resepi apam nasi

Apam nasi adalah apam yang gebu dan lembut, diperbuat menggunakan bahan utamanya iaitu nasi. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai lebihan nasi di rumah, janganlah dibazir dengan membuangnya kerana ia boleh menjadi apam nasi.

Resepi apam nasi kali ini sangat ringkas dan bahan-bahannya juga senang untuk didapati. Apam nasi sangat sesuai dimakan sebagai sarapan pagi ataupun minum petang. Selain itu, apam nasi juga boleh dijadikan sebagai menu untuk berjualan.

RESEPI 1 – APAM NASI

Bahan-bahan A:

  • 1 cawan nasi
  • 1 cawan air

Bahan-bahan B:

  • 1 cawan tepung beras
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan gula pasir
  • 6g yis kering

Bahan-bahan C:

  • Kelapa parut muda
  • Garam

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar bahan A sehingga halus. Satukan semua bahan B di dalam mangkuk yang besar.
  2. Tuang bahan A ke dalam bahan B dan kacau sebati. Perap selama 1 jam sampai kembang.
  3. Panaskan pengukus sehingga air mendidih. Sapu sedikit minyak pada acuan..
  4. Tuang adunan dalam bekas kecil. Kemudian, masukkan dalam pengukus dan kukus selama 15 minit. Balut tudung pengukus dengan kain untuk elakkan air wap jatuh ke atas apam.
  5. Hidangkan bersama kelapa yang telah digaul dengan sedikit garam atau makan begitu saja.

RESEPI 2 – APAM BERAS CHOCOLATE RICE

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 cawan nasi
  • 1 1/4 cawan air
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 3/4 cawan gula
  • 1 sudu kecil yis segera
  • Chocolate rice
  • Kelapa parut putih dicampur dengan garam – digaul sampai rata

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Campurkan tepung beras, tepung gandum, dan juga yis segera. Gaul sampai rata dan ketepikan.
  2. Kisar nasi dan gula bersama air. Setelah halus dikisar, tuangkan ke dalam bekas berisi campuran tepung. Gaul menggunakan whish supaya rata. Kemudian, perapkan selama lebih kurang tiga jam.
  3. Lepas perap, panaskan pengukus dan lapik acuan apam dengan parchment paper.
  4. Kacau adunan apam tadi dan tuangkan ke dalam acuan sampai agak penuh. Taburkan chocolate rice di atas adunan tersebut.
  5. Kukus 5 minit menggunakan api besar. Jangan lupa balut penutup pengukus dengan kain.
  6. Setelah apam masak, keluarkan dari pengukus, taburkan kelapa parut di atasnya, dan hidangkan.

RESEPI 3 – APAM NASI GEBU

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 cawan nasi
  • 2 1/2 cawan air
  • 1 cawan gula
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 cawan tepung beras
  • 1 paket 11g yis mauripan
  • Pewarna
  • Minyak
  • Kelapa parut

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar nasi bersama air sehingga sebati menggunakan pengisar.
  2. Masukkan gula dan kisar lagi sampai semua adunan sebati.
  3. Di dalam mangkuk lain, gaul tepung gandum, tepung beras dan yis, dan ayakkan semua campuran tepung tersebut.
  4. Gaulkan adunan nasi dengan adunan tepung, dan masukkan pewarna ikut warna yang anda suka
  5. Perapkan adunan selama 3 jam.
  6. Selepas perap apam, sapukan acuan apam dengan minyak dan tuangkan adunan ke dalam acuan.
  7. Kukus 20 minit hingga apam naik gebu.
  8. Hiaskan dengan kelapa parut dan bolehlah dinikmati bersama keluarga.

Apam nasi sememangnya sangat mudah untuk dibuat. Bahan-bahan yang diperlukan juga sangat mudah diperoleh dan murah. Apam nasi yang dibuat sendiri pastinya lebih sedap dan puas dimakan bersama keluarga tersayang. Oleh itu, anda boleh membuat kuih ini sendiri di rumah dan menjadikan resepi ini sebagai rujukan. Selamat mencuba!

SUMBER

http://www.says.com/my/seismik/cara-convert-nasi-sejuk-kepada-apam-gebu-sedap

http://www.aziekitchen.com/2020/10/apam-beras.html

https://www.rasa.my/recipe/comelnya-apam-beras-chocolat-rice/

Summary
Resepi Apam Nasi Paling Gebu Dan Lembut!
Article Name
Resepi Apam Nasi Paling Gebu Dan Lembut!
Description
Apam nasi adalah apam yang gebu dan lembut, diperbuat menggunakan bahan utamanya iaitu nasi. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai lebihan nasi di rumah, janganlah dibazir dengan membuangnya kerana ia boleh menjadi apam nasi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: