sakit bawah belakang
Kesakitan di bahagian bawah belakang adalah satu keadaan biasa kerana hampir semua individu mengalaminya.

Pengenalan

Sakit di bahagian bawah pinggang adalah satu keadaan
biasa kerana hampir semua individu mengalaminya. Bahagian bawah pinggang bermula dari bawah rusuk, dipanggil sebagai rantau lumbar.
Kesakitan pada kawasan ini  boleh menjadi sangat kuat dan merupakan
salah satu penyebab utama mengapa seseorang individu tidak pergi kerja.
Berita baiknya, sakit bahagian bawah pinggang selalunya sembuh dengan
sendiri. Jika tidak, masih terdapat rawatan yang berkesan boleh
dilakukan bagi menanganinya.

 

 

Penerangan

Simptomnya bervariasi dan terdiri daripada rasa sakit yang tumpul hinggalah sensasi seperti ditikam atau ditembak. Kesakitan tersebut boleh menyebabkan individu sukar untuk bergerak atau berdiri tegak. Kesakitan belakang akut ini boleh datang secara tiba-tiba dan selalunya terjadi  selepas individu mengalami kecederaan akibat sukan atau mengangkat berat. Kesakitan yang berlangsung melebihi 3 bulan dianggap kronik.

 

 

Penyebab yang
berkemungkinan

Terseliuh

Otot-otot dan ligamen di bahagian belakang boleh meregang atau koyak disebabkan oleh aktiviti yang berlebihan. Simptom yang dialami termasuklah rasa sakit dan kebas pada bahagian bawah pinggang serta kekejangan otot. Berehat dan menjalani terapi fizikal adalah rawatan terbaik bagi simptom-simptom ini.

 

Kecederaan cakera

Cakera tulang belakang sangat mudah terdedah kepada kecederaan. Malah,
risiko ini semakin bertambah dengan pertambahan usia. Bahagian luar
cakera anda berkemungkinan untuk koyak atau tergelincir.

Cakera Hernia, atau juga dikenali sebagai Slip Disk berlaku
apabila tulang rawan yang mengelilingi cakera menolak melalui saraf
tunjang atau akar saraf. Kusyen ini, yang terletak di antara vertebra
tulang belakang kemudian terkeluar daripada kedudukan normalnya.

Keadaan ini boleh menyebabkan mampatan akar saraf apabila ia terkeluar dari saraf tunjang dan tulang vertebra. Kecederaan cakera biasanya berlaku
secara tiba-tiba selepas mengangkat sesuatu barang yang berat atau
memusingkan badan ke belakang secara berlebihan. Tidak seperti tekanan pada bahagian belakang,
kesakitan akibat kecederaan cakera biasanya berlangsung selama lebih
daripada 72 jam.

 

Sciatica

Sciatica boleh berlaku jika cakera yang bengkak menekan pada
saraf sciatic. Saraf sciatic berfungsi untuk menghubungkan tulang belakang ke kaki. Akibatnya, sciatica boleh menyebabkan kesakitan di kaki yang biasanya dirasakan seperti  sensasi terbakar atau mencucuk.

 

Stenosis tulang
belakang

Stenosis tulang belakang terjadi apabila kolum tulang belakang
menjadi sempit dan meletakkan tekanan pada saraf tunjang dan saraf tulang belakang.

Ia biasanya terjadi disebabkan degenerasi cakera yang terletak di antara
vertebra. Kesannya adalah mampatan akar saraf atau saraf tunjang disebabkan
lonjakan tulang atau tisu lembut seperti cakera.

Tekanan pada saraf tulang belakang ini boleh menyebabkan
simptom-simptom seperti:

  • Kebas

  • Kekejangan

  • Kelemahan

Selain itu, anda mungkin
merasakan simptom ini di mana-mana bahagian badan anda.
Ramai individu yang mengalami Stenosis tulang belakang menyedari bahawa
simptom mereka menjadi semakin teruk ketika sedang berdiri atau
berjalan.

 

Lengkungan tulang
belakang yang tidak normal

Scoliosis, kyphosis, dan lordosis adalah semua keadaan yang
menyebabkan lengkungan tidak normal pada tulang belakang.

Keadaan tersebut adalah kongenital yang biasanya didiagnosis
buat pertama kali semasa anda masih kanak-kanak atau remaja.
Lengkungan yang tidak normal ini boleh menyebabkan kesakitan dan postur
tubuh yang kurang baik dan memberi tekanan kepada:

  • Otot

  • Tendon

  • Ligamen

  • Vertebra

 

Sebab-sebab lain

Terdapat beberapa keadaan lain yang menyebabkan sakit bahagian bawah
pinggang. Keadaan ini termasuklah:

  • Artritis,
    iaitu keradangan sendi.

  • Fibromyalgia, iaitu
    kesakitan dan ketegangan jangka panjang pada sendi, otot dan tendon.

  • Spondylitis, iaitu
    keradangan sendi antara tulang belakang.

  • Spondylosis, iaitu sejenis
    gangguan degeneratif yang boleh menyebabkan kehilangan struktur tulang dan
    fungsi normal tulang belakang. Faktor penuaan boleh menjadi penyebab
    utama bagi keadaan ini namun lokasi dan kadar degenerasi
    adalah berbeza bagi setiap individu.

Keadaan kesihatan lain yang boleh
menyebabkan sakit bahagian bawah pinggang termasuklah:

  • Masalah
    buah pinggang dan pundi kencing
  • Mengandung
  • Endometriosis
  • Sista
    ovari
  • Fibroid
    rahim
  • Kanser

 

 

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Diagnosis sakit bahagian bawah
pinggang melibatkan kajian sejarah penyakit dan keadaan perubatan anda yang
mungkin menyebabkan kesakitan tersebut. Ia biasanya dilakukan melalui
pemeriksaan fizikal. Jadi, ianya adalah penting untuk mengetahui
sejarah kesakitan bahagian belakang secara penuh untuk dikaji
semula termasuklah sejarah kecederaan, keadaan yang memburukkan dan
mengurangkan simptom, sebarang simptom kesakitan yang berkaitan
(demam, kebas, kesemutan, inkontinensia, dll), serta tempoh dan perkembangan
simptom anda.

Selain daripada penilaian rutin, ujian rektal dan pelvik mungkin
diperlukan. Ujian lanjut untuk diagnosis sakit bahagian bawah pinggang
 boleh dijalankan disertai dengan ujian darah dan air kencing, ujian X-Ray,
imbasan CAT, imbasan MRI, imbasan tulang dan ujian saraf seperti
elektromilogram (EMG) dan halaju konduksi saraf (NCV ).

 

 

Rawatan

Penjagaan di
rumah

Kaedah penjagaan diri membantu anda pada 72 jam pertama selepas
kesakitan itu bermula. Jika kesakitan masih  tidak sembuh selepas 72
jam rawatan di rumah, anda perlu menghubungi doktor dengan segera.

Hentikan semua aktiviti fizikal yang biasa dilakukan selama beberapa hari
dan letakkan pek ais di bahagian bawah pinggang anda. Doktor biasanya
mengesyorkan anda menggunakan pek ais selama 48 hingga 72 jam
pertama, kemudian bertukar kepada pek hangat.

Ais dan haba adalah berkesan untuk merehatkan otot. Protokol RICE
– rehat, ais, mampatan, dan ketinggian disyorkan untuk diikuti
dalam masa 48 jam pertama.

Selain itu, ambil ubat tahan sakit, seperti ibuprofen (Advil, Motrin
IB), atau acetaminophen (Tylenol),
 untuk melegakan kesakitan.

Kadangkala, berbaring di belakang boleh juga menyebabkan
ketidakselesaan. Jadi, cuba berbaring secara mengiring dengan
lutut dibengkokkan dan letakkan bantal di antara kaki anda. Namun, jika
anda boleh berbaring dengan selesa di belakang anda, letakkan bantal atau tuala
gulung di bawah paha untuk mengurangkan tekanan pada bahagian bawah pinggang.

Mandian hangat atau berurut dengan kerap juga boleh merehatkan otot yang
kaku dan tersimpul di bahagian belakang badan.

 

Rawatan perubatan

Kesakitan bahagian bawah pinggang boleh berlaku dalam beberapa keadaan yang
berbeza, termasuklah:

  • Ketegangan dan kelemahan otot

  • Perubahan posisi Saraf tunjang

Terdapat beberapa rawatan perubatan yang mungkin diperlukan:

  • Penggunaan ubat

  • Peralatan perubatan

  • Terapi fizikal

Doktor anda akan menentukan dos serta penggunaan ubat-ubatan yang
sesuai berdasarkan simptom anda.

Sesetengah ubat yang boleh diberikan oleh doktor anda termasuklah:

  • Perehat otot

  • Ubat antiradang tanpa steroid (NSAIDs)

  • Ubat narkotik seperti codeine untuk
    melegakan kesakitan

  • Steroid untuk mengurangkan keradangan

  • Suntikan
    kortikosteroid

Doktor anda juga boleh menetapkan terapi fizikal, termasuklah:

  • Urutan

  • Regangan

  • Aktif bersenam

  • Manipulasi tulang belakang

 

Pembedahan

Untuk kes yang serius, pembedahan mungkin diperlukan. Kebiasaannya
pembedahan merupakan satu pilihan yang dijalankan apabila semua rawatan lain telah gagal. Walau bagaimanapun, jika terdapat masalah dari segi kawalan usus atau pundi kencing dan kehilangan fungsi neurologi secara progresif, pembedahan mungkin menjadi pilihan kecemasan. Antara pembedahan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Disektomi boleh melegakan
    tekanan dari akar saraf yang ditekan oleh cakera yang
    menonjol atau lonjakan tulang. Dalam prosedur ini, pakar bedah akan
    membuang sekeping kecil lamina iaitu bahagian tulang
    di tulang belakang.

  • Foraminotomi adalah
    prosedur pembedahan yang bertujuan untuk membuka lubang
    foramen iaitu lubang tulang di tulang belakang tempat di mana
    akar saraf keluar.

  • Terapi elektrostatik intradisis
    (IDET) pula
     melibatkan kemasukan jarum melalui
    kateter ke dalam cakera dan memanaskan cakera selama 20 minit.
    Prosedur ini menjadikan dinding cakera lebih tebal dan memotong
    cakera dalaman yang menonjol dan mengakibatkan kerengsaan saraf.

  • Nukleoplasti menggunakan
    peranti seperti tongkat yang dimasukkan melalui jarum ke dalam cakera. Ia
    boleh mengeluarkan bahan dalaman cakera.
    Peranti ini kemudiannya menggunakan gelombang radio untuk
    memanaskan dan mengecilkan tisu di dalam cakera.

  • Lepuhan atau ablasi frekuensi
    radio (radiofrequency lesioning or ablation)
     merupakan satu
    cara lain yang menggunakan gelombang radio untuk mengganggu cara
    saraf berkomunikasi antara satu sama lain. Pakar
    bedah akan menyisipkan jarum khas ke dalam saraf dan
    memanaskannya, lalu menghancurkan saraf yang terjejas.

  • Gabungan tulang belakang (spinal
    fusion)
     boleh menguatkan tulang belakang dan
    mengurangkan pergerakan yang menyakitkan.
    Prosedur ini membuang cakera yang terletak antara
    dua vertebra atau lebih. Pakar bedah akan menggabungkan vertebra
    di antara satu sama lain dengan tulang atau skru logam khas.

 

SUMBER 

https://www.medicinenet.com/low_back_pain/article.htm#how_do_health_care_professionals_diagnose_low_back_pain

https://www.webmd.com/back-pain/ss/slideshow-low-back-pain-overview

https://www.healthline.com/health/low-back-pain-acute#treatment

Summary
Sakit Bawah Belakang (Lower Back Pain)
Article Name
Sakit Bawah Belakang (Lower Back Pain)
Description
Sakit di bahagian bawah pinggang adalah satu keadaan biasa kerana hampir semua individu mengalaminya.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: