kaposi sarkoma
Kaposi Sarkoma (KS) adalah sejenis kanser di mana tumor dengan saluran darah kecil tumbuh di bawah permukaan kulit dan di mulut, hidung, mata dan dubur anda.

Sarkoma Kaposi adalah sejenis kanser di mana tumor dengan saluran darah kecil tumbuh di bawah permukaan kulit dan di mulut, hidung, mata dan dubur anda. Ia juga boleh merebak ke bahagian paru-paru, hati, perut, usus dan nodus limfa iaitu kelenjar yang membantu anda melawan jangkitan.

Secara amnya, sistem kekebalan tubuh pesakit AIDS ditekan sehingga keadaan Sarkoma Kaposi dapat berkembang.

Tetapi, jika anda menghidap Sarkoma Kaposi, itu tidak bermakna bahawa anda juga menghidap AIDS. Ini kerana keadaan ini boleh berkembang pada orang yang sihat juga.

Jenis Sarkoma Kaposi

Terdapat empat jenis Sarkoma Kaposi seperti:

  • Epidemik/ berkaitan AIDS. Ini adalah jenis yang paling biasa berlaku. Ia mempengaruhi individu yang menghidap HIV. Malah, ia juga dikenali sebagai penyakit yang mendefinisikan AIDS kerana boleh menjadi petanda bahawa jangkitan HIV seseorang individu itu telah berkembang menjadi AIDS.

  • Klasik. Jenis ini biasanya mempengaruhi golongan lelaki tua berketurunan Mediterranean, Timur Tengah, atau Eropah Timur.

  • Endemik. Kanak-kanak dan orang muda dari Afrika mendapat jenis Kaposi Sarkoma jenis ini.

  • Penekan imun. Jenis ini mempengaruhi individu yang telah melakukan pemindahan organ dan mengambil ubat-ubatan yang boleh melambatkan sistem imun mereka.

Simptom Sarkoma Kaposi

Individu dengan penyakit ini tidak selalunya menunjukkan sebarang tanda atau gejala. Walau bagaimanapun, pada kebanyakan individu, luka kulit adalah petanda lebih jelas yang menunjukkan adanya penyakit ini.

Selain itu, penyakit ini juga sering muncul sebagai tanda pada kulit dengan ciri-ciri berikut:

  • Berwarna coklat, ungu, merah jambu, atau merah, atau makula (perubahan warna kulit).
  • Kecenderungan untuk bergabung menjadi plak dan nodul yang mempunyai warna seperti biru-ungu hinggalah warna hitam.
  • Pembengkakan dan pertumbuhan ke luar atau pertumbuhan ke dalam di bahagian tisu lembut atau tulang yang sesekali berlaku.

Makula (perubahan warna kulit), plak, atau tumor mungkin kelihatan kebiruan atau keunguan jika tumor adalah luka mukosa. Ini adalah luka tisu mukosa, seperti tumor pada mulut atau tekak.

Luka pada ususgastro kerana Sarkoma Kaposi boleh menyebabkan najis berdarah. Ia juga biasanya berlaku tanpa gejala dan jarang sekali menyebabkan kesakitan, cirit-birit atau halangan fizikal.

Sekiranya Sarkoma Kaposi terdapat dalam lapisan paru-paru, ia boleh menyebabkan masalah sesak nafas kerana adanya penyumbatan. Pendarahan pada paru-paru pula mungkin membocorkan darah ke dalam lendir.

Punca Sarkoma Kaposi

Sarkoma Kaposi terjadi disebabkan oleh virus herpes HHV-8, yang juga disebut sebagai herpesvirus (KSHV) yang berkaitan dengan Sarkoma Kaposi. Ia merebak terutamanya melalui air liur, seperti semasa melakukan hubungan seksual atau ketika interaksi antara ibu dan anak.

Individu dengan sistem imun yang sihat boleh membawa virus tanpa masalah. Tetapi, ia dapat mencetuskan kanser pada merek dengan sistem imun yang lemah.

Seterusnya, ia lebih banyak mempengaruhi individu lelaki iaitu lapan kali lebih berbanding wanita. Di antara individu yang mempunyai HIV, lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki adalah lebih cenderung mempunyai virus dan mendapat penyakit ini.

Diagnosis Sarkoma Kaposi

Doktor biasanya dapat mendiagnosis dengan pemeriksaan visual serta dengan menanyakan beberapa soalan mengenai sejarah kesihatan anda. Memandangkan ada penyakit lain mungkin adalah serupa dengan Sarkoma Kaposi, ujian kedua mungkin diperlukan. Sekiranya tiada simptom tetapi doktor mengesyaki bahawa anda mungkin mengalaminya, anda mungkin perlu melakukan lebih banyak ujian.

Ujian bagi Sarkoma Kaposi boleh dilakukan melalui salah satu kaedah berikut, bergantung pada lokasi luka yang disyaki:

  • Biopsi melibatkan penyingkiran sel dari tempat yang disyaki. Doktor akan menghantar sampel ini ke makmal untuk diuji.

  • Imbasan sinar-X (X-ray) dapat membantu doktor mencari tanda-tanda Kaposi Sarkoma di paru-paru.

  • Endoskopi adalah prosedur bagi melihat bahagian dalam saluran gastrousus atas, yang merangkumi esofagus dan perut. Doktor boleh menggunakan tiub nipis yang panjang dengan kamera dan alat biopsi di hujungnya untuk melihat bahagian dalam saluran ini dan mengambil biopsi atau sampel tisu yang diperlukan.

  • Bronkoskopi adalah endoskopi paru-paru.

Faktor Risiko Sarkoma Kaposi

Faktor-faktor berikut dapat meningkatkan risiko seseorang:

  • Etnik. Individu berketurunan Yahudi atau Mediterranean, serta orang Afrika khatulistiwa, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengembangkan Sarkoma Kaposi.
  • Jantina. Individu lelaki mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapatkannya berbanding wanita.
  • Virus herpes manusia 8 (HHV-8). Virus ini, juga disebut Sarkoma Kaposi  herpesvirus (KSHV), boleh menyebabkan Sarkoma Kaposi. Walau bagaimanapun, kebanyakan individu dengan jangkitan HHV-8 tidak mengembangkan keadaan ini. Kanser ini muncul paling kerap apabila seseorang yang menghidap HHV-8 juga mempunyai masalah dengan fungsi sistem imun mereka.
  • Kekurangan imun. Individu dengan HIV/ AIDS dan individu dengan sistem imun yang ditekan setelah pemindahan organ mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat Kaposi Sarkoma.
  • Aktiviti seksual. Lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis mempunyai risiko jangkitan HHV-8 yang lebih tinggi serta HIV.

Rawatan Sarkoma Kaposi

Terdapat beberapa cara untuk merawatnya, termasuk:

  • penyingkiran
  • kemoterapi
  • interferon, yang merupakan agen antivirus
  • terapi radiasi

Bercakap dengan doktor untuk menentukan rawatan yang terbaik. Bergantung pada keadaan anda, pemerhatian juga mungkin disarankan dalam beberapa keadaan. Bagi kebanyakan individu dengan Kaposi Sarkoma yang berkaitan dengan AIDS, merawat AIDS dengan terapi antiretroviral mungkin sudah mencukupi untuk merawat keadaan ini.

Penyingkiran

Terdapat beberapa cara untuk membuang tumor Kaposi Sarkoma secara pembedahan. Pembedahan dilakukan jika seseorang hanya mempunyai beberapa luka kecil, dan mungkin menjadi satu-satunya intervensi yang diperlukan.

Cryotherapy boleh dilakukan untuk membekukan dan membunuh tumor. Electrodesiccation pula boleh dilakukan untuk membakar dan membunuh tumor. Terapi ini hanya merawat luka individu tetapi tidak dapat menahan luka baru kerana ia tidak mempengaruhi jangkitan HHV-8 yang mendasari.

Kemoterapi

Doktor perlu melakukan prosedur kemoterapi dengan berhati-hati memandangkan kebanyakan pesakit ini sudah mempunyai sistem imun yang kurang. Ubat yang paling biasa digunakan untuk merawat adalah doxorubicin lipid complex (Doxil). Kemoterapi biasanya hanya digunakan apabila terdapat penglibatan kulit yang besar, iaitu jika keadaan ini menyebabkan gejala pada organ dalaman, atau ketika luka kulit kecil tidak bertindak balas terhadap teknik penyingkiran seperti yang dijelaskan di atas.

Rawatan Lain

Interferon adalah protein yang secara semula jadi terdapat di dalam tubuh manusia. Seorang doktor boleh menyuntik versi yang dikembangkan secara perubatan untuk membantu pesakit jika mereka mempunyai sistem imun yang sihat.

Terapi radiasi adalah sinaran bertenaga tinggi yang disasarkan pada bahagian tubuh tertentu. Ia hanya berguna apabila luka tidak muncul di sebahagian besar badan.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://en.wikipedia.org/wiki/File:Kaposis_sarcoma_01.jpg

SUMBER

https://www.webmd.com/hiv-aids/guide/aids-hiv-opportunistic-infections-kaposis-sarcoma#1

https://www.healthline.com/health/kaposis-sarcoma

https://www.medicalnewstoday.com/articles/173259#what-is-it

https://www.cancer.net/cancer-types/sarcoma-kaposi/risk-factors-and-prevention

Summary
Sarkoma Kaposi (Kaposi Sarcoma) – Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sarkoma Kaposi (Kaposi Sarcoma) – Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sarkoma Kaposi adalah sejenis kanser di mana tumor dengan saluran darah kecil tumbuh di bawah permukaan kulit dan di mulut, hidung, mata dan dubur.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: