roti bakar
Mengambil roti bakar bersama sapuan jem atau mentega di waktu pagi bersama secawan teh suam pastinya menyenangkan hati anda.

Mengambil roti bakar bersama sapuan jem atau mentega di waktu pagi bersama secawan teh suam pastinya menyenangkan hati anda.  Jom lihat 30 cara untuk menikmati roti bakar anda yang bukan sahaja mudah, tapi boleh disediakan mengikut cita rasa anda tersendiri.

20 Idea mudah bagi menyediakan roti bakar

Roti bakar pisang

Bagi mereka yang menggemari pisang, anda boleh hiris pisang dan letakkannya di atas roti bakar anda yang telah disapu kaya, mentega atau jem. Anda boleh olah seberapa banyak pisang yang anda mahupun mengikut cita rasa dan kreativiti anda.

Roti bakar air fryer

Bagi mereka yang masih mahu menyediakan roti bakar tetapi dengan cara sihat, gunakan air fryer untuk mengurangkan penggunaan minyak. Ia bukan sahaja sedap dimakan seperti resepi biasa, malah ia juga lebih baik untuk kesihatan anda.

Roti bakar telur

Gandingkan roti bakar anda bersama telur yang digoreng dengan sedikit garam dan lada sulah. Sapukan roti dengan mentega atau kaya untuk mendapatkan sedikit kemanisan sebelum digabungkan dengan telur.

Roti bakar planta

Jika anda menyukai rasa mentega yang cair pada roti, roti bakar planta ini adalah pilihan terbaik. Dengan rasa pekat dan berlemaknya, anda pasti mahukan lagi dan lagi,

Roti bakar tuna

Kebiasaannya, roti bakar disapu dengan kaya, mentega atau jem tapi apa kata kali ini anda tukarkannya dengan tuna pula? Jadi, roti bakar anda akan menjadi seperti sarapan sandwich yang lengkap dan enak.

Roti bakar telur leleh

Sama seperti roti bakar telur, roti bakar telur leleh ini juga menggunakan telur sebagai hiasan atasnya. Namun, apa yang beza adalah telur leleh ini adalah telur yang direbus selama 5 minit sahaja untuk mendapatkan kesan leleh tersebut.

Roti bakar Merdeka

Bagi melihatkan semangat patriotisme, anda juga boleh menyediakan roti bakar Merdeka yang pastinya menarik perhatian kanak-kanak kerana hiasan seperti bendera Malaysia. Anda hanya perlu menggunakan bahan-bahan seperti jem berwarna merah, pisang, acuan berbentuk bulan dan bintang serta pewarna biru dan hiaskan roti bakar anda seperti bendera Malaysia.

Roti bakar berinti yang garing

Secara mudahnya, ini adalah hampir sama seperti karipap kerana mempunyai intinya sendiri namun ia tidak tertutup dan hanya diletakkan di atas roti begitu sahaja. Intinya boleh disediakan menggunakan daging, ayam atau udang mengikut kesukaan anda.

Roti bakar Disney

Ini adalah menu yang terkenal di Walt Disney World. Cara penyediaannya adalah mudah tetapi memerlukan lof roti benggali atau ‘sourdough bread’ berbanding roti biasa. Anda boleh menggunakan pisang sebagai inti tengahnya sebelum menggorengnya dan menghiaskan atasnya dengan serbuk kayu manis.

Roti bakar sandwich telur

Resepi mudah ini sememangnya menjadi kegemaran ramai kerana mudah disediakan dan tidak menggunakan bahan yang banyak. Hanya sediakan telur mata, bakar roti dengan sedikit mentega atau planta dan paipkan roti bersama sedikit mayo atau sos cili sahaja.

Roti bakar sandwich Korea

Dengan ramuan seperti kobis, bawang, lobak merah, keju, sosej mayonis, sos cili dan sos tomato, anda pasti terliur dengan roti bakar ini. Telurnya boleh digoreng setelah dicampurkan dengan kesemuanya bahan (bawang, lobak merah, kobis dan sosej) dan dapat disediakan dengan keju dan sos sebagai hiasan atas.

Roti bakar garlic

Bagi siapa yang suka roti bakar mereka mempunyai sedikit rasa bawang putih tu, bolehlah cuba resepi roti bakar ini. Anda hanya perlu campurkan mentega, bawang putih dan daun parsli sebelum menyapunya pada roti dan bakar seketika. Kemudian, pecahkan telur separuh masak di atasnya dan ia sedia dihidangkan.

Roti bakar ala kafe

Bagi mendapatkan suasana seperti makan di kafe, cuba sediakan roti bakar anda sendiri yang dicelup bersama telur sebelum dibakar. Kemudian, hiaskan roti bakar anda dengan cantik menggunakan potongan buah strawberi, blueberi dan taburkan sedikit madu atau serbuk kayu manis untuk mencantikkannya lagi.

Roti bakar bersama pisang dan mentega kacang

Roti bakar ini bukan seperti resepi roti bakar biasa anda kerana ia menggunakan serbuk milo, pisang dan sapuan mentega kacang. Cara mudah sahaja di mana anda hanya bakar roti seperti biasa, sapukan mentega kacang pada roti dan susunkan potongan pisang di atasnya sahaja.

Roti bakar bersama telur dan tomato

Bagi mereka yang ingin sediakan roti bakar dengan cepat dan mudah, cuba resepi ini dengan menggunakan hirisan tomato serta sedikit tomato puri dan telur berserta bawang merah.

Roti bakar keju

Penggemar keju sekalian, inilah resepi roti bakar terbaik buat anda! Hanya perlukan sekeping keju dan sebiji telur, anda sudah boleh menyediakan roti bakar keju anda dengan lazat. Dengan kejunya yang meleleh, ia pasti memikat selera anda pada bila-bila masa.

Roti bakar bersama telur separuh masak

Daripada namanya sahaja, anda pasti tahu bahawa resepi ini menggunakan telur separuh masak sebagai bahan utamanya selain roti. Anda hanya perlu rebus telur seketika dan pecahkan telur di atas roti bakar serta perasakan dengan sedikit garam dan lada sulah sahaja.

Roti bakar bersama bayam dan avokado

Menerapkan bayam dan avokado adalah gabungan sihat bagi mereka yang sedang berdiet. Anda juga boleh tambahkan bahan lain seperti keju, yogurt atau kekacang yang sesuai mengikut kreativiti anda.

Roti bakar mentega dan gula air fryer

Dengan menggunakan air fryer, bakar roti yang telah disapukan dengan mentega dan ditaburkan dengan gula selama 10 minit. Sebaiknya, jangan tindih roti tersebut agar ia masak dengan sekata.

Roti bakar salut telur

Ini adalah kegemaran semua dan sangat mudah disediakan. Hanya salutkan telur pada roti dengan baik sebelum menggorengnya buat seketika. Ia sedia dihidangkan dan boleh juga dimakan bersama sos jika anda suka.

10 makanan/ minuman yang anda boleh gandingkan bersama roti bakar

Selain menyediakan roti bakar begitu sahaja, ia juga enak jika digandingkan dengan bahan makanan lain. Jom lihat beberapa di antaranya yang anda mungkin pernah lakukan juga.

1. Sup cendawan

Mencicah roti bakar anda bersama sup cendawan haruslah menjadi perkara terbaik terutama ketika hari hujan dan cuaca sejuk. Dengan kerangupan roti bakar yang dicicah dengan sup cendawan yang berlemak, anda pasti boleh menghabiskan satu mangkuk sup cendawan dengan mudah.

2. Air milo

Biasanya, anda mencicah air milo yang suam bersama roti biasa, namun apa kata kali ini anda cuba bersama roti bakar pula? Hanya bakar roti anda buat seketika dan nikmati air milo anda bersamanya.

3. Cendawan herba

Ini adalah sangat sesuai jika digandingkan bersama roti bakar ‘garlic’ atau roti yang dibakar dengan sapuan bawang putih. Dengan perasa daripada cendawan herba itu, ia pasti memikat selera anda.

4. Avokado

Bagi masyarakat Barat, avokado adalah buah yang sering digandingkan dalam kebanyakan makanan dan ini termasuklah roti bakar. Anda hanya perlu menghiris buah avokado dan menyusunnya di atas roti bakar dengan sedikit garam dan lada hitam sahaja.

5. Sapuan keju

Jika anda yang menggemarkan sapuan kaya, mentega atau jem, sapuan keju juga ternyata digemari ramai kerana rasanya yang berlemak dan sangat mudah didapati di pasaraya. Anda juga boleh menambahkan bahan lain seperti bawang merah, timun atau sayur-sayuran lain untuk menjadikannya lebih lengkap.

6. Yogurt

Bagi mereka yang sedang berdiet, yogurt pastinya adalah salah satu makanan utama yang diambil bukan? Jadi, apa kata jadikannya sebagai sapuan asas pada roti bakar anda dan hiaskannya dengan buah-buahan segar seperti strawberi atau blueberi?

7. Coklat

Kini, sapuan coklat sudah mula menempa nama bagi penggemar sapuan roti. Antara yang terkenal pastilah jenama Nutella yang sangat kaya dengan rasa coklatnya. Jadi, sapukan roti bakar anda dengan sedikit sapuan coklat dan ia sedia dimakan.

8. Telur

Telur sememangnya boleh digandingkan dengan hampir kesemua makanan yang ada, malah ia juga adalah gandingan sempurna bagi roti bakar. Mengikut kesukaan anda, anda boleh menyediakan telur goreng, telur rebus ataupun telur separuh masak bersama roti bakar anda.

9. Daging atau ayam

Jika anda lebih menyukai roti bakar yang disusun seperti sandwich, bahagian tengahnya pastilah berisikan daging atau ayam bukan? Jadi, ini menjadikan hidangan anda lebih ‘penuh’ dan pastinya mengenyangkan.

10. Sayur-sayuran

Roti bakar yang telah ditambahkan bersama bahan lain pastinya tidak lengkap tanpa sayur-sayuran segar seperti tomato, kobis atau yang bersesuaian dengannya bukan? Jadi, sebelum menyiapkan roti bakar anda, hirislah tomato, lobak merah atau sedikit potongan bawang untuk menyiapkan keseluruhan hidangan roti bakar tersebut.

SUMBER

https://www.buzzfeed.com/terripous/toast-recipes

https://cookpad.com/my/search/roti%20bakar

https://www.self.com/gallery/breakfast-toasts-to-brighten-your-morning

Summary
recipe image
Recipe Name
Roti bakar – 30 cara untuk menikmati roti bakar anda!
Published On
Tagged: