Now Reading
Resepi Daging Bakar Ala Danok Yang Anda Boleh Cuba!

Resepi Daging Bakar Ala Danok Yang Anda Boleh Cuba!

resepi daging bakar

Teringin nak makan daging bakar yang viral tu? Jom kita buat sendiri. Yang penting ada resepi daging bakar, pasti akan menjadi. Rasanya sangat sedap dan lembut teksturnya. Cara membuatnya juga serba senang. Tapi kalau nak dibuat tu buatlah banyak sikit sebab nanti tidak cukup.

Daging bakar ala danok ini sebenarnya berasal daripada negara timur tengah. Resepi daging bakar ini anda boleh bakar menggunakan ketuhar atau pemanggang ajaib di rumah sekalian. Senang sangat!

Jom kita lihat resepinya.

Petua-petua kaedah memanggang daging bakar:

  1. Salah satu tips resepi daging bakar ini ialah untuk anda cepat melembutkan daging semasa dibakar adalah memerap daging semalaman dan hiris halia dalama bentuk kepingan dengan perap sekali dengan daging.
  2. Satu lagi teknik ialah anda perap semalaman dan masukkan ke dalam tempat sejuk beku lebih kurang 1 jam. Hiris daging supaya nipis-nipis dan barulah membakarnya agar daging cepat menjadi lembut dan empuk.

Bahan-bahan daging bakar :

  • 2 keping daging batang pinang/strip loin/sirloin/rib eye (yang sebesar tapak tangan lelaki dewasa dan setebal anggaran 2 cm)*
  • 2 sudu besar sos tiram*
  • 2 sudu besar kicap cair*
  • 1 ulas bawang putih yang ditumbuk halus*
  • 1 batang serai yang dihiris nipis dan ditumbuk halus*
  • 1 sudu kecil lada sulah*
  • 2 sudu besar gula perang*
  • 3 sudu besar susu cair*
  • 1 sudu kecil serbuk cili*
  • Sedikit serbuk perasa*
  • Sedikit minyak masak
  • 1 ketul arang bersaiz kecil
  • Aluminium foil

Cara-cara penyediaan :

  1. Perap daging selama 3-4 jam bersama semua bahan-bahan yang bertanda (*).
  2. Simpan daging yang diperap di dalam peti sejuk terlebih dahulu (jangan diletakkan di bahagian sejuk beku).
  3. Selepas 3 jam, barakan arang dan sambil-sambil itu boleh mula membakar daging atas pan.
  4. Letakkan sedikit minyak dulu di permukaan pan. Bakar selama 10 minit sahaja di mana 5 minit untuk setiap bahagian permukaan. Perhatikan supaya tidak terlebih masak dan gunakan api sederhana besar sahaja. Ini kerana kalau terlebih masak daging akan menjadi kering dan agak liat. Kalau anda suka pada tekstur medium well cukup setakat 7 – 8 minit sahaja masa membakar daging tadi.
  5. Setelah daging masak, tutupkan api.
  6. Kemudian ambil arang yang telah berbara tadi dan letakkan diatas sekeping aluminium foil. Titiskan beberapa titis minyak masak atas arang ini akan menyebabkan arang mengeluarkan asap yang banyak dan letakkan arang dalam pan daging tadi.
  7. Tutup pan cepat-cepat dengan penutup yang rapat. Proses ini adalah untuk mendapatkan rasa daging seperti dibakar dengan arang dan yang pasti ianya sememangnya menyedapkan lagi rasa daging bakar itu nanti. Biarkan asap menyelimuti daging selama 1-2 minit sahaja.
  8. Kemudian boleh mengangkat daging untuk dipotong dan dihidangkan bersama sos pencicah seperti resepi mudah di bawah ini.

Bahan-bahan untuk sos pencicah:

  • Sedikit hirisan daun ketumbar
  • Sedikit hirisan daun bawang
  • 1 ulas bawang kecil yang dihiris nipis
  • 1 sudu besar serbuk beras pulut sangai
  • 4 sudu besar sos ikan
  • 2 sudu besar gula kelapa thai (kalau tidak ada, boleh diganti dengan gula perang)
  • 1 sudu besar pes asam jawa (yang dicairkan dengan sedikit air panas)
  • 2 sudu besar thai chilli flakes
  • 3 biji limau nipis yang diambil perahan jusnya sahaja
  • 1 sudu besar minyak masak/zaitun/jagung

Cara-cara penyediaan :

  1. Satuakn kesemua bahan-bahan dan kacau sehingga sebati.
  2. Sesuaikan mengikut rasa individu. Siap untuk dihidangkan bersama daging bakar begitu sahaja untuk rasa yang enak dan mengagumkan.

Mudah dan sangat senang kan? Bolehlah anda cuba sendiri resepi ini di rumah. Selamat mencuba ya!

Source:

https://daridapur.com/resepi-daging-bakar-danok/

https://www.rasa.my/resipi-daging-bakar-bersama-sos-ala-danok-menu-popular-selatan-thai-ni-memang-sedap/

error: Content is protected !!