Laksam
Foto: Nabil Izzuddien | Flickr

Laksam atau Mi Laksam adalah sejenis menu yang berasal daripada Kelantan dan Terengganu. Masakannya terdiri daripada sejenis mi bergulung yang diperbuat dariapda tepung beras dan dimakan bersama kuah ikan istimewa.

Ianya hampir sama dengan laksa tetapi kuah laksam adalah sedikit pekat dan bersantan bahkan, mi yang digunakan dalam hidangan ini juga adalah berbentuk leper seperti kuey teow tetapi bergulung.

Melihatkan agak sukar menemui hidangan laksam sekitar Lembah Klang yang memiliki rasa ‘seoriginal’ seperti di Pantai Timur, ini resepi mudah bagaimana kamu boleh membuat Laksam Kelantan di rumah.

Bahan-Bahan Mi Laksam: –

  • 250g Tepung Beras
  • 1 Cawan Tepung Gandum
  • 2 Cawan Air Sejuk
  • 2 Cawan Air Panas

Bahan-Bahan Kuah Laksam: –

  • 600g Isi Ikan Makarel/Kembung (dibersihkan dan direbus empuk)
  • Halia (sebesar ibu jari dihiris)
  • 3 Butir Bawang Putih
  • 6 Butir Bawang Merah
  • 400ml Satan
  • 400ml Air
  • 2 Sudu Pes Asam Jawa
  • 1 Sudu Kecil Serbuk Lada Hitam
  • Garam dan Gula (secukupnya)

Bahan-Bahan Sambal: –

  • 4 Batang Cili Hidup (dibuang biji dan tangkai, kemudian dihiris)
  • 4 Batang Cili Api (dibuang tangkai)
  • 1 Sudu Belacan (dibakar)
  • 1 Sudu Kecil Gula
  • Sudu Jus Limau Kasturi

*Kesemua bahan ini berlu dikisar bersama.

Hiasan Sayuran Tambahan: –

  • Timun (dihiris panjang)
  • Kubis (dihiris halus)
  • Kacang Panjang (dihiris halus)
  • Daun Ketumbar (dihiris halus)
  • Taugeh (dibersihkan dan dibuang kepala)
  • Limau Nipis (dibelah dua)

Cara-Cara Buat Mi Laksam: –

  1. Masukkan semua tepung ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan air sejuk dan kacau rata. Kemudian masukkan pula air panas. Kacau lagi sehingga adunan tepung sebati dan tidak berketul.
  3. Sementara itu, panaskan periuk kukus.
  4. Griskan minyak pada bekas loyang besi lalu tempatkan bekas loyang tersebut di dalam periuk kukus. Ini adalah supaya lapisan tepung (mi) senang diangkat dan tidak melekat.
  5. Sendukkan bancuhan tepung laksam ke dalam loyang, pastikan lapisan tidak terlalu tebal dan tidak juga terlalu nipis. Kukus lapisan tepung sehingga masak (mula mengeras dan tidak menggelembung.
  6. Angkat dan sejukkan dahulu sehingga sebelum mula menggulung.
  7. Setelah digulung nanti, bolehlah dipotong kepada bahagian-bahagian kecil. Jika tak mahu pisau melekat, boleh rendamkan pisau di dalam air setiap kali mula memotong.

Cara-Cara Buat Kuah Laksam: –

  1. Ambil isi ikan yang telah direbus empuk tadi. Asingkan tulang dan kisar halus di dalam mesin pengisar. Kisar bersama sekali dengan bahan lain seperti halia, bawang putih, dan bawang merah. Jika mahu kuah lebih enak, tak perlu kisar sehingga halus supaya boleh tetap menggigit isi ikan.
  2. Dalam periuk besar, tuangkan santan berserta pes asam jawa serta air.
  3. Setelah beberapa ketika, masukkan pula kisaran pes ikan tadi. Didihkan ia di atas api serdehana sehingga pekat.
  4. Masukkan lada hitam, garam, dan gula sebagai perasa.

Sebelum makan, jangan lupa untuk hidangkannya sekali bersama sambal dan sayuran tambahan. Barulah rasanya lebih memikat.

Rupanya memang senang sangat nak buat hidangan Laksam Kelantan ni sendiri di rumah. Untung-untung, kamu pula yang boleh buat perniagaan laksam ni kerana modal bahannya tidaklah terlalu mahal dan rumit.

Masa sambutan Aidilfitri nanti, kalau dah buntu hendak masak apa, bolehlah mencuba resepi laksam mudah ni ya. Sedap dan tersangatlah mengenyangkan. Sesuai untuk dimakan beramai-ramai bersama keluarga dan sanak-saudara. Kalau pun tak boleh balik kampung dek kerana PKP, boleh je masak hidangan ni untuk wujudkan kelainan. Lebih meriah!

Selamat mencuba.

SUMBER

https://ms.wikipedia.org/wiki/Laksam

http://www.friedchillies.com/recipes/detail/resipi-laksam-tok-kamariah

Summary
Resepi Laksam Kelantan Yang Lemak Berkrim
Article Name
Resepi Laksam Kelantan Yang Lemak Berkrim
Description
Laksam atau Mi Laksam adalah sejenis menu yang berasal daripada Kelantan dan Terengganu. Masakannya terdiri daripada sejenis mi bergulung yang diperbuat dariapda tepung beras dan dimakan bersama kuah ikan istimewa.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: