retinoblastoma
Retinoblastoma adalah sejenis kanser mata yang jarang terjadi dan biasanya berlaku pada zaman kanak-kanak.

Retinoblastoma adalah sejenis kanser mata yang jarang terjadi dan biasanya berlaku pada zaman kanak-kanak. Pembentukannya bermula di retina, iaitu bahagian mata yang mengesan cahaya dan mengahantar gambar ke otak.

Kurang daripada 300 kanak-kanak di A.S. didiagnosis dengannya pada setiap tahun. Biasanya, ia berlaku sebelum mereka berumur 2 tahun.

Simptom Retinoblastoma

Tanda pertama dan simptom yang paling jelas dialami ialah mata tidak kelihatan normal. Khususnya, anak mata yang biasanya hitam mungkin kelihatan putih. Dalam gambar pula, selain dari fenomena “mata merah,” kanak-kanak dengan retinoblastoma akan dilihat mempunyai satu anak mata yang bersinar putih apabila cahaya bersinar kepadanya.

Simptom lain termasuklah:

  • Mata yang kelihatan lebih besar daripada biasa
  • Kabur atau perubahan warna di tengah mata
  • Sakit mata
  • Mata yang menyilang atau melihat ke arah yang berbeza
  • Kemerahan pada mata putih
  • Masalah penglihatan

Simptom-simptom ini juga boleh disebabkan oleh masalah yang kurang serius seperti tangisan dan sebagainya. Tetapi sila dapatkan rawatan dengan segera jika anda mengalami sebarang simptom yang dijelaskan di atas bagi mengelakkan keadaaan menjadi lebih terrk.

Punca Retinoblastoma

Retinoblastoma berlaku apabila terdapat perubahan, atau mutasi, dalam satu gen tertentu dalam DNA kanak-kanak. Tugas gen tersebut adalah untuk mengawal pembahagian sel. Apabila ia tidak berfungsi dengan cara yang sepatutnya, sel-sel dalam retina tumbuh di luar kawalan. Dalam kebanyakan kes, kerosakan gen berlaku secara rawak dan berlaku hanya dalam satu sel justeru menyebabkan kehadiran tumor dalam satu mata.

Sesetengah kanak-kanak dilahirkan dengan gen yang rosak dalam setiap sel badan mereka. Kanak-kanak ini mungkin mempunyai lebih daripada satu tumor dan menjejaskan kedua-dua mata. Mereka juga mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat kanser lain. Selain itu, apabila meningkat dewasa mereka juga boleh mewariskan penyakit ini kepada anak-anak mereka sendiri.

Diagnosis Retinoblastoma

Untuk mendiagnosis kanser ini, doktor mata akan memeriksa dengan teliti di bahagian dalam mata dengan menggunakan cahaya yang terang dan kanta pembesar. Jika terdapat tanda-tanda seperti kanser, langkah seterusnya adalah untuk mengetahui berapa besar tumor tersebut dan sama ada ia telah merebak. Anak anda mungkin akan menjalani salah satu daripada ujian perubatan ini:

  • Ultrabunyi – gelombang bunyi menghasilkan imejanak mata anda
  • MRI (pengimejan resonans magnetik) – magnet yang kuat dan gelombang radio menghasilkan imej mata yang terperinci
  • Pemeriksaan CT (tomografi dikira) – Beberapa imej X-ray diambil dari sudut yang berbeza dan disatukan untuk menunjukkan lebih banyak maklumat

Rawatan Retinoblastoma

Rawatan terbaik untuk retinoblastoma anak anda bergantung kepada saiz dan lokasi tumor, sama ada kanser telah merebak ke kawasan selain daripada mata, kesihatan keseluruhan anak anda, dan pilihan anda sendiri. Matlamat rawatan adalah untuk menyembuhkan kanser. Sekiranya boleh, doktor  juga akan berusaha untuk memelihara penglihatan anak anda.

Kemoterapi

Kemoterapi adalah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel-sel kanser. Kemoterapi boleh diambil dalam bentuk pil atau diberikan melalui saluran darah. Ubat kemoterapi bergerak ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai retinoblastoma, kemoterapi boleh membantu mengecutkan tumor supaya rawatan lain, seperti terapi radiasi, krioterapi, atau terapi laser, boleh dijalankan untuk merawat sel-sel kanser yang selebihnya. Ia boleh meningkatkan peluang anak anda untuk tidak menjalani  pembedahan.

Kemoterapi juga boleh digunakan untuk merawat retinoblastoma yang telah merebak ke tisu di luar bebola mata atau ke bahagian lain badan. 

Jenis baru kemoterapi, dikenali sebagai kemoterapi intra-arteri, menyalurkan ubat terus ke tumor melalui tiub kecil (kateter) dalam arteri di mata. Dalam sesetengah kes, doktor akan meletakkan belon kecil di arteri untuk memastikan ubat itu berhampiran dengan tumor. Jenis kemoterapi ini boleh diberikan sebagai rawatan awal atau dilakukan apabila tumor tidak bertindak balas terhadap jenis rawatan lain.

Kemoterapi intravitreal juga digunakan untuk merawat retinoblastoma yang telah merebak di dalam mata. Dalam kemoterapi jenis ini, ubat-ubatan disuntik terus ke dalam mata. Kemoterapi intravitreal digunakan apabila kanser tidak bertindak balas terhadap rawatan lain.

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan cahaya bertenaga tinggi, seperti X-ray dan proton, untuk membunuh sel kanser. Dua jenis terapi sinaran yang digunakan untuk merawat retinoblastoma termasuklah:

  • Radiasi dalaman (brachytherapy). Sewaktu radiasi dalaman dijalankan, peranti rawatan diletakkan di dalam tumor atau berhampiran tumor. Radiasi dalaman untuk retinoblastoma menggunakan cakera kecil yang diperbuat daripada bahan radioaktif. Cakera diletakkan berhampiran tumor dan dibiarkan selama beberapa supaya ia mengeluarkan radiasi pada tumor secara perlahan. Meletakkan radiasi berhampiran tumor akan mengurangkan risiko rawatan menjejaskan tisu mata yang sihat.
  • Sinaran cahaya luaran. Radiasi pancaran luaran menyuluhkan cahaya berkuasa tinggi kepada tumor dari mesin besar di luar badan. Anak anda akan dibaringkan di atas meja, dan kemudian mesin akan bergerak di sekeliling anak anda, menyampaikan radiasi. Radiasi pancaran luaran boleh menyebabkan kesan sampingan apabila sinaran radiasi mencapai kawasan yang halus di sekitar mata, seperti otak. Atas sebab ini, radiasi pancaran luaran biasanya dikhaskan untuk kanak-kanak dengan retinoblastoma lanjutan dan untuk mereka dimana rawatan lain tidak berfungsi.

Terapi laser (photocoagulation laser)

Laser digunakan untuk memusnahkan saluran darah yang membekalkan oksigen dan khasiat ke tumor. Tanpa bahan tenaga, sel kanser mungkin akan mati.

Rawatan sejuk (cryotherapy)

Cryotherapy menggunakan kesejukan yang melampau untuk membunuh sel-sel kanser.

Semasa cryotherapy dijalankan, bahan yang sangat sejuk, seperti nitrogen cecair, diletakkan di dalam atau berhampiran sel-sel kanser. Setelah sel-sel beku, bahan sejuk tersebut dikeluarkan dan sel-selnya akan cair. Proses pembekuan dan pencairan ini, diulang beberapa kali dalam setiap sesi cryotherapy, sehingga sel kanser mati.

Pembedahan

Apabila tumor terlalu besar untuk dirawat oleh kaedah lain, pembedahan boleh digunakan untuk merawat retinoblastoma. Dalam keadaan ini, pembedahan untuk mengeluarkan mata boleh membantu mencegah penyebaran kanser ke bahagian badan yang lain. Pembedahan untuk retinoblastoma termasuklah:

  • Pembedahan untuk mengeluarkan mata yang terjejas (enucleation). Semasa pembedahan untuk membuang mata, pakar bedah mencabut otot dan tisu di sekeliling mata dan mengeluarkan bebola mata. Sebahagian daripada saraf optik, yang meliputi dari belakang mata ke otak turut dikeluarkan.
  • Pembedahan untuk meletakkan implan mata. Sejurus selepas bebola mata dikeluarkan, pakar bedah meletakkan bola khas yang diperbuat daripada plastik atau bahan lain di soket mata. Otot yang mengendalikan pergerakan mata dilampirkan pada implan. Setelah anak anda sembuh, otot mata akan beradaptasi dengan bebola mata yang ditanam, sehingga ia dapat bergerak seperti mata yang benar. Walau bagaimanapun, bola mata yang ditanam tidak dapat melihat.
  • Memasang mata tiruan. Beberapa minggu selepas pembedahan, mata tiruan yang dibuat khas boleh diletakkan di atas implan mata. Mata tiruan bertujuan untuk disesuaikan dengan mata anak anda yang sihat. Mata tiruan terletak di belakang kelopak mata dan dikepilkan  pada implan mata. Apabila otot mata anak anda menggerakkan implan mata, ia akan nampak seperti anak anda sedang menggerakkan mata tiruan itu.

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/retinoblastoma/symptoms-causes/syc-20351008

https://en.wikipedia.org/wiki/Retinoblastoma

https://emedicine.medscape.com/article/1222849-overview

https://www.webmd.com/cancer/what-is-retinoblastoma

Summary
Retinoblastoma - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Retinoblastoma - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Retinoblastoma adalah sejenis kanser mata yang jarang terjadi dan biasanya berlaku pada zaman kanak-kanak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: