saraf tersepit
Saraf tersepit adalah sejenis kerosakan atau kecederaan pada saraf yang disebabkan oleh mampatan, penyempitan atau regangan di sekeliling saraf.

Saraf tersepit adalah sejenis kerosakan atau kecederaan pada saraf yang disebabkan oleh mampatan, penyempitan atau regangan di sekeliling saraf. Simptomnya termasuklah rasa kebas, menyucuk atau sensasi terbakar dan kesakitan yang merebak dari tempat yang cedera ke bahagian lain tubuh badan. Salah satu contoh yang paling biasa bagi saraf tersepit adalah perasaan seperti kaki atau tangan anda “tertidur”. Selain itu, saraf tersepit juga boleh mendorong kepada keadaan lain seperti neuropati periferal.

Tahap kecederaan yang dialami mungkin berbeza dari kerosakan ringan dan sementara hinggalah kecederaan yang lebih kekal. Diagnosis awal adalah penting untuk mencegah kerosakan atau komplikasi lanjutan. Saraf tersepit adalah keadaan yang biasa berlaku berikutan faktor pekerjaan tertentu.

Simptom Saraf Tersepit

Tanda-tanda dan simptom saraf tersepit merangkumi:

  • Rasa kebas atau kekurangan sensasi di kawasan yang dikelilingi saraf.
  • Kesakitan yang tajam, atau seperti terbakar yang mungkin merebak ke tempat lain.
  • Rasa berdenyut dan sensasi menyucuk (paresthesia).
  • Kelemahan otot di kawasan yang terjejas.
  • Kerap merasakan kaki atau tangan seperti “tertidur”.

Punca Saraf Tersepit

Saraf tersepit terjadi apabila terlalu banyak tekanan (mampatan) diterapkan pada saraf oleh tisu di sekelilingnya.

Dalam sesetengah kes, tisu ini mungkin adalah tulang rawan atau tulang lain yang memampatkan akar saraf seperti dalam kes ‘Slipped Disc’. Manakala, dalam kes lain pula, otot atau tendon boleh menyebabkan keadaan saraf tersepit.

Seterusnya, bagi kes Sindrom Carpal Tunnel pula, pelbagai tisu mungkin memainkan peranan dalam menyebabkan mampatan pada saraf tengah Carpal Tunnel, pembengkakan sarung tendon, pembesaran tulang dan penyempitan Carpal Tunnel, atau menebalkan dan memburukkan ligamen.

Beberapa keadaan yang boleh menyebabkan saraf tersepit, termasuk:

  • Kecederaan.
  • Artritis Reumatoid atau Artritis pergelangan tangan.
  • Tekanan daripada aktiviti berulang.
  • Hobi atau aktiviti sukan.
  • Obesiti.

Sekiranya saraf hanya tersepit untuk masa yang singkat, biasanya ia tidak menyebabkan kerosakan kekal. Setelah tekanan tersebut reda, fungsi saraf akan kembali seperti biasa. Walau bagaimanapun, jika tekanan itu berterusan, kesakitan kronik dan kerosakan saraf kekal boleh berlaku.

Diagnosis Saraf Tersepit

Doktor akan bertanya tentang simptom anda dan menjalankan pemeriksaan fizikal.

Sekiranya doktor mengesyaki anda mengalami Saraf Tersepit, anda mungkin perlu menjalani beberapa ujian. Ujian ini termasuk:

  • Kajian pengaliran saraf. Ujian ini mengukur impuls saraf elektrik dan fungsi dalam otot dan saraf melalui elektrod yang diletakkan pada kulit anda. Seterusnya, kajian ini juga mengukur impuls elektrik dalam isyarat saraf apabila aliran elektrik kecil melewati saraf anda. Hasil ujian akan mengesahkan sama ada saraf anda rosak atau tidak.
  • Electromiografi (EMG). Semasa EMG dilakukan, doktor akan memasukkan elektrod jarum melalui kulit anda ke dalam pelbagai otot. Ujian ini menilai aktiviti elektrik otot anda ketika kontraksi (contraction) dan ketika rehat (relax). Hasil ujian boleh memberitahu doktor jika terdapat kerosakan pada saraf anda.
  • Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan). Ujian ini menggunakan medan magnet dan gelombang radio yang kuat untuk menghasilkan imej terperinci badan anda dari pelbagai sudut. Ia boleh dijalankan jika doktor mengesyaki anda mempunyai akar saraf termampat.
  • Ultrabunyi resolusi tinggi. Ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej struktur di dalam badan anda. Ia berguna untuk mendiagnosis Sindrom Mampatan Saraf, seperti Sindrom Carpal Tunnel .

Faktor Risiko Saraf Tersepit

Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko anda mengalami Saraf Tersepit:

  • Jantina. Wanita lebih cenderung untuk mengembangkan Sindrom Carpal Tunnel, mungkin kerana mereka mempunyai Carpal Tunnel yang lebih kecil.
  • Bone Spur. Kecederaan atau keadaan yang menyebabkan penebalan tulang, seperti osteoartritis yang boleh menyebabkan ‘Bone Spur’. Keadaan ini dapat menegangkan tulang belakang serta menyempitkan ruang di mana saraf anda bergerak yang seterusnya menyebabkan keadaan Saraf Tersepit.
  • Artritis Reumatoid. Keradangan yang terjadi disebabkan oleh artritis reumatoid boleh memampatkan saraf, terutamanya pada sendi anda.
  • Penyakit Tiroid. Individu dengan penyakit tiroid mempunyai risiko lebih tinggi mengembangkan sindrom  Carpal Tunnel.

Faktor risiko lain termasuk:

  • Kencing Manis. Individu yang menghidap kencing manis mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah saraf tersepit.
  • Penggunaan tangan yang berlebihan. Pekerjaan atau hobi yang memerlukan pergerakan tangan, pergelangan tangan atau bahu yang berulang, seperti kerja-kerja pemasangan,  meningkatkan kemungkinan anda mengalami Saraf Tersepit
  • Obesiti. Berat badan berlebihan boleh menambah tekanan ke atas saraf.
  • Kehamilan. Peningkatan cecair dan penambahan berat badan yang berkaitan dengan kehamilan boleh menjadikan laluan saraf membengkak dan seterusnya memampatkan saraf anda.
  • Berbanding di tempat tidur dalam tempoh yang panjang. Berbaring dalam jangka masa panjang juga boleh meningkatkan risiko berlakunya Saraf Tersepit.

Rawatan Saraf Tersepit

Rawatan yang paling kerap disyorkan untuk masalah Saraf Tersepit adalah dengan cara merehatkan kawasan yang terjejas. Doktor akan meminta anda untuk menghentikan sebarang aktiviti yang menyebabkan atau memburukkan lagi pemampatan saraf anda.

Bergantung pada lokasi saraf tersepit itu, anda mungkin memerlukan anduh (splint) atau pendakap untuk membendung kawasan tersebut. Sekiranya anda mempunyai Sindrom Carpal Tunnel, doktor mungkin mengesyorkan anda memakai anduh pada siang hari dan juga pada waktu malam kerana pergelangan tangan berisiko untuk memanjang dan membengkok dengan kerap semasa tidur.

Terapi fizikal

Ahli terapi fizikal boleh mengajar anda latihan yang boleh menguatkan dan meregangkan otot-otot pada kawasan yang terjejas bagi melegakan tekanan pada saraf. Malah, ahli terapi juga boleh mengesyorkan anda melakukan perubahan dalam aktiviti yang boleh menjejaskan saraf.

Ubat-ubatan

Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs), seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB, yang lain) atau natrium naproxen (Aleve) boleh membantu melegakan kesakitan. Di samping itu, kortikosteroid yang diberikan melalui mulut atau suntikan juga boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan.

Pembedahan

Sekiranya Saraf Tersepit tidak bertambah baik selepas beberapa minggu hingga beberapa bulan walaupun anda menjalani rawatan konservatif, doktor boleh mengesyorkan pembedahan untuk merawat keadaan saraf anda. Jenis pembedahan adalah berbeza dan bergantung pada lokasi berlakunya penyempitan saraf tersebut.

Pembedahan mungkin melibatkan pengeluaran ‘Bone Spur’ atau sebahagian daripada ‘Slipped Disc’ di tulang belakang anda. Doktor juga mungkin memotong ligamen Carpal bagi memberikan lebih banyak ruang bagi saraf untuk bergerak melalui pergelangan tangan.

Sumber:

https://www.webmd.com/pain-management/guide/compressed-nerves

https://www.medicinenet.com/pinched_nerve_overview/article.htm

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pinched-nerve/symptoms-causes/syc-20354746

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/6481-pinched-nerves

Summary
Saraf tersepit (Pinched nerve) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Saraf tersepit (Pinched nerve) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Saraf tersepit adalah sejenis kerosakan atau kecederaan pada saraf yang disebabkan oleh mampatan, penyempitan atau regangan di sekeliling saraf.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: