sakit tapak kaki dan cara merawatnya
Sakit tapak kaki semestinya memberikan ketidakselesaan pada anda apabila berjalan mahupun memakai kasut.

Sakit tapak kaki semestinya memberikan ketidakselesaan pada anda apabila berjalan mahupun memakai kasut. Walaupun ia boleh sembuh dalam beberapa minggu dan bukanlah satu keadaan kecemasan, namun jika ia bertambah teruk, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera.

Memandangkan kaki adalah bahagian tubuh yang penting bagi membolehkan kita bergerak ke sana sini, pastinya ia juga mudah terdedah dengan kecederaan. Malah, kecederaan tersebut boleh berlaku di mana-mana kawasan kaki termasuklah tapak kaki dan kawasan tumit serta kawasan di sekitarnya.

Dalam artikel ini, kita akan memfokuskan dengan lebih lanjut berkenaan faktor-faktor yang boleh menyebabkan kesakitan di bahagian tapak kaki.

1. Kecederaan

Biasanya, individu yang aktif bersukan berisiko tinggi mendapat masalah ini. Memandangkan mereka memerlukan daya tenaga kuat terutama bagi sukan seperti lompat jauh dan lompat tinggi, ini menyebabkan mereka mudah terdedah dengan kesakitan sebegini. Risiko ini juga bertambah apabila mereka tidak melakukan regangan badan yang secukupnya sebelum dan selepas bersukan.

2. Masalah berat badan berlebihan

Sekiranya individu mempunyai berat badan berlebihan atau obes mahupun mengandung, ini boleh memberi tekanan yang lebih pada kaki anda. Ia juga menyebabkan kelemahan otot yang seterusnya mengakibatkan kecederaan pada tapak kaki. Kecederaan tersebut tidak semestinya perlu dilihat secara fizikal kerana ia berlaku di bahagian dalaman kaki.

3. Lanjutan umur

Apabila usia anda semakin bertambah, ligamen dan tendon yang memegang sendi pada kaki anda akan mula mengeras. Ia pastinya berbeza dengan keadaan semasa anda masih muda. Jadi, kesakitan pada kaki pastinya satu perkara yang akan kerap berlaku sehinggalah anda mendapatkan rawatan yang sesuai baginya.

4. Penggunaan kasut yang tidak sesuai

Sekiranya anda menggunakan kasut yang tidak sesuai buat tempoh yang lama, ia pastinya akan memberi kesan pada kaki anda lama-kelamaan. Tekanan yang tidak sama rata pada tapak kaki terutama jika menggunakan kasut tumit tinggi meningkatkan keberangkalian anda untuk mendapat masalah ini. Bagi faktor ini, ia lebih banyak memberi kesan pada golongan wanita berbanding lelaki namun masih boleh berlaku kepada golongan lelaki jika mereka juga menggunakan kasut yang tidak sesuai dengan kaki sendiri.

Cara Merawat Sakit Tapak Kaki

  • Gunakan pek ais yang dibalut dalam tuala pada kawasan kaki yang sakit selama 20 minit setiap 2 hingga 3 jam. Ini akan membantu mengurangkan kesakitan, bengkak ataupun kemerahan yang berlaku pada bahagian kaki yang terkesan. Pastikan anda tidak menggunakan pek ais secara terus pada kawasan tersebut untuk mengelakkan kecederaan lebih buruk. Serta, hentikan penggunaan pek ais dengan segera sekiranya kaki anda kelihatan merah atau merah jambu pekat.

  • Pilih kasut yang selesa bagi memudahkan pergerakan kaki anda yang sakit. Sebaiknya, elakkan pakai kasut bertumit tinggi buat masa yang lama. Pilihlah kasut dengan tapak yang rata seperti selipar atau sandal yang selesa. Memandangkan tapak kaki kita adalah seperti kusyen yang melindungi tulang daripada kecederaan, ia haruslah dilindungi dengan betul. Elakkan penggunaan kasut yang tidak selesa atau hanya dipakai atas tujuan fesyen demi kebaikan anda. Anda juga boleh menggunakan pelapik yang lembut untuk melindungi kaki anda.

  • Kurangkan berat badan sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Memandangkan kaki anda menanggung berat badan anda secara keseluruhan, mempunyai berat badan berlebihan atau obes pastinya memberi kesan buruk pada kaki. Jadi, anda boleh mula lakukan pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan seperti makan secara sihat dan mula bersenam demi kebaikan sendiri.

  • Lakukan regangan mudah dengan kerap bagi membantu menguatkan fleksibiliti dan regangan kaki anda. Apabila dilakukan dengan kerap, otot, tendon dan ligamen kaki akan menjadi lebih kuat dan memberikan perlindungan yang optimum pada kaki. Jadi, ini membantu untuk melindungi kaki yang terkesan serta memberi perlindungan pada masa hadapan.

SUMBER

https://www.nhs.uk/conditions/foot-pain/pain-in-the-bottom-of-the-foot

https://www.healthline.com/health/pain-in-arch-of-foot#causes

https://www.webmd.com/men/features/aging-real-pain-neck#1

https://ifixphysiotherapy.com.my/tak-sangka-lepas-buat-3-senaman-ni-sakit-tapak-kaki-dah-hilang-kalau-tidak-nak-berjalan-pun-susah/

Summary
Sakit kaki dan cara merawatnya
Article Name
Sakit kaki dan cara merawatnya
Description
Sakit tapak kaki semestinya memberikan ketidakselesaan pada anda apabila berjalan mahupun memakai kasut. Jadi, bagaimana untuk merawatnya?
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: