sakit pinggul
Sakit pinggul adalah istilah umum bagi kesakitan yang dirasakan di dalam atau di sekitar sendi pinggul.

Pengenalan

Sakit pinggul adalah istilah umum bagi kesakitan yang dirasakan di dalam atau di sekitar sendi pinggul. Ia tidak semestinya dirasai di pinggul itu sendiri, tetapi mungkin dirasakan di pangkal paha atau paha anda.

Penerangan

Bergantung kepada punca yang menyebabkan sakit pinggul, anda mungkin berasa tidak selesa di beberapa bahagian badan seperti:

  • Paha
  • Di dalam sendi pinggul
  • Pangkal paha
  • Di luar sendi pinggul
  • Pinggul

Kadangkala, kesakitan di bahagian badan yang lain seperti belakang badan atau pangkal paha (dari hernia), boleh merebak hingga ke pinggul.

Anda mungkin mendapati bahawa kesakitan anda memburuk apabila melakukan sesuatu aktiviti, terutama jika keadaan ini terjadi kerana artritis. Disebabkan rasa sakit, anda mungkin perlu mengurangkan pelbagai jenis gerakan. Di samping itu, ada juga sesetengah individu yang berada dalam posisi tempang akibat sakit pinggul yang berterusan.

Penyebab yang berkemungkinan

Sakit pinggul mungkin disebabkan oleh artritis, kecederaan atau masalah lain.

Artritis

  • Artritis idiopatik juvana (dahulunya dikenali sebagai artritis reumatoid juvana)
  • Osteoartritis (penyakit yang menyebabkan pecahan sendi)
  • Artritis psoriatik
  • Reumatoid artritis (penyakit keradangan sendi)
  • Artritis septik

Kecederaan

  • Bursitis (keradangan sendi)
  • Dislokasi atau terkehel
  • Patah tulang pinggul
  • Labral pinggul yang koyak
  • Angin pasang (Hernia)
  • Terseliuh
  • Tendinitis

Saraf tersepit

Kanser

  • Kanser (metastatik) yang telah merebak ke tulang
  • Kanser tulang
  • Leukemia

Masalah lain

  • Nekrosis avaskular (kematian tisu tulang akibat aliran darah yang terhad)
  • Penyakit Legg-Calve-Perthes (pada kanak-kanak)
  • Osteomielitis (jangkitan tulang)
  • Osteoporosis
  • Sinovitis

Bila perlu menghubungi doktor

Anda mungkin tidak perlu berjumpa dengan doktor jika sakit pinggul anda adalah kecil sahaja. Sebaliknya, anda mungkin boleh mencuba petua penjagaan diri ini:

  • Rehat. Elakkan lenturan berulang dan tekanan langsung di bahagian pinggul . Cuba kurangkan tidur di bahagian yang terjejas dan elakkan duduk dalam jangka masa yang panjang.
  • Ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit seperti acetaminophen (Tylenol, lain-lain), ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain) dan natrium naproxen (Aleve) boleh membantu meringankan sakit pinggul anda.
  • Ais atau haba. Gunakan kiub ais atau beg sayur-sayuran beku yang dibalut dengan tuala untuk digunakan pada pinggul anda. Mandian hangat juga boleh membantu menyediakan otot untuk senaman regangan yang dapat mengurangkan kesakitan.

Jika rawatan penjagaan diri ini tidak membantu, lakukan temujanji dengan doktor anda.

Dapatkan rawatan perubatan segera

Minta seseorang untuk membawa anda ke bilik kecemasan jika sakit pinggul anda terjadi kerana kecederaan dan diiringi oleh:

  • Sendi yang kelihatan cacat.
  • Ketidakupayaan untuk menggerakkan kaki atau pinggul anda.
  • Ketidakupayaan menanggung berat pada kaki yang terkesan.
  • Kesakitan yang menyengat.
  • Pembengkakan yang mendadak.
  • Apa-apa tanda jangkitan (demam, menggigil, kemerahan).

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Bagi kesakitan yang boleh dikaitkan dengan keadaan seperti artritis, doktor anda akan bertanyakan pelbagai soalan, termasuklah:

  • Adakah kesakitan menjadi lebih teruk pada waktu siang?
  • Adakah ia mempengaruhi kemampuan anda untuk berjalan?
  • Bilakah gejala pertama muncul?

Anda mungkin perlu berjalan kaki untuk membolehkan doktor memantau pergerakan anda. Mereka akan mengukur gerakan pinggul yang normal dan tidak normal serta membandingkan kedua-duanya.

Bagi mendiagnosis artritis, doktor akan melakukan ujian cecair dan pengimejan. Ujian cecair melibatkan pensampelan darah, air kencing dan cecair untuk diuji di makmal. Seterusnya, ujian pengimejan mungkin termasuk:

  • Sinar-X
  • Imbasan CT
  • Imbasan MRI
  • Ultrabunyi

Ujian pengimejan akan memberi doktor anda pandangan terperinci berkaitan tulang, tulang rawan dan tisu lain.

Rawatan

Rawatan sakit pinggul bergantung kepada penyebabnya. Bagi kesakitan yang berkaitan dengan senaman, mendapatkan rehat yang secukupnya biasanya sudah memadai untuk menyembuhkan kesakitan pinggul anda. Kesakitan jenis ini biasanya akan sembuh dalam masa beberapa hari.

Jika anda mempunyai artritis, doktor akan memberikan ubat untuk melegakan kesakitan dan kekakuan.

Selain itu, doktor juga boleh merujuk anda kepada pakar yang boleh menawarkan nasihat lanjut dan ahli terapi fizikal yang dapat menunjukkan cara melakukan latihan untuk membantu melegakan kesakitan.

Bagi kecederaan, rawatan biasanya melibatkan rehat dan pengambilan ubat-ubatan seperti naproxen (Aleve) untuk meredakan pembengkakan dan kesakitan.

Patah tulang pinggul, kecacatan pinggul dan beberapa kecederaan pula mungkin memerlukan pembedahan untuk membaiki atau menggantikan pinggul. Dalam pembedahan penggantian pinggul, seorang pakar bedah akan menggantikan sendi pinggul yang rosak dengan pinggul tiruan.

Walaupun pembedahan penggantian pinggul memerlukan beberapa terapi fizikal untuk membiasakan diri dengan sendi baru, pembedahan ini kebanyakannya berjaya merawat masalah pinggul tersebut.

– Terapi alternatif

Beberapa terapi holistik dapat memberikan kelegaan akibat sakit pinggul. Pastikan anda membincangkan pilihan rawatan yang ada dengan doktor dahulu sebelum menjalani rawatan alternatif.

Terapi holistik mungkin termasuk berjumpa dengan chiropractor untuk membincangkan penyesuaian yang sesuai atau melakukan akupunktur. Prosedur ini melibatkan penempatan jarum sementara yang sangat kecil ke dalam kawasan badan utama untuk mempercepatkan penyembuhan.

RUJUKAN

https://www.webmd.com/pain-management/guide/hip-pain-causes-and-treatment#2-4

https://www.mayoclinic.org/syms/hip-pain/basics/when-to-see-doctor/sym-20050684

https://www.healthline.com/health/hip-pain#treatment

Summary
Sakit Pinggul (Hip pain)
Article Name
Sakit Pinggul (Hip pain)
Description
Sakit pinggul adalah istilah umum bagi kesakitan yang dirasakan di dalam atau di sekitar sendi pinggul.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: