radang faraj
Radang Faraj sering dialami wanita, di mana rasa ketidakselesaan pada kawasan faraj dan berbau agak kurang menyenangkan daripada biasa.

Radang Faraj sering dialami wanita, di mana rasa ketidakselesaan pada kawasan faraj dan berbau agak kurang menyenangkan daripada biasa.

Walaupun ia menyebabkan ketidakselesaan, ia bukanlah sebuah penamat dunia. Ia mungkin petanda bahawa anda telah mendapat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, yis atau virus. Selain itu, bahan kimia dalam sabun, semburan atau pakaian yang bersentuhan dengan kawasan ini juga boleh merengsakan kulit dan tisu yang halus pada faraj.

Anda mungkin memerlukan bantuan doktor untuk menyembuhkannya dan memilih rawatan yang betul.

Jenis Radang Faraj

Terdapat beberapa jenis Radang Faraj bergantung kepada puncanya.

Radang Faraj yang paling umum adalah:

  • Vaginitis Atropik: Endothelium, atau lapisan faraj menjadi lebih nipis apabila paras estrogen berkurangan sewaktu menopaus, lalu menjadikannya lebih mudah rosak dan meradang.
  • Bakteria Vaginosis: Ia disebabkan oleh peningkatan bakteria normal dalam faraj. Pesakit biasanya mempunyai bakteria yang normal pada tahap yang rendah dalam faraj yang dipanggil lactobacilli.
  • Trichomonas Vaginalis: Kadangkala dirujuk sebagai trich, ia berpunca dari sejenis parasit protozoa bersel tunggal, iaitu Trichomonas vaginalis. Bakteria ini mungkin menjangkiti bahagian-bahagian lain pada saluran urogenital, termasuklah uretra, iaitu tempat pengeluaran air kencing.
  • Candida albicans: Yis yang menyebabkan jangkitan kulat, juga dikenali sebagai jangkitan faraj. Candida wujud dalam jumlah yang kecil dalam usus dan biasanya dikawal oleh bakteria normal dalam usus.

Simptom Radang Faraj

Simptom Radang Faraj yang paling biasa termasuklah:

  • Keluar lelehan yang berwarna putih, kelabu, berair atau berbuih
  • Keradangan yang menyebabkan kemerahan dan pembengkakan pada labia majora, labia minora dan kawasan perineal, disebabkan oleh lebihan sel-sel imun
  • Dysuria, yang merupakan rasa sakit atau ketidakselesaan apabila membuang air kecil
  • Hubungan seksual yang menyakitkan, yang dikenali sebagai dyspareunia
  • Faraj berbau atau hanyir

Punca Radang Faraj

Jangkitan adalah penyebab paling umum bagi Radang Faraj, termasuklah candidiasis, vaginosis bakteria dan trichomoniasis. Selepas akil baligh, Radang Faraj yang berjangkit menyumbang sebanyak 90 peratus kes dalam kalangan wanita.

Bagi kes yang jarang berlaku, Radang Faraj juga boleh disebabkan oleh gonorea, Chlamydia, mycoplasma, herpes, campylobacter, beberapa parasit dan keadaan kebersihan yang tidak baik.

Radang Faraj boleh berlaku sebelum akil baligh dan melibatkan jenis bakteria yang lain. Sebelum akil baligh, spesies Streptococcus adalah penyebab utama Radang Faraj oleh kerana amalan kebersihan yang tidak sempurna sehingga menyebarkan bakteria dari kawasan dubur ke alat kelamin.

Kedekatan jarak vagina dengan dubur, kekurangan estrogen, kekurangan rambut pada kemaluan, dan kekurangan pad lemak labial boleh meningkatkan risiko Vulvovaginitis sebelum akil baligh. Vulvovaginitis adalah keradangan vagina dan vulva yang boleh menjejaskan wanita di semua peringkat umur.

Selepas akil baligh, jangkitan selalunya disebabkan oleh Gardnerella.

Kadangkala, Radang Faraj boleh berpunca daripada tindak balas alahan. Contohnya daripada kondom, spermisida, sabun, minyak wangi, douches, ubat-ubatan topikal, pelincir dan juga air mani.

Kerengsaan daripada tampon juga boleh menyebabkan Radang Faraj di kalangan wanita.

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko termasuklah:

  • Mengandung
  • Douching dan menggunakan produk faraj seperti semburan, spermisida dan alat kawalan kelahiran
  • Menggunakan antibiotik
  • Memakai seluar dalam yang ketat atau lembap
  • Paras estrogen yang rendah semasa menopaus

Diagnosis Radang Faraj

Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan bertanya tentang sejarah perubatan, khususnya mengenai sebarang jangkitan seksual yang pernah dialami sebelumnya.

Doktor akan menjalankan ujian pelvik untuk memeriksa di dalam vagina bagi sebarang keradangan dan lelehan yang berlebihan. Sampel lelehan kadangkala akan diambil untuk menentukan punca keradangan.

Penyebab Radang Faraj boleh didiagnosis dengan memeriksa penampilan cecair faraj, tahap pH faraj, kehadiran amina yang tidak menentu (gas yang menyebabkan bau tidak enak) dan pengesanan mikroskopik sel-sel tertentu.

Faktor Risiko Radang Faraj

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko anda mengalami Radang Faraj termasuklah:

  • Perubahan hormon seperti yang berkaitan dengan kehamilan, pil kawalan kelahiran atau menopaus
  • Kegiatan seksual
  • Mengalami jangkitan seksual
  • Ubat-ubatan seperti antibiotik dan steroid
  • Penggunaan spermisida untuk kawalan kelahiran
  • Penggunaan produk kebersihan seperti mandian gelembung, semburan faraj atau deodoran faraj
  • Menyelam
  • Memakai pakaian lembap atau ketat
  • Menggunakan peranti intrauterin (IUD) untuk kawalan kelahiran

Rawatan Radang Faraj

Pelbagai organisma dan keadaan boleh menyebabkan Radang Faraj, jadi rawatan menyasarkan sebab-sebab tertentu:

  • Vaginosis bakteria. Bagi jenis ini, doktor mungkin akan menetapkan tablet metronidazole (Flagyl) yang diambil secara oral atau gel metronidazole (MetroGel) atau krim clindamycin (Cleocin) yang perlu disapu pada faraj anda. Walau bagaimanapun, anda perlu diuji dan diberi preskripsi untuk ubat-ubatan ini.
  • Jangkitan yis. Jangkitan yis biasanya dirawat dengan krim antifungal atau suppositori seperti miconazole (Monistat 1), clotrimazole, butoconazole atau tioconazole (Vagistat-1). Jangkitan yis juga boleh dirawat dengan ubat antifungal preskripsi oral, seperti fluconazole (Diflucan). Kelebihan rawatan ubat di farmasi adalah mudah, jimat kos dan tidak perlu menunggu lama untuk berjumpa dengan doktor anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin mempunyai jangkitan lain selain jangkitan yis. Menggunakan ubat yang salah boleh menangguhkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.
  • Trichomoniasis. Doktor boleh menetapkan tablet metronidazole (Flagyl) atau tinidazole (Tindamax).
  • Sindrom Genitourinary Menopaus (Atrofi Faraj). Hormon estrogen yang diberikan dalam bentuk krim faraj, tablet atau cincin boleh merawat keadaan ini dengan lebih berkesan. Rawatan ini boleh didapati dengan preskripsi dari doktor anda, selepas faktor-faktor risiko lain dan komplikasi telah dikaji.
  • Vaginitis tidak berjangkit. Untuk merawat Radang Faraj jenis ini, anda perlu menentukan sumber kerengsaan dan mengelakkannya. Sumber yang mungkin terlibat termasuklah sabun baru, detergen dobi, tuala wanita atau tampon.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/vaginitis/symptoms-causes/syc-20354707

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9131-vaginitis

https://www.webmd.com/women/guide/sexual-health-vaginal-infections

https://www.medicalnewstoday.com/articles/175101

Summary
Radang Faraj - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Radang Faraj - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Radang Faraj sering dialami wanita, di mana rasa ketidakselesaan pada kawasan faraj dan berbau agak kurang menyenangkan daripada biasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: