sakit tekak
Sakit Tekak adalah rasa sakit yang merengsa pada tekak dan ia cenderung bertambah buruk apabila anda menelan air liur atau makanan.

Pengenalan

Sakit tekak adalah rasa sakit yang merengsa pada tekak dan cenderung bertambah buruk apabila anda menelan air liur atau makanan. Penyebab utama adalah jangkitan viral seperti selesema atau demam. Biasanya, sakit tekak akan sembuh dengan sendiri.

Streptokokus pula adalah sejenis sakit tekak yang jarang berlaku disebabkan oleh bakteria dan memerlukan rawatan antibiotik bagi mengelakkan komplikasi. Manakala, jenis lain yang jarang berlaku pula mungkin memerlukan rawatan yang lebih rumit.

Penerangan

Simptom sakit tekak adalah berbeza bergantung kepada punca yang menyebabkannya.

Sakit tekak boleh menyebabkan:

  • Kegatalan.
  • Sensasi terbakar.
  • Kering.
  • Sakit.

Anda mungkin akan berasa sakit ketika menelan atau bercakap. Selain itu, tonsil di tekak anda akan kelihatan merah dan kadangkala terdapat tompokan putih atau nanah pada tonsil. Tompokan putih ini cenderung berlaku akibat Streptokokus berbanding sakit tekak yang terjadi kerana virus.

Simptom lain yang anda mungkin alami adalah seperti:

  • Hidung berair.
  • Bersin.
  • Batuk.
  • Demam.
  • Menggigil.
  • Kelenjar bengkak di leher.
  • Suara yang serak.
  • Sakit badan.
  • Sakit kepala.
  • Masalah untuk menelan.

Penyebab yang berkemungkinan

Virus merupakan penyebab utama selesema dan demam juga boleh menyebabkan kebanyakan sakit tekak. Manakala, jangkitan bakteria pula jarang mengakibatkan sakit tekak.

Jangkitan Virus

Jangkitan virus yang boleh menjadi punca termasuklah:

  • Demam.
  • Selesema (influenza).
  • Mono (mononukleosis).
  • Croup – penyakit zaman kanak-kanak yang disifatkan seperti batuk yang keras dan seperti menyalak.
  • Batuk (pertusis).

– Jangkitan bakteria

Sebilangan jangkitan bakteria boleh menyebabkan sakit tekak. Bakteria yang paling biasa ialah Streptococcus pyogenes (streptokokus kumpulan A) dan boleh menyebabkan sakit tekak streptokokus.

Sebab-sebab lain

Penyebab lain termasuklah:

  • Alergi. Alahan kepada haiwan peliharaan, kulat, debu dan debunga boleh menyebabkan sakit tekak. Masalahnya boleh menjadi rumit apabila disertai dengan titisan pasca nasal yang boleh merengsakan dan mengeringkan tekak.
  • Kekeringan. Udara dalaman yang kering boleh membuatkan tekak anda berasa kasar dan gatal. Selain itu, bernafas melalui mulut kerana kesesakan hidung kronik juga boleh menyebabkan sakit tekak yang kering.
  • Perengsa. Pencemaran udara luaran dan dalaman seperti asap rokok atau bahan kimia boleh menyebabkan sakit tekak yang kronik. Manakala, mengunyah tembakau, meminum alkohol dan makan makanan pedas juga boleh mengganggu tekak anda.
  • Tekanan otot. Otot di kerongkong anda boleh menjadi tertekan apabila anda menjerit, bercakap dengan kuat atau bercakap untuk jangka masa yang panjang tanpa rehat.
  • Penyakit refluks gastroesofagus (GERD). GERD adalah gangguan sistem penghadaman di mana asid perut ditolak ke dalam saluran makanan (esofagus). Tanda atau simptom lain termasuklah pedih ulu hati, suara serak, regurgitasi kandungan perut dan rasa seperti terdapat ketulan dalam tekak anda.
  • Jangkitan HIV. Sakit tekak dan simptom seperti selesema kadangkala muncul lebih awal selepas seseorang dijangkiti HIV. Seseorang yang positif HIV juga mungkin mengalami sakit tekak yang kronik atau berulang akibat jangkitan kulat yang digelar sebagai oral thrush atau jangkitan virus seperti sitomegalovirus (CMV). Ini boleh menjadi serius jika individu tersebut mempunyai sistem imun yang lemah.
  • Tumor. Tumor kanser tekak, lidah atau kotak suara (laring) boleh menyebabkan sakit tekak. Tanda-tanda atau simptom lain termasuklah suara serak, kesukaran menelan, kesukaran untuk bernafas, terdapat benjolan di leher dan ada darah dalam air liur atau kahak.

Dalam kes yang jarang berlaku, tisu yang dijangkiti (abses) dalam tekak atau pembengkakan penutup rawan yang menutupi tiub udara (epiglottitis) boleh menyebabkan sakit tekak. Kedua-duanya berisiko untuk menyekat saluran udara dan mewujudkan keadaan kecemasan perubatan.

Bila perlu menghubungi doktor

Dalam kebanyakan kes, sakit tekak adalah salah satu daripada simptom demam yang biasa berlaku dan akan sembuh dalam beberapa hari. Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor jika:

  • Simptom berterusan selepas beberapa minggu.
  • Sakit tekak semakin kerap dan tidak bertindak balas terhadap ubat tahan sakit.
  • Sakit tekak diiringi demam yang berterusan. Ini mungkin menunjukkan jangkitan yang harus didiagnosis dan dirawat secepat mungkin. Jangkitan sebegini boleh menyebabkan masalah pernafasan atau menyebabkan komplikasi berbahaya.
  • Air liur meleleh menjadi satu perkara biasa.
  • Sistem kekebalan tubuh lemah, misalnya dengan penyakit seperti HIV/AIDS, kencing manis atau jika menerima kemoterapi, radioterapi, steroid atau ubat imunosupresan.
  • Air kencing berwarna keruh, maksudnya bakteria streptokokus telah menjangkiti buah pinggang.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor akan memeriksa pesakit dan mencari tanda-tanda sakit tekak streptokokus atau jangkitan tekak lain.

Ianya adalah hampir mustahil untuk mengetahui sekiranya terjadi disebabkan virus atau bakteria pada peringkat awal. Malah, sesetengah jangkitan virus tekak mungkin mempunyai simptom yang lebih buruk berbanding sakit tekak yang terjadi disebabkan bakteria streptokokus.

Jadi, doktor akan menjalankan satu atau lebih ujian berikut untuk mengetahui apa yang menyebabkan jangkitan tersebut:

  • Pengkulturan tekak – ‘Putik kapas’ digosok ke bahagian belakang tekak dan tonsil anda untuk mengambil sampel bakteria sebenar. Prosedur ini tidak menyakitkan tetapi mungkin sedikit menggelikan dan pesakit mungkin mengalami rasa geli yang sementara.
  • Ujian antigen ringkas – Ujian ini bertujuan untuk mengesan bakteria streptokokus dalam beberapa minit melalui sampel putik kapas dengan cara mencari antigen tertentu (bahagian bakteria) di dalam tekak anda.
  • Ujian DNA Pantas – Teknologi DNA digunakan untuk mengenal pasti jangkitan tekak streptokokus.

Rawatan

Sakit tekak disebabkan jangkitan virus biasanya berlangsung selama lima hingga tujuh hari dan tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan.

Untuk meringankan kesakitan dan demam, ramai individu beralih ke acetaminophen (Tylenol, lain-lain) atau ubat tahan sakit ringan yang lain.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda boleh pertimbangkan untuk memberikan ubat tahan sakit kepada kanak-kanak yang dikhaskan untuk bayi atau kanak-kanak, seperti acetaminophen (Tylenol Kanak-kanak, FeverAll, lain-lain) atau ibuprofen (Kanak-kanak Advil, Motrin Kanak-kanak, lain-lain) untuk meredakan simptom.

Doktor jarang sekali memberikan aspirin kepada kanak-kanak atau remaja kerana ia dikaitkan dengan sindrom Reye, iaitu keadaan mengancam nyawa yang jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan pembengkakan pada hati dan otak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Merawat jangkitan bakteria

Jika anda atau anak anda mengalami sakit tekak disebabkan jangkitan bakteria, doktor atau pakar pediatrik anda akan menetapkan ubat antibiotik.

Anda atau anak anda mestilah mengambil antibiotik secara lengkap seperti yang telah ditetapkan walaupun simptom telah hilang. Kegagalan mengambil kesemua ubat antibiotik seperti yang diarahkan boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih teruk atau jangkitan merebak ke bahagian badan yang lain.

Selain itu, pengambilan antibiotik yang tidak lengkap dapat meningkatkan risiko demam reumatik pada anak atau keradangan buah pinggang yang serius.

Berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi tentang apa yang perlu dilakukan jika anda terlupa mengambil dos antibiotik yang sepatutnya.

Rawatan lain

Jika sakit tekak merupakan simptom daripada keadaan lain selain jangkitan virus atau bakteria, rawatan lain mungkin akan dipertimbangkan bergantung kepada diagnosis anda.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sore-throat/diagnosis-treatment/drc-20351640

https://www.healthline.com/health/sore-throat

https://www.medicalnewstoday.com/articles/155412.php#strep_throat_treatment

Summary
Sakit Tekak (Sore Throat)
Article Name
Sakit Tekak (Sore Throat)
Description
Sakit Tekak adalah rasa sakit yang merengsa pada tekak dan ia cenderung bertambah buruk apabila anda menelan air liur atau makanan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: