Resepi Spaghetti Carbonara

Sebut sahaja hidangan pasta, resepi Spaghetti Carbonara pasti menjadi pilihan ramai kerana mudah disediakan dan menggunakan bahan yang terhad.

Umumnya, Spaghetti Carbonara adalah hidangan ilham masakan Itali yang dititip dari Roman. Bahan utamanya adalah berasaskan telur, keju dan lada hitam.

Jika kamu menikmati Spaghetti Carbonara di restoran-restoran mewah, harganya sudah pasti akan menjangkau sehingga puluhan ringgit bagi setiap pinggan.

Namun, siapa sangka sebenarnya kamu juga boleh berlagak seperti tukang masak professional apabila mampu menyediakan hidangan ini di rumah dengan bahan-bahan yang mudah didapati di pasaran setempat, tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Masakan kamu sudah tentu menjadi sangat enak, lebih-lebih lagi apabila kamu boleh mengawal sukatan bahan sesuai mengikut selera.

Mari kami kongsikan resepi ala chef selebriti popular, Gordon Ramsay, yang boleh disiapkan dalam masa 10 minit! Jom, ikuti langkah-langkah dan tips di bawah.

Bahan-Bahan: –

  • 1 Paket Spaghetti
  • 30g Kacang Pis
  • 80g Kepingan “Bacon” (boleh guna bacon daging yang dicincang)
  • 2 Biji Kuning Telur
  • 1 Sudu Besar Yogurt Greek atau Krim Masam (Sour Cream)
  • 2 Biji Cendawan Putih (dihiris)
  • 1 Batang Cili Hidup
  • Minyak Zaitun
  • 2 Ulas Bawang Putih (dihiris halus)
  • Keju Parmesan (secukupnya)
  • 2 Sudu Daun Pasli (dicincang)
  • Garam dan Serbuk Lada Hitam (secukup rasa)

Cara-Cara: –

  1. Renih air di dalam periuk besar di atas api serdehana untuk merebus pasta Spaghetti.
  2. Masukkan satu paket Spaghetti, rebus sehingga masak. Pastikan ia tidak direbus sehingga terlalu lembik kerana Spaghetti yang masak elok adalah Spaghetti yang bertekstur sedikit kenyal.
  3. Asingkan sedikit sisa air rebusan pasta untuk digunakan sebagai campuran kuah Carbonara kemudian nanti.
  4. Sementara itu, boleh panaskan pula kuali dengan minyak zaitun di atas api perlahan bagi penyediaan bahan utama untuk digoreng tohor terlebih dahulu. Kalau boleh, gunakan kuali anti-lekat untuk masakan ini, lebih bagus.
  5. Apabila minyak telah cukup panas, boleh gorengkan cebisan bacon daging yang telah dicincang awal tadi sehingga menjadi separa garing. Jangan lupa taburkan sedikit lada hitam sebagai perasa.
  6. Setelah itu, masukan pula bawang putih yang telah dihiris halus. Goreng sehingga naik bau selama dua minit sebelum memasukkan pula cendawan putih serta hirisan cili hidup.
  7. Teruskan memasak sehingga hirisan bacon menjadi garing sepenuhnya. Boleh tambah sedikit garam jika mahu.
  8. Akhir sekali, masukan kacang pis ke dalam kuali bersama bahan tumisan tadi dan tambahkan juga 3 sudu air yang diambil dari sisa air rebusan pasta.
  9. Di dalam mangkuk bersih, campurkan 2 biji kuning telur bersama parutan atau serbuk keju parmesan. Gaul rata.
  10. Kemudian, masukkan pula sedikit yogurt greek atau krim masam. Kacau sebati lagi. Jika terlalu pekat, boleh tambahkan air untuk konsistensi larutan yang sedikit cair.
  11. Alihkan Spaghetti yang siap direbus tadi ke dalam kuali yang berisi bahan tumisan bacon, masukan air rebusan pasta, dan tuangkan campuran kuning telur. Gaul sebati.
  12. Taburkan daun pasli sebagai hiasan dan juga secubit lagi garam berserta serbuk lada hitam untuk rasa yang lebih memukau.

Siap! Sekarang, kamu sudah boleh menikmati hidangan Spaghetti Carbonara ala hidangan yang disediakan di restoran berprestij. Paling penting, ianya adalah hasil air tangan sendiri.

Apa yang membezakan resepi ini daripada resepi-resepi Spaghetti Carbonara lain diluar sana adalah, ini merupakan resepi Spaghetti Carbonara asli kerana kuahnya dibuat menggunakan bahan mentah yang segar dan bukannya menggunakan campuran sos atau kuah Carbonara segera yang banyak dijual di pasaran.

Hasilnya, rasa Spaghetti Carbonara lebih enak bahkan, kamu pasti bakal mendapat pujian daripada sesiapa yang memakannya nanti. Tak percaya? Boleh cuba dahulu.

Manalah tahu kalau-kalau ianya boleh menjadi antara idea untuk dihidangkan ketika makan malam bersama keluarga nanti.

Selamat mencuba semuanya!

SUMBER

https://www.gordonramsay.com/gr/recipes/gordons-carbonara-in-under-10-minutes

https://www.lacucinaitaliana.com/italian-food/italian-dishes/carbonara-origins-and-anecdotes-of-the-beloved-italian-pasta-dish?refresh_ce=

Summary
Resepi Spaghetti Carbonara Ala Gordon Ramsay, 10 Minit Dah Siap!
Article Name
Resepi Spaghetti Carbonara Ala Gordon Ramsay, 10 Minit Dah Siap!
Description
Sebut sahaja hidangan pasta, resepi Spaghetti Carbonara pasti menjadi pilihan ramai kerana mudah disediakan dan menggunakan bahan yang terhad.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: