menghentikan sel-sel otak anda daripada bekerja secara normal.

Sekiranya anda mengalami sawan yang disebabkan oleh epilepsi, doktor akan mengikuti tiga langkah tersebut untuk memberikan diagnosis yang betul.

  1. Mengetahui jenis sawan yang anda miliki.
  2. Berdasarkan jenis sawan itu, jenis epilepsi yang anda miliki dapat dipastikan.
  3. Memutuskan sama ada anda mempunyai sindrom epilepsi tertentu atau tidak.

Untuk mendapatkan kepastian, doktor akan bertanya beberapa soalan dan menjalankan ujian seperti elektroensefalogram untuk memeriksa gelombang otak anda.

Pakar kini telah membahagikan epilepsi kepada empat jenis asas berdasarkan sawan yang anda alami:

  • Epilepsi umum.
  • Epilepsi fokal.
  • Epilepsi umum dan fokal.
  • Epilepsi yang tidak diketahui sama ada ia epilepsi umum atau epilepsi fokal.

– Epilepsi Umum

Jika anda mempunyai epilepsi jenis ini, serangan sawan bermula pada kedua-dua belah otak (atau menjejaskan rangkaian sel-sel otak di kedua-dua belah bahagian otak dengan cepat). Epilepsi jenis ini mempunyai dua jenis sawan yang biasa iaitu:

  • Sawan jenis umum yang bermotor (generalized motor seizures). Ia juga pernah dikenali sebagai sawan “grand mal”. Sawan ini menyebabkan tubuh anda bergerak dengan cara yang tidak dapat dikawal, kadangkala secara dramatik. Kejutan tonik-klonik adalah satu contoh bagi sawan jenis ini. Apabila ia menyerang, anda akan hilang kesedaran dan otot-otot anda mengejang dan tersentak-sentak. Jenis lain yang anda boleh dengar daripada doktor anda termasuklah klonik, tonik dan myoklonik.
  • Sawan jenis umum yang tidak bermotor (generalized non-motor seizures). Ia pernah dikenali sebagai sawan “petit mal”. Doktor mengenali sesetengah jenis epilepsi tertentu sebagai tipikal, atipikal dan myoklonik.

Sewaktu mengalami sawan ini, badan anda akan berhenti bergerak dan mata anda akan memandang ke atas. Anda juga berkemungkinan melakukan gerakan yang sama berulang kali seperti menampar (smack) bibir anda. Jenis sawan ini biasanya dipanggil sawan yang “hilang” kerana individu yang mengalami sawan ini seolah-seolah tiada dalam badan mereka.

 

– Epilepsi Fokal

Bagi epilepsi jenis ini, sawan cuma terjadi di kawasan tertentu (atau rangkaian sel-sel otak) pada satu sisi otak sahaja. Ianya juga pernah dikenali sebagai “sawan separa”.

Terdapat 4 kategori sawan jenis epilepsi fokal:

  • Sawan fokal yang jelas. Jika anda tahu apa yang berlaku semasa anda terkena sawan, ianya dinamakan sawan “sedar” atau juga pernah dikenali sebagai “sawan separa yang biasa.”
  • Sawan kesedaran fokal yang terjejas. Jika anda bingung atau tidak tahu (atau tidak ingat) apa yang berlaku semasa anda mengalami sawan, ia dikenali sebagai sawan kesedaran yang merosot ataupun pernah dikenali sebagai “sawan separa kompleks.”
  • Sawan fokal yang bermotor. Sewaktu mengalami sawan ini, anda akan melakukan pergerakan tertentu seperti pergerakan tersentak-sentak, kekejangan, menggosok tangan berulang kali ataupun berjalan ulang alik. Antara nama lain yang anda boleh dengar daripada doktor anda adalah atonik, klonik, kekejangan epileptik (epileptic spasms), myoklonik dan tonik.
  • Sawan fokal yang tidak bermotor. Jenis sawan ini tidak menyebabkan kekejangan atau pergerakan lain. Sebaliknya, ia menyebabkan perubahan pada emosi atau pemikiran anda. Anda mungkin mempunyai emosi yang dahsyat, perasaan aneh atau gejala seperti degupan jantung yang laju, perasaan seram sejuk atau gelombang panas atau sejuk.

– Epilepsi Umum dan Fokal

Sama seperti namanya, epilepsi ini adalah sejenis epilepsi di mana seseorang diserang dengan kedua-dua serangan epilepsi umum dan fokal.

 

– Epilepsi yang tidak dapat ditentukan

Kadangkala, doktor berasa yakin bahawa seseorang itu mempunyai epilepsi, tetapi mereka tidak dapat memastikan dengan tepat sama ada sawan itu merupakan jenis umum atau fokal. Ini boleh berlaku jika anda mengalami sawan ketika bersendirian dan tidak dapat menggambarkan apa yang telah berlaku. Doktor anda juga boleh mengklasifikasikan jenis epilepsi ini sebagai “tidak diketahui sebagai epilepsi umum atau fokal” jika keputusan ujian anda tidak jelas.

 

– Sindrom Epilepsi

Tambahan kepada jenis epilepsi yang ada, anda juga boleh mengalami sindrom epilepsi. Sindrom epilepsi adalah lebih spesifik berbanding jenis epilepsi. Doktor akan mendiagnosis sindrom berdasarkan gejala atau tanda-tanda yang berlaku sewaktu serangan sawan.

Antara ciri-ciri ini termasuklah umur ketika anda mula diserang sawan, jenis sawan yang anda miliki, pencetus sawan, waktu tertentu ketika sawan itu kerap berlaku dan banyak lagi.

Terdapat puluhan sindrom sawan epilepsi termasuk termasuk sindrom West, sindrom Doose, sindrom Rasmussen dan sindrom Lennox-Gastaut.

 

Simptom Sawan

Sawan boleh membuatkan anda bergerak di luar kawalan atau mempunyai perasaan aneh atau kedua-duanya sekali. Gejala yang anda alami mungkin bergantung pada jenis sawan yang menyerang anda.

Semasa sawan, anda berkemungkinan:

  • Mendongak dan memandang ke atas.
  • Berasa keliru atau tidak tahu anda berada di mana.
  • Pengsan.
  • Mengalami kekejangan dan sentakan di lengan dan kaki anda.
  • Menggosok-gosok tangan anda, menampar (smack) bibir anda atau membuat pergerakan yang aneh.
  • Menyedari bau, rasa, bunyi atau pemandangan yang aneh.
  • Berasa aneh secara amnya.

Gejala ini boleh terjadi selama beberapa saat hingga beberapa minit. Kebanyakan individu mempunyai simptom yang sama setiap kali mereka mengalami sawan.

 

Punca Sawan

Epilepsi adalah salah satu gangguan otak yang kerap berlaku. Kira-kira 150,000 orang didiagnosis dengan epilepsi setiap tahun di luar negara. Namun begitu, doktor selalunya tidak dapat mencari punca mengapa ia berlaku. Malah, separuh dari kes yang dilaporkan masih tidak diketahui puncanya. Sekiranya punca kepada epilepsi anda tidak dapat ditemui, epilepsi tersebut dipanggil sebagai ‘epilepsi kriptogenik’.

Kadangkala, doktor dapat mengesan punca epilepsi atau faktor yang berkemungkinan mencetuskan epilepsi. Kebanyakan individu yang mengalami epilepsi mendapat serangan sama ada pada waktu kanak-kanak atau selepas berumur 60 tahun. Namun begitu, anda juga masih boleh diserang sawan walaupun tidak tergolong dalam kategori umur berikut.

Faktor-faktor paling umum yang menyebabkan epilepsi termasuklah:

 

– Sejarah keluarga

Gen memainkan peranan yang besar bagi penyakit Epilepsi. Sebanyak 40% daripada semua kes epilepsi berlaku terhadap pesakit yang mempunyai faktor genetik dan lebih cenderung mendapat penyakit ini. Epilepsi tidak mempunyai satu gen tertentu, malah sesetengah pakar berpendapat terdapat sebanyak 500 gen yang menyumbang kepada serangan epilepsi.

Jika anda mempunyai ibu atau bapa yang mengalami epilepsi, anda mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkannya. Doktor masih tidak pasti bagaimana epilepsi boleh diwarisi dan mereka beranggapan bahawa ianya mungkin berkaitan dengan mutasi gen yang mempengaruhi sel-sel saraf di dalam otak. Walau bagaimanapun, ianya tidak mustahil jika anda mempunyai mutasi gen ini tetapi tidak mendapat epilepsi.

Kombinasi genetik dengan faktor yang lain seperti keadaan perubatan mungkin juga menjadi penyumbang kepada epilepsi.

 

– Kecederaan pada bahagian kepala atau otak

Ini juga boleh mencetuskan sawan. Jika sawan itu terjadi hanya sekali dan tidak berulang, maka anda tidak mempunyai epilepsi. Namun, jika ia berulang maka anda berkemungkinan mengalami epilepsi ‘post traumatic’. Ia juga boleh berlaku selepas individu melakukan pembedahan otak. Selain itu, anda juga mungkin tidak mendapat epilepsi dengan segera, kerana ia berkemungkinan berlaku selepas beberapa tahun lamanya.

 

– Keadaan otak

Kebanyakan kes epilepsi terjadi pada pesakit yang berusia lebih dari 35 tahun kerana kerosakan otak yang berpunca daripada strok. Masalah otak lain yang boleh menyebabkan epilepsi termasuklah:

  • Tumor.
  • Masalah pembuluh darah seperti pengerasan arteri di bahagian otak.
  • Strok.
  • Penyakit Alzheimer.
  • Penyakit Sklerosis ‘Tuberous’, keadaan genetik yang boleh menyebabkan pertumbuhan dalam otak.

 

– Penyakit-penyakit berjangkit

Keadaan yang berpunca daripada jangkitan virus atau bakteria boleh menyebabkan epilepsi, terutamanya jika virus atau bakteria itu telah menjangkiti otak anda. Beberapa penyebab yang kerap dijumpai adalah:

  • AIDS
  • Ensefalitis Viral
  • Meningitis

– Gangguan perkembangan

Sesetengah gangguan perkembangan meningkatkan kebarangkalian penyakit epilepsi, termasuklah:

  • Sindrom Down.
  • Autisme.
  • Neurofibromatosis, keadaan genetik yang menyebabkan tumor bukan kanser tumbuh dan membesar pada penutup saraf.

– Kecederaan sebelum, semasa atau tidak lama selepas kelahiran

Apa-apa masalah dengan perkembangan otak di dalam rahim atau pada peringkat awal kehamilan dapat meningkatkan peluang epilepsi. Kerosakan otak boleh berlaku kepada bayi dalam rahim kerana banyak sebab, termasuklah:

  • Jangkitan pada ibu.
  • Pemakanan tidak sihat.
  • Oksigen yang terlalu sedikit.

Sekiranya terdapat masalah semasa kelahiran, atau jika bayi dilahirkan dengan kecacatan otak, ini juga boleh menjadi punca berlakunya epilepsi.

 

Diagnosis Sawan

Jika anda berasa bahawa anda mempunyai keadaan epilepsi, berjumpalah dengan doktor. Anda mungkin akan dirujuk kepada pakar gangguan otak yang dipanggil ahli neurologi.

Doktor anda akan bertanyakan soalan mengenai serangan sawan yang anda alami seperti:

  • Bilakah serangan pertama berlaku?
  • Apa yang anda lakukan sebelum sawan berlaku?
  • Apa yang anda rasa sewaktu sawan terjadi?
  • Adakah anda mengalami lebih daripada satu serangan? Berapakah jumlah keseluruhan serangan sawan itu?
  • Adakah anda berasa letih atau keliru selepas serangan sawan berlaku?

Anda juga boleh mendapatkan ujian neurologi, iaitu satu siri ujian yang mengenal pasti sejauh mana fungsi otak dan sistem saraf anda berfungsi. Doktor akan memeriksa:

  • Kemahiran berjalan anda.
  • Refleks dan koordinasi anda.
  • Otot anda.
  • Deria anda.
  • Keupayaan anda untuk berfikir.

Ujian lain yang mungkin dicadangkan oleh doktor untuk mengetahui jika anda mempunyai epilepsi atau tidak adalah melalui:

  • Elektroensefalogram. Ujian ini akan memeriksa masalah berkaitan dengan aktiviti elektrik di bahagian otak anda.
  • Ujian darah. Ujian ini akan mencari tanda-tanda jangkitan dan masalah perubatan lain yang boleh menyebabkan sawan.
  • Ujian tomografi berkomputer (CT scan). Ianya merupakan sinaran- X yang kuat dan dapat memberi gambar terperinci otak anda. Pemeriksaan CT boleh menemui penyebab sawan yang lain seperti tumor atau jangkitan.
  • Ujian pengimejan resonans magnetik (MRI scan). Ianya menggunakan magnet yang kuat dan gelombang radio untuk mendapatkan gambaran otak anda. Ujian ini juga boleh mencari masalah di otak anda seperti tumor atau jangkitan.

Untuk mendapatkan diagnosis epilepsi, anda mesti mempunyai dua atau lebih serangan sawan sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam yang berasingan.

 

Faktor Risiko Sawan

Faktor risiko epilepsi yang umum termasuklah:

  • Usia: Epilepsi paling kerap berlaku semasa fasa kanak-kanak dan fasa golongan dewasa yang semakin berumur. Semasa tempoh neonatal dan peringkat permulaan bayi, punca epilepsi yang paling biasa termasuklah keabnormalan otak kongenital, jangkitan otak, trauma dan gangguan metabolik.
  • Kecederaan kepala: Apa-apa jenis kecederaan yang mendalam pada otak boleh menyebabkan seseorang berisiko untuk mendapat epilepsi. Orang dewasa yang lebih berumur mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana lebih cenderung untuk terjatuh dan menyebabkan kecederaan pada kepala.
  • Strok otak: Keadaan perubatan yang berlaku apabila bekalan darah ke otak berkurangan atau tersekat boleh mengakibatkan kekurangan oksigen ke tisu otak. Terdapat dua kategori utama strok otak iaitu yang berlaku disebabkan oleh penyumbatan darah (iskemia) dan juga yang berlaku disebabkan oleh pendarahan ke dalam otak (hemorhagik).
  • Demensia: Ia adalah sejenis gangguan otak yang disertai dengan beberapa gejala yang menunjukkan gangguan dan kehilangan fungsi otak. Demensia menyebabkan kemerosotan progresif semua aspek kognitif, seperti tingkah laku, memori, perhatian, keupayaan analisis, pemikiran, kemahiran berbahasa dan fungsi otak yang lain. Risiko epilepsi adalah lebih tinggi bagi warga emas yang menghidap demensia.
  • Jangkitan otak: Bisul otak adalah bahan berjangkit yang berkumpul dalam tisu otak dan bertindak sebagai luka yang memenuhi ruang otak. Ia boleh menyebabkan demam, muntah dan sawan. Ensafalitis boleh mendorong berlakunya keradangan otak yang mempunyai gejala serius seperti kekeliruan dan sawan.
  • Penyakit otak degeneratif: Masalah ini berlaku disebabkan oleh kemerosotan sel-sel saraf dalam sistem saraf. Ia biasanya dikesan dalam kalangan pesakit yang sudah berumur. Genetik memainkan peranan penting dalam perkembangan penyakit otak degeneratif.
  • Keadaan kongenital: Kanak-kanak dengan sindrom Down, sindrom Angelman dan ‘Sklerosis Tuberous’ berisiko terkena sawan
  • Sejarah keluarga: Risiko bagi individu untuk mengalami epilepsi adalah tinggi jika terdapat sejarah Epilepsi dalam kalangan keluarga terdekat. Epilepsi kanak-kanak seperti Epilepsi Kanak-Kanak “Hilang” dan Epilepsi Myoklonik Remaja boleh diwarisi daripada ibu bapa kepada kanak-kanak.

Ianya penting untuk mengetahui bahawa mempunyai faktor risiko tidak bermakna seseorang itu akan mengalami epilepsi. Faktor risiko meningkatkan kebarangkalian serangan epilepsi berbanding individu yang tidak mempunyai faktor risiko itu. Beberapa faktor risiko adalah lebih penting daripada yang lain.

 

Rawatan Sawan

Doktor biasanya merawat epilepsi dengan penggunaan ubat, pembedahan, peranti dan kadangkala, pemakanan. Doktor mungkin mencadangkan anda mencuba beberapa rawatan seperti:

 

– Ubat anti-sawan

Ubat-ubatan adalah cara utama untuk mengawal epilepsi. Doktor anda boleh mengesyorkan salah satu ubat ini:

  • Asid valproic (Valporal).
  • Cannabidiol (Epidiolex).
  • Carbamazepine (Tegretol).
  • Clonazepam (Klonopin).
  • Diazepam (Valium).
  • Divalproex natrium (Depacon, Depakote).
  • Gabapentin (Neurontin).
  • Lorazepam (Ativan).
  • Phenytoin (Dilantin).
  • Pregabalin (Lyrica).
  • Topiramate (Topamax).

Ubat yang anda terima bergantung kepada jenis sawan yang anda alami. Jika ubat pertama yang anda cuba tidak berkesan, doktor akan menukar ubat tersebut dengan yang lain.

 

– Pembedahan

Cara ini menjadi pilihan jika ubat tidak boleh mengawal sawan anda atau sawan yang anda alami berpunca daripada masalah otak seperti tumor atau angin ahmar.

Semasa pembedahan, doktor akan mengeluarkan sebahagian kecil otak anda yang menyebabkan sawan, atau doktor juga boleh membuat pemotongan kecil di dalam otak untuk mengelakkan sawan daripada merebak.

 

– Peranti

Terdapat dua jenis peranti yang diluluskan untuk rawatan epilepsi:

  • Perangsang saraf vagus (vagus nerve stimulation) akan menghantar denyutan tenaga elektrik yang biasa ke otak untuk mengelakkan sawan. Peranti ini biasanya diletakkan bawah kulit di bahagian dada anda.
  • Neurostimulasi responsif (responsive neurostimulation) juga menghantar denyutan ke otak, tetapi melalui peranti yang ditempatkan di bawah kulit kepala oleh doktor.

– Diet ketogenik

Diet ini adalah pelan makanan yang tinggi dalam kandungan lemak dan rendah dalam kandungan karbohidrat yang membantu mengawal sawan dalam kalangan kanak-kanak. Ia mungkin berkesan untuk orang dewasa, tetapi banyak kajian perlu dilakukan terlebih dahulu. Diet ketogenik adalah tegas dan rumit. Oleh itu, anda perlu sentiasa merujuk kepada doktor anda.

 

Langkah Pencegahan Epilepsi

  • Pakai tali pinggang keledar dan topi keledar untuk mengelakkan kecederaan kepala yang kerap menjadi punca epilepsi.
  • Elakkan pengambilan minuman keras secara berlebihan dan penggunaan dadah yang terlarang.
  • Sentiasa berkomunikasi dengan doktor anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang kesan sampingan ubat-ubatan atau dos yang diberikan. Jangan cuba membuat perubahan kepada penggunaan ubat anda tanpa merujuk doktor terlebih dahulu.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/epilepsy/symptoms-causes/syc-20350093#:~:text=Epilepsy%20is%20a%20central%20nervous,races%2C%20ethnic%20backgrounds%20and%20ages.

https://www.healthline.com/health/epilepsy

https://www.medicalnewstoday.com/articles/8947

https://www.webmd.com/epilepsy/default.htm

error: Content is protected !!