sakit otot
Kesakitan otot boleh dirasakan di mana-mana bahagian otot di dalam badan anda.

Pengenalan

Sakit otot mungkin berlaku akibat kecederaan atau aktiviti yang dilakukan secara berlebihan, jangkitan pada tisu lembut atau keradangan. Hampir semua individu pernah mengalami sakit otot, sama ada pada masa ini atau di kemudian hari. Kesakitan otot boleh melibatkan kawasan kecil sahaja ataupun seluruh tubuh badan anda, bermula daripada kesakitan yang ringan hinggalah yang sangat menyakitkan.

Walaupun kebanyakan sakit otot akan hilang dengan sendirinya dalam masa yang singkat, kadangkala ia boleh bertahan selama berbulan-bulan. Kesakitan otot ini boleh terjadi hampir di mana saja bahagian badan anda termasuklah leher, belakang, kaki dan tangan anda.

Penerangan

Kesakitan otot boleh dirasakan di mana-mana bahagian otot di dalam badan anda. Secara umum, istilah perubatan untuk sakit otot adalah Myalgia. Kesakitan otot mungkin berlaku akibat kecederaan atau aktiviti yang dilakukan secara berlebihan, jangkitan pada tisu lembut atau keradangan.

Beberapa keadaan boleh dikaitkan dengan kesakitan biasa, seperti selesema, turut dianggap sebagai sakit otot. Kesakitan otot boleh dikategorikan pada satu kumpulan otot atau berbeza-beza serta melibatkan pelbagai kumpulan otot. Kesakitan otot akibat kecederaan atau aktiviti yang dilakukan secara berlebihan biasanya bertumpu di satu kawasan.

Bergantung pada puncanya, sakit otot boleh menjadi ringan atau teruk sehingga melemahkan anda. Ia juga adalah simptom utama bagi beberapa keadaan kronik seperti Fibromyalgia. Selain itu, simptom berkaitan yang boleh berlaku bersama sakit otot adalah:

  • Ketegangan
  • Bengkak
  • Kemerahan
  • Demam

Penyebab yang berkemungkinan

Penyebab yang paling biasa menyebabkan sakit otot termasuklah:

Tekanan

Tekanan menjadikan tubuh anda lebih sukar untuk melawan penyakit. Bagi individu yang tidak sihat dan berada dalam keadaan tertekan, otot-otot anda mungkin berasa sakit kerana badan anda sedang berjuang untuk memerangi sebarang keradangan atau jangkitan.

Simptom tekanan termasuklah:

  • Sakit kepala.
  • Menggigil.
  • Sakit dada.
  • Kekurangan nafas atau termengah-mengah.

Anda boleh cuba menangani tekanan dengan mempelajari teknik relaksasi serta cuba untuk mengelakkan diri daripada situasi yang tertekan sebanyak yang boleh.

Kekurangan khasiat pemakanan

Seseorang individu mungkin mengalami sakit otot kerana tidak mendapat khasiat pemakanan yang betul daripada diet mereka.

Vitamin D memainkan peranan penting dalam memastikan otot seseorang berfungsi dengan baik. Selain itu, vitamin D turut membantu penyerapan kalsium dengan lebih baik, tetapi kekurangan vitamin D boleh membawa kepada keadaan hipokalsemia.

Hipokalsemia adalah keadaan di mana paras kalsium darah adalah rendah sehingga boleh menjejaskan tulang dan organ selain otot.

Dehidrasi

Seseorang yang berada dalam keadaan dehidrasi mungkin akan mengalami sakit otot.

Minum air dengan jumlah yang mencukupi adalah penting untuk memastikan tubuh anda berfungsi dengan baik. Ini adalah kerana tubuh sukar untuk sembuh tanpa cecair yang mencukupi. Masalah dehidrasi menyebabkan fungsi tubuh yang lebih penting seperti pernafasan dan pencernaan menjadi lebih sukar.

Anda  harus menyukat jumlah air yang diminum. Jumlah yang dicadangkan adalah sebanyak 6 hingga 8 gelas air setiap hari. Sekiranya cuaca sangat panas atau senaman menyebabkan anda berpeluh lebih daripada biasa, anda perlu minum air melebihi jumlah ini.

Terseliuh dan ketegangan

Terseliuh, ketegangan dan kecederaan lain boleh menyebabkan sakit otot dan ketidakselesaan kepada diri anda.

Anda mungkin mendapati bahawa kawasan tertentu pada bahagian badan menjadi kaku dan sakit jika tercedera. Selain itu, otot yang tegang juga boleh menyebabkan kesakitan otot.

Sesetengah kes terseliuh dan ketegangan tidak memerlukan rawatan, namun anda harus berehat, mengambil ubat tahan sakit, atau menggunakan pek haba untuk meredakan simptom yang dialami.

Walau bagaimanapun, jika kecederaan tersebut menyebabkan kesakitan yang ketara, menyekat pergerakan harian atau tidak sembuh dalam jangka masa panjang, anda dinasihatkan untuk membuat temu janji dengan doktor.

Kurang tidur

Kekurangan tidur boleh memberi kesan yang teruk pada badan anda.

Tidur membolehkan tubuh berehat dan membaikpulih, jadi otot anda mungkin akan sakit jika anda tidak mendapatkan tidur yang cukup.

Kekurangan tidur yang berkualiti juga boleh membuatkan anda berasa sembab dan lembab. Justeru itu, ia boleh menjejaskan keupayaan anda untuk berfikir dengan jelas dan menjadikan anda lebih sukar untuk menjalankan tugas seharian.

Aktiviti fizikal berlebihan

Senaman yang berlebihan boleh membuatkan otot menjadi sakit dan kaku.

Faktor-faktor berikut boleh membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada sakit otot dan kesakitan lain semasa bersenam:

  • Tidak biasa bersenam.
  • Mencuba latihan baru.
  • Menjalankan aktiviti dengan lebih gigih atau lebih lama daripada biasa.
  • Tidak memanaskan badan atau melakukan regangan dengan betul.

Jangkitan, penyakit, dan keturunan

Pelbagai masalah perubatan lain boleh menyebabkan sakit otot. Keadaan yang boleh menjejaskan otot termasuklah:

  • Anemia
  • Artritis
  • Klaudikasi
  • Dermatomiositis
  • Selesema
  • Fibromialgia
  • Lupus
  • Penyakit Lyme
  • Keradangan paru-paru
  • Mononukleosis

Bila perlu menghubungi doktor

Kesakitan otot boleh menyebabkan komplikasi yang teruk dan dalam sesetengah keadaan, rawatan di rumah tidak mencukupi untuk menangani puncanya. Iajuga boleh menjadi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam tubuh badan anda.

Anda perlu berjumpa dengan doktor anda jika:

  • Kesakitan tidak hilang selepas beberapa hari dirawat di rumah.
  • Kesakitan otot yang teruk dan timbul tanpa sebab yang jelas.
  • Kesakitan otot berlaku bersama ruam.
  • Kesakitan otot yang berlaku selepas gigitan kutu.
  • Sakit otot yang disertai dengan kemerahan atau bengkak
  • Kesakitan yang berlaku tidak lama selepas perubahan penggunaan ubat-ubatan.
  • Kesakitan yang berlaku apabila suhu badan meningkat.

Sakit otot juga boleh menjadi kes kecemasan perubatan. Sila ke hospital dengan segera jika anda mengalami mana-mana situasi berikut bersama dengan kesakitan otot:

  • Pembendungan air kencing atau pengurangan jumlah air kencing secara mendadak.
  • Muntah atau demam.
  • Kebas di bahagian leher anda.
  • Otot-otot yang lemah.
  • Ketidakupayaan untuk menggerakkan kawasan yang terjejas.

Rawatan

Kesakitan otot selalunya akan sembuh dalam masa beberapa hari. Anda boleh menggunakan ubat tahan sakit dan ubat antiradang yang boleh didapati daripada ahli farmasi untuk membantu meringankan kesakitan, sama ada diambil secara oral atau digunakan terus pada kulit di kawasan otot terjejas. Jika ia menjadi semakin teruk dan terlalu sukar untuk ditanggung, seorang pakar mungkin dapat membantu.

Beliau boleh menasihati anda untuk melakukan senaman badan tertentu untuk memulihkan otot yang terjejas. Selain itu, doktor anda juga boleh menjalankan ujian pengimejan seperti X-Ray, imbasan MRI atau CT, serta ujian darah untuk mengesan keadaan kesihatan lain yang boleh menjadi puncanya.

SUMBER

https://www.voltarol.co.uk/pain-treatments/muscle-pain/

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322869.php#causes-of-muscle-aches

https://www.medicinenet.com/muscle_pain_myalgia/symptoms.htm

https://www.healthline.com/health/muscle-aches

https://www.mayoclinic.org/symptoms/muscle-pain/basics/definition/sym-20050866

Summary
Sakit Otot (Muscle Pain)
Article Name
Sakit Otot (Muscle Pain)
Description
Sakit otot mungkin berlaku akibat kecederaan atau aktiviti yang dilakukan secara berlebihan, jangkitan pada tisu lembut atau keradangan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: