Maggi Goreng
Foto: Sheila Rusly | Youtube

Maggi Goreng paling sedap adalah Maggi Goreng yang dijual di kedai atau restoran mamak. Diminati ramai, entah kenapa agaknya sedap benar berbanding jika dimasak sendiri di rumah betul tak?

Jika diteliti betul-betul, sebenarnya Maggi Goreng yang dijual di kedai mamak adalah kosong belaka. Ia cuma dimasak menggunakan maggi kari semata yang kemudian dicampur sedikit bersama telur dan beberapa jenis sayuran seperti sawi, lobak merah mahupun kubis.

Tips Buat Maggi Goreng Jadi Lebih Sihat

Meskipun ramai yang mengkritik tentang khasiat mi segara, kita sebenarnya boleh sahaja menjadikannya sebagai suatu hidangan yang sihat.

Biar ramai yang tetap menyangkal, mi segera sebenarnya akan menjadi tidak sihat jika ia dimakan selalu dalam kuantiti yang tidak terkawal.

Namun, jika kita mengawal kuantiti seperti penggunaan perencahnya serta ditambah dengan khasiat protein dan sayuran lain, hidangan mi segera seperti Maggi Goreng sememangnya mampu menjadi hidangan yang sihat dan berkhasiat.

  • Jangan guna kesemua perencah: Ini kerana, perencah mi segera biasanya mengandungi banyak sodium dan garam. Jadi untuk mengelak daripada hidangan mi segera menjadi tidak sihat sepenuhnya, sila kurangkan penggunaan perencah kepada separuh sahaja.
  • Rebus mi secara berasingan: Jika kamu menggemari hidangan mi segera bersup. Jangan masak sekali dengan perencah sebaliknya, boleh rebuskan mi dalam air yang berasingan.

Ini bagi memastikan sisa minyak kelapa sawit yang digunakan ketika proses pembuatan mi segera tersebut dapat dinyah keluar seterusnya membuatkan mi segera menjadi lebih sihat.

  • Gabungkan dengan ramuan bernutrisi: Mi segera itu sendiri sudah pun mengandungi banyak lemak dan karbohidrat. Untuk itu, gabungkan ia dengan aneka sayuran, ayam, daging mahupun telur sebagai sumber nutrisi tambahan.

Tak dinafikan, memang sedap makan di kedai berbanding di rumah dek kerana terlalu sibuk dengan tugasan harian. Namun begitu, ada masa kita lebih senang bersantai di rumah -makan sambil menonton televisyen umpamanya.

Jika kamu teringin hendak makan juadah yang paling simple tetapi masih lagi mahu merasai kenikmatan seperti di kedai mamak. Boleh cuba resepi Maggi Goreng Mamak 5 bahan yang Ceria Sihat kongsikan ini!

Bahan-Bahan: –

  • 2 Paket Maggi Kari
  • 1 – 2 Biji Telur
  • 3- 4 Batang Sayur Sawi (dipotong kecil)
  • Kubis (dihiris)
  • Timun (dihiris)

Cara-Cara: –

  1. Celur Mee Maggi selama 2 minit sehingga masak. Asingkan perencah karinya untuk digunakan semasa menggoreng nanti.
  2. Panaskan sedikit minyak zaitun. Lalu, tumiskan sayur sawi dan hirisan lobak merah sehingga agak masak.
  3. Pecahkan telur dan biar ia masak seketika.
  4. Masukkan sekali 1 paket perencah maggi kari. Ingat, kalau nak sihat, perlu kurangkan perencahnya ya.
  5. Setelah kelihatan telur semakin garing, kacau agar telur menjadi hancur sedikit dan masukkan pula maggi yang telah dicelur awal tadi.
  6. Siap! Boleh nikmatinya bersama hirisan timun, perahan limau nipis dan sos cili jika suka.

Cadangan penulis, kamu boleh makan Maggi Goreng ini panas-panas sambil bertemankan teh tarik kalau hendak rasa betul-betul seperti di restoran mamak.

Untuk pengetahuan kamu lagi, memang ini sahaja ramuan utama yang diperlukan dalam Maggi Goreng ala mamak.

Rahsia utamanya adalah kamu perlu menggunakan perencah maggi kari dan bukannya serbuk kari biasa atau jenama perencah kari lain. Barulah rasanya saling tak tumpah seperti Maggi Goreng ala mamak.

Selamat mencuba!

SUMBER

https://luveenalee.com/maggi-goreng-mamak-maggi-goreng-maggi-goreng-recipe-how-to-cook-fried-instant-noodles

Summary
Resepi Maggi Goreng “Mamak Style” Guna 5 Bahan Je!
Article Name
Resepi Maggi Goreng “Mamak Style” Guna 5 Bahan Je!
Description
Maggi Goreng paling sedap adalah Maggi Goreng yang dijual di kedai atau restoran mamak. Diminati ramai, entah kenapa agaknya sedap benar berbanding jika dimasak sendiri di rumah betul tak?
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: