resepi nasi lemak
Nasi Lemak yang tulen dan sedap semestinya dikategorikan sebagai makanan yang kurang sihat.

Nasi lemak yang sihat, adakah ini sebuah mimpi? Sesiapa pun mesti terkejut apabila membaca kenyataan ini. Kami telah mengolah resepi Nasi Lemak Sihat Padu bagi memenuhi citarasa tempatan di samping meningkatkan tahap kesedaran kesihatan rakyat Malaysia. Persoalannya, adakah ia relevan dan dapat memuaskan keinginan anda terhadap nasi lemak tulen? Teruskan membaca resepi ini.

Ya, inilah Nasi Lemak versi sihat kami.

Baiklah, mari kita teliti sedikit fakta mengenai Nasi Lemak. Nasi Lemak yang tulen dan sedap semestinya dikategorikan sebagai makanan yang kurang sihat. Ini kerana, nasinya dimasak bersama santan dan mengandungi ikan bilis yang digoreng. Jadi, perkara ini telah mencetuskan idea kepada kami, bolehkah resepi Nasi Lemak sihat versi ini berasa sesedap yang tulen walaupun beberapa bahan yang tidak sihat diketepikan?

Resepi Nasi Lemak yang kami kongsikan ini adalah resepi Nasi Lemak versi sihat yang sedap serta menggabungkan semua ciri-ciri penting yang wajib ada dalam nasi lemak! Adakah ia benar-benar sihat? Rasanya sama seperti Nasi Lemak biasa? Berbaloikah untuk mencuba resipi ini? Jawapan kepada semua pertanyaan ini adalah, ya. Resipi ini berjaya memberikan rasa yang asli seperti Nasi Lemak tulen dan sesuai dimakan bagi individu yang sedang berusaha menjalani gaya hidup sihat.

Jom kita cubanya.

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan beras (Kami menggunakan beras basmati, namun anda boleh memilih menggunakan beras perang juga)
  • 1/4 cawan susu
  • 3 1/2 cawan air
  • 1 1/2 inci halia, dihiris
  • Secubit garam
  • 2-3 sudu besar minyak kelapa dara (cold pressed)

Cara penyediaan:

Sebagai permulaan, kami menggunakan beras basmati sebagai nasi kerana ia memiliki tahap indeks glikemik yang rendah dan teksturnya yang kurang berkanji daripada beras putih biasa, justeru adalah lebih sihat berbanding beras putih. Kami menanak nasi di dalam ketuhar gelombang mikro kerana kami dapati nasi keluar dalam bentuk yang sempurna. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menanaknya dalam periuk nasi atau di atas dapur.

Nasinya pula dimasak bersama susu untuk menggantikan santan, bagi menambah rasa lemak berkrim berserta air dan halia bagi mencipta aroma yang memikat selera. Seterusnya, bagi mendapatkan aroma kelapa yang wangi seakan santan, kami memasukkan sedikit minyak kelapa dara ke dalam nasi.

Minyak kelapa dara mempunyai pelbagai kelebihan kepada kesihatan seseorang seperti melegakan tekanan, menstabilkan paras kolesterol, menurunkan berat badan dan meningkatkan tahap imun. Ini kerana kandungannya yang baik sebagai ejen disinfektan, antioksidan, anti-kulat, anti-bakteria dan penenang. Ia juga adalah sejenis lemak yang sihat yang menyumbang kepada rutin diet yang sempurna. Tambahkannya ke dalam nasi dan percayalah, ia boleh mendatangkan kebaikan kepada tubuh badan anda.

Nota:

  • Basuh beras dan tambah bahan-bahan lain ke dalam bekas berpenutup (microwaveable).
  • Tanak nasi dalam ketuhar gelombang mikro selama 15-20 minit, sambil menghentikannya seketika untuk mengacau nasi. Setelah masak, kacau minyak kelapa mengikut citarasa anda.

Bahan-Bahan Sambal Ikan Bilis:

  • 10 biji bawang merah
  • 15 cili kering (gunakan lebih jika anda suka pedas)
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci asam jawa dengan 1 cawan air panas
  • 4-5 sudu teh gula perang organik
  • 2 sudu besar minyak kelapa dara
  • Air

Ikan bilis yang digoreng bersama minyak masak sudah tentunya TIDAK SIHAT. Jadi, daripada menggorengnya apa kata anda membakarnya di dalam ketuhar gelombang mikro. Hasilnya adalah ikan bilis yang rangup, sama seperti yang digoreng, tetapi sangat sihat dan mudah kerana tidak menggunakan minyak langsung.

Bagi membuat sambal Nasi Lemak pula, kami memilih untuk menggunakan ikan bilis yang sedikit besar. Setelah masak, ikan bilis diletakkan di atas tuala kertas pada pinggan selama 4 minit dan anda akan mendapatkan ikan bilis rangup tanpa minyak yang sihat dan padu! Selain itu, anda juga boleh membakar ikan bilis di dalam ketuhar dengan mengalasnya dengan aluminum foil terlebih dahulu. Kami menggunakan cara membakar dalam ketuhar bagi ikan bilis yang digunakan dalam sambal, tetapi kedua-dua cara adalah bagus.

Cara Menyediakan Sambal Ikan Bilis:

  • Bakar cili dalam oven sehingga harum selama 5 minit pada suhu 180°C.
  • Campurkan cili dengan bawang merah dan bawang putih dan kisar bahan-bahan ini.
  • Tumiskan bahan kisar dalam kuali dengan minyak sehingga pecah atau kelihatan garing. Tambah lakanto (gula) sebagai perasa.
  • Seterusnya, masukkan kira-kira 1 cawan air dan biarkan sambal masak. Teruskan menambah air sesuai dengan citarasa anda.
  • Selepas 30-45 minit, tambah air asam jawa.
  • Masak sehingga sambal menjadi merah gelap.
  • Akhir sekali, masukkan ikan bilis yang telah dibakar.

Cubalah alternatif ini:

Daripada memasak sambal ikan bilis, anda juga boleh memasak sambal udang atau sotong dengan menggunakan resipi yang sama. Tambahlah makanan laut dalam 10 minit terakhir masakan.

Pilihan vegetarian pula: Hiris kentang dan bakar di dalam ketuhar. Tambahkannya ke dalam sambal pada minit terakhir, menggantikan ikan bilis. Untuk rasa masin-masin ikan yang sedap, anda juga boleh menambah rumpai laut ke dalam sambal.

Bahan-Bahan Ayam:

  • 1kg ayam, buang lebihan lemak
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh ketumbar
  • 1 sudu teh kunyit
  • 1 sudu teh garam masala
  • 1 sudu serbuk cili
  • 2 sudu yogurt
  • Garam dan cili

Cara penyediaan:

Bagi ayam pula, kami telah mengolah resepi ayam panggang yang sihat untuk melengkapi Nasi Lemak sihat ini. Bahan perapan yang digunakan, kami memilih untuk memerap ayam dengan yogurt serta beberapa rempah seperti, jintan putih, ketumbar, kunyit, serbuk cili dan juga garam masala selama 2-3 jam. Untuk hasil yang lebih baik, biarkan semalaman dalam peti sejuk. Apabila ayam sudah sedia untuk dimasak, masukkan ke dalam ketuhar dan bakar dengan suhu 180°C selama 40 minit. Rasa ayam yang kaya dengan rempah ratus memberi kepuasan kepada anda tanpa anda perlu bimbang mengenai pengambilan kalori.

Semua langkah-langkah bagi memasak Nasi Lemak yang sihat ini telah berjaya dan kami mengesyorkan anda untuk mencubanya di rumah! Selamat mencuba.

Summary
recipe image
Recipe Name
Resepi Nasi Lemak Sihat
Published On
Tagged: