sakit sendi
Kesakitan ini boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan melemahkan badan anda.

Pengenalan

Sakit sendi boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan bahkan, ia mengganggu aktiviti harian anda serta menjejaskan keadaan anda. Sendi berfungsi untuk menyambung tulang-tulang. Ia memberi sokongan dan membantu anda bergerak. Sebarang kerosakan pada sendi yang berpunca daripada penyakit atau kecederaan boleh mengganggu pergerakan dan menyebabkan kesakitan.

Pelbagai keadaan berbeza boleh menyebabkan sakit sendi, termasuklah Osteoartritis, Artritis reumatoid, Bursitis, Gout, Ketegangan, Terseliuh, dan kecederaan-kecederaan lain. Sakit sendi merupakan satu perkara biasa. Dalam satu tinjauan, terdapat kira-kira satu pertiga daripada individu dewasa yang melaporkan mengalami sakit sendi dalam tempoh 30 hari tinjauan dijalankan.

Seterusnya, kesakitan pada lutut merupakan aduan yang paling lazim, diikuti oleh sakit bahu dan sakit pinggul. Namun begitu, sakit sendi boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan anda bermula daripada pergelangan kaki hingga ke bahu dan tangan. Apabila anda semakin tua, sakit sendi menjadi satu keadaan yang semakin biasa.

Kesakitan ini boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan melemahkan badan anda. Ia mungkin akan hilang selepas beberapa minggu (akut) atau bertahan selama beberapa minggu atau bulan (kronik). Kesakitan yang dialami boleh terjadi dalam jangka pendek, manakala pembengkakan pada sendi pula boleh menjejaskan kualiti hidup anda. Walau apa pun punca sakit sendi anda, ia biasanya boleh diuruskan dengan ubat-ubatan, terapi fizikal atau rawatan alternatif.

Penerangan

Simptom dan tanda yang berkaitan dengan sakit sendi termasuklah:

  • Sendi kemerahan
  • Sendi bengkak
  • Sendi tegang
  • Sendi hangat
  • Tempang
  • Sendi terkunci
  • Kehilangan pelbagai gerakan sendi
  • Kebas
  • Kelemahan

Penyebab yang berkemungkinan

Artritis

Salah satu penyebab sakit sendi yang paling biasa adalah Artritis. Dua bentuk Artritis utama adalah Osteoartritis (OA) dan Artritis Reumatoid (RA).

Ostreoartritis adalah keadaan biasa bagi individu dewasa yang berusia 40 tahun. Ia bermula dengan perlahan dan cenderung mempengaruhi sendi yang sering digunakan seperti:

  • Pergelangan tangan
  • Tangan
  • Pinggul
  • Lutut

Kesakitan sendi yang berlaku akibat Osteoartritis adalah disebabkan pemecahan tulang rawan yang bertindak sebagai penyerap kejutan pada sendi. 

Bentuk Artritis yang kedua pula adalah Artritis Reumatoid. Menurut Yayasan Artritis, Artritis Reumatoid telah mempengaruhi seramai 1.5 juta orang. Malah, ia didapati sering menjejaskan wanita berbanding lelaki.

Ia juga boleh berubah dan melemahkan sendi dari semasa ke semasa. Selain itu, ia boleh menyebabkan rasa sakit, keradangan dan pembentukan cecair di sendi apabila sistem imun badan menyerang membran yang menyambung sendi.

Sebab-sebab lain

Kesakitan sendi boleh terjadi disebabkan:

  • Bursitis, atau keradangan kusyen sekitar sendi
  • Lupus
  • Gout
  • Chondromalacia daripada patella atau pemecahan tulang rawan pada lutut
  • Kecederaan
  • Tendinitis atau keradangan tendon
  • Jangkitan tulang atau sendi
  • Penggunaan sendi secara berlebihan
  • Kanser
  • Fibromyalgia
  • Osteoporosis
  • Sarcoidosis
  • Riket

Bila perlu menghubungi doktor

Kesakitan sendi jarang berlaku dan kebanyakan kes kesakitan sendi yang ringan berjaya disembuhkan di rumah.

Tetapkan temu janji dengan doktor anda jika sakit sendi anda disertai dengan:

  • Bengkak
  • Kemerahan
  • Ketegangan dan kehangatan di sekeliling sendi

Di samping itu, berjumpalah dengan doktor dengan segera jika sakit sendi anda disebabkan oleh kecederaan dan disertai dengan:

  • Kecacatan sendi
  • Ketidakupayaan untuk menggunakan sendi
  • Kesakitan yang menyengat
  • Pembengkakan  yang mendadak

Penjagaan diri

Apabila merawat kesakitan sendi yang ringan di rumah, ikuti petua ini:

  • Ambil ubat tahan sakit tanpa preskripsi seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain) atau naproxen natrium (Aleve).
  • Elakkan menggunakan sendi anda dengan cara yang boleh menyebabkan atau memburukkan kesakitan.
  • Letakkan pek ais atau pek kacang beku pada sendi yang sakit selama 15 hingga 20 minit beberapa kali pada setiap hari.
  • Letakkan pad pemanas, berendam dalam tab mandian panas atau mandi dengan air suam untuk merehatkan otot dan meningkatkan peredaran darah.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor anda mungkin akan melakukan ujian fizikal. Beliau juga akan bertanyakan beberapa soalan mengenai kesakitan sendi yang anda alami. Perkara ini boleh membantu menjelaskan keadaan anda dengan lebih lanjut.

Ujian X-ray sendi mungkin diperlukan untuk mengenal pasti kerosakan sendi yang berkaitan dengan artritis.

Sekiranya doktor anda mengesyaki kehadiran sebab kesihatan lain, mereka boleh menjalankan ujian darah untuk menyiasat gangguan autoimun tertentu. Beliau juga boleh menjalankan ujian kadar pemendapan untuk mengukur tahap keradangan dalam badan anda atau kiraan darah lengkap.

Rawatan

Rawatan di rumah

Doktor menganggap kedua-dua keadaan Osteoartritis dan Artritis Reumatoid sebagai keadaan yang kronik. Masih tiada rawatan terkini yang boleh menghilangkan kesakitan sendi berkaitan dengan artritis atau menyembuhkannya daripada berulang. Namun, terdapat cara untuk menguruskan kesakitan tersebut seperti:

  • Menggunakan kirm tahan sakit topikal atau mengambil ubat antiradang tanpa steroid untuk mengurangkan kesakitan, bengkak dan keradangan.
  • Kekal aktif secara fizikal dan ikuti program kecergasan yang memberi tumpuan kepada senaman sederhana.
  • Melakukan regangan yang betul sebelum bersenam untuk mengekalkan pelbagai gerakan baik bagi sendi anda.
  • Jika kesakitan anda bukanlah disebabkan Artritis, anda boleh cuba mengambil ubat antiradang, mendapatkan urutan, mandi air suam, melakukan regangan dengan kerap dan berehat secukupnya.

Rawatan perubatan

Pilihan rawatan anda bergantung pada penyebab kesakitan yang anda alami. Dalam sesetengah kes, doktor perlu mengeluarkan cecair yang terkumpul di kawasan sendi untuk menguji jika terdapat sebarang jangkitan atau Gout mahupun sebab-sebab kesakitan sendi yang lain. Beliau mungkin juga mengesyorkan kaedah pembedahan untuk menggantikan sendi yang terjejas.

Kaedah rawatan tanpa pembedahan pula termasuklah perubahan gaya hidup atau penggunaan ubat-ubatan yang boleh membantutkan Artritis Reumatoid. Dalam kes ini, doktor akan cuba menangani keradangan telebih dahulu. Sebaik sahaja Artritis Reumatoid telah terbantut, rawatan perubatan anda akan memberi tumpuan kepada pengawalan keadaan agar dapat mengelakkan masalah tersebut daripada berulang lagi.

SUMBER

https://www.webmd.com/pain-management/guide/joint-pain#1

https://www.healthline.com/health/joint-pain#treatment

https://www.medicinenet.com/joint_pain/symptoms.htm

https://www.mayoclinic.org/symptoms/joint-pain/basics/when-to-see-doctor/sym-20050668

Summary
Sakit Sendi (Joint Pain)
Article Name
Sakit Sendi (Joint Pain)
Description
Sakit sendi boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan bahkan, ia mengganggu aktiviti harian anda serta menjejaskan keadaan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: