RADIOLOGI
Radiologi adalah cabang perubatan yang menggunakan teknologi pencitraan untuk mendiagnosis dan merawat penyakit

Pengenalan

Radiologi adalah cabang perubatan yang menggunakan teknologi pencitraan untuk mendiagnosis dan merawat penyakit. Ia boleh dibahagikan kepada dua bidang yang berbeza, iaitu radiologi diagnostik dan radiologi intervensi. Doktor yang pakar dalam radiologi dipanggil sebagai ‘radiologist’ atau pakar radiologi. Berikut adalah perbezaannya:

  • Radiologi diagnostik – Radiologi diagnostik membantu penyedia penjagaan kesihatan melihat struktur di dalam badan anda. Doktor yang pakar dalam pentafsiran gambar ini dipanggil sebagai pakar radiologi diagnostik.
  • Radiologi intervensi – Pakar radiologi intervensi adalah doktor yang menggunakan pengimejan seperti CT, ultrabunyi, MRI dan ‘fluoroscopy’ untuk membantu membimbing prosedur. Pengimejan ini berguna kepada doktor ketika memasukkan kateter, wayar dan alatan kecil lain ke dalam badan anda.

Kepakaran pakar radiologi

Pakar radiologi adalah doktor perubatan yang pakar dalam mendiagnosis dan merawat kecederaan serta penyakit dengan menggunakan prosedur pengimejan perubatan (radiologi) seperti sinar-X, komputasi tomografi (CT), pencitraan resonans magnetik (MRI), perubatan nuklear, tomografi pelepasan positron (PET) dan ultrabunyi.

Seterusnya, pakar radiologi berbeza daripada ‘radiographers’. Walaupun kedua-dua profesional ini bekerja dengan pengimejan perubatan, ‘radiographhers’ adalah orang yang mengendalikan mesin tersebut.

Sekiranya anda mempunyai prosedur intervensi (seperti angiogram atau biopsi), pakar radiologi terlatih yang dipanggil pakar radiologi intervensi akan melakukan prosedur tersebut. Mereka juga akan memberikan laporan imbasan yang kemudian dihantar kepada doktor anda.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Anda berkemungkinan besar akan berjumpa dengan pakar radiologi setelah mendapat cadangan daripada doktor lain. Doktor yang merujuk ini boleh menjadi doktor penjagaan utama anda atau pakar seperti pakar ortopedik.

Dalam kebanyakan kes, doktor penjagaan utama anda akan merujuk anda kepada pakar radiologi apabila ujian pencitraan diagnostik diperlukan. Doktor anda mungkin memerlukan lebih banyak maklumat untuk mendiagnosis atau mengetepikan keadaan tertentu. Ini juga dapat digunakan untuk menentukan kemajuan yang sedang dicapai dalam penyakit yang sudah didiagnosis.

Beberapa faktor biasa mengapa anda mungkin memerlukan pakar radiologi adalah:

  • Kepatahan tulang
  • Kekoyakan otot
  • Kehamilan
  • Pemeriksaan kanser atau tumor
  • Arteri atau saluran lain yang tersekat
  • Objek asing dalam badan
  • Kecederaan dan kemalangan
  • Jangkitan

Prosedur radiologi

Gambaran radiografi konvensional (sinar-X)

Radiografi konvensional melibatkan penggunaan sinar-X di mana istilah “sinar-X biasa” kadangkala digunakan untuk membezakan sinar-X yang digunakan sendirian daripada sinar-X yang digabungkan dengan teknik lain. Kaedah ini adalah bentuk sinaran elektromagnetik yang dihasilkan oleh tiub sinar-X. Ia dapat menghasilkan kontras dalam gambar untuk memberikan gambaran 2D dari semua struktur dalam pesakit.

Imbasan tomografi berkomputer (CT)

Imbasan tomografi berkomputer (CT) menggabungkan serangkaian gambar sinar-X yang diambil daripada pelbagai sudut di sekitar badan dan menggunakan pemprosesan komputer untuk membuat gambar keratan rentas (kepingan) tulang, saluran darah dan tisu lembut di dalam badan anda. Imej imbasan CT ini boleh memberikan maklumat yang lebih terperinci berbanding sinar-X biasa.

Ultrasonografi

Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi dengan frekuensi tinggi (ultrasound) untuk menghasilkan gambar organ dalaman dan tisu lain. Peranti yang disebut ‘transduser’ mengubah arus elektrik menjadi gelombang bunyi, yang dihantar ke tisu badan. Gelombang bunyi memantul struktur di dalam badan dan dipantulkan kembali ke ‘transduser’, yang mengubah gelombang menjadi isyarat elektrik. Tiada sinar-X yang digunakan, jadi tiada berlakunya pendedahan radiasi semasa ultrasonografi.

Pengimejan resonans magnetik (MRI)

Imbasan resonans magnetik (MRI) menggunakan gelombang magnet dan gelombang radio besar untuk melihat organ dan struktur di dalam badan anda. Pakar penjagaan kesihatan menggunakan imbasan MRI untuk mendiagnosis pelbagai keadaan, seperti ligamen koyak atau tumor. Malah, ia adalah sangat berguna untuk memeriksa otak dan saraf tunjang.

Fluoroskopi

Fluoroskopi adalah kajian mengenai struktur badan yang bergerak – serupa dengan “filem” sinar-X. Pancaran sinar-X berterusan disalurkan ke bahagian badan yang sedang diperiksa. Rasuk (beam) dihantar ke monitor seperti TV sehingga bahagian badan dan pergerakannya dapat dilihat secara terperinci. Sebagai alat pencitraan, kaedah ini memungkinkan doktor untuk melihat banyak sistem tubuh, termasuk sistem rangka, pencernaan, kencing, pernafasan,dan pembiakan.

Pengimejan perubatan nuklear

Pengimejan perubatan nuklear adalah kaedah penghasilan gambar dengan mengesan radiasi dari bahagian tubuh berlainan setelah pelacak radioaktif diberikan kepada pesakit. Gambar boleh dihasilkan secara digital di komputer dan dipindahkan kepada doktor perubatan nuklear, yang akan menafsirkan gambar untuk membuat diagnosis.

Teknik gabungan

Kemajuan dalam peralatan dan peningkatan daya komputer telah memungkinkan pakar radiologi untuk menggabungkan set pencitraan data daripada pelbagai kaedah dalam radiologi; penggunaan yang paling popular adalah penyatuan data perubatan nuklear berfungsi PET dengan data anatomi CT (PET/ CT), yang kini banyak digunakan dalam pengimejan kanser.

Anggaran kos

Jika di hospital kerajaan, bagi ujian yang melibatkan sinar-X dan sebagainya, anda mungkin dikenakan caj sekitar RM 10 (kelas pertama), RM 5 (kelas kedua) dan RM 2 (kelas ketiga) bagi setiap rawatan. Bagi ujian di bawah kategori ‘radium treatment’, cajnya yang dikenakan adalah sama seperti terapi sinar-X biasa.

Pemeriksaan pengimejan adalah lebih mahal berbanding sinar-X biasa seperti caj bagi imbasan CT di hospital kerajaan adalah sekitar RM 450 dan di hospital swasta adalah sekitar RM 1 ribu. Bagi imbasan MRI pula, harganya adalah sekitar RM 700 (hospital kerajaan) dan RM 1,200 (hospital swasta).

Ujian ultrabunyi pula boleh dicaj sehingga RM 100 di hospital kerajaan dan RM 300 di hospital swasta. Jika anda tidak begitu berkemampuan, mendapatkan ujian pemeriksaan di hospital kerajaan sahaja sudah memadai namun keputusannya mungkin sedikit lambat untuk diperoleh berbanding di hospital swasta.

SUMBER

https://www.acr.org/Practice-Management-Quality-Informatics/Practice-Toolkit/Patient-Resources/About-Radiology

https://medlineplus.gov/ency/article/007451.htm

https://www.royalfree.nhs.uk/services/services-a-z/radiology/about-radiology

https://www.medicalnewstoday.com/articles/327331#summary

https://www.webmd.com/cancer/cancer-what-radiologist#1

https://www.neighborhoodrad.com/2017/11/21/when-should-i-see-a-radiologist/

Summary
Radiologi
Article Name
Radiologi
Description
Radiologi adalah cabang perubatan yang menggunakan teknologi pencitraan untuk mendiagnosis dan merawat penyakit.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: