sakit kaki
Walaupun sakit kaki yang ringan sering memberi tindak balas yang baik apabila dirawat di rumah, masa penyembuhan boleh mengambil agak lama.

Pengenalan

Sakit kaki boleh menjejaskan mana-mana bahagian pada kaki anda, bermula daripada jari kaki hingga ke tendon Achilles di belakang tumit anda.

Kaki anda merupakan rangkaian tulang, ligamen, tendon, dan otot yang rumit. Apabila kaki anda bekerja keras untuk menanggung berat badan yang berat sambil membolehkan anda bergerak, kaki anda mungkin akan terdedah kepada kecederaan dan kesakitan.

Walaupun sakit kaki yang ringan sering memberi tindak balas yang baik apabila dirawat di rumah, masa penyembuhan boleh mengambil agak lama. Jadi, doktor anda boleh membantu dalam menilai sakit kaki yang parah, terutamanya jika kaki anda mengalami kecederaan.

Penyebab yang berkemungkinan

Kesakitan pada belakang kaki boleh disebabkan dari pelbagai punca. Kebanyakannya timbul apabila keadaan sakit kaki anda tidak dirawat. Ini termasuklah:

• Radang sendi pergelangan kaki dan tisu parut

• Arthritis

• Keretakan yang sangat halus di tulang kaki dan di pergelangan kaki

• Keradangan tendon

• Saraf yang meregang, koyak atau tersepit (terutamanya yang melalui pergelangan kaki)

Keadaan berikut membawa kepada kesakitan kaki lateral:

Buku Lali Terseliuh

Buku Lali Terseliuh adalah kecederaan ligamen di kaki yang tidak melibatkan dislokasi atau patah tulang. Ini adalah salah satu punca utama bagi kesakitan kaki lateral, dengan 85 peratus daripadanya menyebabkan kesakitan kaki lateral.

Sindrom Kuboid

Sindrom Kuboid adalah sejenis dislokasi pada sebahagian tulang kaki sisi yang dikenali sebagai tulang kuboid. Kecederaan ini mungkin berlaku disebabkan oleh ketegangan yang berlebihan atau beban yang terlalu berat pada tulang.

Sindrom ini biasanya berlaku apabila seseorang melakukan terlalu banyak aktiviti sukan dan fizikal tanpa mengambil kira masa pemulihan di antara sesi senaman. Kadangkala, pemakaian kasut yang ketat juga boleh menyebabkan sindrom kuboid.

Sindrom Kuboid adalah punca kesakitan di sisi kaki yang sering tidak didiagnosis oleh doktor. Keadaan ini boleh menyebabkan simptom jangka panjang seperti kesakitan dan kelemahan.

Bunions

Bunions adalah kecacatan tulang yang mengakibatkan ibu jari kaki berpusing ke dalam dan menunjuk ke jari kaki yang lain. Puncanya disebabkan oleh seseorang individu meletakkan berat badan yang berat pada sisi kaki apabila sedang berjalan atau berdiri, justeru itu, menyebabkan kesakitan.

Bunions mungkin disebabkan oleh faktor genetik atau kasut yang haus sehingga mencengkam jari kaki anda. Dalam kes-kes yang teruk, pembedahan mungkin diperlukan untuk memperbaiki bunion dan memulihkan semula ibu jari kaki anda.

Peroneal Tendonitis

Peroneal Tendonitis berlaku akibat ketegangan yang berulang pada tendon peroneal. Kedua-dua tendon ini berlanjutan daripada betis hingga ke pinggir luar atas buku lali luar dan melalui titik yang berlainan di sisi kaki.

Keadaan ini menyebabkan tendon peroneal membengkak atau meradang, lalu menyebabkan kesakitan pada sisi kaki dan tumit.

Seseorang yang berlari secara ekstrem atau sentiasa meletakkan kaki mereka pada posisi yang luar biasa boleh menyebabkan Peroneal Tendonitis. Selain itu, keadaan ini juga boleh berlaku selepas buku lali terseliuh.

Tulang Retak Akibat Tekanan

Tulang Retak Akibat Tekanan adalah retakan kecil di salah satu tulang kaki luaran (digelar metatarsal), akibat dari melakukan sukan dan senaman fizikal secara berulang . Simptom kecederaan ini mungkin agak ringan pada mulanya tetapi akan bertambah buruk secara beransur-ansur.

Kematu

Kematu terjadi pada sebelah sisi kaki anda. Ia sering terjadi akibat penghasilan pelbagai lapisan kulit oleh badan yang bertujuan untuk melindungi kaki anda daripada tekanan yang berulang dan geseran. Walaupun kematu biasanya tidak menyakitkan, namun ia dapat menembusi dengan lebih dalam ke dalam lapisan kulit dan menyebabkan kesakitan.

Arthritis

Arthritis adalah penyakit yang menyebabkan kesakitan pada sisi kaki dan menjejaskan sendi kaki. Arthritis Rheumatoid adalah jenis arthritis yang paling biasa berlaku.

Gabungan Tarsal

Gabungan Tarsal adalah keadaan kongenital iaitu, keadaan yang telah wujud sejak lahir. Gabungan Tarsal berlaku apabila tulang tarsal berhampiran bahagian belakang kaki tidak disambung dengan betul. Sambungan abnormal antara kedua tulang ini akan menyebabkan kekakuan dan kesakitan di kaki.

Gabungan Tarsal adalah keadaan yang jarang berlaku, sebanyak kira-kira 1 dalam setiap 100 orang mempunyai keadaan ini.

Bila perlu menghubungi doktor

Ramai individu yang sering mengalami sakit kaki mengetahui puncanya dan cara terbaik untuk menguruskan kesakitan mereka. Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin jika anda mengalami situasi berikut:

• Kesakitan anda datang secara  tiba-tiba dan teruk.

• Kesakitan kaki anda disebabkan oleh kecederaan yang baru berlaku.

• Anda tidak boleh meletakkan sebarang berat pada kaki anda selepas kecederaan.

• Anda mempunyai keadaan perubatan yang mengganggu aliran darah dan turut mengalami sakit kaki.

• Kawasan yang sakit mempunyai luka terbuka.

• Kawasan yang sakit berwarna merah atau mempunyai simptom keradangan yang lain.

• Anda mengalami demam bersama sakit kaki.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Untuk mendiagnosis kesakitan kaki sisi (lateral), doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal pada bahagian kaki anda. Beliau akan memeriksa pergerakan dan kestabilan kaki anda dan akan mencari kawasan bengkak, sebarang kecacatan kaki atau kecederaan serta simptom yang mengakibatkan kesakitan.

Selain itu, doktor juga boleh mengesyorkan ujian diagnostik untuk membantu menentukan penyebab sakit kaki yang anda alami. Ini mungkin termasuk sinar X atau imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).

Rawatan

Rawatan untuk keadaan anda bergantung kepada puncanya sendiri.

Bagi sesetengah individu, sesuatu yang mudah seperti pemakaian kasut boleh memberikan kelegaan yang berpanjangan. Individu lain pula mungkin boleh mendapatkan ubat-ubatan untuk menyelesaikan masalah ini. Selain itu, anda juga mungkin memerlukan:

• Alat bantuan kaki

• Penyingkiran kutil

• Pembedahan

• Terapi fizikal

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/symptoms/foot-pain/basics/definition/sym-20050792

https://www.medicalnewstoday.com/articles/321176.php#diagnosis

https://www.healthline.com/health/foot-pain#treatment

Summary
Sakit Kaki (Foot Pain)
Article Name
Sakit Kaki (Foot Pain)
Description
Sakit kaki boleh menjejaskan mana-mana bahagian pada kaki anda, bermula daripada jari kaki hingga ke tendon Achilles di belakang tumit anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: