Resepi Asam Pedas Johor

Mendengar sahaja resepi asam pedas Johor pasti membangkitkan selera penggemar tegar masakan ini. Apa tidaknya rasa pedas, masam dan masin yang pekat likat pasti membuatkan penggemarnya terliur.

Tahukah anda terdapat pelbagai variasi masakan asam pedas mengikut negeri di Malaysia. Sekiranya anda berasal dari selatan tanah air pastinya terbayang aroma daun kesum dari masakan asam pedas Johor. Asam pedas melaka pula kebiasaannya aroma dari daun limau purut pastinya membuatkan perut berkeroncong.

Negeri didaerah sebelah Utara pula asam pedas mereka tidak ditumis sebaliknya direbus seakan akan singgang Pantai Timur. Kepelbagaian variasi ini menunjukkan keunikan kita sebagai rakyat Malaysia yang seharusnya dihargai

Asam pedas sesuai dimasak menggunakan semua ikan laut. Namun antara ikan-ikan yang dikira istimewa kebiasaan dimasak bersama asam pedas Johor adalah seperti Ikan Parang, Mayong, Sembilang dan Terubuk. Kepakaran untuk menyediakan ikan bertulang ini juga adalah satu kemahiran yang diperlukan sebelum menyediakan masakan asam pedas.

Antara sayuran yang jarang dijumpai sekiranya membeli asam pedas sedia masak dikedai adalah sayuran jeruk seperti sawi dan lobak. Rasa masam masin pahit yang dimiliki oleh sayuran jeruk inilah yang menjadi pelengkap kepada asam pedas Johor. Sayuran lain yang acapkali kita jumpa didalam masakan asam pedas adalah seperti bendi, terung dan tomato.

Penyediaan pes asam pedas Johor dewasa ini banyak menggunakan mesin pengisar dari segi rasa dan tekstur agak berbeza dengan masakan orang orang lama yang menggunakan batu giling. Teknik tumisan bahan giling juga perlu diambil kira untuk mendapatkan rasa asam pedas yang benar benar enak.

Asam Pedas Johor Ikan Parang

Bahan – bahan

A . Tumis

  • 25 tangkai cili kering
  • 2 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • 2 inci halia
  • 4 inci kunyit
  • 1 camca teh lada hitam
  • Belacan (Terpulang kepada yang gemar)

B. Masakan

  • 3 – 4  potong ikan Parang
  • Bendi muda / Terung Bulat / Terung Panjang
  • Tomato
  • Sawi Jeruk/ Lobak Masin
  • Daun Kesum
  • 1 Sudu besar asam jawa
  • Air secukupnya
  • 1 senduk minyak masak

Kaedah

  1. Buang biji cili kering dan direbus sehingga lembut
  2. Masuk ke dalam pengisar dan isi air sekadar separuh dari cili kering dan dikisar halus
  3. Panaskan kuali dan curah minyak masak.
  4. Tumis cili dahulu sehingga garing
  5. Masukkan kedalam pengisar bahan tumisan lain dan isi air juga separuh untuk mengisar.
  6. Sebaik sahaja cili garing, masukkan bahan tumisan lain yang telah dikisar dan ditumis dengan api perlahan sehingga terbit minyak.
  7. Masukkan air ½ cawan dan ditumis kembali sehingga terbit minyak kali kedua.
  8. Masukkan ikan dan air mengikut angaran ikan
  9. Masukkan asam jawa, sayur jeruk dan biar sehingga menggelegak
  10. Masukkan sayur sayuran lain dan perasakan.
  11. Asam pedas mesti seimbang rasa pedas, masam dan masinnya.

Tips masakan

  1. Pemilihan cili kering

Asam pedas yang menarik memiliki warna yang merah terang dan berkilat. Faktor ini ditentukan dari pemilihan cili kering. Bagi mereka yang kurang gemar rasa terlalu pedas boleh lebih kan cili merah besar

Disarankan guna cili kerinting berkilat dan dicampur cili merah besar pada nisbah yang sama. Gabungan cili ini menghasilkan kombinasi masakan yang bukan sekadar rasa yang enak namun juga menarik dari segi warna masakan.

2. Penyediaan ikan bertulang

Sebelum ikan disiang, ikan ikan yang memiliki tulang yang banyak perlu diregangkan. Teknik meregangkan ini adalah dengan menarik ekor dan kepala kea rah yang bertentangan sehingga terdengar bunyi regangan tulang ikan tersebut. Kemudian siang lah seperti biasa. Sekiranya ikan bersaiz kecil anda perlu kelar halus halus sekiranya bersaiz besar tidak perlu.

3. Tumisan lebih enak

Sekiranya anda tidak memasak didalam keadaan tergesa gesa ulangi proses tumisan sebanyak 3 kali setiap kali air 1/2 cawan yang dimasukkan kering dan terbit minyak. Pastikan api yang digunakan kecil. Luangkan masa untuk mencuba dan rasai sendiri kelainan masakan asam pedas anda.

Semoga perkongsian resepi ini bermanfaat selamat mencuba!

SUMBER:

https://www.aziekitchen.com/2019/09/asam-pedas-johor.html

https://saji.my/resepi-asam-pedas-johor/

Summary
Resepi Asam Pedas Johor Ikan Parang
Article Name
Resepi Asam Pedas Johor Ikan Parang
Description
Mendengar sahaja masakan Asam Pedas pasti membangkitkan selera penggemar tegar resepi ini. Apa tidaknya rasa pedas, masam dan masin yang pekat likat pasti membuatkan penggemarnya terliur.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: