kuih bom

Kuih bom yang juga dikenali sebagai onde-onde bijan sangat tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Kuih ini berbentuk bulat dan disaluti bijan di bahagian luar. Kuih bijan juga selalunya sangat lembut dan tidak liat selain rasanya yang sedap.

Jika anda menggunakan resepi ini, anda boleh mendapat dalam 16 biji kuih bom yang bersaiz agak besar. Jom kita tengok resepi yang telah disediakan di bawah.

Bahan – bahan lapisan luar kuih bom :  

  • 2 cawan tepung pulut
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • Sedikit garam
  • 3/4 – 1 cawan air
  • Bijan secukupnya – untuk disalut pada kuih bom

Cara-cara penyediaan lapisan luar kuih bom :

  1. Satukan tepung pulut, tepung gandum dan garam.
  2. Bancuh dengan air sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
  3. Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung beras pulut.

Bahan-bahan inti kacang hijau:

  • 250gm kacang hijau yang  direndam
  • 1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus – atau guna 1 keping gula Melaka
  • 1 cawan gula pasir
  • 1/2 cawan kelapa parut muda
  • 3 sudu besar tepung gandum

Cara-cara membuat inti kacang hijau:

  1. Mula-mula, masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga ia kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering.
  2. Kemudian, masukkan kelapa, gula melaka dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula.
  3. Taburkan tepung gandum dan kacau rata. Angkat dan sejukkannya. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat.

Cara-cara membuat kuih bom:

  1. Mula-mula, sapukan sedikit minyak pada tapak tangan.
  2. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti kacang hijau yang telah di kepal tadi.
  3. Cantumkan bahagian leper hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.
  4. Golek-golekkan ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan.
  5. Akhir sekali, layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.
  6. Panaskan minyak dan goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan.
  7. Kemudian, besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan terlalu lama, nanti meletup.
  8. Angkat dah sedia untuk dimakan.

TIPS:

  1. Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan intinya. Seandainya terus digoreng, kuih bom akan mengelembung dan pecah. Kuih tak cantik dan tak garing.
  2. Sebaiknya buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya.
  3. Lebihan inti boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih gulung dan kuih koci.

Mudahkan? Selamat mencuba!

Source:

https://www.aziekitchen.com/2014/03/kuih-bom-asli-berinti-kacang-hijau.html

Summary
Resepi Kuih Bom : Lazat dan Mudah
Article Name
Resepi Kuih Bom : Lazat dan Mudah
Description
Kuih bom yang juga dikenali sebagai onde-onde bijan sangat tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Kuih ini berbentuk bulat dan disaluti bijan di bahagian luar. Kuih bijan juga selalunya sangat lembut dan tidak liat selain rasanya yang sedap.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: