sakit lumbar
Sakit belakang termasuklah sakit di bahagian bawah, tengah, atas belakang badan, atau sakit belakang di bahagian bawah dengan ‘sciatica’

Sakit belakang termasuklah sakit di bahagian bawah, tengah, atas belakang badan, atau sakit belakang di bahagian bawah dengan ‘sciatica’. Masalah saraf dan otot, penyakit cakera degeneratif dan arthritis boleh menyebabkan sakit belakang ini. Seterusnya, gejala sakit belakang boleh diubati dengan ubat sakit atau ubat tahan sakit.

Ia boleh terjadi disebabkan kecederaan, aktiviti dan beberapa keadaan perubatan. Sakit di bahagian belakang boleh menjejaskan individu daripada mana-mana peringkat umur dengan alasan yang berbeza. Apabila individu menjadi lebih tua, peluang untuk mendapat sakit di bahagian ini akan meningkat kerana faktor-faktor seperti pekerjaan terdahulu dan penyakit cakera degeneratif.

Sakit belakang bahagian bawah mungkin dikaitkan dengan tulang belakang lumbar, cakera di antara vertebra, ligamen di sekitar tulang belakang dan cakera, saraf tunjang dan saraf, otot belakang bahagian bawah, organ dalaman perut dan pelvis dan kulit di sekitar kawasan lumbar.

Simptom Sakit Lumbar (Sakit Belakang)

Simptom utama sakit lumbar adalah sakit di mana-mana bahagian belakang, dan kadangkala turun ke bahagian punggung dan kaki. Beberapa isu belakang badan boleh menyebabkan kesakitan di bahagian lain badan, bergantung kepada saraf yang terjejas.

Kesakitan sering hilang tanpa rawatan, individu perlu berjumpa doktor jika ia berlaku dengan mana-mana tanda seperti di bawah:

  • Pengurangan berat badan.
  • Demam.
  • Keradangan atau bengkak di bahagian belakang.
  • Sakit di bahagian belakang yang berterusan, di mana berbaring atau berehat tidak membantu.
  • Sakit kaki.
  • Kesakitan yang sampai di bawah lutut.
  • Kecederaan baru, pukulan atau trauma ke bahagian belakang.
  • Masalah lemah kawalan kencing.
  • Kesukaran membuang air kecil.
  • Ketidakstabilan membuang, atau kehilangan kawalan terhadap pergerakan usus.
  • Kebas di sekeliling alat kelamin.
  • Kebas di sekitar dubur.
  • Kebas di sekeliling punggung.

Punca Sakit Lumbar (Sakit Belakang)

Pinggang manusia terdiri daripada struktur otot kompleks, ligamen, tendon, cakera, dan tulang yang berfungsi bersama untuk menyokong tubuh dan membolehkan kita bergerak.

Segmen tulang belakang dilindungi dengan tulang rawan yang dipanggil sebagai cakera. Namun, mana-mana komponen ini boleh menyebabkan sakit belakang. Dalam beberapa kes sakit lumbar, penyebabnya masih tidak jelas. Kerosakan boleh berlaku disebabkan oleh ketegangan, keadaan perubatan dan kedudukan badan yang tidak betul.

Ketegangan

Sakit belakang biasanya berasal dari ketegangan, tekanan atau kecederaan. Penyebab sakit belakang yang biasa ialah:

  • Otot atau ligamen yang tegang.
  • Kekejangan otot.
  • Ketegangan otot.
  • Cakera yang rosak.
  • Kecederaan, patah tulang atau jatuh.

Aktiviti yang boleh menyebabkan ketegangan atau kekejangan termasuk:

  • Mengangkat sesuatu dengan tidak betul.
  • Mengangkat sesuatu yang terlalu berat.
  • Membuat pergerakan secara tiba-tiba dan kekok.

Masalah struktur

Beberapa masalah struktur yang boleh menyebabkan sakit belakang adalah seperti:

  • Cakera yang pecah: Setiap tulang belakang di belakang badan dilindungi oleh cakera. Jika cakera pecah, akan adanya tekanan pada saraf dan menyebabkan sakit belakang.
  • Cakera yang membengkak: Dengan cara yang sama seperti cakera yang pecah, cakera yang membengkak boleh menyebabkan lebih banyak tekanan pada saraf.
  • ‘Sciatica’: Sakit yang tajam dan mencucuk bergerak melalui punggung dan di bahagian bawah kaki, disebabkan oleh cakera yang menonjol atau menekan pada saraf.
  • Artritis: Osteoartritis boleh menyebabkan masalah pada sendi di bahagian pinggang, bahagian bawah pinggang dan di tempat lain. Dalam sesetengah kes, ruang di sekitar saraf tunjangnya menjadi sempit. Ini dikenali sebagai stenosis tulang belakang.
  • Lengkungan tulang belakang yang tidak normal: Jika tulang belakang melengkung dengan cara yang tidak normal, ini boleh menyebabkan sakit belakang. Satu contoh ialah keadaan skoliosis, di mana tulang belakang melengkung ke bahagian sisi.
  • Osteoporosis: Tulang termasuklah vertebra tulang belakang yang menjadi rapuh dan berliang boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya tulang yang patah.
  • Masalah buah pinggang: Batu karang atau jangkitan buah pinggang boleh menyebabkan sakit belakang.

Pergerakan dan postur

Kesakitan belakang juga boleh menyebabkan beberapa aktiviti harian atau postur yang lemah. Contohnya termasuk:

  • Berpusing.
  • Batuk atau bersin.
  • Ketegangan otot.
  • Regangan terlebih.
  • Melentur dengan kekok atau untuk jangka masa yang lama.
  • Menolak, menarik, mengangkat atau membawa sesuatu.
  • Berdiri atau duduk untuk tempoh yang lama.
  • Menegangkan leher ke hadapan, seperti semasa memandu atau menggunakan komputer.
  • Sesi memandu panjang tanpa rehat, walaupun tidak dijangkakan.
  • Tidur di tilam yang tidak menyokong badan dan meluruskan tulang belakang.

Sebab-sebab lain

Sesetengah keadaan perubatan juga boleh menyebabkan sakit belakang.

  • Sindrom cauda equina: Cauda equina adalah ikatan akar saraf tulang belakang yang timbul dari hujung bawah saraf tunjang. Gejala termasuklah kesakitan yang tumpul pada bahagian belakang bawah dan punggung atas, serta kebas pada punggung, alat kelamin dan peha. Kadangkala, terdapat juga gangguan fungsi usus dan pundi kencing.
  • Kanser tulang belakang: Tumor pada tulang belakang boleh menekan saraf dan menyebabkan sakit belakang.
  • Jangkitan tulang belakang: Demam dan bahagian panas/ suam pada bahagian belakang mungkin berlaku disebabkan oleh jangkitan pada tulang belakang.
  • Jangkitan lain: Penyakit keradangan pelvis, pundi kencing atau jangkitan buah pinggang juga boleh menyebabkan sakit belakang.
  • Gangguan tidur: Individu yang mengalami gangguan tidur lebih banyak mengalami sakit belakang, berbanding individu lain.
  • ‘Shingles’: Jangkitan yang menjejaskan saraf boleh menyebabkan sakit belakang. Ini bergantung kepada saraf mana yang terkesan.

Diagnosis Sakit Lumbar (Sakit Belakang)

Doktor biasanya akan mendiagnosis sakit belakang selepas bertanya tentang simptom dan melakukan ujian fizikal. Imbasan pengimejan dan ujian lain mungkin diperlukan jika:

  • Kesakitan belakang berlaku akibat kecederaan.
  • Mungkin ada sebab lain yang memerlukan rawatan.
  • Kesakitan berterusan buat tempoh yang lama.

Pemeriksaan sinar-X (X-ray), imbasan MRI (MRI scan) atau imbasan CT (CT scan) boleh memberi maklumat mengenai keadaan tisu lembut di bahagian belakang.

  • Sinar-X (X-ray) boleh menunjukkan keselarasan tulang dan mengesan tanda-tanda keradangan sendi atau tulang patah, tetapi ia mungkin tidak dapat mendedahkan kerosakan pada otot, saraf tunjang, saraf atau cakera.
  • Imbasan MRI atau imbasan CT boleh mendedahkan cakera herniasi atau masalah dengan tisu, tendon, saraf, ligamen, saluran darah, otot dan tulang.
  • Imbasan tulang dapat mengesan tumor tulang atau patah tulang yang berlaku disebabkan oleh osteoporosis. Bahan radioaktif atau pengesan disuntik ke dalam vena. Pengesan akan terkumpul di tulang dan membantu doktor mengesan masalah tulang dengan bantuan kamera khas.
  • Elektromiografi mengukur impuls elektrik yang dihasilkan oleh saraf sebagai tindak balas kepada otot. Ini boleh mengesahkan mampatan saraf, yang mungkin berlaku kerana cakera herniasi atau stenosis tulang belakang.

Faktor Risiko Sakit Lumbar (Sakit Belakang)

Faktor-faktor berikut dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sakit belakang:

  • Aktiviti pekerjaan.
  • Mengandung.
  • Gaya hidup yang tidak aktif.
  • Kecergasan fizikal yang lemah.
  • Umur lebih tua.
  • Obesiti dan berat badan berlebihan.
  • Merokok.
  • Latihan fizikal atau kerja keras, terutamanya jika dilakukan dengan tidak betul.
  • Faktor genetik.
  • Keadaan perubatan, seperti artritis dan kanser.

Sakit belakang juga cenderung terjadi pada golongan wanita berbanding lelaki mungkin disebabkan oleh faktor hormon. Tekanan, kebimbangan dan gangguan emosi juga dikaitkan dengan sakit belakang.

Rawatan Sakit Lumbar (Sakit Belakang)

Sakit belakang selalunya sembuh dengan rehat dan ubat, tetapi kadangkala rawatan perubatan diperlukan.

Rawatan di rumah

Ubat-ubatan tahan sakit yang boleh didapati tanpa preskripsi, biasanya seperti ubat antiradang nonsteroid (NSAID), seperti ibuprofen, boleh melegakan ketidakselesaan. Bertuam dengan benda suam/ panas atau pek ais ke kawasan yang menyakitkan boleh mengurangkan kesakitan.

Selain itu, berehat daripada melakukan aktiviti berat boleh membantu, tetapi bergerak dengan selalu akan mengurangkan kekakuan, mengurangkan kesakitan dan mencegah otot daripada menjadi lemah.

Rawatan perubatan

Jika rawatan di rumah tidak dapat melegakan kesakitan, doktor mungkin mengesyorkan ubat berikut, terapi fizikal atau kedua-duanya sekali.

  • Ubat: Sakit belakang yang tidak bertindak balas dengan baik pada ubat penahan sakit tanpa preskripsi mungkin memerlukan preskripsi NSAID. ‘Codeine’ atau hidrokodon, dalam kategori narkotik boleh ditetapkan untuk tempoh yang singkat. Ini memerlukan pemerhatian oleh doktor. Dalam sesetengah kes, ubat melegakan otot boleh digunakan.

Ubat antidepressan, seperti amitriptyline boleh dipreskripsikan, tetapi penyelidikan tentang keberkesanannya masih berterusan pada, dan bukti yang ada seperti bercanggah dengan tujuannya.

  • Terapi fizikal: Meletakkan haba, ais, ultrabunyi dan stimulasi elektrik serta beberapa teknik lain boleh melepaskan otot ke otot belakang dan tisu lembut. Ini kemudian boleh membantu meringankan kesakitan.

Setelah kesakitan mula pulih, ahli terapi fizikal akan memperkenalkan beberapa latihan fleksibiliti dan kekuatan untuk bahagian belakang dan otot perut. Teknik untuk memperbaiki postur juga boleh membantu.

Di samping itu, pesakit digalakkan untuk mengamalkan teknik-teknik secara berkala, walaupun selepas kesakitan telah hilang. Ini perlu dilakukan untuk mengelakkan kesakitan itu kembali.

  • Suntikan kortison: Jika pilihan lain tidak berkesan, kortison boleh disuntik ke ruang epidural iaitu di sekitar saraf tunjang. Kortison adalah ubat antikeradangan. Ia membantu mengurangkan keradangan di sekitar akar saraf dan boleh digunakan untuk menjadikan kawasan yang boleh menyebabkan kesakitan itu kebas.
  • Botox: Botox (botulism toxin), menurut beberapa kajian awal dianggap dapat mengurangkan kesakitan dengan melumpuhkan otot dari kekejangan. Suntikan ini berkesan selama 3 hingga 4 bulan.
  • Cengkaman (traction): Penarik dan pemberat digunakan untuk meregangkan bahagian belakang. Ini mungkin menyebabkan cakera herniasi bergerak kembali ke kedudukan asal. Ia juga boleh melegakan kesakitan, tetapi hanya semasa daya cengkaman diterapkan.
  • Terapi perilaku kognitif: Terapi ini dapat membantu mengatasi sakit belakang kronik dengan menggalakkan cara pemikiran baru. Ia mungkin termasuk teknik berehat dan cara untuk mengekalkan sikap positif. Kajian mendapati pesakit yang melakukan terapi ini cenderung untuk menjadi lebih aktif dan melakukan senaman. Ini mengurangkan bagi sakit belakang untuk berulang.

Terapi pelengkap

Terapi pelengkap boleh digunakan bersama terapi konvensional atau dilakukan secara sendiri sahaja. ‘Chiropractic’, ‘osteopathy’, ‘shiatsu’ dan akupunktur boleh membantu melegakan sakit belakang dan juga menggalakkan pesakit berasa lebih selesa.

  • ‘Osteopathy’ adalah pakar dalam merawat tulang dan otot.
  • ‘Chiropractor’ merawat masalah sendi, otot dan tulang. Fokus utamanya adalah tulang belakang.
  • ‘Shiatsu’ yang juga dikenali sebagai terapi tekanan jari adalah sejenis urutan di mana tekanan digunakan di sepanjang jalur tenaga di dalam badan. Terapi shiatsu menggunakan tekanan dengan jari, ibu jari dan siku.
  • Akupunktur berasal dari China. Ia dilakukan dengan memasukkan jarum halus dan titik-titik tertentu pada badan. Akupunktur boleh membantu tubuh melepaskan ubat penghilang rasa sakit semulajadi iaitu endorfin serta merangsang saraf dan tisu otot.
  • Yoga melibatkan postur, pergerakan dan latihan pernafasan tertentu. Sesetengah daripadanya boleh membantu menguatkan otot belakang dan memperbaiki postur. Langkah berjaga-jaga harus diambil bagi memastikan latihan ini tidak membuatkan sakit belakang menjadi lebih serius.

Kajian mengenai terapi pelengkap telah memberikan hasil yang berbeza. Sesetengah individu telah mendapat manfaat yang signifikan, sementara yang lain tidak mendapat apa-apa. Jadi, ianya adalah penting untuk menggunakan terapi yang berkelayakan dan berdaftar apabila mempertimbangkan terapi alternatif.

– Terapi ‘Transcutaneous electrical nerve stimulation’ (TENS)

Ini adalah terapi yang popular bagi pesakit yang mengalami sakit belakang kronik. Mesin ini menyampaikan denyutan elektrik kecil ke dalam badan melalui elektrod yang diletakkan pada kulit.

Pakar percaya TENS menggalakkan badan menghasilkan endorfin dan boleh menyekat isyarat sakit yang kembali ke otak. Kajian mengenai TENS telah memberikan hasil yang bercampur-baur. Ada yang mengungkapkan bahawa kaedah ini tidak ada faedah, sementara yang lain menunjukkan bahawa ia boleh membantu sesetengah individu.

Selain itu, mesin TENS harus digunakan di bawah pengawasan doktor atau pakar kesihatan

Ia tidak boleh digunakan oleh seseorang yang:

  • Mengandung.
  • Mempunyai sejarah epilepsi.
  • Mempunyai alat pacu jantung (pacemaker).
  • Mempunyai sejarah penyakit jantung.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/low-back-pain-acute#:~:text=Most%20low%20back%20pain%20is,a%20ruptured%20or%20herniated%20disc

https://www.webmd.com/back-pain/ss/slideshow-low-back-pain-overview

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/back-pain/symptoms-causes/syc-20369906

https://www.medicalnewstoday.com/articles/172943

Summary
Sakit Lumbar 'Sakit Belakang' (Lumbar pain 'Back pain') - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sakit Lumbar 'Sakit Belakang' (Lumbar pain 'Back pain') - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sakit belakang termasuklah sakit di bahagian bawah, tengah, atas belakang badan, atau sakit belakang di bahagian bawah dengan ‘sciatica’.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: