Resepi Semua Burger Ramly
Burger Ramly bukan sahaja terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai makanan ringan pada waktu malam, malah tahukah anda bahawa ia juga digemari oleh masyarakat luar kerana keenakan rempah ratus dan jenis daging yang digunakan.

Burger Ramly bukan sahaja terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai makanan ringan pada waktu malam, malah tahukah anda bahawa ia juga digemari oleh masyarakat luar kerana keenakan rempah ratus dan jenis daging yang digunakan.

Ada juga anak Malaysia di luar negara yang berjaya dalam bisnesnya menjual dan memperkenalkan hidangan ini kepada masyarakat luar sehinggakan nama burger Ramly sudah semakin dikenali oleh penduduk di situ.

Seterusnya, walaupun anda boleh sahaja membeli burger ini di tepi jalan, namun apa kata anda sediakannya sendiri di rumah? Anda bukan sahaja boleh membuatnya mengikut cita rasa anda, malah kosnya juga adalah lebih murah dan tidak mengambil masa yang lama pun. Dengan resepi semua burger Ramly di hujung jari, pastinya anda boleh sediakannya dengan rasa yang sama seperti di gerai-gerai burger lain.

Jadi, jom kita lihat semua resepi terkenal bagi burger Ramly seperti di bawah!

Burger Ayam/ Daging

Bagi mereka yang menyukai burger klasik seperti burger ayam atau daging, cubalah resepi ini di rumah. Ia sememangnya disukai oleh pelbagai lapisan umur dari golongan kanak-kanak hinggalah golongan dewasa.

Anda boleh menggunakan daging burger Ramly yang boleh dibeli di pasaraya, tetapi kali ini kami akan menunjukkan cara membuat kepingan daging atau ayam anda sendiri dari mula. Resepi ini juga sesuai bagi mereka yang menggemari burger ayam atau daging kerana perbezaannya hanyalah pada jenis daging yang digunakan sahaja.

Jom kita lihat cara pembuatannya seperti di bawah.

Bahan-bahan daging:

  • Daging kisar (Ayam atau daging)
  • Lada hitam
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Telur
  • Daun parsli
  • Daun oregano
  • Paprika
  • Minyak zaitun

Bahan-bahan roti:

  • 1 biji roti burger
  • Timun (dihiris)
  • Lobak merah (dihiris)
  • Kubis (dihiris)
  • Bawang Holland (dihiris)

Cara penyediaan daging:

  1. Bahagikan daging anda mengikut saiz burger yang anda mahukan.
  2. Masukkan daging dalam bekas besar.
  3. Masukkan pula bahan-bahan yang telah siap dihiris (bawang besar, bawang putih).
  4. Tambahkan daun parsli, daun oregano dan lada hitam.
  5. Pecahkan dua biji telur dan masukkan sedikit minyak zaitun.
  6. Gaul hingga semua bahan menjadi sebati.
  7. Gunakan acuan atau bentukkan daging tersebut dalam bentuk bulatan seperti kepingan daging burger mengikut saiz yang anda mahu.
  8. Letakkan di atas kertas aluminium dan simpan dalam peti sejuk buat seketika.
  9. Apabila anda hendak menggorengnya, biarkan ia dalam suhu bilik seketika dan goreng menggunakan minyak atau air fryer bagi pilihan lebih sihat.

Cara penyediaan roti:

  1. Panaskan kuali dengan sedikit marjerin dan bakar roti yang dibelah dua seketika. (Jangan tekan roti agar ia kelihatan cantik dan gebu)
  2. Susun timun, hirisan kubis, hirisan lobak merah, hirisan bawang Holland di atas roti.
  3. Letak sos cili dan sos lada hitam mengikut kesukaan anda.
  4. Ambil kepingan daging atau ayam yang sudah digoreng dan letakkan di atas roti.
  5. Tambahkan sedikit mayonis dan tutup dengan roti.
  6. Kemaskan burger anda dan ia siap untuk dihidangkan!

Burger Benjo

Burger benjo secara mudahnya adalah kepingan daging burger bersama telur dengan sos-sos tertentu bagi menjadikan rasanya lebih enak. Ia hampir sama dengan resepi burger Ramly klasik, tetapi penggunaan telur dalam resepi ini pastinya menaikkan selera anda.

Jom kita lihat cara penyediaan burger benjo seperti di bawah.

Bahan-bahan:

  • Roti burger
  • Telur
  • Lada hitam
  • Perasa
  • Daun salad
  • Bawang besar
  • Sos mayonais
  • Sos cili
  • Sos lada hitam

Cara penyediaan:

  1. Sapu marjerin pada bahagian dalam ‘egg ring’ (acuan telur) dan letakkan dalam kuali.
  2. Pecahkan telur dan masukkan ke dalam ‘egg ring’.
  3. Titiskan beberapa titik sos perasa dan serbuk lada hitam.
  4. Tunggu hingga telur mengeras dan keluarkan dari ‘egg ring’.
  5. Terbalikkan telur seketika, angkat dan letakkan di tepi.
  6. Belah dua roti burger, sapukan marjerin dan bakar sekejap di atas kuali leper.
  7. Angkat roti dan susun daun salad, hirisan, tomato, timun, bawang besar, lobak merah satu per satu.
  8. Tuangkan sos cili dan letakkan telur di atasnya.
  9. Letakkan sedkit sos mayonis dan kemudian tutup dengan bahagian atas roti di atasnya.
  10. Kemaskan burger anda dan burger benjo anda siap dihidangkan!

Burger Ayam/ Daging Keju

Burger ini adalah pilihan yang tepat bagi penggemar keju kerana inilah yang membezakannya dengan burger Ramly yang klasik. Walaupun resepinya hampir sama dengan burger ayam atau daging yang biasa, tapi jom pelajari cara membuatnya di bawah.

Bagi penyediaan daging burger, pastikan anda merujuk pada cara pembuatannya pada resepi burger ayam/ daging seperti di atas.

Bahan-bahan:

  • Roti burger
  • 2 keping keju cheddar (atau jenis keju yang anda suka)
  • Kepingan daging burger (ayam atau daging)
  • Mentega
  • Sos cili
  • Sos mayonais
  • Sos mustard
  • Sayur-sayuran (timun, lobak merah, bawang besar dan sebagainya)

Cara penyediaan:

  1. Sapukan sedikit mentega dan bakar roti burger di atas kuali leper seketika.
  2. Goreng kepingan daging atau ayam yang anda telah sediakan bersama minyak atau menggunakan air fryer.
  3. Sediakan roti burger anda dan susun dengan jenis sayuran yang anda suka (timun, lobak merah, bawang besar).
  4. Letakkan kepingan daging burger anda bersama pilihan sos yang anda mahukan.
  5. Letakkan kepingan keju di atasnya satu per satu.
  6. Tutup burger dengan roti bahagian atas dan kemaskan burger anda.
  7. Burger daging/ ayam keju anda siap dihidangkan!

Burger Ayam/ Daging Special

Melihat namanya yang special, pastilah terdapat sesuatu yang lain daripada burger Ramly klasik. Bagi burger ayam atau daging special, anda mendapatkan gabungan kepingan daging atau ayam bersama dengan telur dalam satu burger!

Jom kita lihat cara penyediaannya seperti di bawah.

Bahan-bahan:

  • Roti burger
  • 1 keping daging burger (ayam atau daging)
  • Telur
  • Timun (dihiris bulat)
  • Tomato (dihiris bulat)
  • 4 helai salad lettuce (saiz kecil)
  • Sos cili
  • Sos mayonis
  • Sos lain (mengikut pilihan anda)

Cara penyediaan:

  1. Goreng daging burger ayam atau daging yang anda telah sediakan. Walaupun anda boleh beli yang jenis siap di kedai, apa kata sediakannya sendiri seperti cara penyediaan dalam resepi burger ayam atau daging di atas?
  2. Seeloknya, masak daging burger anda tanpa minyak bagi mengelakkannya menjadi terlalu berminyak dan tidak sihat.
  3. Apabila sudah masak, angkat dan ketepikan.
  4. Goreng telur menggunakan ‘egg ring’ yang telah disapu sedikit marjerin buat seketika. Anda juga boleh menggoreng telur tanpa ‘egg ring’ mengikut kesukaan anda.
  5. Angkat dan ketepikan.
  6. Sapukan sedikit marjerin pada roti burger dan bakar pada kuali leper seketika.
  7. Angkat dan mula susun burger anda satu per satu.
  8. Susun daging burger anda dan sayur-sayuran yang telah dihiris dengan rapi.
  9. Kemudian, lapiskan daging burger anda dengan telur di atasnya.
  10. Letakkan sos yang anda mahukan dengan baik.
  11. Tutup burger dengan kepingan atas roti.
  12. Kemaskan burger anda dan burger ayam atau daging special anda siap dihidangkan!

Dengan resepi semua burger Ramly yang mudah disediakan di atas, pastikan anda membuatnya dengan menitik beratkan penggunaan bahan-bahan segar dan kurang minyak bagi pilihan yang lebih sihat. Jadi, anda tidak perlulah berasa begitu bersalah kerana burger biasa sememangnya penuh dengan kalori.

Cubalah resepi ini di rumah bersama keluarga anda dan selamat mencuba!

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.thevocket.com/ramly-burger-pencetus-revolusi-burger-jalanan-di-malaysia/

SUMBER

https://myresipi.com/recipes/benjo-lada-hitam

http://cooking-engineer.blogspot.com/2014/12/sandwic-burger-ayam-keju-cheese-chicken.html

https://cookpad.com/my/recipes/10981505-burger-ayam

https://mediamaklumat.com/resepi-daging-burger/

Summary
Resepi Burger Ramly
Article Name
Resepi Burger Ramly
Description
Burger Ramly sememangnya menjadi makanan segera pada waktu malam yang sangat digemari oleh ramai. Jom kita lihat beberapa resepi terkenal bagi burger Ramly sekarang!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: