Sakit pinggang adalah sebab biasa untuk hari yang tidak produktif di tempat kerja dan selalunya memerlukan rawatan perubatan. Ia boleh menjadi tidak selesa dan menganggu hidup anda. 

Ia boleh berlaku akibat kecederaan, aktiviti dan beberapa keadaan perubatan. Sakit pinggang boleh mempengaruhi orang dari segala usia dengan alasan yang berbeza. Seiring pertambahan usia, potensi untuk dapat sakit pinggang bawah meningkat, majoritinya, disebabkan oleh faktor-faktor seperti pekerjaan sebelumnya dan penyakit cakera degeneratif.

Punca

Bahagian belakang manusia terdiri daripada struktur otot, ligamen, tendon, cakera dan tulang yang kompleks yang bekerjasama untuk menyokong badan dan membolehkan kita bergerak. Segmen tulang belakang dilapisi dengan pad seperti tulang rawan yang disebut cakera.

-Ketegangan

Sakit pinggang biasanya berpunca dari ketegangan atau kecederaan dan punca ketegangan yang kerap adalah:

  • otot atau ligamen yang tegang
  • kekejangan otot
  • cakera yang rosak
  • kecederaan, patah tulang atau jatuh

Aktiviti yang boleh menyebabkan ketegangan atau kekejangan termasuk:

  • mengangkat sesuatu dengan tidak betul
  • mengangkat sesuatu yang terlalu berat
  • membuat pergerakan yang tiba-tiba 

-Masalah Struktur Tulang Belakang 

Sebilangan masalah struktur juga boleh menyebabkan sakit pinggang.

  • Cakera pecah: Setiap vertebra di tulang belakang dilindungi oleh cakera. Sekiranya terdapat cakera yang pecah, lebih banyak tekanan ditumpukan pada saraf yang mengakibatkan sakit pinggang.
  • Penbenjolan cakera: Sama seperti cakera yang pecah, cakera yang membonjol dapat menghasilkan tekanan pada saraf
  • Sciatica: Rasa sakit yang tajam dan bergerak melalui punggung dan bahagian bawah kaki, disebabkan oleh cakera yang membonjol atau herniasi yang menekan saraf.
  • Artritis: Osteoartritis boleh menyebabkan masalah pada sendi di pinggul, pinggang bawah dan tempat lain. 
  • Kelengkungan tulang belakang yang tidak normal: Sekiranya tulang belakang melengkung dengan tidak normal, sakit pinggang boleh berlaku. Contohnya adalah scoliosis, di mana tulang belakang melengkung ke sisi.
  • Osteoporosis: Tulang belakang menjadi rapuh dan berliang mengakibatkan retakan mampatan
  • Masalah ginjal: Batu ginjal atau jangkitan buah pinggang boleh menyebabkan sakit pinggang

-Postur Badan

Mengamalkan posisi duduk yang bongkok ketika menggunakan komputer boleh menyebabkan masalah sakit pinggang dan bahu. 

Sakit belakang juga boleh disebabkan oleh beberapa aktiviti seharian atau postur badan yang salah.

Contohnya merangkumi:

  • berpusing
  • batuk atau bersin
  • ketegangan otot
  • regangan berlebihan
  • membongkok secara janggal untuk jangka masa panjang
  • mendorong, menarik, mengangkat atau membawa sesuatu
  • berdiri atau duduk untuk jangka masa yang panjang
  • menegangkan leher ke hadapan, seperti ketika memandu atau menggunakan komputer
  • sesi pemanduan yang panjang 
  • tidur di tilam yang tidak menyokong tulang belakang 

-Faktor-faktor lain 

Beberapa keadaan perubatan boleh menyebabkan sakit pinggang.

  • Sindrom Cauda Equina: Cauda equine adalah sekumpulan akar saraf tulang belakang yang timbul dari hujung bawah saraf tunjang. Gejala termasuk sakit-sakit kebas di punggung bawah dan punggung atas, kemaluan dan peha. Kadang-kadang ia menganggu fungsi usus dan pundi kencing.
  • Kanser tulang belakang: Tumor pada tulang belakang yang menekan saraf
  • Jangkitan tulang belakang
  • Jangkitan lain: Penyakit radang pinggul, pundi kencing atau jangkitan buah pinggang 
  • Gangguan tidur: Individu dengan gangguan tidur lebih cenderung mengalami sakit pinggang
  • Kayap: Jangkitan yang boleh mempengaruhi saraf 

Rawatan 

Sebilangan besar sakit pinggang sembuh selepas sebulan rawatan di rumah. Walau bagaimanapun, setiap orang berbeza dan sakit pinggang adalah keadaan yang kompleks. Bagi ramai orang, kesakitan akan hilang setelah beberapa bulan, tetapi hanya sebilangan kecil yang mengalami kesakitan yang teruk.

-Ubat-ubatan

Bergantung pada jenis sakit pinggang yang anda alami, doktor anda mungkin mengesyorkan yang berikut:

  • Penghilang rasa sakit over-the-counter (OTC). Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAID) seperti ibuprofenatau naproxen sodium boleh membantu melegakan sakit pinggang 
  • Muscle relaxant. Sekiranya sakit pinggang tidak bertambah baik dengan ubat penghilang rasa sakit, doktor anda mungkin juga memberi ubat penenang otot. 
  • Penghilang rasa sakit luaran. Produk ini memberikan bahan penghilang rasa sakit melalui kulit anda melalui krim, salap atau patches.
  • Narkotik. Dadah yang mengandungi opioid seperti oksikodon atau hidrokodon, boleh digunakan untuk waktu yang singkat dengan pengawasan yang ketat oleh doktor anda.
  • Antidepresan. Beberapa jenis antidepresan – terutamanya duloxetine dan antidepresan trisiklik, seperti amitriptyline terbukti dapat melegakan sakit pinggang kronik

-Terapi Fizikal

Ahli terapi fizikal boleh mengajar anda senaman untuk meningkatkan kelenturan, menguatkan otot punggung, perut dan memperbaiki postur badan anda. Senaman ini secara berkala dapat membantu mengelakkan kesakitan daripada terjadi kembali. 

-Prosedur Pembedahan dan lain-lain

Prosedur yang digunakan untuk merawat sakit pinggang mungkin termasuk:

  • Suntikan kortison. Doktor anda boleh menyuntik kortison – ubat anti-radang yang kuat – ditambah dengan ubat kebas ke ruang di sekitar saraf tunjang anda (ruang epidural).
  • Neurotomi frekuensi radio. Jarum halus dimasukkan ke dalam kulit anda sehingga hujungnya berada di kawasan yang menyebabkan kesakitan anda. Gelombang radio disalurkan melalui jarum untuk merosakkan saraf yang berdekatan yang mengganggu penghantaran isyarat kesakitan ke otak.
  • Perangsang saraf yang diimplankan. Peranti ini ditanam di bawah kulit anda dapat memberikan impuls elektrik ke saraf tertentu untuk menyekat isyarat kesakitan.
  • Pembedahan. Prosedur ini biasanya dikhaskan untuk kesakitan yang berkaitan dengan masalah struktur seperti penyempitan tulang belakang (stenosis tulang belakang) atau cakera herniasi. 

-Rawatan Alternatif

Sejumlah rawatan alternatif dapat meredakan gejala sakit pinggang

  • Penjagaan kiropraktik. Kiropraktor memanipulasi tulang belakang anda untuk meredakan kesakitan
  • Akupunktur. 
  • Rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS). Peranti berkuasa bateri yang diletakkan di kulit memberikan impuls elektrik di kawasan yang sakit. 
  • Urutan 
  • Yoga

-Rawatan di Rumah 

Tidur Lebih Lena

Posisi tidur yang salah memperburuk sakit pinggang. Cubalah baring di sisi anda. Letakkan bantal di antara lutut anda untuk memastikan tulang belakang anda berada pada kedudukan yang neutral dan melegakan ketegangan di punggung anda. Sekiranya anda perlu tidur melentang, letak bantal di bawah lutut. Pastikan tidur di tilam yang selesa.

Postur yang Baik

Postur badan yang salah dapat membuat sakit pinggang lebih teruk terutamanya jika anda duduk dalam jangka masa yang lama. Duduk tegak, bahu anda dilonggarkan dan badan anda disandarkan di bahagian belakang kerusi anda. Cuba letakkan bantal atau tuala yang digulung di antara pinggang bawah dan tempat duduk anda. Pastikan kaki anda rata di atas lantai.

Ais dan Panas

Penggunaan ais secara berkala ke kawasan yang menyakitkan di pinggang anda dapat membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan akibat kecederaan. Tuam beberapa kali sehari sehingga 20 minit setiap kali. Balut ais dalam tuala nipis untuk melindungi kulit anda. Selepas beberapa hari, beralih ke tuala panas. Pad pemanasan atau pek hangat membantu merehatkan otot dan meningkatkan aliran darah ke kawasan yang terjejas. 

Kekal Aktif

Anda mungkin tidak akan mahu bergerak ketika anda kesakitan. Tetapi ini mungkin perkara pertama yang akan disarankan oleh doktor anda. Cuba lakukan aktiviti harian seperti biasa. 

Regangan 

Otot yang kuat terutama di bahagian perut anda membantu menyokong pinggang anda. Kekuatan dan kelenturan dapat membantu menghilangkan rasa sakit anda dan mencegahnya. Yoga, Pilates, dan tai chi adalah beberapa cara untuk menguatkan otot di pinggul anda. 

Mengekalkan Berat Badan yang Sihat

Menurunkan berat badan tambahan meringankan beban di pinggang anda.

Berhenti Merokok

Penyelidikan menunjukkan bahawa jika anda merokok, potensi untuk mengalami penyakit cakera degeneratif ialah empat kali lebih banyak.  Nikotin dalam rokok dan produk tembakau lain dapat melemahkan tulang belakang dan mengambil nutrien penting dari cakera yang menenangkan sendi anda. 

Suplemen Tambahan

Suplemen juga membantu. Ramai orang tidak mendapat vitamin D yang cukup, vitamin yang penting untuk kesihatan tulang. Itu disebabkan oleh kurangnya pendedahan cahaya matahari atau kerana badan anda tidak dapat menyerap cukup vitamin D dari makanan.

Bantuan Tuala 

Tuala yang digulung boleh menjadi alat yang berguna untuk melegakan sakit pinggang. Cuba letakkan di bawah pelvis anda semasa anda berbaring. Biarkan pinggul anda berehat di atas tuala dan bantu meregangkan ketegangan di pinggang. Pendakap belakang kadang-kadang boleh membantu terutamanya selepas kecederaan atau pembedahan. 

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/172943 

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/back-pain/diagnosis-treatment/drc-20369911 

https://www.webmd.com/pain-management/ss/slideshow-relieving-back-pain 

https://www.webmd.com/back-pain/features/manage-low-back-pain-home 

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/back-pain/lower-back-pain-what-could-it-be

Summary
Sakit Pinggang? Kenalilah Rawatan untuk Sakit Pinggang
Article Name
Sakit Pinggang? Kenalilah Rawatan untuk Sakit Pinggang
Description
Sakit pinggang adalah sebab biasa untuk hari yang tidak produktif di tempat kerja dan selalunya memerlukan rawatan perubatan. Ia boleh menjadi tidak selesa dan menganggu hidup anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: