sawan lobus temporal
Sawan lobus temporal adalah tempoh tingkah laku atau perasaan yang luar biasa, dan dalam beberapa kes boleh menyebabkan kehilangan kesedaran.

Epilepsi adalah gangguan otak yang menyebabkan perubahan dalam aktiviti sel otak dan menyebabkan sawan. Sawan adalah tempoh tingkah laku atau perasaan yang luar biasa, dan dalam beberapa kes boleh menyebabkan kehilangan kesedaran. Epilepsi lobus temporal adalah salah satu daripada 20 jenis epilepsi yang berlainan.

Terdapat dua jenis sawan lobus temporal. Setiap satunya ditakrifkan oleh bahagian asal lobus temporal. Satu jenis bermula di bahagian tengah (dalaman) wilayah lobus temporal, manakala yang lain bermula di rantau neokortik (sisi) lobus temporal. Lobus temporal otak ialah bahagian otak yang mengendalikan emosi dan juga membantu memproses dan menyimpan kenangan jangka pendek.

Seterusnya, sawan jenis lobus temporal dapat diklasifikasikan dengan lebih lanjut. Sekiranya kehilangan kesedaran berlaku, ia dipanggil sebagai sawan separa kompleks. Jika anda masih sedar, ia dipanggil sebagai sawan separa mudah. Dalam kebanyakan kes, individu masih sedar semasa sawan lobus temporal terjadi dan ini adalah kes bagi sawan separa mudah.

Simptom Sawan lobus temporal

Sawan yang berasal dari lobus temporal otak boleh didahului dengan aura atau amaran, seperti: 

  • Rasa sensasi yang tidak normal (mungkin merangkumi perasaan yang meningkat atau “pelik” di bawah tulang dada atau di bahagian perut anda).  
  • Halusinasi (termasuk pandangan, bau, rasa).
  • Dejavu yang jelas (rasa kebiasaan) atau mengenang kembali kenangan atau emosi.
  • Emosi mendadak yang tidak berkaitan dengan apa-apa perkara pada masa itu.

Semasa sawan terjadi, seseorang mungkin mengalami gangguan motor, gejala deria, atau gejala autonomi.

Gangguan motor atau pergerakan (dipanggil automatisme) mungkin termasuk:

  • Otot berirama yang mengecut pada satu bahagian badan atau muka.
  • Tingkah laku mulut yang tidak normal (mengetap bibir, mengunyah tanpa sebab, air liur meleleh).
  • Pergerakan kepala yang tidak normal (pergerakan kepala atau mata seperti dipaksa).
  • Pergerakan berulang (seperti menyentuh pakaian).

Gejala deria lain mungkin termasuk sensasi berikut yang bermula di satu kawasan dan merebak:

  • Rasa kebas.
  • Rasa sesemut.
  • Mempunyai perasaan seperti daging kita sedang bergerak.
  • Sakit perut atau loya.
  • Berpeluh, kemerahan kulit, anak mata dikembangkan atau degupan jantung yang laju.

Bergantung kepada sama ada orang itu kekal sedar atau tidak, dia mungkin tidak mengingati kejadian sawan tersebut sama sekali. Tempoh kekeliruan ini sering berlaku selepas serangan sawan dan boleh berlarutan sehingga beberapa minit. 

Punca Sawan lobus temporal

Biasanya, punca sawan lobus temporal masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ia boleh terhasil daripada beberapa faktor, termasuk:

  • Kecederaan otak.
  • Jangkitan seperti ensefalitis atau meningitis mahupun sejarah dengan jangkitan sedemikian.
  • Proses yang menyebabkan parut (gliosis) dalam sebahagian lobus temporal yang disebut hipokampus.
  • Malformasi saluran darah di dalam otak.
  • Strok.
  • Tumor otak.
  • Sindrom genetik.

Dalam kejadian normal perlakuan bangun tidur dan tidur, sel-sel otak anda menghasilkan aktiviti yang berbeza. Sekiranya aktiviti elektrik di dalam sel-sel otak digerakkan secara sama dengan tidak normal, kejutan atau sawan mungkin berlaku.

Diagnosis Sawan lobus temporal

Seorang doktor boleh mendiagnosis sawan lobus temporal berdasarkan penerangan terperinci tentang bagaimana sawan itu berlaku. Biasanya, seorang saksi iaitu pihak ketiga diperlukan untuk menggambarkan kejadian sawan, kerana mereka mungkin lebih mengingati apa yang telah berlaku.

Prosedur radiologi standard yang digunakan untuk mendiagnosis epilepsi lobus temporal adalah seperti imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan) yang dilakukan pada otak. Doktor kemudian akan mencari keabnormalan otak yang berkaitan dengan epilepsi lobus temporal. 

Di samping itu, doktor juga akan melakukan elektroensefalogram (EEG), satu ujian yang digunakan untuk mengukur aktiviti elektrik otak. Gelombang tajam yang dilihat di EEG pada lokasi yang betul biasanya boleh menunjukkan epilepsi lobus temporal. Doktor juga kadangkala dapat mengesan kejadian sawan dalam video monitor EEG, biasanya apabila dia ingin menentukan sama ada pembedahan akan membantu untuk merawat sawan setempat atau tidak. 

Faktor Risiko sawan lobus temporal

Faktor risiko yang paling biasa untuk epilepsi lobus temporal adalah mengalami sawan, terutamanya sawan yang tahan begitu lama dan demam. Faktor risiko umum lain untuk epilepsi lobus temporal termasuk:

  • Kecederaan kepala dengan kehilangan kesedaran.
  • Kecederaan awal kanak-kanak.
  • Kecederaan semasa kelahiran.
  • Kecacatan otak.
  • Jangkitan.
  • Tumor otak.

Kebanyakan kes epilepsi lobus temporal bermula di akhir usia remaja atau lewat 20-an. Pakar juga mengatakan bahawa bagi seorang wanita, perubahan hormon yang memberi kesan kepada kitaran haid dan ovulasi berkemungkinan besar boleh mengakibatkan sawan.

Rawatan Sawan lobus temporal

Kebanyakan orang yang menghidapi epilepsi lobus temporal bertindak balas terhadap ubat-ubatan anti-epilepsi. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan, termasuk keletihan, penambahan berat badan dan pening. Ia juga mungkin mengganggu ubat-ubatan lain, seperti pil kontraseptif. 

Namun begitu, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan individu yang menghidapi epilepsi lobus temporal tidak bertindak balas terhadap ubat secara semata-mata dan memerlukan intervensi rawatan lain untuk merawat gangguan ini.

Jadi, pembedahan adalah satu lagi rawatan yang biasa bagi pesakit epilepsi lobus temporal. Ia digunakan untuk menghapuskan atau mengurangkan bilangan sawan yang dialami seseorang. Semua pembedahan mempunyai risikonya tersendiri dan pembedahan yang tidak berjaya sebenarnya boleh menimbulkan masalah neurologi.

Jenis intervensi perubatan lain yang digunakan untuk mengubati masalah sawan lobus temporal termasuklah:

  • Rangsangan saraf vagus: Peranti rangsangan ditanam melalui pembedahan ke dada di bawah tulang selangka dengan wayar daripada alat perangsang yang bersambung ke saraf vagus di leher. Ini dapat membantu mengurangkan frekuensi dan intensiti sawan yang berlaku.
  • Neurostimulasi responsif: Peranti rangsangan ditanamkan pada permukaan otak atau di dalam tisu otak, dan dilampirkan dengan penjana kuasa bateri yang melekat pada tengkorak berhampiran otak. Peranti ini akan mengesan kejadian sawan dan menghantar rangsangan elektrik ke kawasan di mana sawan itu berlaku dalam cubaan untuk menghentikannya.
  • Rangsangan otak yang mendalam: Ini adalah rawatan percubaan yang melibatkan implantasi elektrod pada bahagian dalam otak yang disebut ‘thalamus’. Elektrod ini kemudian akan mengeluarkan isyarat elektrik yang boleh menghentikan sawan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/temporal-lobe-seizure/symptoms-causes/syc-20378214

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17778-temporal-lobe-seizures

https://www.healthline.com/health/temporal-lobe-epilepsy

Summary
Sawan lobus temporal (Temporal lobe seizure) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sawan lobus temporal (Temporal lobe seizure) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sawan lobus temporal adalah salah satu daripada 20 jenis epilepsi berlainan.Ia berlaku apabila gangguan otak menyebabkan perubahan dalam sel otak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: