PERUBATAN KOMPLEMENTARI DAN ALTERNATIF
Rawatan komplementari dan alternatif adalah lebih kepada pendekatan seperti meditasi, yoga dan terapi urut dikenali yang "melengkapi" perubatan tradisional.

Pengenalan

Beberapa rawatan penyembuhan – seperti akupunktur atau ubat herba bukanlah sebahagian daripada latihan perubatan konvensional. Masyarakat di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat pernah mempertimbangkan rawatan ini di luar arus perdana, atau sebagai “alternatif” kepada rawatan biasa.

Ini berbeza dengan kebanyakan negara Timur yang mempraktikkan rawatan sebegini seperti suatu kaedah perubatan biasa. Tetapi sehingga baru-baru ini, kebanyakan hospital Barat tidak menyediakan rawatan alternatif, malah sekolah perubatan Barat juga tidak mempunyai bidang tertentu tentang pengjarannya.

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, pesakit di negara-negara Barat sudah mula tertarik dengan pendekatan ini, dan mereka mula mencuba beberapa rawatan ini.

Beberapa pendekatan seperti meditasi, yoga dan terapi urut dikenali sebagai “rawatan pelengkap” kerana mereka “melengkapi” rawatan perubatan tradisional. Jadi, apabila digabungkan bersama, rawatan pelengkap dan alternatif telah disebut “CAM” (Complementary and alternative medicine).

Kepakaran bidang CAM

Banyak bidang yang berbeza terlibat dalam amalan perubatan pelengkap dan alternatif (CAM). Di samping itu, banyak bahagian daripada satu bidang mungkin bertindih dengan bahagian-bahagian bidang lain.

Contoh rawatan CAM merangkumi:

Rawatan alternatif tradisional

Bidang ini merangkumi bentuk terapi yang lebih utama dan diterima, seperti akupunktur, homeopati dan amalan Oriental. Terapi ini telah diamalkan selama berabad-abad di seluruh dunia. Seterusnya, perubatan alternatif tradisional boleh merangkumi:

  • Akupunktur – Ini adalah teknik perubatan tradisional Cina yang menggunakan jarum untuk merangsang titik-titik tertentu di seluruh badan. Individu yang bertanggungjawab melakukan terapi ini (ahli akupunktur) akan mencucuk  jarum nipis dan steril ke dalam kulit anda. Tujuannya adalah untuk membantu proses penyembuhan semula jadi tubuh.
  • Ayurveda – Ini adalah perubatan berdasarkan kepercayaan bahawa kesihatan dan kesejahteraan bergantung pada keseimbangan antara minda, tubuh, dan semangat. Tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan, bukan melawan penyakit. Tetapi, rawatan mungkin dperlukan bagi masalah kesihatan tertentu.
  • Homeopati – Ini adalah sistem perubatan berdasarkan kepercayaan bahawa tubuh dapat menyembuhkan dirinya sendiri. Mereka yang mengamalkannya menggunakan sejumlah kecil bahan semula jadi, seperti tumbuhan dan mineral. Mereka percaya bahawa ini dapat merangsang proses penyembuhan.
  • Naturopati – Ini adalah sistem yang menggunakan ubat semula jadi untuk membantu tubuh menyembuhkan dirinya sendiri. Ini merangkumi banyak terapi, termasuk herba, urut, akupunktur, senaman dan kaunseling pemakanan.
  • Perubatan Cina atau Oriental – Ini adalah sistem perubatan kuno yang memahami secara mendalam tentang undang-undang dan corak alam dan kemudian menerapkannya pada tubuh manusia

Badan

Sentuhan telah digunakan dalam perubatan sejak dahulu lagi. Penyembuhan melalui sentuhan didasarkan pada idea bahawa penyakit atau kecederaan di satu bahagian badan boleh mempengaruhi semua bahagian badan. Jadi, dengan manipulasi manual, bahagian-bahagian lain dapat dikembalikan ke tahap kesihatan yang optimum, di mana tubuh dapat sepenuhnya fokus pada penyembuhan di tempat kecederaan atau penyakit. Teknik badan sering digabungkan dengan pemikiran. Contoh terapi badan merangkumi:

  • Ubat kiropraktik dan osteopati – Ini adalah satu pilihan rawatan bukan pembedahan untuk pesakit dengan sakit belakang. Sakit belakang boleh disembuhkan dengan menggerakkan sendi di tulang belakang lumbar walaupun manipulasi (biasanya disebut sebagai “penyesuaian”).
  • Urutan – Ini adalah manipulasi tisu lembut badan. Teknik mengurut biasanya digunakan dengan tangan, jari, siku, lutut, lengan bawah, kaki atau alatan bersesuaian. Tujuan urutan secara amnya adalah untuk merawat masalah tekanan atau sakit badan.
  • Terapi pergerakan badan – Ini adalah cara untuk memintas minda sedar dan membawa kecenderungan bawah sedar (baik emosi dan fizikal), untuk melepaskan ketegangan fizikal yang menyumbang kepada penyakit dan bagi meluahkan perasaan untuk mengembangkan kesedaran diri.
  • Tai Chi – Ini adalah tradisi Cina kuno yang mana ia hari ini diamalkan sebagai bentuk latihan yang anggun. Ia melibatkan serangkaian pergerakan yang dilakukan dengan perlahan, fokus dan disertai dengan pernafasan yang mendalam.
  • Yoga – Ini adalah amalan minda dan badan dengan sejarah 5,000 tahun dalam falsafah India kuno. Pelbagai gaya yoga boleh menggabungkan postur fizikal, teknik pernafasan dan meditasi atau relaksasi.

Diet dan herba

Selama berabad-abad lamanya, manusia telah beralih dari diet sederhana yang terdiri daripada daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian ke diet yang terdiri daripada makanan yang kaya dengan lemak, minyak dan karbohidrat kompleks. Terlalu banyak atau kekurangan nutrien telah menjadi masalah dalam masyarakat masa kini, yang boleh menyebabkan penyakit kronik tertentu. Banyak pendekatan diet dan herba berupaya untuk mengimbangkan pemakanan kita. Pendekatan diet dan herba boleh merangkumi:

  • Makanan tambahan – Ini boleh mengandungi mineral, bahan herba atau botani lain, asid amino, enzim dan banyak bahan lain. Beberapa makanan tambahan dapat membantu anda mendapatkan jumlah nutrien penting yang mencukupi jika anda tidak makan pelbagai makanan yang berkhasiat.
  • Ubatan herba – Ia adalah salah satu jenis makanan tambahan. Biasanya, ubatan herba dijual sebagai tablet, kapsul, serbuk, teh, ekstrak dan tanaman segar atau kering. Individu boleh menggunakan ubat-ubatan herba untuk berusaha mengekalkan atau meningkatkan kesihatan mereka.
  • Pemakanan / diet – Ia boleh merujuk kepada makanan dan minuman yang diambil seseorang setiap hari dan keadaan mental dan fizikal yang berkaitan dengan makan. Diet yang seimbang boleh memberikan nutrien yang diperlukan badan untuk berfungsi dengan betul.

Tenaga luaran

Sebilangan orang percaya bahawa tenaga luaran dari objek atau sumber lain secara langsung boleh mempengaruhi kesihatan seseorang. Contoh terapi tenaga luaran adalah:

  • Terapi elektromagnetik – Ini menggunakan medan magnet atau elektrik untuk merawat sejumlah masalah yang berkaitan dengan otot, ligamen, tendon dan tulang. Ia mungkin tidak selamat dilakukan jika anda hamil, menggunakan alatan jantung yang ditanam, menggunakan pam insulin atau mengambil ubat yang diberikan melalui tampalan.
  • Reiki – Ini adalah bentuk terapi alternatif yang biasa disebut sebagai penyembuhan tenaga. Malah, ia dikatakan melibatkan pemindahan tenaga sejagat dari telapak pengamal kepada pesakit mereka. Penyembuhan tenaga ini telah digunakan selama berabad-abad dalam pelbagai bentuk.
  • Qigong – Ini adalah kajian dan praktik memupuk kekuatan hidup yang penting melalui pelbagai teknik seperti bernafas, postur, meditasi dan gambaran berpandu. Pengamal Qigong percaya bahawa kekuatan kesemua ini boleh menembusi dan meresap ke segala sesuatu di alam semesta. Ini sesuai dengan “pneuma” Yunani, “prana Sanskrit”, atau konsep perubatan Barat tentang “bioelektrik”.

Fikiran

Perubatan standard mahupun konvensional menyedari akan kekuatan hubungan antara minda dan badan. Kajian mendapati bahawa individu boleh sembuh dengan lebih baik sekiranya mereka mempunyai kesihatan emosi dan mental yang baik. Terapi yang menggunakan akal boleh merangkumi:

  • Meditasi – Ini adalah latihan dalam kesedaran bagi mendapatkan perspektif yang sihat. Anda tidak cuba untuk mematikan pemikiran atau perasaan anda. Tetapi sebaliknya, anda belajar untuk memerhatikannya tanpa penilaian.
  • Maklum balas bio – Ini adalah teknik yang boleh digunakan untuk belajar mengawal beberapa fungsi tubuh anda, seperti degupan jantung. Semasa ‘biofeedback’, anda dihubungkan dengan sensor elektrik yang membantu anda menerima maklumat mengenai badan sendiri.
  • Hipnosis – Ini adalah keadaan mental dari tumpuan yang sangat berfokus, kesedaran periferal yang berkurang, dan kecenderungan yang tinggi. Ia sering digunakan untuk menolong individu menjadi santai, mengurangkan rasa sakit, atau untuk memudahkan perubahan tingkah laku yang diinginkan.

Rasa

Sebilangan orang juga percaya bahawa deria, sentuhan, penglihatan, pendengaran, bau dan rasa dapat mempengaruhi tahap kesihatan secara keseluruhan. Contoh terapi yang merangkumi pancaindera termasuk:

  • Seni, tarian, dan muzik – Ia menarik deria seseorang dan boleh digunakan sebagai terapi dalam banyak keadaan. Setiap kaedah membantu seseorang mengekspresikan dirinya dan membantu mengalihkan perhatian dan berpotensi memperbaiki diri dari penyakit atau keadaan.
  • Visualisasi dan imejan berpandu – Ia menawarkan jalan lain untuk mengurangkan tekanan individu. Teknik-tekniknya melibatkan amalan sistematik untuk mewujudkan gambaran mental terperinci mengenai persekitaran atau situasi yang menarik dan damai.

Perbezaan antara rawatan pelengkap dan alternatif

Banyak orang mengira bahawa “rawatan pelengkap” dan “rawatan alternatif”  membawa maksud yang sama. Walaupun mereka sering dikelompokkan di bawah payung CAM (rawatan pelengkap dan alternatif), mereka sebenarnya adalah berbeza.

Kedua-dua istilah tersebut merujuk kepada rawatan, seperti ramuan herba atau akupunktur yang berada di luar arus perubatan. Tetapi, perubatan pelengkap adalah apabila terapi ini digunakan bersama dengan perubatan tradisional Barat. Sebaliknya, perubatan alternatif pula adalah apabila pendekatan ini digunakan berbanding rawatan tradisional.

Pada zaman ini, hanya terdapat segelintir orang yang menggunakan rawatan pelengekap dan alternatif, dan ia tidak disyorkan oleh pakar perubatan. Tetapi, sudah semakin banyak doktor tradisional yang menerima penggunannya.

Bila anda perlu mempertimbangkan atau mendapatkan terapi CAM

Pesakit kanser yang menggunakan atau mempertimbangkan untuk menggunakan terapi pelengkap atau alternatif harus berbincang dengan doktor atau penjaganya dahulu. Sebilangan terapi boleh mengganggu rawatan standard atau bahkan memudaratkan lagi keadaan sedia ada. Ianya adalah idea yang baik untuk mengetahui sama ada terapi tersebut terbukti dapat mencapai matlamat yang ditetapkan atau tidak.

Perubatan alternatif atau komplementari boleh menjadi sangat berbahaya jika digunakan sebagai pengganti bagi rawatan tradisional. Ia bahkan boleh mengancam nyawa. Itu sebahagiannya kerana anda tidak mendapat rawatan yang terbukti untuk keadaan anda. Tetapi, banyak bentuk rawatan pelengkap seperti meditasi tidak mempunyai banyak kesan sampingan dan boleh digunakan dengan selamat.

Sebilangan ramuan, makanan tambahan dan vitamin juga berpotensi memberi kesan sampingan Bahan-bahan ini tidak ditetapkan dengan cara yang sama seperti ubat-ubatan. Dan, walaupun banyak yang mendakwa menggunakan bahan “semula jadi”, ini tidak selalunya bermaksud bahawa produk atau rawatan tersebut adalah selamat. Bahan, dos dan proses pembuatan boleh bervariasi mengikut produk.

Siapakah yang boleh mendapat faedah daripada CAM

Secara teori, sesiapa sahaja boleh mendapat faedah daripada kaedah CAM tidak kira sama ada mereka sakit atau sihat. Setiap orang akan memberi tindak balas yang berbeza terhadap setiap produk atau amalan. Ia juga penting untuk mengetahui bahawa beberapa pendekatan pelengkap telah dikaji lebih daripada yang lain.

Sebagai contoh, penyelidikan menunjukkan bahawa akupuntur dapat membantu memerangi kesakitan kronik, termasuk di bahagian punggung dan leher bawah. Ia juga terbukti berkesan dalam mengubati kesakitan disebabkan artritis dan pelbagai jenis sakit kepala.

Seterusnya, yoga juga dapat membantu mengatasi kesakitan. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kemurungan dan kegelisahan, serta tekanan darah dan degupan jantung. Beberapa terapi pelengkap seperti akupunktur dapat membantu mengatasi keletihan, loya dan kesan sampingan lain dari rawatan kanser.

SUMBER

https://www.hopkinsallchildrens.org/patients-families/health-library/healthdocnew/complementary-and-alternative-medicine-(1)

https://www.webmd.com/balance/guide/complementary-vs-alternative-medicine#1

https://www.cancer.gov/about-cancer/treatment/cam

Summary
Rawatan komplementari dan alternatif
Article Name
Rawatan komplementari dan alternatif
Description
Rawatan komplementari dan alternatif adalah lebih kepada pendekatan seperti meditasi, yoga dan terapi urut dikenali yang "melengkapi" perubatan tradisional.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: