sakit bahu
Kesakitan bahu yang anda alami mungkin berpunca daripada sendi bahu sendiri atau daripada mana-mana bahagian lain seperti otot, ligamen atau tendon di sekelilingnya.

Pengenalan

Sakit bahu yang anda alami mungkin berpunca daripada sendi bahu sendiri atau daripada mana-mana bahagian lain seperti otot, ligamen atau tendon di sekelilingnya. Malah, sakit bahu yang berasal daripada sendi biasanya bertambah buruk sama ada melalui aktiviti yang dilakukan, pergerakan lengan atau bahu anda.

Terdapat pelbagai penyakit dan keadaan yang boleh mempengaruhi struktur di dada atau perut anda seperti penyakit jantung atau penyakit pundi hempedu. Kedua-dua ini berisiko untuk menyebabkan kesakitan bahu.

Penerangan

Sendi bahu utama yang dikenali sebagai glenohumeral merupakan sendi soket dan bola (ball-and-socket joint). Ia dipanggil sedemikian kerana bahagian atas tulang lengan atas, iaitu humerus berbentuk seperti bola. Bola ini sesuai dipadankan dalam tulang bilah bahu yang bertindak sebagai soket serta berfungsi untuk membolehkan bahu anda melakukan pelbagai gerakan.

Namun, soket bahu ini adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan sendi bola dan soket lain seperti di pinggul. Ia berfungsi bersama dan dikawal oleh otot yang terikat pada tulang kod yang kuat digelar sebagai tendon.

Otot-otot serta tendon membentuk kapsul di sekeliling sendi dan menyokong pergerakannya, namun ia menjadikan bahagian ini lebih cenderung untuk terseliuh atau dislokasi berbanding bahagian tubuh yang lain.

Di dalam kapsul pula terdapat sinovium yang menghasilkan cecair bagi melincirkan sendi dan mengekalkan kesihatan tulang rawan. Tulang rawan membantu melindungi tulang dari sebarang kecederaan dan ia terletak di antara tulang sendi bahu, bagi tujuan untuk menghalang tulang-tulang tersebut daripada bergeser antara satu sama lain.

Seterusnya, di atas sendi bahu utama terdapat sendi lebih kecil yang terletak di bahagian atas bilah bahu. Ia digelar sebagai acromion dan memenuhi tulang kolar. Sendi kecil ini dikenali sebagai sendi acromioclavicular. Ia membantu sendi di bahagian bawah yang lebih besar untuk bergerak terutamanya ketika anda mengangkat lengan atau membaling sesuatu.

Penyebab yang berkemungkinan

Beberapa faktor dan keadaan tertentu boleh menyumbang kepada sakit bahu. Penyebab yang paling lazim ialah rotator cuff tendinitis.  

Rotator cuff tendinitis adalah keadaan yang berlaku apabila tendon anda menjadi bengkak. Penyebab lain kesakitan bahu adalah Sindrom Impingement di mana rotator cuff terperangkap di antara acromium (sebahagian daripada scapula yang melitupi bola) dan kepala humeral (bahagian bola humerus).

Kadangkala, kesakitan ini boleh berpunca dari kecederaan bahagian lain badan anda selalunya, di leher atau bicep. Kecederaan ini turut dikenali sebagai kesakitan yang dirujuk. Ia secara umumnya tidak akan bertambah buruk jika anda menggerakkan bahu.

Penyebab lain sakit bahu termasuklah:

  • Artritis.
  • Tulang rawan koyak.
  • Penutup rotator koyak.
  • Kantung bursa atau tendon bengkak.
  • Bone spur (lebihan tulang di mana terdapat unjuran tulang yang terbentuk di tepi tulang.
  • Saraf tersepit di leher atau bahu.
  • Tulang bahu atau lengan pecah.
  • Bahu kebas.
  • Bahu terkehel.
  • Kecederaan akibat latihan yang berlebihan atau berulang.

Bila perlu menghubungi doktor

Kesakitan bahu yang disertai dengan kesukaran bernafas atau rasa sesak di dada mungkin merupakan simptom serangan jantung dan memerlukan perhatian perubatan segera.

Mintalah bantuan seseorang untuk membawa anda ke hospitak atau bilik kecemasan jika sakit bahu anda terjadi disebabkan kecederaan tertentu dan diiringi oleh simptom seperti:

  • Sendi yang kelihatan cacat.
  • Ketidakupayaan untuk menggunakan sendi atau menggerakkan lengan.
  • Kesakitan yang ekstrem.
  • Pembengkakan secara tiba-tiba.

Jadualkan lawatan hospital

Rancang temu janji dengan doktor anda jika sakit bahu anda disertai dengan:

  • Bengkak.
  • Kemerahan.
  • Kelembutan dan kehangatan di sekeliling sendi.

Penjagaan diri

Untuk melegakan kesakitan bahu yang ringan anda boleh cuba:

  • Ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit seperti acetaminophen (Tylenol, lain-lain), ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain) dan natrium naproxen (Aleve) boleh membantu melegakan kesakitan.
  • Rehat. Elak menggunakan bahu dengan cara yang boleh menyebabkan atau memburukkan kesakitan.
  • Ais. Letakkan pek ais ke bahagian bahu yang sakit selama 15 hingga 20 minit beberapa kali setiap hari.

Selalunya, langkah penjagaan diri dan sedikit masa adalah apa yang anda perlukan untuk melegakan kesakitan bahu tersebut.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor anda pasti ingin mengetahui penyebab sakit bahu anda. Oleh itu, mereka akan meminta sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal terhadap anda.

Selain itu, doktor akan merasa bahagian yang sakit sekiranya terdapat bengkak dan akan menguji serta menilai pelbagai gerakan dan kestabilan bahagian bahu anda. Ujian pengimejan seperti X-ray atau MRI boleh menghasilkan gambaran terperinci bahu anda untuk membantu diagnosis.

Selain itu, doktor anda juga boleh bertanyakan soalan untuk menentukan penyebab kesakitan bahu anda. Soalan tersebut termasuklah:

  • Adakah rasa sakit hanya di satu bahu atau kedua-duanya sekali?
  • Adakah sakit itu datang secara tiba-tiba? Jika ya, apa yang anda telah lakukan?
  • Adakah sakit itu menular ke kawasan lain di dalam badan anda?
  • Bolehkah anda menentukan kawasan yang sakit?
  • Adakah anda akan berasa lebih sakit apabila tidak bergerak?
  • Adakah ia akan lebih menyakitkan apabila anda bergerak dengan cara tertentu?
  • Adakah rasa sakit tersebut seperti menyucuk atau sebagainya?
  • Adakah kawasan sakit kelihatan merah, berasa panas atau bengkak?
  • Adakah rasa sakit membuatkan anda terjaga pada waktu malam?
  • Apa yang membuatkannya lebih teruk dan apa yang menjadikannya lebih baik?
  • Pernahkah anda mengehadkan aktiviti anda disebabkan sakit bahu?

Rawatan

Rawatan sakit bahu bergantung kepada sebab dan keparahan kesakitan bahu anda. Sesetengah pilihan rawatan termasuklah terapi fizikal atau terapi pekerjaan, penggunaan tali pinggang, immobiliser bahu dan pembedahan.

Doktor juga akan menetapkan ubat-ubatan seperti ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs) atau kortikosteroid. Kortikosteroid adalah ubat anti-radang yang kuat dan boleh diambil secara oral atau disuntik ke bahu oleh doktor.

SUMBER

https://www.versusarthritis.org/about-arthritis/conditions/shoulder-pain/

https://www.mayoclinic.org/syms/shoulder-pain/basics/when-to-see-doctor/sym-20050696

https://www.healthline.com/health/chronic-pain/shoulder-pain#treatment

Summary
Sakit Bahu (Shoulder Pain)
Article Name
Sakit Bahu (Shoulder Pain)
Description
Kesakitan bahu yang anda alami mungkin berpunca daripada sendi bahu sendiri atau daripada mana-mana bahagian lain seperti otot, ligamen atau tendon di sekelilingnya. Malah, sakit bahu yang berasal daripada sendi biasanya bertambah buruk sama ada melalui aktiviti yang dilakukan, pergerakan lengan atau bahu anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: