kuey teow ladna

Kuey teow adalah makanan yang sering dipesan ketika makan di mana-mana restoran ataupun warung makanan. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara dan resepi mengikut cita rasa masing-masing. Salah satu hidangan kuey teow yang popular adalah kuey teow ladna.

Kuey teow ladna adalah hidangan kuey teow yang terdiri dari kuey teow yang digoreng dalam salutan telur, isi ayam, sotong, dan pelbagai jenis sayur-sayuran.

Ramai yang menggemari hidangan ini namun tidak ramai yang pandai memasak hidangan tersebut.

Oleh itu, kami kongsikan resepi kuey teow ladna yang pastinya sedap dan menambat selera anda untuk anda cuba sendiri.

Bahan-bahan:

  • 500 gram kuey teow
  • Kicap manis secukupnya
  • 1 mangkuk udang segar
  • 2 ekor sotong – dipotong
  • 1 bahagian dada ayam – dipotong kecil
  • 4 ulas bawang putih
  • 5 biji cili padi
  • 1/2 batang lobak merah
  • Sayur sawi segenggam
  • Sedikit bunga kobis
  • 1 biji tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 ketul kiub pati ayam
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • Minyak untuk menumis
  • Air secukupnya
  • Limau kasturi
  • Bawang goreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Ayam harus direbus kemudian hiris nipis.
  2. Udang dan sotong dibersihkan terlebih dahulu kemudian dipotong membulat.
  3. Panaskan minyal, kemudian masukkan kuey teow bersama kicap ke dalam kuali lalu gaul rata. Setelah selesai, angkat kuey teow.
  4. Setelah itu, panaskan minyak dalam kuali yang sama dan masukkan bawang putih bersama cili padi. Goreng sehingga naik bau.
  5. Masukkan bahan-bahan mentah iaitu sotong, udang, dan isi ayam kemudian kacau sehingga hamoir masak. Kemudian, masukkan sayuran seperti lobak, batang sawi, daun sawi, bunga kobis, dan tomato.
  6. Masukkan air secukupnya ke dalam kuali sehingga mendidih.
  7. Setelah mendidih, masukkan kiub ayam, sos tiram, dan bancuhan tepung jagung.
  8. Pastikan kuah dikacau sehingga pekat.
  9. Setelah kuah siap, tuangkannya ke atas kuey teow dan hias bersama limau kasturi dan bawang goreng.

Kuey teow ladna sememangnya sangat mudah untuk dimasak. Bahan-bahan yang diperlukan juga sangat mudah diperoleh di mana-mana pasar raya. Kuey teow ladna yang dimasak sendiri pastinya lebih sedap dan puas dimakan bersama keluarga tersayang. Oleh itu, anda boleh memasak masakan ini sendiri di rumah dan menjadikan resepi ini sebagai rujukan. Selamat mencuba!

Sumber:

https://myresepimenarik.blogspot.com/2018/03/resepi-kuey-teow-ladna-yang-mudah-dan.html

https://www.google.com/search?q=kuey+teow+ladna&source=lnms&tbm=isch&sa=X&ved=2ahUKEwjt-v6k087wAhUeyDgGHWKwBAYQ_AUoAXoECAEQAw&biw=1536&bih=722#imgrc=wGP0kSbegBCTPM

Tagged: