Rhabdomyosarcoma
Rhabdomyosarcoma (RMS) adalah kanser yang jarang berlaku dan ia terbentuk dalam tisu lembut terutamanya tisu otot rangka atau kadangkala pada organ dalaman seperti pundi kencing atau rahim.

Rhabdomyosarcoma (RMS) adalah kanser yang jarang berlaku dan ia terbentuk dalam tisu lembut terutamanya tisu otot rangka atau kadangkala pada organ dalaman seperti pundi kencing atau rahim. RMS boleh berlaku pada sebarang peringkat umur, tetapi ia sering dihidapi oleh kanak-kanak.

Walaupun RMS boleh timbul di mana-mana di dalam badan, ia lebih cenderung untuk bermula di:

  • Kawasan kepala dan leher
  • Sistem kencing, seperti pundi kencing
  • Sistem reproduksi, seperti faraj, rahim atau testis
  • Tangan dan kaki

Tinjauan (prognosis) dan keputusan rawatan bergantung kepada jenis rhabdomyosarcoma, lokasi ia bermula, saiz tumor dan sama ada kanser telah merebak atau tidak. Rawatan dijalankan termasuklah pembedahan, kemoterapi dan terapi radiasi.

Kemajuan dalam rawatan rhabdomyosarcoma telah berjaya menhasilkan keputusan  lebih baik. Setelah selesai rawatan, pesakit memerlukan pemantauan sepanjang hayat bagi memastikan tiada risiko dari kesan sampingan pendedahan kepada kemoterapi dan radiasi.

Simptom Rhabdomyosarcoma

Tanda dan simptom rhabdomyosarcoma bergantung kepada lokasi kanser.

Sebagai contoh, jika kanser berada di bahagian kepala atau leher, tanda-tanda dan simptom yang dialami adalah seperti:

  • Sakit kepala
  • Bengkak mata atau mata terbeliak
  • Pendarahan di hidung, tekak atau telinga

Jika kanser berada dalam sistem kencing atau reproduksi, tanda-tanda dan symptom adalah seperti

  • Mengalami masalah untuk kencing dan terdapat darah dalam air kencing
  • Kesukaran dengan pergerakan usus (membuang air besar)
  • Terdapat jisim atau pendarahan dalam faraj atau rektum

Sekiranya kanser berada dalam lengan atau kaki, tanda-tanda dan simptom mungkin termasuk, diantara lain:

  • Bengkak atau benjolan pada lengan atau kaki
  • Sakit di kawasan yang terjejas atau kadangkala tidak ada kesakitan langsung

Punca Rhabdomyosarcoma

Punca rhabdomyosarcoma tidak diketahui dan nampaknya ia berlaku secara tiba-tiba. Tetapi jika pesakit mempunyai beberapa sindrom warisan, ia mungkin akan meningkatkan risiko RMS.

Diagnosis Rhabdomyosarcoma

Biasanya, tanda-tanda dan simptom menyebabkan ibu bapa mendapatkan bantuan perubatan untuk anak mereka. Langkah pertama biasanya termasuklah pemeriksaan fizikal, perbincangan sejarah perubatan, kiraan sel darah lengkap dan ujian makmal yang lain.

Doktor mungkin mengesyorkan satu atau lebih ujian pengimejan ini untuk mengesan kanser dan mengetahui keadaannya, sama ada ia telah merebak atau tidak:

  • X-ray
  • Tomografi berkomputer (CT)
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI)
  • Tomography emission Positron (PET)
  • Imbasan tulang

Biopsi

Doktor boleh juga mencadangkan prosedur untuk membuang sampel tisu (biopsi) dari tumor bagi ujian makmal. Ujian boleh menunjukkan sama ada tisu itu ada kanser dan, jika ya, jenis kanser tersebut.

Jenis-jenis prosedur biopsi yang digunakan untuk mendiagnosis rhabdomyosarcoma termasuklah:

  • Biopsi jarum. Doktor memasukkan jarum nipis melalui kulit dan menggerakkannya ke tumor. Jarum ini digunakan untuk mengeluarkan kepingan kecil tisu dari tumor.
  • Biopsi pembedahan. Doktor melakukan hirisan melalui kulit dan membuang sama ada keseluruhan tumor (biopsi ekstrasi) atau sebahagian daripada tumor (biopsi insisional).

Faktor Risiko Rhabdomyosarcoma

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dengan rhabdomyosarcoma tidak mempunyai sejarah kanser keluarga. Lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai maklumat ini, tetapi risiko RMS jenis embrio  disyaki meningkat pada individu yang mempunyai saudara keluarga pertama seperti ibu bapa, adik beradik atau anak yang menghidap kanser, terutama apabila mereka didiagnosis dengan kanser sebelum usia 30 tahun.

Dalam kes yang jarang berlaku, RMS mungkin dikaitkan dengan neurofibromatosis, gangguan genetik yang menyebabkan tumor terbentuk pada tisu saraf. Lebih banyak penyelidikan diperlukan bagi mengesahkan hubungan ini. Dalam kes yang jarang berlaku, RMS mungkin dikaitkan dengan sindrom warisan tertentu seperti sindrom Li-Fraumeni, sindrom Beckwith-Wiedemann atau sindrom Costello.

Rawatan Rhabdomyosarcoma

 Setelah beberapa tahun, kemajuan besar telah dilakukan dalam merawat dan mengubati kes rhabdomyosarcoma. Rawatan tersebut  merangkumi:

  • Pembedahan. Matlamat utama pembedahan adalah untuk membuang sel kanser, tetapi pakar bedah juga akan melakukan pembedahan untuk mengekalkan fungsi dan mengurangkan kecacatan. Tahap pembedahan untuk rhabdomyosarcoma bergantung kepada beberapa faktor, seperti saiz tumor, lokasi dan tindak balasnya terhadap kemoterapi.
  • Kemoterapi. Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser. Jenis dan masa kemoterapi berbeza-beza, bergantung kepada keadaan khusus dan risiko jangkitan kanser berulang.
  • Terapi radiasi. Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga tinggi untuk membunuh sel kanser. Ia boleh digunakan selepas pembedahan dilakukan untuk membunuh mana-mana sel kanser yang tinggal.

    Terapi radiasi juga boleh dilakukan, selain pembedahan, jika sarcoma terletak di kawasan di mana pembedahan tidak mungkin dapat dilakukan atau di lokasi yang  akan mengakibatkan  sesuatu fungsi yang terjejas (seperti kehilangan fungsi usus atau pundi kencing).

    Selain itu, terapi proton, iaitu satu bentuk terapi radiasi yang lebih baru, mungkin disyorkan dalam keadaan tertentu untuk meminimumkan kerosakan kepada tisu biasa di sekeliling.
  • Ujian klinikal. Percubaan klinikal adalah kajian untuk menyiasat cara baru merawat kanser. Kebanyakan kemajuan dalam merawat kanser kanak-kanak, termasuk rhabdomyosarcoma, telah berhasil dari percubaan klinikal Kumpulan Onkologi Kanak-kanak, yang mempunyai lebih daripada 200 institusi perubatan yang mengambil bahagian dari Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rhabdomyosarcoma/symptoms-causes/syc-20390962

https://www.cancer.org/cancer/rhabdomyosarcoma/about/what-is-rhabdomyosarcoma.html

https://en.wikipedia.org/wiki/Rhabdomyosarcoma

http://sarcomahelp.org/rhabdomyosarcoma.html

Summary
Rhabdomyosarcoma - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Rhabdomyosarcoma - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Rhabdomyosarcoma (RMS) adalah kanser yang jarang berlaku dan ia terbentuk dalam tisu lembut terutamanya tisu otot rangka atau organ dalaman.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: